25 pelatih pusat pemulihan dadah ditahan reman
Kesemua 25 pelatih pusat pemulihan dadah terbabit dibawa ke mahkamah, semalam.
KOTA BHARU - Seramai 25 pelatih pusat pemulihan dadah di Wakaf Bharu, Tumpat ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan kes bunuh seorang pelatih pusat berkenaan di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rashid Mustapha terhadap pelatih berusia antara 20 hingga 30 tahun bermula semalam sehingga 14 April ini.

Kesemua pelatih berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang pemuda maut dipercayai dipukul selepas sehari dihantar oleh keluarganya di sebuah pusat rawatan di Wakaf Bharu, Tumpat.

Mangsa, Mohd Alias Ibrahim, 27, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tumpat, selepas dibawa kakitangan di pusat tersebut kira-kira jam 7 malam.

Pengasas pusat rawatan berkenaan, Mohd Zain Abu Bakar,75, berkata dia dimaklumkan oleh penghuni lain mangsa dalam keadaan letih kerana terjatuh dalam tandas.

Mangsa yang berasal dari Tendong, Pasir Mas meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.