Sunday, April 14, 2013

Bomoh pilihan raya


MENGGUNAKAN khidmat bomoh untuk menang pilihan raya menjadi pilihan sesetengah ahli politik. - Gambar hiasan


MENGGUNAKAN khidmat bomoh untuk karier politik bukanlah satu cerita yang baharu. Malah dalam zaman serba teknologi ini, amalan tersebut masih diamalkan.
Di Indonesia, ahli-ahli politiknya, biarpun sudah berada di puncak mahupun calon datuk bandar pasti tidak terlepas menagih magis bomoh. Bekas Presiden Indonesia, Sukarno didakwa mempunyai berpuluh-puluh bomoh yang berkhidmat secara sepenuh masa.
Di Afrika, peranan bomoh dalam politik harian cukup besar. Emperor Bokassa dari Afrika Tengah menggunakan khidmat bomoh siang dan malam. Ini sama seperti apa yang dilakukan oleh Idi Amin Dada di Uganda dan Mobuto Sese Seko dari Congo.
Czar Nicholas dari Russia pula mempercayai Rasputin dalam pentadbirannya kerana beliau yakin bahawa bomoh yang berjanggut panjang itu mempunyai kuasa mistik yang boleh meramal masa depan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah secara terbuka menegur ahli-ahli politik dalam blog rasminya agar tidak mencari bomoh untuk menang dalam pilihan raya kerana bukan bomoh yang boleh memberi kemenangan. Kata Dr. Mahathir, budi baik, tingkah sopan dan keprihatinan terhadap masalah rakyat ialah resipi kejayaan.
Sebuah akhbar sebelum ini turut mendedahkan bahawa ada ahli politik yang ghairah mendapatkan kedudukan, pengaruh dan kuasa melalui jalan pintas. Mereka sanggup menggadai akidah dengan melakukan perkara khurafat dengan mempercayai azimat, wafak, cincin serta amalan pembacaan mantera tertentu.
Kepercayaan karut
Amalan khurafat ini turut diakui oleh Exco Gabungan Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Sharhan Shafie yang memberitahu, beberapa orang ahli politik ada berjumpa dengannya untuk mendapatkan tangkal dan azimat yang bertujuan mendapatkan pengaruh politik.
“Perkara ini ada berlaku di dalam bidang politik terutamanya pada musim pilihan raya dan saya pernah didatangi beberapa orang ahli politik. Bagaimanapun saya menasihati mereka supaya jangan dekati unsur-unsur khurafat.
“Rakyat kini boleh menilai melalui jasa yang dibuat dan ilmu yang ada pada seseorang ahli politik itu dan unsur-unsur khurafat ini tidak perlulah dijadikan landasan hanya untuk mencapai tujuan tertentu.
“Antara azimat yang kononnya dapat membantu melariskan diri mereka ialah kelambu Kaabah dan bulu burung cenderawasih selain besi kuning yang kononnya membolehkan si pemakai menjadi kebal,” ujarnya sambil memberitahu, kebanyakan azimat diperoleh dari negara Thailand, Indonesia dan Filipina.
Tambahnya, semakin mahal azimat yang diperoleh, semakin kuat jin yang menjaganya. Dalam nada separa menyindir, Sharhan berkata, azimat paling penting yang harus dipegang oleh ahli politik adalah dengan menjadikan rakyat sebagai orang yang paling dekat dengan mereka.
“Perbuatan seperti ini hanya mengundang kepada perbuatan syirik sahaja selain mengundang kemurkaan Allah,” beritahu beliau.
Bagi Yang Dipertua Majlis Bekas-Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Negeri Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar menyifatkan tindakan sesetengah pemimpin politik yang masih percaya kemenangan dalam pilihan raya bergantung kepada bomoh adalah tidak relevan.
“Jika mahu memenangi hati rakyat bukan disebabkan bomoh tetapi berdasarkan kepada khidmat yang diberikan dan tidak perlu menggunakan perkara lain yang tidak relevan serta karut,” katanya.
Menurutnya, faktor kemenangan juga bergantung kepada rekod khidmat yang menepati segala janji kepada rakyat.
“Itu merupakan faktor penting dalam memenangi pilihan raya dan hati rakyat daripada menggunakan ilmu sihir kerana kita sudah melalui banyak proses pilihan raya, pasti rakyat boleh membuat pilihan yang terbaik bagi negara dan masa depan generasi akan datang,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan memberitahu, pihaknya menerima kira-kira 15 aduan sejak kebelakangan ini berkenaan amalan yang menjurus kepada perbuatan syirik dan bermotifkan politik.
“Perkara ini terjadi kerana sikap ahli politik yang mahu mendapat tempat dengan cara mudah. Sejak kebelakangan ini, banyak aduan diterima dan perbuatan seperti ini amat sukar untuk dikenal pasti.
“Kita hanya boleh membantu merawat individu yang terlibat dengan membawa mereka ke pusat-pusat rawatan Islam untuk proses pemulihan,” ujarnya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: