Sunday, April 7, 2013

Bisnes gaharu Suku Batek


RATA-RATA anak muda yang sebaya Faizal akan memasuki hutan mencari gaharu.


AGAK pelik apabila sebuah kampung yang dilawati sunyi seperti tidak berpenghuni sehingga terbayang cerita dongeng sebuah kampung yang diserang burung garuda.
Begitulah gambaran awal yang dialami kru Jurnal apabila berkunjung ke perkampungan Orang Asli Kampung Balai, dekat Felda Aring 10, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.
Perkampungan ini berusia lebih 50 tahun. Sungguhpun sudah separuh abad, hanya kelihatan enam orang lelaki suku kaum Batek berteduh di bawah bangsal beratap nipah sambil menghisap rokok daun.
Rumah mereka hanya bersaiz kecil serta tidak menggunakan simen manakala dinding hanya dilatari buluh dan atapnya pula daun nipah.
Salah seorang lelaki itu, Faizal Yusup, 20, berkata, mereka sedang menunggu rakan-rakan dari kampung berhampiran untuk masuk ke Taman Negara Kuala Koh, Gua Musang.
“Kami semua akan masuk ke hutan selama sebulan atau dua bulan untuk mencari kayu gaharu.
“Ahli keluarga, termasuklah kaum ibu dan anak-anak kecil akan turut serta ke hutan,” ujarnya.
Kebiasaan sekitar 200 orang akan menjelajahi hutan untuk mencari gaharu untuk dijual kepada orang tengah.
Harga sekilogram gaharu boleh mencecah RM15,000 bagi gred A.
“Untuk gred B, RM10,000 dan gred C pula RM8,000 untuk satu kilogram.
“Setiap satu pokok gaharu yang dijumpai boleh mencecah sehingga satu tan.
“Setelah dijual setiap orang akan memperolehi pendapatan mencecah RM5,000,” terang Faizal.
Purata wang sebanyak itu menyerupai gaji seorang eksekutif swasta.
Setiap tahun, mereka akan masuk hutan sebanyak lima atau enam kali.
Menurut Faizal, sudah menjadi rutin penduduk kampung itu untuk memasuki hutan setelah satu atau dua bulan tinggal di rumah.

BESAR impian Zainal untuk melihat anaknya menjadi seorang doktor.


Minyak wangi
“Saya hanya bersekolah sehingga darjah enam dan sekarang saya turut masuk ke hutan untuk mencari kayu gaharu,” cerita Faizal.
Jelas Faizal, apabila ke hutan, mereka akan membawa bekalan makanan yang mencukupi untuk tempoh dua bulan atau sebulan.
“Kita akan membawa beras dan lauk kering seperti ikan masin untuk dijadikan juadah.
“Tempat tinggal sementara kami pula ialah khemah atau bangsal sementara ,” jelasnya.
Jelas Faizal, aktiviti yang dilakukan semasa di hutan adalah sama seperti di kampung, kaum wanita akan memasak serta menjaga anak-anak manakala kaum lelaki akan pergi mencari gaharu
“Bukan mudah mencari gaharu kerana tidak semua pokok yang dijumpai boleh diambil batangnya dan dijual kerana hanya gaharu yang matang dan berkualiti sahaja akan dipilih.
“Batang pokok gaharu akan ditakik untuk melihat kualitinya,” ujar Faizal.
Katanya, peralatan yang digunakan semasa menakik batang pokok tersebut ialah kapak atau parang.
“Kayu gaharu ini tinggi nilainya kerana berbau sangat wangi dan digunakan sebagai bahan utama menghasilkan minyak wangi.
“Selain itu, tumbuhan ini juga didakwa mampu mengubat penyakit,” jelas Faizal.
Sementara itu, menurut Zainal Tebu, 45, mencari kayu gaharu menjadi punca pendapatan utama penduduk kampungnya.
“Jika kami tinggal di rumah, bagaimana kami dapat menyara keluarga kami kerana itulah satu-satunya punca pendapatan utama,” keluhnya ketika ditemu bual.
Ketika ditanya tentang impiannya, Zainal yang merupakan bapa kepada empat orang anak mahu melihat anak-anaknya berjaya dan mengubah nasib keluarga.
“Saya mahu anak sulung saya belajar ke peringkat tertinggi dan menjadi doktor,” ujarnya penuh dengan harapan.
Menurutnya, anak sulungnya yang baru berusia lima tahun itu berminat untuk menjadi seorang doktor.
“Biar mereka keluar dari kepompong ini,” katanya. berfalsafah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: