Wednesday, April 10, 2013

Atilia raih gelaran 'Sheila Majid baharu'

ATILIA merancang untuk merakamkan lagu duet bersama ibunya, Salamiah Hassan yang berjudul Kadang Kala.


MUZIK jazz masih mendapat tempat di hati 200 juta penduduk di negara seberang Indonesia dan atas dasar itu Atilia memilih untuk melancarkan album terbaharunya, Indah di sana pada pertengahan bulan Mac lalu.
Bukan berniat untuk meminggirkan tanah tumpah darah sendiri apatah lagi merajuk dengan pembangunan muzik jazz di Malaysia, pemilik nama Raja Putri Atilia Haron ibarat memperjudikan nasib di negara republik itu sebenarnya.
"Album Indah sebenarnya telah dilancarkan terlebih dahulu di Malaysia pada tahun lalu dan menerusi perbincangan dengan pihak pengurusan di sana seminggu selepas membuat persembahan di Festival Antarabangsa Java Jazz 2013, mereka bersetuju untuk melancarkan album saya di Indonesia.
"Lagipun, industri muzik jazz di Malaysia agak kritikal dan pasaran di Indonesia jelas sekali lebih besar untuk diterokai.
"Syukur Alhamdulillah respons dan penerimaan album dan lagu-lagu saya di sana sangat bagus dan sebenarnya langkah ini membuka pintu kedua-dua buah negara daripada pelbagai sudut.
"Saya boleh belajar banyak perkara daripada mereka dan mereka juga boleh mengenali kita dengan lebih mendalam," ujar Atilia yang telah melancarkan album Indah di Aksara Bookstore, Jakarta.
Kata Atilia, 38, dia berbangga dan teruja apabila namanya turut dikenali di negara itu malah ada yang memanggilnya 'Sheila Majid baharu'.
"Adalah satu penghargaan besar apabila peminat di Indonesia menggelarkan saya 'Sheila Majid baharu' dan hakikatnya ia telah membuka satu jalan yang lebih luas untuk meletakkan muzik saya di sana.
"Saya sudah merasakan seperti saya dicintai di sana dan Alhamdulillah lagu saya telah berjaya memasuki carta lagu di Indonesia," ujarnya yang kini berada di Jakarta untuk mengadakan persembahan bersama penyanyi Andin.
Album Indah memuatkan empat buah lagu bahasa Inggeris daripada 10 buah lagu antaranya Change, Old Love, Silly Litte Thing, Gelombang dan Harus Bagaimana.
Atilia sebelum ini pernah mengeluarkan album berjudul Sangkar pada tahun 2007 dan kini sedang merancang untuk melahirkan album ketiganya yang kini dalam proses pembikinan.
Menerusi album ketiga yang belum diberi judul itu, Atilia turut memuatkan lagu yang melibatkan kolaborasi bersama Noh Hujan, Mondo (kumpulan Sore) dan kumpulan jazz Indonesia, Maliq & d'Essentials.
"Dalam album kedua ini, saya berkolaborasi dengan Ifta Fachir daripada kumpulan Maliq & d'Essentials menerusi single Indah.
"Saya mahu album seterusnya berada di luar selain Malaysia juga kerana saya sedar saya bukan artis daripada program televisyen dan adalah sukar untuk saya menonjolkan diri melainkan memperbanyakkan persembahan nyanyian," katanya yang ditemui ketika sesi ramah mesra bersama media sempena pelancaran jenama pakaian Baajookoo di Serai, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Atilia dalam perkembangan lain merancang untuk merakamkan semula lagu duet bersama ibunya, Salamiah Hassan menerusi lagu Kadang Kala yang pernah dinyanyikan mereka bersama ketika dia berumur 10 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: