Asyraf Muslim, Dayana
Asyraf Muslim, Dayana
Asyraf Muslim, Dayana
Asyraf Muslim, Dayana
SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata dalam menyerikan rumah tangga yang dibina.
Begitu jugalah yang dirasai oleh aktor, Asyraf Muslim, 32, yang telah dua tahun mendirikan rumah tangga bersama Dr Noor Dayana Lokman.
Namun, reda dengan ketentuan dan rezeki daripada ALLAH SWT, pasangan ini masih tidak berputus asa untuk menimang cahaya mata.
Menurut pelakon filem, Aku Masih Dara ini, mereka masih berusaha dan menganggap ia adalah sebahagian daripada ujian Ilahi.
"Memang kami teringin untuk bergelar ibu bapa, namun rezeki masih belum menyebelahi kami. Pun begitu, saya tidak pernah berhenti daripada berdoa setiap hari.
"Malah, kami turut menjalani beberapa kaedah rawatan termasuk perubatan Islam dan moden. Kami percaya, ia hanyalah ujian dari-Nya untuk menduga tahap kesabaran kami.
"Pun begitu, saya bersyukur kerana rumah tangga kami masih tetap utuh dan ia bukanlah alasan untuk kita beralih arah," katanya.
Asyraf dan Dayana selamat disatukan pada 30 Ogos 2011 di Kota Suci, Makkah.
Bertuah miliki Dayana
Tidak meletakkan keutamaan kepada zuriat semata-mata, Asyraf bagaimanapun bersyukur dengan kehadiran isterinya di sisi.
Menurut Asyraf, kasih sayang pada Dayana tidak pernah pudar walaupun ditakdirkan mereka gagal mendapatkan cahaya mata.
"Saya bertuah memiliki Dayana dan dia banyak mengubah hidup saya ke tahap yang lebih baik. Sepanjang tempoh perkahwinan ini, Alhamdulillah, hubungan kami berjalan dengan sempurna dan dia sangat memahami saya.
"Walaupun sibuk bekerja, isteri saya sentiasa menguruskan kelengkapan saya termasuk makan minum, pakaian dan keselesaan. Inilah nikmatnya bila berumah tangga, semua perkara isteri akan uruskan.
"Saya tiada menghalang isteri bekerja kerana memang cita-citanya untuk bergelar doktor. Lagipun, sayanglah dia belajar lama-lama jika saya tak bagi bekerja," katanya yang turut memberitahu isterinya kini berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Kongsi tips rumah tangga
Memandang serius mengenai kisah cerai yang berlaku dalam kalangan selebriti, Asyraf turut berkongsi tip agar rumah tangga yang dibina sentiasa dirahmati.
Katanya, punca keretakan rumah tangga berlaku akibat kekhilafan pasangan itu sendiri dalam menguruskan rumah tangga.
"Saya sarankan agar pasangan yang berkahwin, tidak kira selebriti atau masyarakat biasa agar senantiasa melakukan solat berjemaah jika ada kelapangan.
"Bukan sahaja manis dan mendapat pahala berlipat ganda, kita juga dapat meluangkan masa bersama dengan lebih berkualiti.
"Di samping itu, kita akan sama-sama berdoa untuk kesejahteraan rumah tangga dan membina hubungan yang lebih akrab. Selain itu, kita perlu sering berkomunikasi antara satu sama lain," katanya yang mengakui rasa hormat isteri terhadap suami mampu mengelakkan isteri itu daripada derhaka.
Sibuk uruskan syarikat
Mungkin ramai yang perasan, Asyraf kini tidak lagi aktif berlakon di kaca televisyen setelah mendirikan rumah tangga.
Akui Asyraf, rumah tangga bukanlah penghalang untuk dia terus berada dalam industri, tetapi ekoran daripada kesibukan menguruskan pusat rawatan miliknya, Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah dan syarikat produksi, Al-Hidayah Production, membataskan dirinya untuk aktif dalam bidang lakonan.
"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan penerimaan masyarakat terhadap kaedah rawatan Islam yang menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dalam merawat penyakit.
"Secara tidak langsung, ia membuktikan kehebatan ayat suci al-Quran dan pesakit saya juga berpuas hati dengan kaedah rawatan tersebut.
"Selain cara perubatan, saya juga menggunakan Al-Hidayah Production sebagai platform berdakwah. Syarikat ini bukan sekadar menghasilkan telemovie atau drama, malah kami juga menyediakan pengisian program berunsurkan dakwah termasuk pakej umrah.
"Saya masih berada dalam industri tetapi saya hanya berlakon drama terbitan sendiri kerana kekangan masa menguruskan syarikat," katanya yang tampil dengan drama terbitan sendiri, Aku Bukan Haji dan Surat Untuk Dia.