Tuesday, January 1, 2013

Esliza ikhlas berhijab


ESLIZA terbuka hati untuk berhijab selepas mengalami mimpi yang menakutkan tentang hari kiamat.


SEPANJANG tahun 2012, kelihatan semakin ramai artis wanita yang terbuka hati untuk berhijrah dengan memakai hijab.
Namun, pelakon yang baru berumur 16 tahun ini juga telah mengambil keputusan yang merupakan suatu perubahan besar dalam hidupnya.
Esliza Loy iaitu adik kepada aktres Elfira Loy yang baru-baru ini ditemui ketika sidang akhbar drama bersiri Debunga Lalang yang bakal ditayangkan di slot Azalea menerusi saluran TV3, tampil manis berhijab pada majlis yang diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama.
Masih baru dalam menempuh fasa hijrahnya itu, akui Esliza, dia memang pernah memasang niat untuk berhijab sejak setahun lalu.
Namun, kerana belum benar-benar bersedia, dia menangguh keputusannya untuk berhijab.
Justeru, apakah sebenarnya yang membuatkan Esliza mengambil keputusan drastik dalam hidupnya ini?
Ikuti pengakuan jujur Esliza kepada Kosmo! tentang perkara yang benar-benar membuka hati gadis remaja ini untuk berhijab.
Kosmo!: Bilakah agaknya anda terfikir mahu berhijab?
Awal bulan Disember ini. Sebenarnya saya sudah lama terfikir iaitu dari tahun lepas lagi. Namun ketika itu hati saya masih lagi berbelah bahagi mahu pakai atau tidak. Akhir tahun ini, barulah saya ambil keputusan untuk berhijab.
Apakah perkara yang mendorong Esliza untuk betul-betul terbuka hati berhijab dengan ikhlas?
Ia perkara yang agak peribadi untuk saya. Sebenarnya, saya mendapat mimpi yang menakutkan iaitu tentang hari kiamat. Sebulan sebelum memakai hijab saya bermimpi di mana waktu itu saya seorang diri dalam perjalanan ke masjid.
Secara tiba-tiba seperti meteor jatuh dari langit dan ketika itu saya berasa sangat takut. Kebetulan pula, mama dan keluarga lain tiada bersama saya dan saya perlu melaluinya seorang diri. Walaupun bermimpi, saya rasa seolah-olah ia benar-benar terjadi. Akhirnya, saya jumpa juga mama dan terus tersedar daripada tidur.
Apabila tersedar saya menangis dan terus berlari kepada mama. Saya lantas ceritakan kepada mama kenapa saya menangis begitu.

Selepas itu adakah anda terus memakai hijab?
Sebelum itu, saya buat apa yang patut dahulu seperti cukupkan solat dan selebihnya. Selepas itu, baru saya berhijab.
Jadi, selepas berhijab adakah anda mengalami mimpi seumpama itu lagi?
Tiada lagi, Alhamdulillah. Namun, sebenarnya, sebelum itu juga saya pernah bermimpi kiamat tetapi tidaklah menakutkan seperti yang baru-baru ini dan memang banyak kali terjadi pada saya.
Adakah Esliza pernah beritahu pada sesiapa tentang niat untuk berhijab ini?
Sebelum berhijab, saya ada seorang rakan lelaki yang sering bercerita tentang kisah-kisah Nabi, dosa dan pahala serta berkenaan agama. Namun tidak pula dia bercerita tentang menutup aurat. Dia juga bercerita tentang Persatuan Tabligh yang diikutinya kepada saya.
Bagaimana pula dengan karier, adakah akan terus aktif atau sebaliknya?
Jika ada tawaran yang memakai hijab, saya akan terima. Alhamdulillah, saya sudah terima satu watak yang juga berhijab berjudul Nana, Nini, Nunu yang akan ditayangkan di RTM.
Kini, Esliza sedang meningkat remaja dan masih jauh perjalanan karier untuk berjaya. Tidakkah Esliza rasa keputusan seperti ini memerlukan anda menjaga tata tertib sebagai pelakon berhijab. Boleh komen?
Saya tidak kisah kerana fokus utama saya bukan pada lakonan. Jika ada tawaran, saya akan ambil. Saya bukan berlakon untuk popular. Saya berlakon untuk memperoleh wang sendiri dan mungkin boleh beli apa yang saya mahu atau idamkan.
Bagaimanakah penyesuaian anda terhadap persekitaran setelah berhijab. Adakah masih berasa kekok?
Biasa sahaja, Alhamdulillah saya selesa. Komen orang pula, pasti akan selitkan soalan seperti, bila kakak (Elfira Loy) pula ingin memakai tudung. Nanti pujuklah kakak pula pakai tudung. Sebenarnya, perkara ini kita tidak boleh paksa kita perlu punya niat sendiri untuk pakai. Jika dipaksa, kelak lain pula jadinya.
Apakah pula komen kakak anda, Elfira?
Kakak saya banyak menasihati saya dan dia juga umpama penasihat fesyen saya. Tudung yang dipakai ini juga dia yang beli dan pakaikan untuk saya. Dia lebih teruja daripada saya sebenarnya. Ini kerana, bab berfesyen, saya kurang mahir dibandingkan dengan kakak.

Bising & Bingit Itu Cara Saya - Achey

Achey jangka cara mengacara program Gema Gegar Vaganza akan dikritik. PETALING JAYA:  Pelawak Achey memberitahu dia diminta oleh pi...