Friday, April 19, 2013

Bom buatan sendiri dipenuhi paku



SEORANG doktor, Allan Panter langsung tidak menyangka kehadirannya untuk memberi sokongan kepada isteri tercinta yang menyertai acara Maraton Boston buat kali ke-15 bertukar menjadi pengalaman ngeri dalam hidupnya.
Ketika berada berhampiran garisan penamat untuk menunggu isterinya, Theresa Panter, tiba-tiba dia dikejutkan dengan dua siri letupan yang menggegarkan kawasan tersebut.
"Saya berdiri kira-kira tujuh meter dari lokasi letupan pertama. Sekurang-kurangnya tujuh orang tercampak ke arah saya. Ia berlaku sekelip mata," ujar Allan kepada agensi berita Cable News Network (CNN).
Sejurus kejadian itu, Allan yang langsung tidak mengalami sebarang kecederaan terus bertindak membantu merawat mangsa yang berada di jalanan.
"Seorang wanita terbunuh manakala seorang lelaki putus kedua-dua belah kakinya dari paras lutut. Keadaan sangat teruk ketika itu," jelasnya.
Sementara itu, apabila sampai ke garisan penamat, Theresa bersama pelari lain diarahkan ke satu kawasan selamat. Tergamam dengan insiden letupan berkenaan, Theresa berusaha mencari suami yang telah dikahwini selama 30 tahun itu.
Akhirnya selepas lebih satu jam, barulah dia dapat bertemu dengan Allan yang gigih membantu mangsa letupan bersama sukarelawan maraton tersebut.
"Para sukarelawan yang berada di kawasan siar kaki tidak lari menyelamatkan diri, sebaliknya mereka terus membantu sekadar termampu," terang Allan yang berusia lingkungan 70-an.
Rentetan insiden berdarah itu, tiga orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang dikenali sebagai Martin Richard, manakala lebih 170 orang tercedera. Seramai 17 daripadanya kini berada dalam keadaan kritikal.
Ironinya, dua letupan yang berlaku selang 13 saat itu terjadi hampir 12 tahun selepas serangan ke atas bandar raya New York, Washington dan Pennsylvania pada 11 September 2001 yang mengakibatkan kira-kira 3,000 orang terbunuh.
Serangan pengganas?
Bagaimanapun, Presiden Barack Obama tidak mahu mengaitkan serangan itu dengan pengganas kerana para pegawainya masih menyiasat punca dan siapa yang bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut.
Menurut Obama ketika berucap di White House, pihaknya akan memburu dalang serangan di Massachusetts untuk berdepan hukuman setimpal.
Dalam pada itu, Ejen Khas Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Rick DesLauriers memberitahu, kes itu dikategorikan sebagai kes jenayah yang berpotensi melibatkan siasatan terhadap pengganas.
Maraton Boston merupakan salah satu acara sukan tahunan paling berprestij di Amerika Syarikat (AS). Ia diadakan pada setiap hari Isnin ketiga dalam bulan April, iaitu sempena Hari Patriot bagi memperingati pertempuran pertama Revolusi Amerika pada 1775.
Acara larian itu mula dianjurkan pada tahun 1897 yang diilhamkan daripada kejayaan pertandingan maraton moden sewaktu Sukan Olimpik Musim Panas 1896.
Maraton Boston merupakan larian tahunan paling tua di dunia dan termasuk sebagai salah satu daripada enam acara utama pada Kejohanan Maraton Dunia.
Setiap tahun, acara itu berjaya menarik kehadiran 500,000 pengunjung dengan purata penyertaan 20,000 peserta. Pada tahun ini, Maraton Boston sejauh 42 kilometer telah disertai oleh kira-kira 27,000 peserta.

SUASANA panik menyelubungi lokasi kejadian letupan bom sempena acara sukan Maraton Boston di Massachusetts.


Namun, ekoran insiden letupan itu, hanya 17,000 peserta yang berjaya menamatkan larian tersebut. Rekod terpantas dalam acara itu masih dipegang oleh dua pelari Kenya iaitu Geoffrey Mutai dan Margaret Okayo.
Geoffrey mencatat masa dua jam tiga minit dan dua saat bagi kategori lelaki pada Maraton Boston 2011, manakala Margaret dengan catatan 2 jam 20 minit 43 saat pada tahun 2002.
Bom periuk tekanan
Menurut Pesuruhjaya Polis Boston, secara keseluruhan tiga letupan berlaku dalam insiden berdarah itu. Selepas dua letupan pertama, letupan ketiga berlaku satu jam kemudian berhampiran Perpustakaan Awam Boston, namun tiada kecederaan dilaporkan.
"Kami turut menemui dua butir bom yang berjaya dimatikan pada penghujung laluan maraton itu," katanya.
Siasatan awal FBI mendapati bahan letupan yang digunakan dalam serangan di Maraton Boston adalah buatan sendiri yang dipenuhi dengan paku dan serpihan logam.
"Ia mungkin dibungkus dan dimasukkan ke dalam periuk tekanan untuk diletupkan. Taktik ini biasa dilihat dalam serangan dari Afghanistan ke Perancis sejak tahun 1990-an," terang Rick kepada pemberita.
Manual pembuatan bom sering dipaparkan di forum siber militan termasuk kaedah yang dihasilkan oleh rangkaian Al-Qaeda.
Berdasarkan laporan SITE Intellegence Group yang memantau mesej dalam talian kumpulan militan itu, mereka sering mencadangkan penggunaan periuk tekanan untuk meletupkan bom.
Tambah Rick, kedua-dua bom berkenaan telah diletakkan di dalam beg nilon berwarna gelap.
Pakar bom dan pasukan anjing pengesan telah menggeledah dan membuat pemeriksaan rapi di lokasi kejadian sekitar Bolyston Street iaitu kawasan garisan penamat acara maraton itu. Sampel yang diperoleh kemudian dihantar ke makmal FBI di Quantico, Virginia untuk analisis menyeluruh.
"Ia mungkin mengambil masa beberapa hari untuk diproses," kata Gene Marquez, pemangku ejen khas yang bertanggungjawab daripada Pejabat Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan di Boston.
KELIHATAN para peserta Maraton Boston berlari ke arah garisan penamat ketika letupan berlaku.


Objek tajam
Selain itu, doktor dan petugas kecemasan yang merawat mangsa berkata, mereka menemui banyak objek tajam pada badan mangsa.
"Keadaan ini menyebabkan ramai mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian bawah badan dan sebahagian daripada mereka terpaksa dipotong kaki," tutur Ketua Unit Pembedahan Trauma, Hospital Umum Massachussetts, George Velmahos.
Dalam perkembangan lain, kawalan keselamatan bagi acara Maraton London yang akan berlangsung Ahad ini akan dipertingkatkan bagi mengelak kejadian serupa berlaku.
Hal ini diakui oleh Ketua Polis Metropolitan, Superintenden Julia Pendry yang memberitahu, satu pelan keselamatan telah dirancang sempena kejohanan tersebut.
"Keselamatan orang ramai termasuk peserta akan menjadi keutamaan kami," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: