38 warga asing ditahan dalam Ops Selera
Anggota penguat kuasa sedang menyoal siasat warga asing yang ditahan dalam operasi itu.
KUALA LUMPUR - Seramai 26 warga asing yang bekerja sambilan sebagai tukang masak dan pelayan di sebuah cafe di Solaris Dutamas ditahan kerana menyalahgunakan pas masuk ke negara ini dalam operasi bersepadu Ops Selera yang dijalankan Jabatan Imigresen, malam kelmarin.

Sebahagian daripada mereka yang berusia dalam lingkungan 17 dan 40 tahun itu bukan sahaja masuk ke negara ini menggunakan pas pelajar, malah tidak memiliki permit untuk bekerja di sini.

Ketika diperiksa oleh anggota Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen, ada di antara warga asing terbabit mendakwa menuntut di beberapa buah kolej swasta di ibu kota.

Penolong Pengarah Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata, mereka terdiri daripada 17 lelaki dan sembilan wanita.

“Mereka yang berasal dari Indonesia, Thailand, Bangladesh, Filipina, China dan Myanmar kini ditahan untuk siasatan lanjut. Seorang wanita warga tempatan yang dipercayai majikan mereka turut ditahan mengikut Seksyen 55B kerana mengambil pekerja tidak memiliki permit sah,” katanya ketika ditemui selepas operasi.

Dalam operasi berasingan yang bermula pada jam 6.30 petang, seramai 12 tukang urut berusia dalam lingkungan 31 dan 55 tahun ditahan dalam serbuan di dua premis pusat urut dan refleksologi di Desa Sri Hartamas.

“Kesalahan dipercayai dilakukan wanita warga Indonesia, Thailand dan China terbabit adalah melanggar syarat pas serta permit dan satu daripada pas lawatan kerja sementara disyaki palsu.

“Kami turut menahan seorang pengurus syarikat produksi dan pengurusan acara yang dipercayai majikan di sebuah premis berkenaan,” katanya.

‘Ops Sayang’ itu melibatkan 36 anggota Imigresen dari Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kesemua warga asing yang ditahan terbabit dibawa ke Depoh Tahanan Bahagian Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Duta untuk tindakan selanjutnya.