Sunday, April 14, 2013

Cinta dulu berapi-api - Afgan

AFGAN muncul dengan album baharu bertajuk Live To Love yang bakal membuatkan ramai pendengar terus jatuh cinta dengannya.


SAAT pertama kali pendengaran menangkap suara lelaki ini, dia hanya melakukan persembahan di ruang legar Pusat Konvensyen Jakarta. Waktu itu penyanyi-penyanyi antarabangsa dan Indonesia berpadu suara dalam ruang dewan yang besar dengan penonton berskala besar.
Afgan hanya melantunkan vokal di ruang legar luar dewan, namanya belum besar seperti sekarang namun penontonnya sudah cukup meyakinkan. Anak-anak remaja yang sudah menjadi pencintanya menjerit setiap kali dia melontarkan suara. Selain lagunya yang masih belum terlalu biasa didengar, dia juga membawakan lagu Ordinary People nyanyian asal John Legend. Sesuai statusnya waktu itu.
Walaupun masih baharu namun dengan bertunjangkan bakat, Afgan sudah mampu pergi jauh dalam industri seni suara. Pandangan kali pertama itu tidak lama, cuma beberapa tahun lalu dalam acara Java Jazz yang diadakan saban tahun di negara pentadbiran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono itu.
Album ketiga
Kini nama Afgan sudah cukup harum di persada dunia seni suara baik di negara kelahirannya atau Malaysia tempat dia melanjutkan pelajarannya. Malah antara vokalis solo yang dikagumi ramai kerana suaranya unik.
Hadir ke Malaysia untuk tujuan promosi album baharunya Live To Love oleh syarikat rakaman SRC Records, Afgan memberitahu akan transisi kariernya.
"Kasihan ya, dahulu hanya menonton saya di ruang legar," katanya sambil ketawa kecil.
"Saya pernah menyanyi di acara-acara kecil namun perjalanan dari bawah itu adalah sesuatu yang bagus. Saya menjalani pengalaman itu membuatkan saya merendah diri, sentiasa beringat untuk tidak sombong," senyum dengan jelas mempamerkan kedua lesung pipit penyeri wajah Afgan Syah Reza.
Akui Afgan yang mula terkenal dengan lagu Terima Kasih Cinta ini, dia tidak pernah menyangkakan bakal ditonton oleh para penggemar dengan skala yang besar.
Awal fenomena itu, dia mengaku terkejut. Merasakan dunianya sedang bertukar ke arah lebih gemerlapan, Afgan malah mengaku pernah mengalami kejutan.
"Saya masuk hospital bukan faktor fizikal tetapi lebih kepada kepenatan, letih mental. Perhatian begitu banyak terhadap saya begitu juga dengan permintaan membuatkan kesibukan. Saya dirawat kerana stres sekitar dua minggu," kata Afgan bercerita tentang kaca mata pengalaman awal bergelar artis.
Dia mencuba beradaptasi dengan keadaan akibat pilihannya itu. Kembali bekerja sebagai penghibur dan penjual suara. Anak kelahiran Jakarta ini juga bertanyakan pengalaman lalu sahabat-sahabat sealiran yang sudah dulu makan asam dan garam dunia hiburan.
"Apa yang penting niat, itu yang membolehkan saya kembali," tulus suara hati lelaki yang lahir 27 Mei 1989 ini.
Afgan yang sudah terbiasa dengan pujian dan permintaan terhadap dirinya kemudian memilih untuk berehat sebentar. Menggali ilmu di Universiti Monash, Bandar Sunway, Petaling Jaya.
Ujar penyanyi yang sedang terkenal dengan lagu Pesan Cinta ini, dia menemui damai di kota Kuala Lumpur. Tidak dikejar-kejar malah tidak juga menjadi bahan makanan paparazi.
"Saya berjaya menjadi manusia biasa di sini. Itu bahagian kegemaran saya yang tidak saya dapat di negara kelahiran saya," ujar pelajar jurusan pemasaran perniagaan dan muzik ini sekali gus menggambarkan kebebasan buat dirinya.
Kumpulan peminat fanatik di Indonesia ujar Afgan membuatkan dirinya hilang privasi selalunya.
"Bayangkan terdapat 50 orang menunggu di depan rumah setiap hari. Ini membuatkan saya tidak selesa dan perkara ini tidak terjadi sewaktu saya di Malaysia," katanya lagi yang tinggal dua bulan untuk menghabiskan pengajiannya.
"Walaupun saya akan habis belajar di sini namun saya akan tetap berulang alik ke Kuala Lumpur kerana saya sukakan Malaysia," senyumnya lagi yang merancang untuk membuka restoran di Jakarta tidak lama lagi.
Kikis malu
Album terbaharu Afgan bertajuk Live To Love yang membariskan 10 buah lagu tersebut dibayangkan pemiliknya sebagai lebih matang dan berjiwa. Malah Afgan turut menurunkan bakat penulisan dan melakarkan tiga buah lagu.
"Saya pernah kering idea sewaktu mula mahu menulis dan mengeluarkan idea. Saya membayangkan dulu klip video dan temanya. Semuanya bermula daripada visual mungkin kerana saya gemar melihat YouTube dan filem. Cara ini lebih efektif buat saya," ujarnya tentang album yang bertemakan cinta.
"Liriknya juga berdasarkan pengalaman peribadi. Cinta pandang pertama, cinta zaman sekolah yang berbunga-bunga. Semuanya nostalgia," ketawanya malu-malu.
Lalu apabila dia sendiri menyebut tentang pengalaman lalu berkisar cinta, penulis bertanyakan skop cinta buat dirinya kini.
Ketawa manja dia menjawab: "Saya jenis orang yang tidak berkongsi pengalaman cinta. Sewaktu saya belajar di Malaysia, saya mengalami cinta jarak jauh dan ia tidak berjalan seperti yang dirancang.
"Saya belajar daripada pengalaman itu. Sekarang saya melihat cinta dengan tidak berapi-api seperti dahulu. Sekarang lebih sabar."
Afgan pernah digosipkan berpacaran dengan selebriti Indonesia seperti Thalita Latief, Agnes Monica, Mirasih Tyas Endah, Eva Celia Latjuba dan Arumi Bachsin.
Melihatkan dia yang senang berbicara tentang apa sahaja topik yang dilimpahkan kepadanya, Afgan mengaku bahawa apabila seseorang sudah mula mengenalinya, dia bertukar menjadi seorang lelaki yang penuh dengan humor.
Afgan kini lebih terbuka berbanding remaja yang serba serbi pemalu.
"Sudah boleh dikawal tetapi masih dalam proses lagi. Sebenarnya belajar jauh dari tanah air banyak membantu saya, banyak. Saya menjadi lebih dewasa dan sudah boleh berhadapan dengan pelbagai ragam manusia. Lebih luas pergaulan saya. Ini semua pengalaman buat saya," ujarnya yang mengaku seorang yang sangat teliti dalam kerjaya dan juga mempunyai pertukaran mood yang mudah dalam sekelip mata.
Pada umur kehidupannya sekarang, perjalanan karier Afgan tampak mengalir lancar. Transisi yang dialaminya sebagai selebriti bukan sahaja melunturkan sedikit sikap pemalunya tetapi membuatkan dia lebih mendalami erti cinta. Lalu disalurkan dalam naskhahnya yang penuh rasa itu, Live To Love.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: