jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Monday, December 31, 2012

Bukan berlandaskan wang

SHERRY...gaya terbaru dengan imej yang semakin menyerlah.
SHERRY...gaya terbaru dengan imej yang semakin menyerlah.
TUBUHNYA sedikit berisi berbanding pertemuan kali terakhir sekitar dua setengah tahun yang lalu. Ketika itu, dia membuat keputusan untuk meninggalkan bidang lakonan lalu kembali kepada kerjaya asalnya sebagai pramugari.
Qatar Airways, jenama penerbangan yang membawa pelakon popular menerusi drama Renjis ini ke merata dunia, menguji ketabahan hidup remajanya yang terpaksa berjauhan dengan keluarga serta sahabat handai di Malaysia.
  • Foto
  • Foto
  • Foto
  • Foto
Kini Sherry Ibrahim atau nama sebenarnya, Syarizad Ibrahim, 29, kembali dengan persiapan diri yang jauh lebih matang dan berkeyakinan.

“Orang Timur Tengah adalah masyarakat yang paling sukar untuk kita berurusan dan sepanjang menetap di Doha, berjiran dan bermasyarakat dengan mereka, saya belajar untuk jadi individu yang lebih kuat dan berani supaya tidak sewenang-wenangnya diperkotak-katikkan hanya kerana saya orang Asia,” kata Sherry.

Dilahirkan pada 3 April 1983, anak sulung daripada tiga beradik ini mengakui banyak kenangan indah sepanjang bertugas dengan penerbangan itu, lebih-lebih lagi peluang bercuti di beberapa negara dengan landskap terindah di dunia. Antaranya Eropah, pernah juga dia menjadi saksi kehebatan kota metropolitan New York, Amerika Syarikat dan menikmati panorama luar biasa Mauritius.

“Setahun sekali kami anak-anak kapal akan menerima satu tiket percuma untuk semua lokasi percutian di seluruh dunia. Jika mahu membeli tiket untuk diri sendiri dan keluarga hanya perlu membayar 10 peratus saja daripada harga sebenar,” katanya.

Dengan segala kelebihan dan keseronokan yang dimiliki, mengapa agaknya anak jati Kuala Lumpur yang pernah membintangi filem Maut itu mengambil keputusan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan selepas pernah nekad meninggalkannya dua tahun setengah yang lalu.

Akui Sherry, dia langsung tidak terfikir menemukan kembali rasa cinta pada lakonan, namun dia percaya pada ketentuan takdir. Sejauh manapun dia berlari, jika rezeki sudah ditetapkan di situ, tetap akan ada jalan untuknya berbuat demikian.

“Kontrak saya dengan Qatar Airways tamat pada Mei lalu. Ditawarkan untuk menyambung perkhidmatan, namun saya memilih untuk berehat panjang dan pulang ke Malaysia untuk berada di samping keluarga selain berhubung semula dengan kawan-kawan yang sudah lama saya tidak temui.

“Kebetulan kepulangan saya itu tepat pada masanya kerana orang tua saya merancang menunaikan fardu haji. Sepanjang ketiadaan mereka, saya tolong tengok-tengokkan rumah dan adik-adik.

“Dek kerana cuti yang terlalu panjang, kena pula orang seperti saya yang tidak boleh duduk diam, mana boleh tahan. Saya sudah biasa kerja dan suka bekerja, jadi apabila tidak bekerja, saya lemau dan tak berkembang.

“Kebosanan yang melampau akhirnya sahabat saya, Rizal Jaafar membantu saya dapatkan peluang berlakon drama. Saya pun fikir daripada tidak buat apa-apa, apa salahnya berlakon sementara menantikan sesuatu yang lebih baik dan besar dalam hidup saya.

“Dengan bantuan Rizal, saya dapat peluang membintangi siri Setia Hujung Nyawa arahan pengarah berkaliber, Amie Maziah. Selepas berbincang dengan mama, dia izinkan, cuma papa saya tidak berapa setuju mungkin kerana statusnya sebagai haji selain kebimbangannya jika ada hal yang kurang manis diperkatakan mengenai saya serta rasa bimbang jika percubaan saya kali ini tidak berjaya,” katanya yang semakin jelita.

Ditampilkan sebagai Eriza menerusi drama 28 episod itu, akui Sherry, wataknya tidaklah begitu mencabar, namun ia permulaan yang baik untuk kembali mendapatkan rentak di set penggambaran yang lama ditinggalkan.

“Eriza adalah sahabat baik kepada lelaki yang dilakonkan Amar Asyraf dan Talha Harith. Eriza pernah mempunyai hati terhadap Zain iaitu watak dilakonkan Amar.

“Selepas lama terpisah, mereka bertemu kembali dan Eriza kecewa apabila mendapat tahu Amar sudah berkahwin. Tiga babak pertama yang saya jalani di set penggambaran, saya akui kaku, tetapi masuk babak ketiga saya mula ok,” katanya.

Setia Hujung Nyawa diterajui Ryzal dan Nellydia Senrose selaku pendukung utama dan ia sebuah karya adaptasi daripada novel nukilan Fatin Nabila yang mengisahkan Zain Hakimi (Ryzal) yang terpaksa bernikah dengan Ersalina (Nelly) selepas pengantin perempuan lari.

Perkahwinan terbina bukan atas dasar cinta itu akhirnya menemukan perasaan kasih di dalam dua hati. Namun saat Zain ingin menyatakan rasa cinta, dia terpukul dengan berita kehamilan isterinya sedangkan belum pernah menyentuh Ersalina.

Ersalina rela dipersalahkan, namun nekad untuk setia ke akhir hayat terhadap Zain yang menyelamatkan maruahnya.

“Saya terima tawaran ini, salah satu kerana jalan ceritanya menarik walaupun saya bukanlah pelakon utama siri ini,” katanya.

Kembali dihujani tawaran berlakon, namun ada beberapa lamaran terpaksa ditolak kerana bertindih jadual penggambaran. Tambahan pula, Sherry sejak dulu tidak gemar mengambil peluang pada saat akhir kerana dia percaya tanpa persiapan yang rapi seperti menganalisis karakter yang perlu dibawa, akhirnya menyebabkan pelakon itu terperangkap dengan perwatakan sendiri.

“Boleh kalau hendak rebut peluang hanya berlandaskan wang tetapi saya tidak mahu kembali sebagai pelakon yang tidak berkualiti. Biarlah keputusan kali kedua saya kali ini, dapat membuktikan sesuatu kepada penonton di mana saya mampu lakukan lebih daripada yang pernah mereka saksikan sebelum ini.

“Justeru, saya menantikan peluang yang benar-benar boleh mencabar kemampuan saya sebagai pelakon,” kata Sherry yang khabarnya sedang merancang menghasilkan sebuah single dengan seorang penyanyi berbakat besar.

Mendambakan watak yang serius seiring kematangan usianya, jujur akui Sherry, sekali sekala dia dihambat rasa rindu suasana berada di set lokasi Renjis yang turut dibintangi Elyana, Ashraf Muslim, Syed Ali dan Liza.

“Saya suka berlakon dengan Elyana kerana kami mempunyai keserasian. Dengan dia, kadang-kadang tak perlu baca skrip kerana dialog yang dizahirkan kami selalunya spontan. Hubungan baik saya dengan Elyana, hinggakan majlis perkahwinan dia saya sanggup pulang ke Malaysia bagi meraikannya.

“Selain itu, saya juga rindukan suasana penggambaran untuk drama Capalrela. Secara keseluruhan, suasana penggambaran masih sama cuma yang membezakan adalah dari segi teknologi peralatan yang digunakan lebih canggih dan moden berbanding beberapa tahun sebelum ini.

Raja Azmi Semakin Sunyi Selepas 6 Bulan Jadi Janda

Raja Azmi belum bersedia untuk mencari pengganti suami walaupun kehidupannya semakin sunyi selepas enam bulan bercerai dengan Jalani Sidek.
KUALA LUMPUR: Penerbit dan penulis skrip kontroversi Raja Azmi Raja Sulaiman mengakui kehidupannya semakin sunyi selepas enam bulan bergelar janda.
Raja Azmi, 53, berkata perasaan itu membelenggu terutamanya pada waktu malam apabila dia terpaksa tidur bersendirian tanpa suami di sisi.
“Sebelum ini, tidak rasa sangat tetapi sejak akhir-akhir ini rasa sunyi semakin menebal pula terutamanya apabila saya hendak tidur.
“Pada 27 Disember lalu, genap enam bulan saya dan suami (Jalani Sidek) berpisah. Saya semakin sunyi apabila tidur seorang diri di katil,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.
Raja Azmi dan bekas jaguh badminton negara itu bercerai talak satu pada 27 Jun lalu di Mahkmah Syariah Rendah Gombak Timur selepas 28 tahun berumah tangga.
Pasangan terbabit mengambil keputusan tersebut atas alasan tidak lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain konflik yang berpanjangan.
Ditanya mengenai hubungan dengan bekas suami, Raja Azmi berkata, mereka masih berkawan dan saling menghubungi seperti dahulu cuma dia menghormati batas-batas antara mereka.
“Hubungan saya dan bekas suami masih baik dan kami kekal bersahabat seperti sebelum ini.
“Saya belum terfikir soal pengganti dan berasa selesa dengan keadaan sekarang.
“Saya tidak boleh cari (pengganti), kalau ada biarlah ia datang sendiri,” kongsinya yang masih dalam proses pra-produksi filem terbaharu berjudul Anak Ikan.

KENANGAN 2012: Kematian Tinggalkan Seribu Kenangan

PETALING JAYA: Bak kata pepatah, harimau pergi meninggalkan belangnya, manusia pergi meninggalkan nama yang akan dikenang sehingga ke akhir hayat.
Kematian lapan anak seni tanah air pada 2012 meninggalkan karya yang akan menjadi tatapan kita dan generasi akan datang.
Jumlah kematian itu mungkin tidak seramai tahun lalu tetapi kehilangan mereka begitu dirasai dan meninggalkan seribu kenangan yang tidak akan luput sampai bila-bila.
Apa yang diharapkan, segala kebaikan dan jasa baik insan-insan terpilih ini akan mengiringi mereka di alam sana. Al-Fatihah.
Kita imbas kematian artis pada tahun ini.
Berita kematian Izwan kerana jangkitan kuman pada 20 Januari lalu mengejutkan seluruh industri hiburan.
Izwan Pilus
Meninggan dunia : 20 Januari 2012 (32 tahun)
Kematian penyanyi lagu Kembali Senyum ini amat mengejutkan industri hiburan. Ketika 2012 baru membuka tirainya, kita dikejutkan dengan berita kematian Izwan pada 20 Januari lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan terkena virus kencing tikus yang serius.
Sebulan sebelum pemergiannya, Allahyarham bersama adiknya, penyanyi Aril (Akademi Fantasia 7) pernah dimasukkan ke Hospital Pusrawi dekat sini akibat demam panas yang berpanjangan.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampungnya di Jalan Taman Nyalas 2, Taman Nyalas Permai, Jasin, Melaka dan dikebumikan di sana pada pagi 21 Januari lalu.
Latif Ibrahim
Meninggal: 20 Februari 2012 (60 tahun)
Penyanyi dan pelakon veteran Abdul Latif Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Latif Ibrahim meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk penyakit jantung.
Penyakit jantung yang dihadapi sejak 12 tahun lalu semakin serius pada tahun lepas sehingga memaksa Allahyarham dikejarkan ke IJN sebanyak tiga kali akibat serangan yang sama.
Allahyarham yang juga abang kepada penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim cukup disayangi kerana keletah dan sikap yang lucu dan menggemari makanan.
Kematian penyanyi lagu Nora itu menimbulkan perasaan terkilan kepada keluarga kerana beliau menghembuskan nafas terakhir tiga hari sebelum sambutan hari lahir ke-60, selain tidak sempat mengerjakan umrah bersama seluruh keluarga.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Keramat dekat sini pada 21 Februari lalu.
Latif meninggal dunia tiga hari sebelum ulang tahun kelahiran ke-60.
Ismail Haron
Meninggal: 9 April 2012 (66 tahun)
Penyanyi veteran yang mendapat jolokan Tom Jones Singapura ini meninggal dunia dalam tidur di rumah kakaknya di Jurong West, Singapura kira-kira pukul 2 petang, 9 April lalu.
Allahyarham tidak pernah berkahwin dan tinggal bersama adik-beradiknya sejak pulang dari Brisbane, Australia pada tahun 2003 selepas 28 tahun berada di negara itu.
Beliau merupakan anak keempat daripada 12 beradik.
Jenazah penyanyi lagu Delailah ini dikebumikan di Pusara Abadi 2, Jalan Bahar, Jurong, Singapura pada pukul 10 pagi 10 April lalu.
Bob Kuman
Meninggal: 3 Mei 2012 (41 tahun)
Pemilik nama sebenar Husni Mohd Rawi ini disahkan meninggal dunia pada petang 3 Mei lalu akibat komplikasi jantung, darah tinggi dan paru-paru berair di kediamannya di Kota Damansara, di sini.
Pelawak ini menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Norma Ibrahim dan beberapa kenalan rapat.
Kesihatan Allahyarham dilaporkan mula terganggu selepas terjatuh ketika menjalani penggambaran drama pada 2010.
Terdahulu, Bob pada 21 April lalu kesal apabila ada pihak menyebarkan fitnah mengatakan dia telah meninggal dunia sehingga menyebabkan berlaku kekeliruan di kalangan masyarakat.
Sam D’lloyd
Meninggal: 9 Jun 2012 (64 tahun)
Vokalis kumpulan terkenal era tahun 70-an iaitu D’lloyd, Syamsuar Hasyim atau lebih dikenali sebagai Sam menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.15 pagi, 9 Jun lalu akibat penyakit jantung dan kanser paru-paru yang dihadapinya sebelum ini.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Kusir, Jakarta.
Ketika hayatnya, Allahyarham dan D’lloyd begitu ‘digilai’ bukan sahaja di Indonesia malah Malaysia, Singapura dan Brunei.
Alunan suara mendayu Allahyarham dalam lagu-lagu antaranya Keagungan Tuhan, Tak Mungkin, Oh Di Mana dan Semalam di Malaysia akan terus dikenang selamanya.
Sam meninggal dunia akibat penyakit jantung dan kanser paru-paru yang dihadapinya sebelum ini.
Osman Kering
Meninggal: 29 Jun 2012 (58 tahun)
Pelakon dan pelawak veteran ini meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Cheras, dekat sini kira-kira pukul 3.45 petang, 29 Jun lalu akibat kegagalan fungsi otak.
Terdahulu, Allahyarham mengalami batuk berdarah di rumahnya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 11 Jun lalu.
Terdahulu, terdapat khabar angin berita kematian Allahyarham tetapi pelakon itu hanya dimasukkan ke Unit Penjagaan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana berada dalam keadaan kritikal dan bergantung pada alat bantuan pernafasan di hospital berkenaan.
Allahyarham yang berasal dari Bachok, Kelantan mula menceburi bidang lakonan secara serius selepas dinobatkan naib juara pertandingan Bakat TV di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1979.
Pada awal pembabitannya, Allahyarham menggunakan nama Osman Kassim tetapi kurang dikenali ramai.
Nama jolokan Osman Kering yang diberikan secara spontan oleh pelawak Mek Habsah ketika mereka mengadakan persembahan pentas pada pertengahan 1980-an, terus melekat dan membawa tuah kepadanya sehingga kekal digunakan ke akhir hayatnya.
Osman meninggal dunia akibat kegagalan fungsi otak.
Datuk Ismail Hutson
Meninggal: 21 Julai 2012 (73 tahun)
Datuk Ismail Hutson atau nama sebenarnya Ismail Omar menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.13 pagi 21 Julai lalu akibat komplikasi penyakit jantung di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya.
Ismail dimasukkan ke Unit Rawatan Kritikal (CCU) pusat perubatan itu sejak Selasa lalu selepas 10 hari mengalami demam panas yang teruk.
Allahyarham yang juga Presiden Persatuan Artis Veteran meninggalkan dua balu, Hafidzah Khasbullah dan Zaiton Osman serta tujuh orang anak.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara, Seksyen 9 dekat sini pada hari yang sama.
Berpengalaman hampir 20 tahun dalam bidang lakonan, filem terakhirnya adalah Mr Cinderella pada 2003.
Raja Hamidah
Meninggal: 12 September 2012 (80 tahun)
Seniwati veteran ini menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Klang Gate Baru, dekat sini pada pukul 7.05 malam 12 September lalu, selepas tidak sedarkan diri dipercayai akibat kesan penyakit kanser dihidapinya.
Anak seni yang mesra disapa Mak Lenggang ini disemadikan di Tanah Perkuburan Klang Gate Hulu Kelang pada 13 September lalu.
Balu kepada seniman serta pengarah filem 1940-an hingga 1980-an, Allahyarham Salleh Ghani itu menceburi bidang lakonan pada 1948 melalui filem Kampung Sentosa arahan B Reaves E Elliot terbitan Sound Master Of New York Ins.
Selain berlakon, Raja Hamidah juga pernah menjadi penari dan penyanyi latar di Shaw Brothers serta pemimpin kumpulan muzik Seni Wanita.
Hasil perkahwinannya dengan Salleh Ghani pada 1955, pasangan itu dikurniakan 12 anak termasuklah pengarang di akhbar Harian Metro, Adam Salleh serta 24 cucu.
Jenazah J. Kamisah dikebumikan di Pusara Aman Tanah Perkuburan Islam, Choa Chu Kang, Singapura pada 21 November lalu.
J. Kamisah
Meninggal: 21 November 2012 (64 tahun)
Penyanyi era 60-an ini meninggal dunia kira-kira pada pukul 1.20 pagi, 21 November lalu kerana komplikasi pelbagai penyakit termasuk jantung.
Menurut anak angkatnya Rahimah Rahim, 41, Allahyarham yang juga bekas anggota kugiran The Wisma, menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarganya di Bukit Panjang, Singapura.
Allahyarham yang popular menerusi lagu Jelingan Manja meninggalkan suami, Mohd Kadar Sultan dan tiga anak yang berusia di antara 36 hingga 43 tahun.
Jenazahnya dikebumikan di Pusara Aman Tanah Perkuburan Islam, Choa Chu Kang, Singapura sebelum solat Zuhur pada hari yang sama.

Bayi mangsa bapa ayam

LAPOR...Ran menunjukkan laporan polis dibuatnya. Gambar kecil, mangsa.
LAPOR...Ran menunjukkan laporan polis dibuatnya. Gambar kecil, mangsa.
KUALA LUMPUR: Tangan kanannya patah manakala seluruh tubuh kecilnya dipenuhi kesan lebam dan berbirat. Itu penderitaan seorang bayi perempuan berusia setahun dipercayai akibat didera seorang bapa ayam di Lorong Haji Taib, di sini, sejak dua minggu lalu.
Mangsa dikatakan dipukul menggunakan penyangkut baju selain dipijak lelaki berusia lewat 30-an itu kerana kegagalan ibunya berusia 34 tahun untuk melacur seperti diarahkan. Malah, ibunya turut dipercayai dipukul lelaki berkenaan.
Kejadian menimpa bayi itu disedari bekas pengasuhnya selepas melawat mangsa di rumah berkenaan, jam 9 malam kelmarin.

Pengasuh itu yang mahu dikenali sebagai Ran, 35, berkata, selepas melihat kecederaan bayi itu, dia meminta supaya mangsa diserahkan kepadanya untuk dihantar ke hospital, namun bapa ayam itu tidak membenarkan sebaliknya menghalaunya.

Menurut Ran, dia merakamkan beberapa gambar menunjukkan kecederaan mangsa sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ratu cantik melaram sakan

FINALIS dari Belanda (kanan) mempamerkan ikon negaranya, kincir angin berwarna seperti bendera negara itu, manakala wakil AS mengenakan pakaian seperti Patung Kebebasan.
FINALIS dari Belanda (kanan) mempamerkan ikon negaranya, kincir angin berwarna seperti bendera negara itu, manakala wakil AS mengenakan pakaian seperti Patung Kebebasan.
PULUHAN wanita jelita dari seluruh dunia berkumpul untuk bersaing dalam pertandingan Ratu Cantik Miss Universe ke-61, minggu lalu.
Seperti pertandingan sebelum ini, setiap finalis dikehendaki mengenakan pakaian istimewa bagi mewakili negara masing-masing.
   
  • Foto YESSICA Mouton muncul mempesona penonton dengan rekaan berasaskan bunga-bungaan yang menjadi kebanggaan Bolivia.
  • Foto KARINA Gonzalez dari Mexico mengangkat kegemilangan suku kaum Aztec yang padat dengan pelbagai simbol purba.
  • Foto KEGEMILANGAN Dinasti Ching menjadi sumber ilham rekaan pakaian Ratu China, Xu Jidan.
Tidak seperti pertunjukan fesyen berprestij, peserta pertandingan ratu cantik itu mempamerkan fesyen agak pelik dan unik.

Daripada fesyen tiram oren hingga coli pisang, sayap terumbu karang dan pakaian diperbuat daripada coklat, 88 peserta terbabit mempamerkan keunikan masing-masing dalam pertandingan berlangsung selama dua jam di Las Vegas itu.

Pemerhati berpendapat, peragaan ‘fesyen kebangsaan’ itu adalah satu daripada pertunjukan paling luar biasa pernah diadakan setakat ini.

Wakil Guam, Alyssa Cruz Aguero, menggunakan tiram oren yang luar biasa di negaranya untuk menghasilkan bikini menarik dan dipadankan dengan pelbagai aksesori.

Hos majlis adalah antara peminat rekaan berkenaan apabila dia mengakui secara terbuka dari atas pentas.

Wakil St Lucia, Tara Edward, kemudian mengambil giliran mempesona penonton dengan jalinan coli pisang yang disesuaikan dengan perhiasan kepala unik.

Daun pisang di belakangnya dan korsaj besar di pinggang melengkapkan penampilan tropika Tara.

Sementara itu, Ratu Bolivia, Yessica Mouton, memilih bunga kebangsaan negaranya sebagai inspirasi peragaan pakaiannya.

Sejumlah perhiasan berbentuk bunga eksotik bersama bunga helikonia digabungkan dengan perhiasan kepala besar berbentuk seperti sesungut berwarna-warni.

Tidak ketinggalan mencuri perhatian ramai ialah Ratu Honduras, Jennifer Andrade, yang mengenakan pakaian seberat kira-kira 35 kilogram dengan menampilkan hiasan batu permata, kulit kerang dan mutiara yang menutupi sayap hiasannya.

Hiasan kepala Jennifer pula dibuat begitu tinggi dan digayakan dengan bikini bagi menggambarkan keadaan terumbu karang yang ada di perairan Honduras.

Turut tampil dengan penuh bergaya ialah wakil dari Virgin Islands, Abigail Hyndman, yang pernah dididik untuk menjadi rahib sebelum menyertai pertandingan ratu cantik kali ini.

Pada gaunnya, Abigail mempamerkan imej kulit kerang, karang dan udang kara.

Ratu Peru pula tampil dengan rekaan kompleks seperti gunung-ganang dan hutan yang melitupi negaranya.

Nicole Faveron memilih rekaan menawan yang dipadankan dengan kasut but tinggi, mahkota berbulu serta jubah besar.

Walaupun pemerhati menganggap fesyen itu tidak benar-benar melambangkan alam semula jadi, ia ternyata kelihatan “menggunung.”

Ratu Mexico, Karina Gonzalez, muncul dengan fesyen seolah-oleh memberikan pendidikan seni dan kraf.

Karina mengangkat kegemilangan tamadun Aztec dengan pelbagai simbol yang dihasilkan daripada bulu burung merah, batu permata, manik dan perak.

Walaupun wakil dari Amerika Syarikat, Olivia Culpo, 20, berjaya membawa pulang mahkota kemenangan ke Amerika Syarikat untuk kali pertama dalam tempoh 15 tahun, rekaan fesyen dengan inspirasi tugu Statue of Liberty diyakini bukan menjadi faktor juri memilihnya sebagai pemenang.

Jengah Korea, Jepun

LUAS PASARAN...Mazwan bersama produk kopi Hang Tuah yang bakal memasuki pasaran Korea, Jepun  dan Timur Tengah.
LUAS PASARAN...Mazwan bersama produk kopi Hang Tuah yang bakal memasuki pasaran Korea, Jepun dan Timur Tengah.
SELEPAS berjaya menembusi pasaran negara maju seperti Hong Kong dan Australia, Syarikat Hang Tuah Sdn Bhd selaku pengeluar kopi jenama Hang Tuah sejak 1958 mahu mengintai pasaran Korea, Jepun dan Timur Tengah dalam tempoh terdekat.
Penerokaan pasaran baru itu dijangka mengukuhkan kedudukan jenama kopi ‘O’ Hang Tuah yang sebelum ini sudah pun menapak di Brunei, Indonesia, Thailand, China, Vietnam, Singapura, United Kingdom dan Ireland selepas 54 tahun berada di pasaran tempatan.

Pengurus Besarnya, Mazwan Noor berkata, pihaknya kini memberi tumpuan pada pasaran eksport kerana kopi ‘O’ Hang Tuah sudah mendapat tempat di kebanyakan pasar raya tempatan antaranya Sunshine, Econsave, Pacific, Jusco, Penama, Mydin, Tesco dan Carrefour.
Katanya, kekuatan yang ada pada jenama kopi Hang Tuah membolehkan syarikat berada di pasaran Hong Kong sejak tujuh tahun lalu selain mempunyai tempat di pasar raya Wellcome Superstore di negara berkenaan.

“Ia sekali gus membuktikan kopi Hang Tuah mempunyai kualiti diiktiraf di peringkat antarabangsa selain mematuhi etika Amalan Pengilangan Baik (GMP),” katanya ketika ditemui di kilang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Kubang Menerong, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Kopi ‘O’ Hang Tuah hanya menggunakan bahan mentah semula jadi jenis robusta dan liberika dibawa masuk dari Indonesia dan Vietnam manakala kopi ‘3 dalam 1’ menggunakan kopi Arabica dari Colombia dengan mengekalkan rasa kopi sebenar iaitu kurang manis serta pahit.
Mazwan berkata, ketika ini pihaknya menghasilkan 300 metrik tan kopi sebulan atau 800 kotak sehari dengan jualan runcit mencecah RM1 juta dan jika usaha memasuki pasaran Korea serta Jepun berjaya, syarikat menyasarkan jualan runcit meningkat kepada RM1.3 juta. Selain itu, katanya, syarikatnya juga merancang menghasilkan produk kopi ‘O’ jenama Hang Tuah sejuk sedia diminum dalam tin kerana belum ada produk seumpamanya yang menguasai pasaran ketika ini.

Derita kecelaruan sistem imun

ABADI KENANGAN...Kem Berdikari 2012 tingkatkan jati diri.
ABADI KENANGAN...Kem Berdikari 2012 tingkatkan jati diri.
PERTEMUAN minum petang dengan rakan lama memang seronok dan banyak cerita yang dikongsi bersama. Dalam keseronokan itu, salah seorang rakan beberapa kali mengeluh mengenai perkembangan hidupnya terutama kerjaya yang dirasakan tidak serancak orang lain.
Pada pandangan penulis, hidup teman ini sudah cukup baik, serba serbi ada, rumah, kereta, keluarga bahagia, dianugerahkan dua putera dan seorang puteri yang sihat dan comel; gabungan pendapatan dia dan suami membolehkan mereka hidup selesa, malah satu atau dua tahun sekali jika menabung boleh bercuti ke luar negara.

Namun dia tetap kecewa. Kecewa kerana ramai rakan setugas junior lebih dulu naik pangkat sedangkan dia yang sudah mengumpul banyak pengalaman tertinggal di belakang. Dulu penulis sendiri pun sering mengeluh sehinggalah berada dalam sesi luahan rasa pesakit artritis idiopatik juvana (JIA) yang benar-benar membuka mata untuk lebih bersyukur dengan segala �kurniaan Allah pada diri ini.

Sesi luahan rasa (dan sokongan) yang bermula dengan gelak tawa kerana semuanya masih malu walaupun sudah dua hari ‘berkampung’ di Kem Berdikari JIA di Klana Resort, Seremban, tiba-tiba bertukar menjadi drama air mata apabila mikrofon berpindah ke tangan pesakit remaja perempuan.

Siapa tidak sedih jika penyakit yang dihidapi sejak kecil menyebabkan mereka dipulau kawan sehingga terpaksa berpindah sekolah. Mengalir air mata Alice, 17, (yang minta nama sebenarnya dirahsiakan) ketika bercerita dia dipanggil ‘raksasa’ oleh kawan sekolah hanya kerana cara berjalannya yang ‘kurang normal’ jika dibandingkan dengan orang lain.

Bukan kemahuannya tetapi sakit pada sendi kaki akibat JIA yang memaksanya berjalan begitu. Apabila dibawa ke hospital, doktor pakar mengatakan keadaan sudah terlewat - kerosakan sendi yang dialaminya tidak boleh dipulihkan. Walaupun sedih, Alice tetap bersyukur kerana selain gaya berjalan, dia tidak mengalami masalah lain, malah pertumbuhan fizikalnya juga normal.

“Saya tiada kawan di sekolah. Sepanjang tempoh belajar, saya bertukar empat sekolah kerana tidak tahan dengan tekanan daripada kawan-kawan yang tidak faham mengenai JIA. Saya akui, cara berjalan saya memang nampak pelik dan sering jadi bahan ejekan. Bukan saya yang minta jadi begini. Semua tekanan ini menyebabkan saya sering menangis sendirian di sekolah.

“Saya tidak menangis di rumah kerana jika ibu dan ayah nampak, mereka akan sedih. Paling menyedihkan apabila guru juga tidak memberi sokongan, bahkan ada yang menyuruh saya pindah sekolah. Kenapa saya perlu tukar sekolah? Penyakit saya tidak berjangkit. Pedih hati saya setiap kali mengenangkannya tetapi kesedihan saya terubat apabila berada di kem ini. Di sini ada ramai kawan senasib yang menghormati dan memahami keadaan orang lain,” katanya sambil mengesat air mata dengan tisu yang dihulurkan sahabat di sebelahnya.

Jasmine Lim, 13, (juga bukan nama sebenar) dari Johor, tidak dapat menahan air mata apabila bercerita kisah hidupnya. Dia gadis yang aktif dan berkebolehan.
Dia atlet dan pemain piano sekolah malah mempunyai bakat besar dalam bidang lukisan. Namun banyak aktivitinya terpaksa dihentikan apabila dia disahkan mengalami JIA dan setiap kali penyakitnya menyerang, Jasmine tidak boleh berjalan.

Ketika sakit, dia perlu didukung mahupun untuk ke bilik air dan banyak keperluan harian yang terpaksa dilakukan untuknya. Keadaan ini menyebabkan dia dianggap menyusah�kan keluarga. Sebagai anak yang suka berdikari, dia sedih apabila terpaksa bergantung kepada orang lain walaupun keluarga sendiri.

“Pernah kakak merungut mengatakan saya menyusahkan kerana rancangan untuk bercuti tergendala kerana saya. Ketika itu saya memang tidak boleh berjalan. Saya tidak sangka rupanya mereka sanggup meninggalkan saya di bawah jagaan pembantu rumah untuk bercuti di Kuala Lumpur.

“Sejak disahkan menghidap JIA, saya sering diketepikan keluarga. Sedihnya ketika itu hanya tuhan yang tahu. Jadi saya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh. Saya mahu buktikan kepada keluarga walaupun sering sakit dan tidak dapat pergi ke sekolah, saya boleh berjaya dan bukan anak yang menyusahkan keluarga.

“Semua orang terutama ibu bapa terkejut apabila saya berjaya dapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Agaknya itu yang menyedarkan ibu bapa saya dan syukur kini keadaan sudah jauh berubah. Malah merekalah yang banyak memberi dorongan kepada saya. Saya anggap dulu mereka tidak faham mengenai JIA,” kata gadis manis itu perlahan.

Nur Syamira Shahbudin, 15, dari Melaka berkata, dia reda dengan takdir Allah dikurniakan JIA, cuma hatinya merintih apabila kesakitan yang dialaminya itu membuatkan dia tidak dapat menolong ibunya melakukan kerja rumah.

“Emak saya juga ada artritis tetapi dia tidak pernah merungut. Emak sangat tabah membesarkan kami adik-beradik walaupun dia sendiri mengalami masalah sendi. Ketabahan emak itu menguatkan semangat kami. Kami adik-beradik bergilir-gilir membantu emak terutama dalam urusan di rumah.

“Sebab itulah saya cuba sedaya upaya berdikari dan mematuhi jadual pengambilan ubat. Kalau saya sakit, emak akan susah hati. Itu yang saya tidak mahu. Setiap kali penyakit menyerang, saya rasa sedih kerana tidak dapat tolong emak,” katanya.

Muhammad Azim Abdol Rahim, 16, juga mengakui dulu kerap menangis mengenangkan penyakitnya terutama apabila dia tidak boleh berjalan. Penyakitnya dikesan enam tahun lalu apabila dia mengalami gejala seperti badan terasa panas, timbul ruam kecil dan kakinya pula menjadi kejang. Dia segera dibawa ke Hospital Selayang dan dirujuk kepada pakar reumatologi kanak-kanak.

“Bohonglah kalau saya kata tidak pernah menangis pasal penyakit ini. Setiap kali sakit, semangat saya luntur. Saya terasa seperti menyusahkan ibu bapa dan keluarga. Kata-kata ‘Jangan mati awal (muda)’ yang diucapkan ibu bapa jadi azimat menguatkan semangat saya. Saya mahu jadi anak kebanggaan mereka,” katanya malu-malu.

Amar Fazren Tukiman, 13, yang ceria juga pernah melalui saat perit apabila JIA menyebab�kan dia terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

Grace Ng, 16, menggenggam tisu yang basah dek air matanya mendengar cerita kawan-kawan. Dia amat bersyukur penyakitnya dikesan awal dan menerima rawatan sewajarnya. Dia tidak mengalami kecacatan sendi atau terencat pertumbuhan seperti yang dialami sesetengah kawan baru di kem berkenaan. Memang dalam kem berkenaan ada peserta yang sudah remaja tetapi saiz badan mereka seperti kanak-kanak baru masuk sekolah iaitu kecil dan comel.

Pada malam itu, rata-rata peserta perempuan tidak dapat menahan aliran air mata. Peserta lelaki pula tunduk dan rasa sebak jelas terbayang di wajah mereka kerana semuanya berkongsi masalah yang sama - JIA.


JIA

Artritis idiopatik juvana. Masih ramai yang tidak tahu kewujudan penyakit ini. Ia adalah penyakit sendi yang menyerang kanak-kanak. Ia tidak memilih bangsa atau latar belakang dan boleh berlaku kepada sesiapa saja daripada lahir sehingga berumur 16 tahun. Walaupun boleh menyebabkan kesengsaraan, JIA tidak dianggap penyakit lazim kerana catatan menunjukkan hanya satu kes bagi 1,000 kanak-kanak dan orang muda di bawah umur 16 tahun.

Kata Perunding Reumatologi Pediatrik Hospital Selayang, Dr Tang Swee Ping, JIA bukan disebabkan jangkitan kuman, tersalah makan, kecederaan, perubahan cuaca atau apa-apa yang terjadi ketika kehamilan. Tiada siapa tahu puncanya tetapi JIA ialah penyakit disebabkan kecelaruan sistem imun atau autoimun yang tidak dapat membezakan antara benda asing atau tisu badan dan menjadi aktif untuk menyerang badan sendiri.


JIA ada beberapa jenis (sistemik, oligoartritis atau poliartritis - bergantung kepada jumlah sendi yang diserang) tetapi semuanya mempunyai gejala yang sama iaitu:

  • Sendi bengkak.
  • Sendi terasa tegang dan sakit terutama pada waktu pagi selepas bangun daripada tidur. Masalah sama turut dihadapi apabila bangun tidur pada waktu petang yang menyebabkan mereka mengambil masa lama untuk meninggalkan tempat tidur.
  • Sukar tidur.
  • Mengalami kesukaran berjalan (sama ada berjalan berdengkot-dengkot atau terlalu perlahan).
  • Demam.
  • Ruam.


    Pada bayi, gejala ini ditunjukkan dengan menangis dan enggan menggerakkan anggota yang sakit. Mereka juga mengasingkan diri, tidak mahu bergaul dengan orang lain, cepat meragam, kelihatan sedih dan mungkin mengalami demam berpanjangan.

    Kata Dr Tang, JIA bukan penyakit artritis dewasa versi mini kerana ia berbeza dari segi gejala, tempoh serangan dan kesan dialami pesakit. Gejala dan kesan dialami setiap kanak-kanak juga tidak sama, bergantung kepada anggota diserang.

    Tidak seperti artritis orang dewasa, JIA biasanya sukar dikesan kerana kanak-kanak tidak boleh atau tidak pandai menceritakan kesakitan dialami. Pada orang dewasa, artritis hanya membabitkan sendi tetapi tidak menjejaskan tulang kerana tulang sudah terbentuk sempurna. Namun bagi kanak-kanak, oleh kerana tulang masih lembut dan dalam proses pembentukan, keradangan sendi boleh menjejaskan saiz dan panjang tulang pada anggota terbabit. Ini menyebabkan ada sesetengah pesakit mempunyai kaki yang tidak sama panjang.

    Secara umumnya, JIA mula menyerang pada umur dua tahun yang menyebabkan pesakit kerap menangis, demam dan mendapat ruam. Sendi pesakit membengkak, terasa tegang dan sakit terutama pada waktu pagi selepas bangun daripada tidur. Malah, kanak-kanak perempuan mempunyai risiko empat kali lebih tinggi mendapat JIA berbanding kanak-kanak lelaki.

    Akibat kurang faham mengenai JIA, ramai ibu bapa salah faham terhadap gejala ditunjukkan anak dengan menganggap mereka malas. Kelewatan mengesan dan memberi rawatan sewajarnya menyebabkan sendi kanak-kanak mengalami kerosakan serta mengubah bentuk anggota badan, selain menjejaskan pertumbuhan mereka. Sedihnya, sendi yang rosak tidak boleh dipulihkan ke bentuk asal kecuali melalui rawatan penggantian sendi.

    Kata Dr Tang lagi, JIA juga boleh menjejaskan emosi dan keyakinan diri pesakit. Untuk mengawal JIA dan mencegah kerosakan sendi, pesakit akan diberikan sejumlah ubat mengikut tahap penyakit masing-masing yang biasanya tiga hingga lima jenis ubat untuk diambil setiap hari. Melihat jumlah ubat, ramai ibu bapa bimbang sehingga ada yang mengambil tindakan mengurangkan dos ubat tanpa berbincang dengan doktor terlebih dulu.


    Kepada ibu bapa yang ada anak menghidap JIA, mereka sepatutnya tidak bertindak begitu. Tindakan ini berbahaya kerana tanpa ubat, penyakit anak anda akan menjadi aktif dan boleh menyebabkan:
  • Kesakitan. Hampir semua pesakit JIA mengalami kesakitan kronik yang berulang-ulang. Kesakitan kronik ini boleh memberi kesan negatif jangka panjang kepada pesakit, terutama terhadap keupayaan diri sendiri.

    Pesakit kanak-kanak ini berasa resah, risau dan tidak berguna kerana tidak dapat melakukan banyak perkara, termasuk bermain dan aktiviti sekolah sama ada membabitkan aspek pelajaran atau sukan. Malah ketika penyakit aktif (menyerang), turun naik tangga juga satu perkara yang susah.

  • Fungsi fizikal terhad. Kira-kira 69 peratus pesakit JIA tidak dapat melakukan kerja fizikal dan 50 peratus pula menghadapi masalah pergerakan tangan dan jari terhad. Kebanyakan pesakit mengambil masa lebih lama untuk melaksanakan satu-satu tugasan dan ini mengakibatkan masa bermain semakin kurang. Lebih sedih apabila ada pesakit mempunyai persepsi negatif terhadap kesihatan dan imej diri.

  • Kecacatan fizikal. Keradangan sendi yang berpanjangan boleh menyebabkan sendi menjadi lemah, tidak stabil dan cacat. Keradangan sendi juga boleh merosakkan tulang kanak-kanak yang masih lembut dan menjejaskan pertumbuhan tulang mereka. Jika penyakit tidak dirawat dan dikawal, ia boleh menyebabkan kerosakan teruk atau kecacatan kekal dalam masa beberapa tahun.

  • Memberi kesan pada pertumbuhan. JIA boleh menjejaskan pertumbuhan kanak-kanak secara keseluruhan seperti ketinggian terbantut dan lewat baligh. Ubat steroid yang diguna untuk mengawal penyakit juga boleh membantutkan ketinggian pesakit. Selepas satu tempoh, ketinggian pesakit masih boleh bertambah tetapi tidak banyak.
  • Masih hidup walau dua kali diisytihar mati

    HARDY (kanan), anaknya, Anastasia (kiri) dan cucu, Nelli.
    HARDY (kanan), anaknya, Anastasia (kiri) dan cucu, Nelli.
    TOMSK (Siberia) : Seorang nenek dua kali bangkit daripada mati, malah terselamat selepas tiga hari berada di sebuah rumah mayat.
    Wanita Russia berusia 61 tahun itu diisytiharkan mati sebanyak dua kali oleh doktor tetapi hidup semula, termasuk beberapa minit sebelum dibedah siasat.
    Hardy Lyudmila Steblitskaya menghabiskan masa tiga hari di rumah mayat yang sejuk ketika keluarganya meratapi kematian bekas tukang masak itu di rumah mereka.

    Akhbar Siberian Times melaporkan, kali pertama Hardy mengejutkan doktor, rakan dan keluarganya ialah November tahun lalu dan kali kedua pada Oktober tahun ini.

    Dalam kejadian tahun lalu, dia dibawa ke Hospital Wilayah Tomsk dan dirawat beberapa hari kerana tidak sihat.

    Apabila anaknya, Anastasia, 29, menelefon hospital, dia diberitahu bahawa ibunya sudah mati.

    Anastasia yang begitu sedih mula merancang majlis pengebumian ibunya dan menyampaikan berita itu kepada rakan dan anggota keluarga lain.

    Dia membelanjakan RM6,000 untuk membeli bunga, keranda, urusan gali kubur serta makanan.

    Apabila dia ke hospital untuk mengambil mayat Hardy, dia diberitahu supaya tunggu kerana doktor belum menjalankan bedah siasat.

    Seorang doktor yang kelihatan terkejut kemudian memberitahu ibunya tidak mati dan masih bernafas di katilnya.

    Anastasia yang hampir tidak percaya dengan kata-kata doktor itu, memasuki bilik ibunya dan mendapati wanita itu memanggill namanya. Dia menjerit sehingga beg yang dipegangnya terlepas.

    “Saya begitu terkejut hingga terlupa untuk masuk semula ke bilik itu dan memeluk ibu saya. Sebaliknya saya menelefon rakan dan keluarga dan meminta supaya kerja menggali kubur dihentikan,” katanya kepada akhbar itu.

    Ibunya hanya ingat bahawa dia berada di hospital itu pada hari Jumaat dan terjaga di rumah mayat pada Isnin.

    Pada Oktober lalu, Hardy yang menghidap sakit jantung, dikatakan sudah tidak bernyawa lagi ketika dimasukkan ke sebuah hospital tetapi kali ini doktor berjaya menyedarkannya semula selepas beberapa jam.

    Bimbang Sains, Matematik merudum

    TINGKAT...usaha bersepadu dilakukan bagi meningkatkan lagi minat dan pencapaian pelajar dalam Sains dan Matematik.
    TINGKAT...usaha bersepadu dilakukan bagi meningkatkan lagi minat dan pencapaian pelajar dalam Sains dan Matematik.
    ESOK, dunia akan melangkah ke tahun baru 2013, sekali gus meninggalkan pelbagai kenangan pahit manis terhadap peristiwa yang berlaku di seluruh dunia.
    Negara turut mencatat peristiwa yang menjadi ingatan semua termasuk warna-warni yang menghiasi dunia pendidikan tanah air.
    • Foto SOSIAL...kemasukan pelajar asing mengundang masalah sosial, sekali gus memaksa kerajaan memperketatkan lagi syarat kemasukan.
    • Foto CEMERLANG...hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi turut melakar sejarah tersendiri.
    • Foto PERKASA...sekolah vokasional akan dinaik taraf sebagai Kolej Vokasional, sekali gus melahirkan tenaga kerja berkemahiran untuk jangka panjang.
    Antara peristiwa panas terawal tercatat dalam kalendar 2012 ialah tindakan ‘ganas’ sebahagian kecil mahasiswa yang mahukan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dibubarkan.

    Mereka berpendapat, AUKU menyekat kebebasan bersuara serta berpolitik lantas menjadikan tindakan itu sebagai platform yang kononnya memberi ruang menyuarakan kehendak dan pendapat tanpa sekatan.

    Mereka turut melontarkan tuduhan bahawa universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seolah-olah ‘mencabul’ hak mereka sebagai warganegara bebas bersuara.

    Biarpun begitu, kerajaan serta pihak terbabit tetap menunjukkan sikap prihatin, cuba memahami dan bertolak-ansur.

    Selepas ‘berkonfrontasi’ sejak sekian lama, akhirnya AUKU Seksyen 15C (3) dipinda, sekali gus memberi ruang kepada mahasiswa untuk berpolitik. Bagaimanapun, politik kepartian masih tidak dibenarkan di dalam kampus bagi menjaga keamanan bersama.

    Masalah dunia pendidikan tinggi negara juga tercalit lumpur apabila kemudahan melanjutkan pengajian yang diberikan kerajaan kepada pelajar asing disalahgunakan dengan pembabitan pelbagai gejala sosial.

    Seramai 777 pelajar asing ditahan pihak berkuasa sejak 2011 hingga Ogos lalu kerana pelbagai kesalahan termasuk mendatangkan kecederaan, mencuri dan penyalahgunaan dadah selain jenayah komersial.

    Ini sekali gus memaksa kerajaan memperketatkan proses kemasukan pelajar asing bagi memastikan hanya yang layak dan berkemampuan sahaja melanjutkan pengajian di negara ini.

    Dunia pendidikan tinggi juga menyaksikan beberapa peristiwa bersejarah membabitkan penganugerahan termasuk kecemerlangan penyelidikan serta sumbangan demi mempertingkatkan kehidupan sejagat.

    Antaranya, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dianugerahkan Felo Kehormat The London Royal College of Physicians hasil kejayaannya dalam bidang pembedahan endokrin dan penerbitan jurnal tempatan dan antarabangsa.

    Penganugerahan itu adalah pengiktirafan tertinggi diberikan Royal College of Physicians kerana anugerah Felo Kehormat pusat pengajian terkemuka itu terhad kepada 20 orang setahun.

    Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula mencipta perisian permainan jawi pada peranti mudah alih (PSP) dan komputer tablet bagi memartabatkan semula tulisan jawi dalam kalangan generasi muda.

    Bagaimanapun, sasaran untuk kementerian mencapai bilangan siswa sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebanyak 60 peratus masih belum tercapai.

    Sektor pendidikan negara juga menyaksikan anjakan berani dan baru apabila Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 diperkenalkan.

    Ia menggariskan 11 anjakan utama bagi mengubah sistem pendidikan negara, sekali gus melonjakkan lagi standard sedia ada ke arah penambahbaikan seiring keperluan global.

    Antaranya, pelajar pintar akan menyelesaikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam lima tahun dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) empat tahun, sastera Inggeris diwajibkan di sekolah menengah, penjenamaan semula tingkatan enam, bahasa Malaysia standard di SK atau SJK mulai tahun empat pada 2014 manakala kelas peralihan dimansuhkan pada 2017 dan insentif bagi guru besar/pengetua di luar bandar dan sekolah berprestasi rendah, antaranya elaun dan laluan pantas kenaikan pangkat.

    Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga akan dimansuhkan pada 2014 dan kerajaan menggantikannya dengan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).

    Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) diperkenalkan sebagai syarat pengambilan pelajar tingkatan empat ke sekolah berasrama penuh.

    Sistem itu mengambil kira pencapaian cemerlang pelajar sepanjang sesi persekolahan termasuk aktiviti kokurikulum dan latar belakang keluarga.

    Keprihatinan terhadap permintaan tenaga kerja berkemahiran untuk jangka panjang menjadi penanda aras kepada kerajaan dalam memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TEVT).

    Oleh itu, langkah menaik taraf Sekolah Menengah Vokasional kepada Kolej Vokasional mula diperkenal dan diperkasakan, sekali gus diharap mampu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh mahir.

    Sebanyak 15 sekolah vokasional dipilih untuk dijadikan program rintis Kolej Vokasional dan selebihnya akan dinaik taraf secara berperingkat pada 2015.

    Pengenalan baru itu akan membolehkan semua pelajar yang mengikuti pengajian di Kolej Vokasional ini mengikuti pengajian selama empat tahun, meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik.

    Pelajar yang menamatkan pengajian di kolej ini akan mendapat diploma vokasional kerana mengikuti kursus selama lapan semester (empat tahun) manakala pelajar sekolah menengah tingkatan satu hingga tiga yang mengikuti peringkat Program Asas Vokasional (PAV) akan diberi sijil tahap dua.

    Bagaimanapun, di tengah-tengah kerancakan usaha pelbagai pihak memperkasakan sistem pendidikan sedia ada, keputusan kejatuhan bagi beberapa subjek terutama membabitkan Sains dan Matematik menimbulkan kebimbangan.

    Dianggap antara subjek penting dalam menentukan hala tuju pendidikan seterusnya, kemerosotan pencapaian pelajar dalam dua subjek berkenaan dalam peperiksaan utama dikatakan kerana kurangnya minat mengikuti aliran sains berbanding sastera.

    Kajian turut memperlihatkan kebanyakan pelajar, baik di bandar mahupun di luar bandar dan pedalaman gagal mengikuti proses pengajaran serta pembelajaran untuk dua subjek ini dengan baik.

    Laporan Trends in Mathematics Science Study (TIMSS) juga memperlihatkan pencapaian pelajar Malaysia untuk Matematik menjunam dari tempat ke-10 pada 2003 ke tempat ke-20 pada 2007.

    Begitu juga pencapaian dalam Sains yang memperlihatkan kemerosotan membimbangkan menjadikan ia pada masa sama sebagai ‘senjata’ sesetengah pihak mengaitkannya dengan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

    Pelbagai suka duka dunia pendidikan negara pada 2012 bakal ditinggalkan dan menjelang 2013, diharap sektor pendidikan negara mampu membawa dimensi baru yang mampu melonjakkan lagi pencapaian dan kegemilangannya.

    Selamat datang 2013 dan selamat tinggal 2012.

    Ogy merajuk dalam industri?


    Fauziah Ahmad Daud
    Fauziah Ahmad Daud
    Fauziah Ahmad Daud
    Ogy bersama tenaga penting di sebalik perniagaannya.
    Fauziah Ahmad Daud
    Anak perempuannya, Nuraminah Aishah kini berusia lima tahun. FOTO: FACEBOOK OGY.
    Artis menceburi bidang perniagaan bukanlah perkara asing lagi, malah ramai yang telah bergelar usahawan berjaya.

    Tidak ketinggalan ialah pengacara dan pelakon versatil, Fauziah Ahmad Daud yang baru saja memulakan perniagaan restoran miliknya sendiri, Ogy D'Greenwood.

    Terletak di Gombak, Selangor, restoran tersebut sudah pun beroperasi sejak sebulan lalu.

    Keputusan menceburi bidang perniagaan bagaimanapun bukanlah bermaksud personaliti yang mesra disapa sebagai Ogy ini merajuk dengan dunia seni.

    Lebih-lebih lagi setelah namanya terpalit dengan kontroversi dengan Johan Raja Lawak dalam satu majlis, tidak lama dulu.

    Sebaliknya, tunjang utama filem Ali Setan ini mempunyai sebab tersendiri untuk bergelar ahli perniagaan pula.

    "Apabila sudah memasuki usia 50 tahun, saya rasa perlu melakukan sesuatu yang lain dan saya memilih untuk berniaga.

    "Ini kerana, selain bidang seni, jiwa saya lebih cenderung kepada perniagaan," katanya membuka cerita mengenai bidang baru yang diterokainya itu.

    Mengenai penglibatannya dalam Ogy D'Greenwood, Ogy berkata, dia telah ditawarkan menjadi rakan kongsi sejak setahun yang lalu.

    "Namun, ketika itu saya belum bersedia kerana berniaga bukanlah perkara main-main.

    "Setelah dipelawa sekali lagi pada Ramadan lalu, saya akhirnya setuju," katanya yang turut bertindak sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Urusan.

    Memilih untuk mengusahakan perniagaan berkaitan makanan, kata Ogy, dia sebenarnya sudah lama mengimpikan untuk memiliki restoran sendiri.

    "Saya memang suka memasak dan sebelum ini pun, keluarga saya pernah berniaga dalam bidang masakan.

    "Siapa sangka, impian saya untuk meneruskan legasi keluarga tercapai juga dengan pembukaan restoran ini," kata anak kepada pasangan seniman dan seniwati, Allahyarham Ahmad Daud dan Allahyarhamah Saadiah ini.


    Pernah gagal

    Tidak mahu penglibatannya dalam perniagaan dipandang remeh, Ogy serius untuk mencipta kejayaan dalam bidang ini.

    Malah, kata Ogy, sebagai persediaan, dia sering menghadirkan diri dalam pelbagai seminar perniagaan untuk menambah ilmu.

    "Bagi saya, apa jua bidang yang diceburi mestilah dilengkapi dengan ilmu.

    "Peluang yang ada juga haruslah digunakan sebaiknya, selain rajin berusaha dan tidak mengharapkan orang lain," katanya bersemangat.

    Dalam membentuk dirinya sebagai ahli perniagaan yang berjaya, Ogy berkata, dia banyak belajar daripada kesilapan lalu.

    "Sebelum ini, saya pernah terlibat dalam bisnes produksi yang menjual drama.

    "Banyak pahit jerih yang telah saya lalui, tetapi saya amat berterima kasih dengan pengalaman lalu kerana telah mengajar saya untuk tidak mengulangi kesilapan sama," katanya yang juga pernah duduk di bangku pengarah.
    Tidak hanya tertumpu kepada restoran, menurut Ogy, perniagaannya turut dikembangkan kepada pelbagai cabang iaitu katering, roti dan kek, penghantaran serta penubuhan akademi yang menawarkan kursus pastri, bakeri, food and beverage (F&B), kecantikan, keusahawanan dan seni persembahan.

    "Perancangan saya ialah untuk melihat perniagaan ini maju sedikit demi sedikit.

    "Alhamdulillah, setakat ini, sambutan terhadap pembukaan restoran amat menggalakkan.

    "Begitu juga dengan lain-lain termasuk akademi yang akan memulakan pengajian Mac 2013," katanya yang mengusahakan kesemua cabang perniagaannya di bangunan di atas tanah seluas satu ekar.

    Malah, sesuai dengan minatnya dalam bidang seni, Ogy juga sedang merancang untuk membina sebuah studio berdekatan restorannya.


    Bukan hanya nama
    Mengakui statusnya sebagai selebriti membantu mempromosikan restorannya, bagaimanapun Ogy enggan bersandar pada nama semata-mata.

    Sebaliknya, hampir setiap hari dia akan turun padang dan bertemu sendiri dengan pelanggan.

    "Memang diakui nama saya mungkin boleh menarik orang mengunjungi restoran ini.

    "Namun, saya tidak mahu sekadar menggunakan nama. Biarlah pengunjung yang datang merasai sendiri layanan daripada saya.

    "Sekurang-kurangnya, saya dapat tahu maklum balas dan apa yang diingini oleh pelanggan," katanya yang pernah digilai menerusi filem Azura.


    Ketepikan dunia seni

    Kali terakhir dilihat di kaca televisyen ketika terlibat dengan program Mentor 6, Ogy mengakui dirinya mahu menyepi seketika daripada dunia seni.

    Bukan tiada tawaran yang datang, namun keutamaannya kini lebih tertumpu kepada perniagaan.

    "Saya terpaksa ketepikan karier seni sejak Mei lalu demi memberi fokus dalam bidang bisnes.

    "Lagipun, kebanyakan naskhah yang ditawarkan kepada saya kurang memikat hati," kata pemilik trofi Aktres Terbaik di Festival Filem Malaysia 1986 dan 1987 ini.

    Bagaimanapun, kata Ogy, sekiranya ada produksi yang benar-benar mahu mengambilnya berlakon, mereka perlulah mengikut syaratnya.

    "Sekarang ini waktu saya banyak dihabiskan di restoran.

    "Jika mereka mahu, mereka perlulah menjalani penggambaran di sekitar restoran saya.

    "Selepas penggambaran, bolehlah saya terus masuk pejabat pula," katanya diiringi gelak tawa.


    'Hutang' dengan anak

    Dalam pada sibuk dengan 'dunia' barunya, wanita kelahiran Singapura ini tidak sesekali melupakan tanggungjawab sebagai ibu.

    Jelas Ogy, menguruskan perniagaan sendiri membolehkannya meluangkan lebih banyak masa dengan anak angkat, Nuraminah Aishah yang kini berusia lima tahun.

    "Ketika saya masih aktif dengan dunia seni, dia selalu memahami kesibukan saya.

    "Sekarang tibalah masa untuk saya membayar semula 'hutang' masa saya bersama dia," katanya yang akan membawa puteri kesayangannya itu ke mana saja dia pergi.

    Menganggap Nuraminah sebagai harta paling berharganya, kata Ogy, dia berusaha untuk menjalankan tugas sebagai ibu dengan sebaik mungkin.

    "Apa yang saya buat sekarang adalah demi masa depannya.

    "Sesibuk mana pun hidup saya sekarang, Nuraminah tetap perlu diberikan keutamaan," katanya mengakhiri perbualan.


    PROFIL

    Nama Penuh: Fauziah Ahmad Daud.

    Nama Komersial: Fauziah/Ogy Ahmad Daud.

    Tarikh Lahir: 10 Oktober 1962.

    Asal: Singapura.

    Filem: ...Dalam Botol (2011), Apa Kata Hati (2008), Simfoni Kasih (1994) Ops Belantara (1993), Balada (1993), Bintang Malam (1991), Memory (1991), Rentak Desa (1990), Puteri (1987), Permintaan Terakhir (1975), Ali Setan (1986), Suara Kekasih (1986), Azura (1984), Esok Untuk Siapa? (1982), Abang (1981), Ceritaku Ceritamu (1979), Hati Batu (1973).

    Drama: City of the Rich, Pengantin Popular, Tiga Duri Di Hati Bonda, Tumirah, Dunia Punya Cerita, Keruh Di Muara, Lontong, Suara Saleha.

    Rancangan Televisyen: Melodi.

    Pencapaian:
    -Aktres Terbaik (Festival Filem Malaysia 1986, 1987)
    -Pelakon Filem Wanita Popular (Anugerah Bintang Popular 1987)
    -Penghibur TV Popular (Anugerah Bintang Popular 1997/98)
    -Aktres Terbaik (Anugerah Skrin 2008)

    Jambatan runtuh dirempuh arus, 2 remaja cedera


    Jambatan runtuh dirempuh arus, 2 remaja cedera
    Fauzi Mat Hassan menunjukkan motosikal yang dinaiki dua lelaki yang terjatuh ke dalam runtuhan dekat jambatan di Kampung Durian.
    BESUT- Banjir besar yang berlaku Isnin lalu bukan sahaja menjadi banjir terburuk di kawasan Kampung Padang Bual, Hulu Besut tetapi turut menyebabkan sebuah jambatan di Kampung Durian Telur dekat Pasir Akar, runtuh menyebabkan ia terputus dua.

    Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Durian Telur, Hasbullah Yusof berkata, kedua-dua belah hujung jambatan konkrit yang baru siap dibina beberapa bulan lalu runtuh setelah dirempuh arus deras Sungai Besut kira-kira jam 9 malam sebelum dihanyutkan.

    Menurutnya, air sungai yang banyak dan deras telah melimpah memasuki laluan alur bawah jambatan itu lalu merempuh tebing jalan menyebabkan berlaku runtuhan tanah di hujung  jambatan tersebut.

    “Kira-kira 350 penduduk terpaksa melalui jalan alternatif (jalan lama) yang terletak di sebelah jambatan itu untuk keluar ke pekan Pasir Akar,” katanya.

    Hasbullah berkata, runtuhan itu turut menyebabkan dua remaja yang melalui jalan itu kira-kira jam 12 tengah malam, Selasa lalu terjatuh di bahagian lubang runtuhan itu sedalam kira-kira 4 meter dan cedera parah.

    Menurutnya, dua remaja yang tidak dikenali itu bukan penduduk kampung tersebut, dan dipercayai tidak perasan dengan halangan yang dibuat penduduk.

    “Sekarang, Pejabat Daerah Besut menutup laluan ke jambatan itu sementara kerosakan dibaiki bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

    Sementara itu Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan beliau akan mencadangkan kepada kerajaan untuk membaiki jalan tersebut secepat mungkin untuk keselesaan penduduk.

    Mahalnya wang hantaran!


    Muka depan Sinar Harian edisi Selangor/Wilayah Persekutuan hari ini.
    Muka depan Sinar Harian edisi Selangor/Wilayah Persekutuan hari ini.
    Wang hantaran. Sekadar gambar hiasan
    Wang hantaran. Sekadar gambar hiasan
    RAMAI pasangan gagal meneruskan perkahwinan hingga bercerai-berai kerana menghadapi tekanan emosi. Antaranya, akibat masalah tidak cukup wang belanja selepas hidup berpasangan atau setelah mempunyai cahaya mata.

    Perunding motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh berkata, kes sedemikian banyak berlaku kepada pasangan yang membuat pinjaman peribadi dengan bank atau institusi kewangan. Bahkan ada yang berhutang dengan pemberi pinjam tanpa lesen (ah long) bagi menyediakan wang hantaran dan kos kenduri.

    “Ramai datang ke klinik kaunseling saya mengadu tertekan sebab terpaksa membayar hutang ketika melangsungkan majlis perkahwinan. Sedangkan perbelanjaan harian berubah bila dah hidup berdua dan beranak-pinak.

    “Peringkat awal semua nampak manis. Cinta masih baru. Tak nampak kesan. Lepas berbulan atau setahun dua, pasangan itu akan rasa kesannya. Gaji tidak seberapa tapi hutang yang beribu kena bayar setiap bulan. Bayangkan kalau individu baru tamat universiti  berkahwin secara berhutang,” ujar beliau.

    Hushim menambah, sedia maklum pasangan baru tamat pengajian jika makan gaji tidak akan terus menerus menerima gaji lumayan. Selepas berkahwin banyak belanja hendak guna seperti duit sewa rumah, bil air dan elektrik, peralatan serta makan minum. Perbelanjaan makin bertambah setelah pasangan mendapat anak.

    “Tapi gaji suami atau isteri dipotong setiap bulan sebab nak bayar hutang. Mungkin juga tolak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau sesetengah tu tolak hutang belajar.

    "Secara psikologi bila tak cukup duit, biasanya pasangan saling mempertikai dan mengaitkannya dengan hutang wang hantaran dan belanja kahwin dulu,” jelas Hushim.

    Tambahnya, akibat pertengkaran tidak berkesudahan, emosi pasangan terganggu serta tertekan. Mereka mula memikirkan semula diri pasangan hingga ada beranggapan tidak mengenali pasangan yang sudah dinikahi. Dalam erti kata lain ungkit mengungkit.

    “Bila bertengkar, macam-macam perkataan disebut. Terkeluar sifat sebenar pasangan. Bergaduh setiap masa. Ketika inilah mereka terlupa soal cinta. Dah tak kenal cinta. Cinta jadi retorik semata-mata. Daripada cinta terbalik jadi benci.

    “Masalah akan lebih teruk dan tidak berkesudahan kalau ada yang masuk campur keluarga kedua-dua pihak. Tapi tidak mampu menyelesaikan konflik. Kepada pasangan yang gagal mencapai persefahaman kebiasaannya mengambil keputusan bercerai.

    “Ada kes seorang pensyarah buat kenduri kahwin besar-besaran. Tapi bercerai selepas 15 hari. Bila lalui kaunseling,  puncanya sebab bertengkar dan ungkit mengungkit wang hantaran serta belanja kenduri.
    “Waktu bersanding hanya ingat yang indah-indah. Tapi lepas selesai majlis, baru sedar terlalu banyak guna duit. Lalu saling menyalahkan sesama sendiri dan mula fikir tak sefahaman. Akhirnya bercerai,” akhiri  beliau.

    Ledakan kontroversi 2012

    KONTROVERSI dan dunia hiburan umpama ombak dengan pantai. Ia tidak dapat dipisahkan. Seperti satu ulangan untuk setiap tahun, kontroversi seni yang tercipta pada tahun ini tidak kurang hebatnya. Mari kita lihat senarai ‘pemenang’ kontroversi 2012.

    NEELOFA


    Percakaran Neelofa-Anzalna
    SUHU industri hiburan panas seketika apabila Anzalna telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Neelofa menerusi sebuah akhbar mingguan. Anzalna menuduh Neelofa menghina keluarganya menerusi laman Facebook ‘Kami Benci Anzalna’ dan menyifatkan Neelofa seorang yang busuk hati serta pernah mengugutnya sewaktu sama-sama bertanding dalam pertandingan Dewi Remaja beberapa tahun lepas. Susulan itu, Neelofa melalui peguamnya mengeluarkan notis tuntutan meminta bukti dan penjelasan daripada Anzalna dan diberi tempoh selama tujuh hari untuk memberikan surat tuntutan balas. Gagal mengemukakan bukti, Anzalna membuat permohonan maaf secara terbuka dan kedua-dua artis muda itu dikatakan telah berdamai secara rasmi.

    TASHA SHILLA


    Limpahan mewah Tasha Shilla
    TUDUHAN membeli akhbar untuk mengundi diri sendiri, mendapat tajaan untuk membawa penyokong naik ke Genting Highlands, Pahang dan mengusung trofi kemenangan sebuah majlis anugerah ke pusat beli-belah untuk menunjuk-nunjuk melariskan nama Tasha Shilla sekitar bulan April lalu. Belum reda dengan kontroversi, pelakon drama Gemilang itu didakwa mendapat tajaan kereta mewah jenama BMW dan Audi daripada seorang duda kaya bernama Datuk J. Tidak pernah lekang, namanya kembali dikaitkan dengan usahawan itu apabila mereka dilihat berparti bersama di sebuah disko sekitar bulan Oktober lalu.

    NABILA


    Nabila Huda berani mati
    TIDAK cukup isu bercium dengan seorang lelaki pada hujung tahun lalu, nama Nabila Huda kembali mencuri perhatian tahun ini. Bermula dengan isu memakai busana hitam seksi rekaan Alia Bastamam pada malam Anugerah Blokbuster 2011, puteri kepada rocker terkenal Amy Search itu mengejutkan ramai setelah memuat naik gambar berparti Halloween dan mencium payudara lelaki ketika sambutan hari jadi teman rapatnya sekitar bulan Oktober lalu menerusi laman sosial Instagram miliknya. Tidak dinafikan, tahun 2012 juga tahun yang cemerlang karier seninya!

    Fenomena seni 2012

    MAJLIS Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO kali kedua mendapat respons positif daripada karyawan.


    365hari kalendar 2012, ia bercampur baur dengan pelbagai polemik yang tidak kurang menarik dalam dunia hiburan tempatan. Masih berada dalam lingkaran yang sama, karyawan seni tempatan telah mencetus pelbagai fenomena yang mendapat respons positif-negatif daripada banyak pihak.

    SHILA AMZAH melakar fenomena luar biasa dalam karier seninya selepas 12 tahun menjadi penyanyi.


    Gelombang Shila Amzah
    SUDAH berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak 12 tahun lalu, kini penyanyi Shila Amzah pastinya boleh tersenyum bangga dengan pencapaian yang diraihnya sepanjang 2012.
    Bermula dengan kejayaannya pada peringkat antarabangsa selaku juara Asian Wave 2012 di Shanghai, China pada September lalu, kegemilangan penyanyi tersebut berterusan.
    Ia apabila lagu nyanyian dan hasil ciptaannya iaitu Patah Seribu dinobatkan Lagu Terbaik pada acara Anugerah Industri Muzik 19 pada bulan lalu.
    Lebih manis, Shila terpilih mewakili Malaysia ke acara World Music Awards 2012 serta tercalon untuk dua kategori iaitu Artis Wanita Terbaik Dunia dan Penghibur Terbaik Dunia dengan bersaing bersama beberapa penyanyi popular lain seperti Psy, Adele, Justin Bieber, Selena Gomez dan Katy Perry.
    Seiring dengan pencapaian cemerlang dalam karier, percintaan Shila dan kekasihnya, pelakon Shaarnaz Ahmad juga menjadi buah mulut paling hangat sepanjang tahun ini.
    Semuanya gara-gara kemesraan secara terbuka yang ditunjukkan pasangan muda tersebut selain sikap panas baran Shaarnaz yang menimbulkan cerita kurang enak.
    Himpunan Bintang Kosmo!-MyIPO kedua
    SETELAH kali pertama dianjurkan pada tahun 2011, akhbar Kosmo! dan MyIPO sekali lagi bekerjasama menganjurkan Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012 pada 25 Jun lalu. Pada perhimpunan tersebut, antara perkara yang telah diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan peranan kerajaan yang telah mengotakan janji dengan mewujudkan platform melalui Akta Hak Cipta (Pindaan) 2012 untuk melindungi kepentingan dan kebajikan para penggiat seni tanah air. Akta yang telah diluluskan Parlimen pada 22 Disember 2011 dan diwartakan 9 Februari lalu, antaranya memperuntukkan undang-undang yang lebih menguntungkan golongan artis merangkumi aspek kutipan royalti yang lebih telus, penguatkuasaan semula Tribunal Hak Cipta, larangan muat turun bahan seni secara tidak sah serta jumlah bayaran minimum yang sepatutnya diterima oleh penggiat seni.

    ‘Ribut’ seni dunia 2012

    TIDAKpernah padam, kontroversi dan fenomena merupakan rencah utama dunia hiburan antarabangsa. Bagai mengejar antara satu sama lain, isu kontroversi dan fenomena yang dibikin oleh warga seni antarabangsa sentiasa menarik perhatian khalayak.

    KLIP video lagu Oppa Gangnam Style telah mencipta sejarah dunia seni antarabangsa apabila menjadi klip video pertama ditonton sebanyak satu bilion kali.


    Fenomena tarian kuda
    PENYANYI Korea Selatan, Psy atau nama sebenarnya Park Jae-sang mendahului carta impak fenomena tarian kuda Gangnam Style menerusi lagu Oppa Gangnam Style. Klip video lagu itu telah ditonton oleh satu bilion penonton di laman perkongsian video, YouTube sekali gus menjadikannya popular di seluruh dunia. Hanya menerusi satu lagu, Psy kini telah bernaung di bawah syarikat pengurusan yang sama dengan Justin Bieber, Mariah Carey dan Jennifer Lopez iaitu Island Records.

    KATIE HOLMES dan Tom Cruise bercerai pada Jun lalu.


    Penceraian Tom Cruise, Katie Holmes
    BERITA perceraian aktor terkenal Tom Cruise dengan aktres Katie Holmes telah mengejutkan ramai pihak. Perkahwinan mereka nampak bahagia dengan kehadiran anak perempuan comel bernama Suri, 6. Namun, Holmes telah memfailkan perceraian pada Jun 2012 selepas enam tahun berkahwin dan menurut khabar angin kepercayaan Scientology yang dianuti Cruise menjadi punca utama penceraian itu. Perceraian ini merupakan yang ketiga buat Cruise dan yang pertama buat Holmes.

    Pelacur salun diberkas ketika ‘beraksi’ di ranjang


    TUJUH pelacur warga asing diberkas selepas polis menyerbu sebuah salun yang dijadikan markas persundalan di Kepong kelmarin.


    KUALA LUMPUR – Kegiatan haram pemilik salun yang menyediakan khidmat pelacur warga asing sejak beberapa bulan lalu berakhir apabila sebuah premis persundalan dua tingkat di kawasan Kepong di sini diserbu kelmarin.
    Dalam serbuan pukul 9 malam itu polis dapat menahan lima wanita China dan dua rakyat Thailand berusia antara 20 hingga 28 tahun selepas disyaki menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.
    Ketika serbuan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Cegah Judi, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman itu dilakukan, terdapat tiga pelacur sedang melakukan hubungan seks dengan tiga pemuda tempatan.
    Empat lagi pelacur sedang menunggu pelanggan di bilik tidur yang ditempatkan di tingkat atas.
    Pegawai operasi, Inspektor Muhammad Mohd. Jais berkata, selain pelacur, pihaknya turut menahan tiga pelanggan tersebut.

    452 PATI Myanmar dipaksa terjun ke laut Langkawi


    SEBAHAGIAN daripada PATI yang berjaya ditahan berhampiran pantai Teluk Burau, Langkawi semalam.


    LANGKAWI – Hasrat seramai 452 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar untuk mencari rezeki di negara ini musnah apabila salah seorang daripada mereka mati lemas manakala selebihnya nyaris maut ketika cuba berenang ke pantai berhampiran Teluk Burau di sini semalam.
    Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, kesemua PATI berusia tujuh hingga 50 tahun itu dipaksa terjun dari tongkang kayu yang membawa mereka oleh seorang tekong ketika tongkang itu berada kira-kira 500 meter dari pantai.
    Ketua Polis Langkawi, Superintendan Harrith Kam Abdullah berkata, mayat lelaki tersebut ditemui terapung berhampiran kawasan pantai tersebut.
    “Selain itu, dua lagi lelaki ditemui dalam keadaan kritikal dan mereka dikejarkan ke Hospital Langkawi untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

    Pasar Minggu Satok tinggal kenangan


    ORANG ramai mengambil kesempatan mengunjungi Pasar Minggu Satok di Kuching pada hari terakhir sebelum pasar itu berpindah ke lokasi baharu mulai 1 Januari 2013.


    KUCHING – Kisah Pasar Minggu Satok yang terkenal dengan senario hingar-bingar suara peniaga dan pembeli tawar-menawar bakal menjadi nostalgia apabila ia kini dipindahkan ke Medan Niaga Satok, Kubah Ria di sini.
    Destinasi yang popular dalam kalangan penjaja tempatan dan pelancong sejak tahun 1983 itu beroperasi buat kali terakhir tepat pukul 1 petang semalam.
    Tinjauan Kosmo! mendapati para peniaga agak keberatan untuk meninggalkan Pasar Minggu Satok memandangkan ia sudah menjadi rutin mingguan mereka menjaja barangan di situ sejak berpuluh tahun lalu.
    Seorang penjaja, Dawos Nasu, 68, mengakui agak sedih untuk berpindah dari Pasar Minggu Satok selepas lebih 30 tahun berniaga hasil hutan di lokasi tersebut.

    Pesta tahun baru malam ini


    BANDAR raya Kuala Lumpur bermandikan cahaya bunga api setiap kali sambutan tahun baru diadakan.


    KUALA LUMPUR – Bagi mengalu-alukan kedatangan tahun baru 2013 yang membuka tirai pada hari esok, pelbagai acara menarik diatur bagi memeriahkan lagi sambutan ambang tahun baru malam ini.
    Bagi warga ibu kota, beberapa lokasi terpilih bakal menyaksikan kemeriahan sambutan ambang tahun baru dengan pengisian pertunjukan bunga api, konsert dan persembahan artis popular serta acara-acara menarik lain.
    Di pusat pentadbiran negara Putrajaya, Konsert Ambang 2013 Putrajaya anjuran Kumpulan AmBank akan diadakan di Dataran Putrajaya bermula pukul 5 petang.
    Konsert tersebut akan dikendalikan oleh penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail dan penyanyi terkenal, Adibah Noor.
    Pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan oleh artis terkenal tanah air seperti M. Nasir, Jamal Abdillah, Hattan, Mizz Nina, Wings dan Kumpulan Hujan.
    Selain persembahan artis, acara lain bakal dianjur ialah pertandingan futsal, pertunjukan auto-show, pertunjukan pancaragam, pertunjukan kawad patung sebelum acara kemuncak iaitu konsert ambang serta pertunjukan bunga api yang akan dilancarkan tepat pada detik 12 malam.

    Gajah bermain bola sepak


    BEBERAPA ekor gajah menyertai acara bermain bola sepak di Sauraha pada Jumaat lalu. - REUTERS


    SAURAHA, Nepal - Lapan ekor gajah bermain bola sepak dalam pertandingan gajah terbaik yang diadakan di sini baru-baru ini.
    Pertandingan tersebut diadakan selama tiga hari yang bermula pada Rabu lalu dan berakhir Jumaat lepas.
    Selain bermain bola sepak, haiwan-haiwan itu perlu menyertai acara lain seperti gajah tercantik.
    Haiwan-haiwan tersebut dikalungkan bunga dan mempunyai corak lukisan pada acara gajah tercantik itu.
    Setiap haiwan itu dikendalikan oleh pengembala.

    Anugerah muzik Afrika ditangguh kerana Brown tertinggal pesawat


    GAMBAR fail menunjukkan Brown bersama bekas kekasihnya, Rihanna menyaksikan perlawanan bola keranjang antara pasukan New York Knicks dengan Los Angeles Lakers di Pusat Staples, Los Angeles pada 25 Disember lalu.


    ABIDJAN - Penyanyi rap Amerika Syarikat, Chris Brown telah mengakibatkan penganjuran Anugerah Kora di sini terpaksa ditangguhkan kerana dia ketinggalan pesawat ke Ivory Coast, kata pihak penganjur.
    Anugerah itu yang diberi jolokan sebagai Grammy Afrika sepatutnya diadakan kelmarin.
    Pengarah komunikasi anugerah itu, Konnie Toure berkata, Brown tiba semalam.
    Ekoran itu, anugerah berkenaan terpaksa diadakan pada hari ini.
    Anugerah itu pernah dihadiri bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela dan Raja Pop, mendiang Michael Jackson.
    Bagaimanapun, harga tiket yang agak tinggi untuk manyaksikan anugerah berprestij yang berlangsung di sebuah hotel mewah mencetuskan kritikan ramai.
    Harga tiket itu ialah 1,500 euro (RM6,066) untuk penonton yang mahu duduk di kerusi di dalam sebuah hotel mewah.
    Tiket berharga 75 euro (RM303.33) dikenakan kepada penonton yang duduk di luar hotel.
    Brown pernah disabitkan kesalahan kerana memukul bekas kekasihnya, Rihanna yang juga penyanyi menjelang Anugerah Grammy di Los Angeles pada 2009.
    Dia dihukum menjalani program tentang keganasan domestik selama setahun selain dipantau oleh pegawai perunding cara selama lima tahun.

    Kempen siri baharu Baywatch

    ANTARA pelakon siri drama Baywatch pada tahun 1995 ialah Charvet (kiri) yang berdiri di sebelah Hasselhoff dan Paul manakala Anderson (kanan) duduk di sebelah Simmons serta Bleeth.- Agensi


    LOS ANGELES - Aktor terkenal, David Hasselhoff mendapat sokongan dalam usahanya untuk mengembalikan semula siri drama popular pada era 1980-an dan 1990-an, Baywatch di televisyen, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.
    Dia mendapat sokongan daripada aktres Angie Harmon, 40, yang pernah membintangi siri Baywatch Nights.
    Hormon, 40 berpendapat, beberapa pelakon wanita yang pernah membintangi siri itu perlu kembali berlaku selain para pelakon muda.
    Dia memberi contoh tentang kejayaan siri drama Dallas yang diterbitkan semula dan mendapat sambutan yang baik.
    Siri baharu Dallas yang dibintangi mendiang Larry Hagman, Linday Gray dan Patrick Duffy turut dibarisi para pelakon muda.
    Ia merupakan lanjutan daripada siri televisyen Dallas yang ditayangkan dari tahun 1978 hingga 1991.
    "Lihatlah Dallas kini dengan keseluruhan generasi muda, ia berjaya," katanya.
    Menurutnya, siri baharu Baywatch akan menjadi amat menarik dengan pelakon muda berlari di pantai dan menyelamatkan nyawa orang ramai.
    Siri itu mengisahkan tentang kehidupan para pengawal pantai.
    Watak-watak pengawal pantai wanita sebelum ini pernah dipegang oleh pelakon jelita dan seksi seperti Pamela Anderson, Gena Lee Nolin, Alexandra Paul, Yasmine Bleeth dan Carmen Electra.
    Siri Baywatch yang diterbitkan oleh GTG Entertainment mula ditayangkan pada tahun 1989.
    Sejak tahun 2009, Hasselhoff, 60, melancarkan kempen untuk mengembalikan siri itu.
    Bagaimanapun, dia berdepan dengan isu hak cipta dan kos.
    Dia yang melakonkan watak pengawal pantai, Mitch Buchannon menerima bayaran tertinggi pada tahun 1990-an menerusi siri tersebut.
    Hasselhoff pernah menulis draf untuk menjadikan Baywatch sebagai sebuah filem.
    Bagaimanapun, tiada pihak yang berminat dengan ideanya.
    Antara aktor kacak yang pernah membintangi siri drama yang disiarkan di saluran NBC itu ialah David Charvet, Jaason Simmons dan Parker Stevenson.

    Mercun Osama dirampas di Filipina


    SEORANG anggota polis berdiri dekat timbunan mercun Osama di Kem Karingal, Quezon kelmarin. - Agensi


    MANILA - Polis Filipina merampas sejumlah mercun termasuk yang dikenali sebagai Osama Laden di Quezon, utara Manila kelmarin.
    Ia dirampas daripada beberapa vendor sebagai usaha untuk menghalang penggunaan mercun gergasi secara haram menjelang sambutan Tahun Baru.
    Letupan mercun telah menyebabkan beberapa orang terbunuh ketika sambutan tahun baru diadakan sebelum ini.
    Bunyi kuat mercun itu dikatakan boleh menjauhkan roh jahat dan membawa tuah pada tahun baru.
    Osama yang merupakan bekas ketua rangkaian Al-Qaeda mati ditembak oleh komando Amerika Syarikat di sebuah rumah yang dijadikan tempatnya bersembunyi di Abbottabad, Pakistan pada Mei tahun lalu.

    Berita muka depan



    TAHUN 2012 membuka pentasnya dengan kebimbangan segelintir pihak di Barat bahawa peradaban manusia akan berakhir 21 Disember lalu berdasarkan pengiraan kalendar kaum Maya.
    Apa pun ia hanyalah mitos semata-mata. Tumpuan masyarakat dunia, khususnya umat Islam lebih terarah kepada kisah kekejaman berterusan tentera Israel terhadap penduduk Palestin, perang saudara di Syria, penindasan di Rohingya serta penghinaan terhadap Nabi Muhammad.
    Bagaimanapun, amarah yang memuncak itu diredakan dengan pembelaan nasib umat Islam di selatan Filipina di samping pengiktirafan kuasa terhadap ikon pro demokrasi, Aung San Suu Kyi di Myanmar.
    Kuasa alam nyata tidak mengenal mangsa. Taufan Sandy selaju 281 kilometer sejam membadai dan memusnahkan beberapa bahagian Caribbean, tengah Atlantik dan timur laut Amerika Syarikat.
    Episod suka dan duka juga turut mewarnai dalam negara. Imej Kuala Lumpur yang tercalar melalui perhimpunan Bersih 3.0 sebelum ini pulih seketika selepas menerima kunjungan pasangan diraja popular Britain, Putera William dan Kate Middleton.
    Sistem Penguatkuasaan Automatik yang dilaksanakan di seluruh negara pada 12 Ogos lalu juga turut mencetuskan kontroversi di samping mengundang ketidakpuasan hati rakyat.
    Kanak-kanak juga terus menjadi sasaran mudah penjenayah seperti kes penculikan di Kampung Baru serta penculikan seorang kanak-kanak warga Belanda.
    Episod sukan negara juga seakan-akan kelam tahun ini apabila jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei gagal membawa pulang pingat emas, manakala skuad Harimau Malaya juga seakan-akan hilang taringnya dalam misi mempertahankan Piala Suzuki AFF buat kali kedua berturut-turut.
    Gaza diserang 1 Muharam
    UMAT Islam di seluruh dunia yang bersiap sedia meraikan sambutan Maal Hijrah pada 15 November lalu dikejutkan dengan serangan udara besar-besaran oleh rejim Zionis ke atas penduduk Palestin di wilayah Genting Gaza.
    Konflik itu dikatakan bermula selepas pejuang Hamas melancarkan serangan ke atas wilayah Israel yang membunuh tiga rakyatnya bagi menuntut bela atas pembunuhan Ketua Ketenteraan Gaza, Ahmed Jabari sehari sebelumnya.
    Serangan udara yang disifatkan terburuk dalam tempoh empat tahun lalu telah meragut nyawa enam rakyat Israel dan 164 penduduk Gaza termasuk 38 kanak-kanak.
    Selepas lapan hari pertempuran, satu gencatan senjata telah diadakan di antara kedua-dua pihak pada 22 November lalu hasil usaha yang dilakukan oleh Presiden Mesir, Mohamed Morsi.

    PAWANG buaya, Indet Sanabong (kanan) berjaya menewaskan Bujang Sebelak yang menjadi buruannya dengan umpan anjing putih.


    Indet tumpaskan Bujang Sebelak
    KONFLIK manusia dan buaya tercetus lagi di Sarawak yang melibatkan buaya ganas, Bujang Sebelak. Terbaharu, buaya jantan seberat 200 kilogram dan sepanjang lima meter itu mengorbankan tiga mangsa di sekitar Sungai Sebelak termasuk isteri ketua rumah panjang Nanga Sungai Anak, Roban, Siah Munsong, 42.
    Bujang Sebelak yang buta di sebelah mata kirinya dan menjadi buruan selama 14 hari akhirnya berjaya ditumpaskan oleh pawang buaya terkenal, Indet Sanabong, 49, dengan menggunakan mantera dan umpan khas daging anjing putih.
    Filem kontroversi hina Nabi
    FILEM anti-Islam, Innocence of Muslims telah mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia apabila filem tersebut didakwa menghina Nabi Muhammad.
    Filem arahan Sam Bacile, 52, itu disiarkan dalam laman YouTube itu menggambarkan Nabi Muhammad pernah tidur dengan ramai wanita, mengisahkan pembunuhan kanak-kanak dan mendakwa keldai sebagai haiwan Islam pertama.
    Seorang aktivis Kristian yang turut terlibat dalam projek filem berkenaan, Steve Klein memberitahu sekitar 15 pelakon dari Syria, Iraq, Turki, Pakistan, Iran dan beberapa penganut Kristian Qibti Mesir terlibat dalam filem tersebut.
    Seorang lelaki dari negeri California, Nakoula Basseley Nakoula, 55, mengaku membekalkan logistik untuk produksi pembikinan filem tersebut.
    Chong Wei kempunan emas Olimpik
    JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terus kempunan untuk melakar sejarah sebagai penyumbang pingat emas pertama Malaysia di pentas Sukan Olimpik selepas tewas kepada Lin Dan pada perlawanan akhir yang diadakan di Arena Wembley.
    Dalam perlawanan itu, Chong Wei menang set pertama 21-15 tetapi tewas 10-21 dan 19-21 pada set kedua dan ketiga.
    Beliau hanya membawa pulang pingat perak untuk kontinjen negara.

    CEMAS. Fifi Ramadhani diselamatkan pihak polis selepas menjadi tebusan selama enam jam.


    Drama penculikan di Kampung Baru
    DUA kes penculikan menggemparkan negara menarik perhatian masyarakat sepanjang tahun ini. Selepas gagal dipujuk oleh pihak polis selama enam jam supaya melepaskan kanak-kanak perempuan yang menjadi tebusannya, Fifi Ramadhani Syafrudin, 10, seorang lelaki bogel ditembak mati oleh polis. Kejadian berlaku pada awal Januari lalu di sebuah rumah di Lorong Raja Muda Musa, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
    Suspek yang berusia 34 tahun itu yang hanya meminta air dan dadah meninggal dunia kira-kira pukul 4.15 petang ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur.
    Putera William, Kate kunjungi Malaysia
    BUAT julung-julung kalinya, rakyat di negara ini berpeluang melihat dengan lebih dekat Duke dan Duchess Cambridge, Putera William dan Kate Middleton yang melakukan kunjungan rasmi selama tiga hari sempena meraikan ulang pemerintahan ke-60 Ratu Elizabeth II pada September lalu.
    Selain Malaysia, pasangan diraja itu turut melawat Singapura, Kepulauan Solomon, Melanesia dan Tuvalu.
    Peserta Bersih 3.0 gagal kawal emosi
    PERHIMPUNAN anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 3.0 pada 29 April lalu yang kononnya mahu menuntut pilihan raya yang adil bertukar ganas.
    Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga mengakui pihaknya gagal mengawal emosi peserta demonstrasi hingga memaksa polis mengambil tindakan menembak meriam air dan gas pemedih mata.
    Antara yang menyertai Bersih 3.0 ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
    Nayati selamat ke pangkuan keluarga
    NEGARA sekali lagi gempar dengan penculikan seorang kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, pada 27 April lalu.
    Selepas enam hari diculik, di sekolahnya di Mont Kiara International School, Kuala Lumpur itu berjaya ditemui semula di Kawasan Rehat dan Rawat Lebuh Raya Utara-Selatan di Sungai Buloh pada 3 Mei lalu. Keluarganya membayar wang tebusan berjumlah RM300,000 kepada penculik di satu lokasi di Cheras.
    Saham Felda terbesar di Asia
    TARIKH 31 Mei merupakan hari bersejarah buat warga Felda apabila Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) yang terbesar di Asia pada tahun ini.
    Tawaran tersebut merupakan yang kedua terbesar di dunia selepas Facebook yang membabitkan 2.19 bilion saham.
    FGV merupakan syarikat perladangan kelapa sawit ketiga terbesar di dunia disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Jun lalu.
    Suu Kyi menang pilihan raya
    SELEPAS hampir 25 tahun berjuang menentang pemerintahan junta tentera di Myanmar, pejuang kemerdekaan yang juga pemimpin Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi, Aung San Suu Kyi mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen selepas menang pilihan raya kecil pada April lalu.
    Pilihan raya berkenaan menjadi pentas kepada bekas tahanan politik itu untuk menjadi wakil rakyat buat kali pertama dan menerajui blok pembangkang dalam Parlimen Myanmar yang didominasi pihak tentera.

    Gelaran impian milik Olivia Culpo



    DEBARAN untuk mengetahui siapakah Ratu Cantik Universe 2012 akhirnya terjawab apabila gelaran idaman setiap wanita seluruh dunia itu diberikan kepada Ratu Cantik Amerika Syarikat (AS), Olivia Culpo, 20.
    Gadis kelahiran Rhode Island itu mengalahkan 88 jelitawan seluruh dunia dalam pertandingan tahunan yang diadakan di Kasino Planet Hollywood, Las Vegas, Nevada, AS.
    Kemenangan Olivia turut menghentikan penantian AS selama 15 tahun untuk kembali merampas mahkota tersebut apabila kali terakhir memenanginya pada tahun 1997 menerusi Brook Lee.
    Ironinya, sejak pertandingan itu diperkenalkan pada tahun 1952, ratu cantik AS telah lapan kali meraih gelaran tersebut. Tambah menarik, kesemua mereka dinobatkan ketika AS menjadi tuan rumah, sama seperti yang terjadi kepada Ratu Puerto Rico pada tahun 2001, yang mendapat kemenangan di tempat sendiri.
    Secara profesional, ketahanan fizikal dan mental amat diperlukan sepanjang pertandingan itu kerana setiap peserta tidak hanya dinilai berdasarkan paras rupa malah kecantikan peribadi secara menyeluruh.

    LIMA finalis Ratu Cantik Universe 2012. Dari kiri: Ratu cantik dari Brazil, AS, Australia, Filipina dan Venezuela.


    Kemenangan Ratu Cantik Universe 2000, Lara Dutta dari India boleh dijadikan contoh mudah. Meskipun saingan keduanya, Claudia Moreno dari Venezuela memiliki kejelitaan yang jauh lebih tinggi berbandingnya, Lara berjaya menambat hati juri atas tiket kebijaksanaannya menjawab soalan selain memiliki personaliti yang disenangi.
    Turut diakui, bukan mudah berdepan dengan jutaan mata yang memerhati sosok tubuh dan penampilan diri. Ditambah pula senyuman manis yang harus dilemparkan sepanjang waktu terutamanya saat lensa kamera mengekori pergerakan.
    Menarik perhatian
    Pada pertandingan lalu, kesemua jelitawan yang berkampung selama dua minggu di Las Vegas mencuba sehabis daya untuk menarik perhatian juri dan dunia dengan pesona anggun mereka melalui beberapa saringan.
    Ia merangkumi peragaan baju renang, sesi soal jawab, peragaan kostum kebangsaan, gaun malam dan akhirnya malam kemuncak pengumuman lima terbaik pada malam final.
    Lima yang layak ke pusingan akhir ialah peserta dari Brazil, Filipina, Australia, AS dan Venezuela. Jika dilihat seleksi peserta akhir itu, ia seakan-akan mengulang kembali pilihan yang terdahulu yang datangnya dari negara yang sama.
    Adakah jelitawan dari negara-negara tersebut sahaja yang layak ke pusingan akhir atau wujud campur tangan orang dalam di sebalik pertandingan yang telah memasuki edisi ke 61 itu? Persoalan itu masih kekal tanda tanya dan tiada siapa berani meletak andaian secara rambang.
    Sesi soal jawab antara saat paling genting bagi kelima-lima peserta akhir kerana ia bakal memperlihatkan kematangan mereka dalam memberi jawapan secara spontan.
    Paling utama, mereka tidak boleh menunjukkan kebodohan mahupun keangkuhan dalam diri.
    Meskipun ketinggian Olivia menjadi perdebatan ramai, dia masih menyerlah ketika menyarungkan busana baldu rona merah.
    Ketika diajukan soalan sama ada dia pernah menyesali perkara yang dilakukan sepanjang hidupnya, dengan pantas pelajar Universiti Boston itu menjawab: “Saya ingin menyatakan bahawa setiap pengalaman itu sangat berguna tidak kira ia baik atau buruk.

    KEMENANGAN Lara Dutta pada tahun 2000 membuktikan bahawa pakej menyeluruh dalam diri seseorang ratu cantik benar-benar diambil kira.


    “Namun, satu perkara yang saya amat kesali ialah saya selalu menyakat adik-beradik dan kini saya sedar kita akan lebih menghargai mereka apabila meningkat dewasa.”
    Jawapan yang ringkas dan sedikit klise namun berjaya menambat hati setiap juri yang berasal dari AS sendiri. Rata-rata juri mempunyai latar belakang yang berbeza dan tiada kena mengena langsung dengan penjurian pertandingan ratu cantik.
    Jawapan meyakinkan
    Berdasarkan pemerhatian awam, peserta dari Filipina, Janine Tugonon dianggap sebagai yang terbaik ketika sesi soal jawab berlangsung. Paling penting, dia tidak mengulangi keangkuhan peserta negaranya tahun lalu apabila memberikan jawapan yang bijak dan begitu meyakinkan.
    Malangnya, kebijaksanaan Janine masih gagal menganugerahkan Janine mahkota tersebut walaupun dilihat sebagai pesaing paling kuat sepanjang pertandingan.
    Janine yang berusia 23 tahun hanya mampu berpuas hati di tempat kedua. Bagaimanapun, Janine muncul juara dalam pemilihan dalam kalangan pengguna laman sosial, Twitter dan menjadi pilihan pertama dalam hati setiap penyokong dari Asia dan negaranya sendiri.
    Tempat ketiga diberikan kepada peserta Venezuela, Irene Sofia Esser Quintero manakala tempat keempat menjadi milik Renae Ayris (Australia) dan kelima disandang oleh Gabriela Markus (Brazil).
    Antara 10 juri yang menghakimi malam kemuncak tersebut ialah penyanyi, Cee Lo Green, Bintang Iron Chef, Masaharu Morimoto dan pemain besbol San Francisco Giants, Pablo Sandoval serta selebriti realiti TV, Scott Disick.
    Saingan Kimberley
    Kepelbagaian identiti para juri tidak menghilangkan seri Ratu Cantik Universe 2012 apabila ia terus meninggalkan momen indah buat setiap peserta dan penyokong.
    Ia turut memberi kenangan bermakna buat peserta Malaysia, Kimberley Leggett, 19, yang berusaha sehingga ke titik akhir walaupun dicanang bakal memberi persaingan getir dalam edisi kali ini.
    Kimberley dengan yakin melangkah bersama persalinan indah rekaan Jovian Mandagie ketika malam pusingan awal. Kostum kebangsaan yang diperagakan juga menarik perhatian ramai sehingga diramalkan bakal menempah slot dalam kelompok Top 16.
    Kelibat Kimberley turut kelihatan dalam surat khabar antarabangsa dan blog-blog fesyen sebagai peserta pilihan dalam pertandingan yang dimiliki oleh hartawan hartanah AS, Donald Trump itu.

    KESIBUKAN suasana persiapan para peserta ratu cantik di belakang pentas.


    Perjuangan Kimberley masih belum bernoktah kerana perjalanan gadis kelahiran Pulau Pinang itu masih panjang dan terbentang luas di hadapannya. Bidang peragaan mahupun industri seni tempatan dan antarabangsa akan ternanti-nanti kehadiran Kimberley berbekalkan aset wajah yang mulus dan senyuman manis.
    Wakil Malaysia pada tahun depan, Carey Ng, 23, baru sahaja dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Malaysia Universe 2013. Adakah gadis kelahiran Kuala Lumpur itu bakal mencatat sejarah sebagai anak Malaysia pertama membawa pulang mahkota Ratu Universe? Segalanya tidak mustahil untuk diimpikan.
    Untuk rekod, pencapaian terbaik negara dalam pertandingan Ratu Cantik Universe setakat ini ialah Yasmin Yussuf pada tahun 1978 (tempat kedua kostum kebangsaan) dan Josephine Lena, tahun 1970 (Top 15).