Wednesday, April 17, 2013

Adibah Noor Ragu-Ragu Diajak Sertai Konsert

Adibah Noor
PETALING JAYA: Penyanyi Adibah Noor mengakui terpaksa bersikap skeptikal atau ragu-ragu apabila pihak Dangerous Events menjemputnya untuk mengadakan konsert jelajah bersama Misha Omar dan Jaclyn Victor.
Adibah berkata, perasaan itu timbul kerana dia bimbang konsert yang diberi nama 'Konsert Jelajah 3 Permata’ itu gagal menarik penonton untuk membeli tiket menyaksikan persembahan mereka.
"Satu perkara mengenai masyarakat kita adalah mereka tidak suka mengeluarkan wang untuk menyaksikan persembahan artis tempatan kerana mereka sukakan sesuatu yang percuma.
"Itu yang membuatkan saya agak skeptikal apabila pihak penganjur mahu membikin konsert ini," ujarnya ketika ditemui pemberita pada sidang media konsert itu di The Curve, di sini, Selasa.
Konsert jelajah itu bakal berlangsung di enam buah negeri pada tahun ini iaitu Sarawak (21 September), Sabah (28 September), Johor (12 Oktober), Pahang (19 Oktober), Kedah (26 Oktober) dan Kuala Lumpur (2 November).
Dalam pada itu, Adibah berkata, perasaan itu hilang apabila dia yakin dengan perancangan promosi yang telah disusun bagi memastikan persembahan tersebut mendapat sambutan.
Tambah Adibah, barisan artis yang ditampilkan iaitu Misha dan Jaclyn juga mempunyai peminat yang besar dan peluang itu tidak harus disia-siakan.
"Saya percaya pihak penganjur dapat mempromosikan acara ini ditambah dengan barisan artis yang ditampilkan cukup kuat," katanya.
Sementara itu, Adibah yang juga penyampai radio Suria FM memberitahu, walaupun sibuk dengan tugas di stesen radio itu dia yakin dapat memberikan tumpuan kepada projek berkenaan.
"Alhamdulillah ini adalah rezeki dan walaupun jadual sangat pada tetapi pengurusan masa itu penting bagi memastikan semuanya berjalan lancar," ujarnya.
Selain 'Konsert Jelajah 3 Permata’ itu, Adibah juga sedang giat menjalani latihan teater muzikal ‘Chow Kit Road’ yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada Mei ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment