Sunday, April 14, 2013

Debaran filem pertama Opie


JENAZAH Tok Chai yang 'bangkit' digarap dalam bentuk jenaka.


FILEM Kecoh! Hantu Raya Tok Chai begitu signifikan kepada pengarahnya, Opie Zami kerana naskhah terbitan 3Line Media itu merupakan filem pertama garapannya.
Opie memperlihatkan bahawa dia begitu bersungguh-sungguh mahu membuktikan keupayaannya mengarahkan sebuah filem, biarpun secara lisannya dia memberitahu wartawan bahawa masih tidak berpuas hati dengan hasil kerja sendiri.
Ceritanya ringkas kerana Kecoh! Hantu Raya Tok Chai hanya berkisar perjalanan orang kampung untuk membawa jenazah Tok Chai lakonan Sobri Anuar ke tanah perkuburan.
Namun, perjalanan mereka itu mengalami kesukaran apabila pelbagai kejadian aneh berlaku. Masalah itu dikatakan disebabkan oleh hantu raya milik Tok Chai yang muncul sambil mengacau orang kampung.
Peristiwa kematian Tok Chai itu turut mempertemukan semula pasangan kekasih, Ebby (Saiful Apek) dan Lisa (Intan Ladyana) yang sekian lama terpisah akibat dihalang keluarga.

ABDUL TALIF (kiri) dan Amir Raja Lawak antara pertaruhan Opie.


Kesungguhan Opie begitu jelas terutamanya mengenai teknik sinematografi yang begitu tersusun termasuklah pergerakan kamera dan pencahayaan.
Menurut Opie, skrip itu turut berdepan pertikaian apabila jalan cerita asalnya diubah suai oleh biarpun tidak dipersetujui oleh penulis skrip.
Namun, Opie yang berpengalaman mengarahkan beberapa buah drama seperti Keris Lima, Keluarga Adab dan Belalang itu ada alasan sendiri.
Tidak salah untuk mengatakan bahawa naskhah itu merupakan satu lagi lambakan filem komedi seram dalam industri perfileman negara. Bagi peminat tegar filem komidi seram, ia tidak rugi untuk ditonton kerana banyak aksi yang boleh membuatkan anda tertawa.
Penonton tidak perlu menjangkakan sebuah jalan cerita yang berat jika mahu menonton filem itu, kerana perjalanannya begitu ringkas. Perkara itu turut diakui Opie sendiri.
Filem yang turut dibintangi Amir Raja Lawak, Azrul Raja Lawak, Sathia, Bokhari, Baby Erin dan Allahyarham Kuswadinata itu bakal menemui penonton di pawagam bermula Khamis ini.
Komen Syalmizi: Lakonan Saiful Apek dan Intan Ladyana dirasakan kurang menonjol berbanding watak lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: