jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Wednesday, October 31, 2012

Chef Riz Akui Rumah Tangganya Sedang Bergolak


Chef Riz dan Ana melangsungkan perkahwinan pada 1 Disember tahun lalu.
PETALING JAYA: Chef selebriti, Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 31, mengakui perkahwinannya dengan aktres jelita, Ana Dahlia yang belum mencapai usia setahun kini sedang bergolak.
Chef Riz dalam kenyataannya kepada akhbar Kosmo! pada Rabu bagaimanapun enggan mengulas tentang dakwaan kononnya mereka berdua telah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor baru-baru ini.
"Biasalah dalam perkahwinan, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula hubungan suami isteri. Memang kami ada perselisihan faham dan saya ingin menyelamatkan perkahwinan kami.
"Saya sayangkan dia (Ana) dan saya harap jodoh kami panjang. Buat masa ini apa yang boleh saya beritahu, tunggu sahajalah perkembangannya," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.
Menurut Chef Riz, beliau sebaik-baiknya tidak mahu mengulas panjang lebar mengenai kisah rumah tangga mereka kerana bimbang ia akan memburukkan keadaan.
Sebelum ini rumah tangga mereka dikatakan bergolak apabila Ana dikatakan telah berbaik dengan bekas teman lelakinya pada pertengahan Oktober lalu.
Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan oleh Ana yang menganggap ia sebagai kontroversi yang tidak dapat dielakkan dalam dunia hiburan.
Chef Riz, bernikah dengan Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, pada 11 Disember 2011.
Sebelum berkahwin dengan Chef Riz, Ana merupakan seorang janda.

Scha Amalkan Tip Untuk Segera Bergelar Ibu

Scha menjalani ujian saringan untuk memastikan sentiasa sihat agar segera hamil.
KUALA LUMPUR: Pelakon Scha Al-Yahya tidak sabar untuk bergelar ibu dengan mengamalkan beberapa tip agar zuriat untuk kebahagiaan rumah tangganya bersama Awal Ashaari.
Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 29, berkata, meskipun menganggap rezeki itu hanya ditentukan Tuhan, namun dia turut memainkan peranan berusaha ke arah itu kerana tidak mahu menunggu lama untuk bergelar ibu.
"Terus terang cakap, saya memang teringin untuk mendapatkan zuriat. Siapa yang tak nak bukan?
"Sebagai seorang yang pentingkan penjagaan kesihatan, saya ada membuat beberapa ujian saringan dan menjaga pemakanan yang betul serta mengamalkan tip-tip yang disarankan doktor walaupun tidak membuat sebarang perancangan untuk dapatkan anak.
"Apa-apa pun saya serahkan semua itu kepada Tuhan dan sekiranya tiada rezeki, sekurang-kurangnya saya berusaha," katanya.
Tambah Scha, melihat usianya yang semakin meningkat, dia juga tidak akan melengah-lengahkan masa untuk bergelar ibu, namun tidak terlalu memaksa diri untuk mengelak daripada tertekan.
"Doktor sudah pesan, berada dalam keadaan tertekan menyukarkan kita untuk hamil. Selain itu saya turut bersenam agar diri sentiasa cergas," ujarnya.
Sementara itu, Scha kini menjadi duta kepada produk minyak wangi Avon termasuklah haruman yang terbaru iaitu City Rush.
Kata pelakon filem Awan Dania The Movie ini, dia telah mengambil alih tugas pelakon Fazura yang juga menjadi jurucakap minyak wangi Avon sebelum ini sejak menandatangani kontrak pada April tahun lalu.
"Selepas menandatangani kontrak, saya telah ke Filipina pada tahun lalu untuk melakukan sesi penggambaran foto kesemua produk minyak wangi Avon termasuklah City Rush.
"Menarik tentang City Rush, ia dicipta untuk wanita yang bekerjanya dan mempunyai personaliti yang yakin pada diri sendiri.
"Ia juga merupakan salah satu haruman Avon yang saya gemari selain Herve Leger dan Far Away," ujarnya
Minyak wangi City Rush yang berharga RM99 boleh didapati di mana-mana butik kecantikan Avon seluruh negara.

Taufan Sandy : Liyana Jasmay & Juliana Evans Selamat

PETALING JAYA: Dua artis popular tanah air iaitu Liyana Jasmay dan Juliana Evans yang kini menyambung pelajaran New York dan Michigan, Amerika Syarikat berada dalam keadaan selamat ketika bencana alam Taufan Sandy melanda negara itu.
Kedua-dua artis itu menerusi laman Twitter milik mereka menyatakan perasaan bimbang dan berkongsi pengalaman berhadapan dengan keadaan tersebut.
Menurut Liyana Jasmay yang sedang menyambung pelajaran jangka pendek dalam jurusan pengarahan lakonan di New York Film Academy, situasi di tempatnya sangat buruk dengan angin yang kuat.
Bagaimanapun, dia memberitahu berada dalam keadaan baik dan kawasan kediamannya terletak di zon selamat.
Antara petikan dari Twitter milik Liyana Jasmay
"Keadaan sangat buruk, Taufan Sandy dijangka akan melanda kawasan ini, namun rumah saya berada dalam zon selamat, saya harap semuanya akan selamat.
"Angin kuat, nak masak awal-awal takut bekalan elektrik terputus, sangat risau dan berdoa kepada Allah sahaja," tulisnya pada Isnin.
Namun tiada sebarang perkembangan terbaru dari Liyana menerusi kemas kini terakhir pada petang Isnin lalu memberitahu bekalan elektrik terputus.
Sementara itu, Juliana Evans juga turut mengemas kini status Twitternya dengan mengatakan kawasan kediamannya di sana berada dalam keadaan baik.
"Saya berada dalam keadaan selamat di sini, berdoa semoga semuanya selamat, Insya-Allah.
"Cuaca di sini agak teruk dan hujan, namun saya dengar taufan itu tidak melanda daerah Michigan, Alhamdulillahlah," tulisnya pada Rabu.
Juliana menyambung pengajian dalam jurusan Komunikasi Massa di Universiti Michigan.
Twitter milik Juliana Evans
Menurut kenyataan Wisma Putra yang dikeluarkan pada Selasa, kira-kira 1,200 pelajar Malaysia berada di kawasan terjejas.
Jabatan Pelajar (kedutaan) telah berhubung dengan Pejabat Pelajar Antarabangsa di universiti-universiti di kawasan itu untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan keselamatan pelajar.
Bagaimanapun, Kedutaan Besar Malaysia di Washington dan Konsulat Jeneral Malaysia di New York melaporkan tidak menerima apa-apa laporan rakyat Malaysia dalam bahaya.

'Mangaribut' Bukan Istilah Mencarut - Taiyuddin Bakar

Thai menjelaskan ayat 'Mangaribut' adalah perkataan baru yang diperkenalkan olehnya untuk menggambarkan sikap gelabah.
PETALING JAYA: Pelakon Taiyuddin Bakar atau Thai menjelaskan perkataan 'mangaribut' yang menjadi simbol apabila dipertuturkannya menerusi filem Apa Celop Toqq bukan perkataan mencarut sebaliknya membawa maksud menggelabah.
Thai berkata, dia tidak berniat untuk memperkenalkan istilah yang negatif kepada masyarakat sebaliknya ia sebagai satu kesinambungan kepada perkataan 'Apa Celop' yang dihasilkannya sehingga popular sebelum ini.
"Idea ayat 'mangaribut' itu datang daripada saya sendiri untuk digunakan dalam filem terbaru saya dan ia bukan memberi apa-apa maksud negatif sebaliknya untuk menggambarkan sifat gelabah seseorang," ujarnya kepada mStar Online.
Selain 'mangaribut', Thai memberitahu dia turut memperkenalkan ayat 'orang dok nengok ajelah kau ni' dalam filem tersebut sebagai salah satu lagi simbol kepada filem arahan Ahmad Idham itu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perselisihan faham yang didakwa berlaku di antara dia dengan Ahmad Idham, Thai berkata perkara itu diperbesar-besarkan oleh pihak lain dan ia hanya masalah kecil.
Katanya, pertengkaran adalah perkara biasa namun jangan terlalu terbawa-bawa sehingga boleh merosakkan hubungan dan merugikan kedua-dua belah pihak.
"Ada satu titik kita akan jumpa satu simpang yang boleh menyebabkan perselisihan faham dalam satu perkara dan saya menganggap itu perkara biasa kerana ia berkaitan dengan kerja.
"Bagaimanapun ia adalah perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan baik," katanya.
Sementara itu, Thai berkata, dia amat berterima kasih kepada Ahmad Idham kerana telah banyak membantu mempopularkan jenama 'Apa Celop' sehingga ia menjadi satu fenomena.
Thai berkata, walaupun ia adalah idea asalnya tetapi pengaruh pengarah terkenal itu telah merealisasikan impian berkenaan.
"Kalau Idham tak popularkan jenama 'Apa Celop' itu tidak akan ke mana dan penggunaan perkataan itu telah menjadi fenomena dan ikutan masyarakat," jelasnya.
Filem Apa Celop Toqq sedang ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia bermula 25 Oktober lalu.

Walt Disney Beli LucasFilm & Francais Star Wars RM12.3 Juta


Pelakon Hayden Christensen berperanan sebagai Anakin Skywalker dalam Star Wars: Episode II Attack of the Clones.
LOS ANGELES: Dalam satu perjanjian yang di luar jangkaan dan mengejutkan, Walt Disney Co mengumumkan bahawa mereka telah bersetuju untuk membeli karya-karya George Lucas menerusi firmanya, Lucasfilm Ltd dan juga keseluruhan francais “Star Wars" milik Lucas pada harga AS$4.05 bilion (RM12.3 juta) dalam bentuk tunai dan stok.
Agensi berita Reuters melaporkan pada Rabu, perjanjian mega itu termasuklah persetujuan Disney untuk menerbitkan siri baru Star Wars pada tahun 2015.
Ketua Eksekutif Disney, Bob Iger berkata, pelan baru mereka adalah untuk menerbitkan filem baru Star Wars setiap dua atau tiga tahun.
Filem terakhir dalam siri filem "Star Wars" ialah "Revenge of the Sith" pada tahun 2005.
Selepas itu, Lucas sentiasa menafikan yang beliau mahu meneruskan penerbitan filem “Star Wars” yang baru.
Bagaimanapun di bawah perjanjian baru dengan Disney ini, Lucas akan kekal sebagai konsultan kreatif untuk apa jua filem baru “Star Wars” yang akan diterbitkan nanti.
"Telah tiba masanya untuk saya melepaskan 'Star Wars' kepada generasi baru pembikin filem," kata Lucas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Lucas juga diumumkan sebagai pemegang saham individu kedua terbesar di dalam Walt Disney Co dengan 2.2 peratus pegangan saham.
Disney akan membayar kira-kira separuh daripada harga pembelian Lucasfilm dan francais ‘’Star Wars” dalam bentuk tunai kepada Lucas manakala selebihnya akan ditawarkan dalam bentuk 40 juta syer baru.
"Ini adalah pembelian aset yang terbesar dalam sejarah hiburan Hollywood sama sepertimana kejayaan Disney membeli Marvel Entertainment dan Pixar Studio pada tahun 2009 dan 2006," kata Iger.
Iger menambah, beliau dan Lucas pertama kali berbincang secara serius mengenai pembelian tersebut kira-kira 18 bulan yang lalu setelah Lucas menyatakan hasratnya untuk bersara dari penerbitan filem.
Beliau juga menambah, kekuatan penjenamaan 'Star Wars' menjadi pendorong untuk Disney membeli francais tersebut sepenuhnya dari Lucas.
Iger juga percaya, terdapat tuntutan dan pasaran yang masih besar terhadap siri filem “Star Wars” pada masa depan.
Perkara ini disokong oleh fakta bahawa setiap satu daripada tiga siri terakhir filem berkenaan menjana pendapatan tidak kurang dari AS$1.5 bilion (RM4.5 bilion) pada kiraan pasaran semasa box office.
Malah karakter-karakter ikonik filem berkenaan mampu menjana pendapatan yang lumayan dalam bentuk barangan mainan dan lain-lain produk konsumer di seluruh dunia.
Misalnya produk barangan mainan dua karakter utama “Star Wars” iaitu Darth Vader dan Yoda sahaja menjana pendapatan sekitar AS$215 juta (RM655.9 juta) setahun di seluruh dunia.
Pada 2005, iaitu tahun siri terakhir filem "Star Wars" ditayangkan, LucasFilm memperoleh AS$550 juta dalam bentuk pendapatan operasi daripada jenama filem tersebut sahaja.
Selain “Star Wars” satu lagi produk utama Lucasfilm adalah siri “Indiana Jones”.
Kini para peminat tertunggu-tunggu apakah akan wujud episod ke-7 dalam saga pengembaraan Luke Skywalker dan nemisisnya Darth Vader yang juga merupakan bapa kandungnya.

Kamal Adli Mahu Kukuhkan Bakat Melalui Teater

Kamal Adli Mahukan Kepuasan Menerusi Bidang Teater.
PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli berhasrat untuk mengasah bidang lakonan menerusi pentas teater selain berhasrat memberi fokus pada bidang itu pada masa akan datang.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 26, berkata, sudah tiba masanya untuk dia mencari kepuasan lakonan dan menganggap bidang teater adalah yang terbaik untuknya.
"Alhamdulillah, rezeki saya pada tahun ini melimpah dengan kerja-kerja lakonan drama serta filem. Ia sedikit sebanyak dapat menaikkan nama saya selepas menyepikan diri gara-gara peningkatan berat badan.
"Bagaimanapun, tahun depan, saya ingin mencari peluang untuk berlakon teater pula.
"Selepas menjayakan teater Gerimis Mengundang pada tahun lalu, saya mula jatuh cinta dengan bidang itu, ia memerlukan komitmen yang sepenuhnya dan pada masa sama memberikan kepuasan yang maksima selepas selesai pementasan," katanya.
Tambah kekasih kepada Intan Ladyana ini, dia juga ingin bersama dengan pelakon-pelakon teater lain dalam membantu mengangkat kembali industri teater negara yang semakin dipandang sepi.
Sementara itu, Kamal turut mengikut jejak langkah selebriti lain dengan memulakan perniagaan menjual pelbagai jenis biskut dan kek termasuklah biskut coklat, kek keju dan “pavlova”.
Perniagaan yang masih lagi belum diletakkan labelnya itu dijalankan bersama keluarga Kamal menerusi syarikat miliknya iaitu “Kamal Adli Creation”.
"Sebenarnya kakak saya dah lama mengambil tempahan biskut dan kek. Kemudian, apabila melihat respons daripada pembeli yang sangat menggalakkan, kami ingin melakukan perniagaan ini secara serius.
"Masih lagi terlalu awal untuk dibincangkan tetapi tempahan boleh dibuat menerusi Facebook atau hubungi kakak saya menerusi talian 013-6090369," ujarnya.
Kata Kamal, dia juga sedang merancang untuk membuat sebuah blog khas bagi memudahkan lagi pembeli untuk membuat tempahan.

Penerbit Sambut Baik Kerajaan Kaji Harga Drama TV

Jurey yang mewakili Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan stesen TV akan mengadakan mesyuarat dengan menteri dalam waktu terdekat bagi menetapkan harga bayaran pembelian drama dan telefilem.
PETALING JAYA: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) menyambut baik reaksi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mengkaji semula harga pembelian drama daripada syarikat produksi tempatan.
Presidennya, Jurey Latiff Rosli berkata, pihaknya menghargai usaha kementerian yang mendengar rungutan persatuan itu sejak sekian lama berhubung isu bayaran murah oleh stesen televisyen (TV) di negara ini.
Katanya, pada Khamis lalu, PTVM, wakil-wakil kesemua stesen negara ini serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengadakan mesyuarat dengan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf bagi mencadangkan pelarasan harga standard pembelian drama dan telefilem pada semua stesen mengikut harga RTM.
“Kami bersyukur dan begitu menghargai reaksi kementerian terhadap rungutan disuarakan PTVM berhubung isu bayaran murah oleh stesen TV selama ini.
“Alhamdulillah, hasil mesyuarat dengan KSU pada Khamis lalu, sebuah mesyuarat di antara semua wakil TV dengan menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim akan diadakan dalam waktu terdekat bagi memutuskan perkara itu,” katanya.
Jurey berkata demikian ketika dihubungi mStar Online pada Selasa sebagai respons kepada kenyataan dikeluarkan Kamaruddin pada Selasa berhubung isu tersebut.
Pada masa ini, harga pembelian bagi program TV dibayar mengikut kualiti yang dinilai oleh panel penilaian dan diluluskan oleh Jabatan Perbendaharaan.
Kadar yang ditetapkan bagi sebuah telefilem di RTM adalah antara RM100,000 hingga RM150,000 manakala bagi drama bersiri pula antara RM40,000 hingga RM45,000 setiap episod.
Kata Jurey, rungutan tersebut disuarakan kerana pihaknya meminta agar pelarasan harga bayaran standard dikenakan ke atas semua stesen di negara ini bagi memudahkan pihaknya menetapkan kadar baru bayaran kru sesebuah produksi.
Kali terakhir harga bayaran pembelian drama dan telefilem dinaikkan adalah pada 17 tahun lalu.
“Selama ini, kita susah untuk menetapkan kadar bayaran tertentu kepada para pekerja produksi kerana harga bayaran drama adalah berbeza di antara stesen TV.
“Sebab itu, pada mesyuarat lalu, kita bersepakat untuk meminta pelarasan harga standard bagi pembelian drama agar memudahkan kita mengkaji bayaran gaji yang bersesuaian kepada pekerja produksi pula pada masa akan datang,” katanya.
Jurey berkata, kenaikan harga bayaran pembelian drama dan telefilem itu adalah wajar memandangkan kos sara hidup semakin meningkat saban tahun.
Sejak 1995, harga pembelian program TV dikeluarkan mengikut kehendak stesen televisyen masing-masing.
Bagi sebuah telefilem, sebut harga di RTM (Radio Televisyen Malaysia) adalah di antara RM100,000 hingga RM110,000, Media Prima (RM85,000 hingga RM89,000) dan Astro pula meletakkan harga RM80,000 hingga RM90,000.
Untuk drama 60 minit pula, penerbit akan mendapat bayaran sebanyak RM40,000 hingga RM45,000 bagi RTM, Media Prima (RM35,000 hingga RM40,000) dan Astro (RM35,000 hingga RM40,000).
Pada awal Mac lalu, PTVM meminta kerajaan mengeluarkan garis panduan kepada semua pemilik stesen TV di negara ini supaya dapat menyelaraskan kadar pembelian program-program TV yang tidak pernah berubah sejak tahun 1995.

Peminat Sazzy Falak Bertambah Kerana Perniagaan 'Online'

Sazzy beranggapan penambahan peminat-peminatnya mungkin berpunca daripada perniagaan fesyen secara online iaitu SFbySF.
PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon Sazzy Falak tidak menyangka masih mempunyai kelompok peminat yang terdiri daripada pelbagai peringkat dan bukan hanya golongan “urban” atau penduduk bandar sahaja seperti yang dianggap sesetengah pihak.
Sazzy atau nama sebenarnya Sazlini Shamsul Falak, 31, berkata, walaupun kurang muncul di televisyen, dia beranggapan penambahan peminatnya mungkin berpunca daripada perniagaan fesyen secara dalam talian (online) iaitu Street Fashion by Sazzy Falak (SFbySF) yang dikendalikan
"Syukur Alhamdulillah, walaupun jarang mengambil tawaran berlakon atau mengacara di televisyen, tetapi orang masih lagi kenal saya.
"Mungkin juga kerana perniagaan SFbySF yang dijalankan, ia sedikit sebanyak membantu mengekalkan nama saya menjadi sebutan ramai," katanya.
Sazzy ditemui pada majlis pelancaran program televisyen OMG di Restoran The Bee, Publika, dekat sini, Selasa.
Sazzy Falak dan Razif Hashim.
Tambah pelakon filem Tolong! Awek Aku Pontianak ini, dia sebenarnya rindu untuk beraksi menerusi lakonan drama, tetapi jangka masa penggambaran yang agak lama menyukarkannya menerima tawaran yang diberi.
"Sebenarnya saya sering mengacara untuk pelbagai majlis korporat serta perkahwinan dan biasanya khidmat saya sudah ditempah seawal satu bulan.
"Dan apabila ada beberapa produksi yang menawarkan saya berlakon dengan tempoh masa yang lama, saya terpaksa tolak,” tuturnya.
Sementara itu, Sazzy bakal muncul di saluran DIVA Universal menerusi program OMG yang dikendalikannya bersama Razif Hashim.
Beritahu Sazzy, program bual bicara itu merupakan sebuah rancangan terbitan tempatan yang pertama disiarkan di saluran antarabangsa tersebut.
"Saya begitu teruja apabila dapat mengendalikan sebuah program yang akan ditayangkan di saluran antarabangsa.
"Tambah pula, teman saya sendiri, Razif mengacara bersama dan ia membuatkan kami serasi mengendalikan program tersebut," ujarnya.
Program itu mengupas topik terkini melibatkan kerja, keluarga, persahabatan dan perhubungan dengan memperkenalkan tiga segmen utama iaitu 'OMG Celebrity', 'OMG Miss Chilled' dan 'Oh My Gaji'.
Artis-artis jemputan seperti Lisa Surihani, Jaclyn Victor, Mizz Nina, Hannah Tan dan Deborah Henry turut mewarnai program tersebut.
OMG yang bersiaran sebanyak 13 episod itu akan bersiaran bermula 5 November ini, setiap Isnin, pukul 7.30 malam di saluran berkenaan.

AIM19 : Aznil & Adibah Noor Janjikan Gaya Bersahaja

Gandingan mantap pengacara AIM 19 dari kiri; Aznil Nawawi, Adibah Noor, Dahlia Shazwan dan Awal Ashaari.
KUALA LUMPUR: Pasangan pengacara Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19 iaitu Aznil Hj Nawawi dan Adibah Noor bakal mempertaruhkan gaya bersahaja dan usik-mengusik dalam menerajui acara itu pada 17 November depan.
Menurut Aznil yang julung kali bergandingan dengan Adibah, dia bersedia untuk menampilkan kelainan pada kemunculannya bagi mengekalkan prestij anugerah seiring dengan 19 tahun usia penganjurannya.
"Sesuatu yang baru perlu kami perkenalkan selepas 19 tahun AIM dianjurkan. Saya kira untuk tempoh itu, penggiat seni dan penonton juga sudah matang untuk melihat perjalanan majlis yang selaras dengan prestijnya.
"Kita sering ambil jalan mudah (penganjuran) dengan membariskan pelawak sebagai hos bagi menceriakan suasana.
"Sudah tiba masanya tugas itu digalas oleh pengacara yang sebenar dan di situlah cabaran kami untuk mengacara dan menjaga momentum majlis agar tidak lesu dan hambar," katanya.
Aznil berkata demikian ketika ditemui mStar Onlinedi sini pada Selasa selepas sidang media pengumuman pengacara dan persembahan artis pada malam anugerah nanti.
Sebahagian daripada artis dan individu terliat dalam AIM 19 pada tahun ini.
Malam anugerah yang bertemakan "Black & White Glam Glitz" itu akan diadakan pada 17 November depan di Stadium Malawati, Shah Alam, dekat sini.
Siaran langsung anugerah akan disiarkan bermula pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Mustika HD (saluran 134).
Ia bermula dengan acara Karpet Glamor yang disiarkan pada pukul 8.30 malam kendalian Awal Ashaari dan peserta On Air, Dahlia Shazwan.
Katanya, keutamaan yang diberikan pada malam itu adalah untuk mengawal perjalanan majlis dan penyampaian anugerah agar tidak meleret seperti yang kerap berlaku.
Jelas Aznil, beberapa kesilapan dilakukan para penyampai anugerah seperti bergurau-senda secara berlebihan dan meleret atau beraksi bingung ketika di pentas menjejaskan kelancaran acara.
"Pada kali ini, kami mahu mengawal kekurangan itu dengan muncul bersama setiap kali penyampai anugerah mahu menyampaikan trofi."Nadi majlis terletak pada kami. Kami perlu bijak mengimbanginya agar ia ceria dan tidak meleret. Ia akan melibatkan usikan dan gurauan ringkas dalam menjaga momentum majlis," katanya.
Ditanya tidakkah pendekatan itu dilihat seolah-olah dia mahu mendominasi acara, Aznil berkata, perkara itu tidak timbul kerana ia bertujuan untuk menjaga perjalanan majlis mengikut aturan masa dan pengisian yang ditetapkan.
"Bukan saya mahu mendominasi AIM tetapi bagi mengelakkan kesilapan dan kekalutan yang sering kita lihat pada sesebuah anugerah daripada berulang.
"Kita tidak mahu AIM dilihat seperti anugerah santai dan tidak serius kerana ia berprestij dan sudah mencecah 19 tahun," katanya.
Dalam pada itu, Adibah berkata, keserasian yang mereka miliki walaupun tiada pengalaman mengacara bersama sebelum ini memberikan keyakinan tugas itu mampu dilaksanakan dengan baik kelak.
"Saya percaya keserasian antara kami akan memudahkan lagi tugas mengendali AIM walaupun ini adalah pertama kali kami digandingkan.
"Gaya usik-mengusik dan spontan yang kami pertaruhkan itu akan memberikan kelainan dan mengawal momentum acara," katanya yang sudah empat kali mengacarakan AIM.
Antara barisan artis yang akan membuat persembahan adalah Datuk Siti Nurhaliza & Hafiz, Shila Amzah, Stacy, kumpulan May, Lefthanded, Klangit, Forteen, GX4, Mojo, One Nation Emcees dan Jimmy Palikat.
Ia turut. diserikan barisan penyampai antaranya Datuk Hattan, Dr Fazley, Nora Danish, Siti Sarah, Yassin dan Heliza Helmi.AIM 19 mempertandingkan 16 kategori.

Sharifah Sakinah versi serius



TIDAK dinafikan wataknya sebagai Kinah menerusi Biar Mimpi Sampai Ke Bintang telah memberi impak yang tersendiri buat pelakon Sharifah Nurul Sakinah Al-Khaired Syed Abu Bakar.
Berlakon di samping Elfira Loy dan Randy Pangalila dalam telefilem tersebut, karakter Sakinah yang membawakan watak anak orang kaya yang kebodohan ternyata berhasil mencuit hati penonton.
Biarpun namanya semakin dikenali ramai selepas itu, ternyata Sakinah tidak mampu lari daripada berhadapan dengan beberapa kisah kontroversi yang melanda dirinya.
Pada awal kemunculannya dalam bidang lakonan, Sakinah pernah berselisih faham dengan pelakon Julia Ziegler dan Gambit Saifullah.
Kemudian pelakon berusia 23 tahun itu juga pernah dilabel sebagai seorang artis sombong gara-gara kerap menolak permintaan pihak media yang ingin mengadakan sesi fotografi dengannya.
Berkesempatan menemuinya semasa siri jelajah Anugerah Skrin 2012 yang berlangsung di Pulau Pinang baru-baru ini, pelakon berkenaan menafikan dia seorang yang suka mencipta kontroversi.
"Seboleh-bolehnya saya mahu menjadi seorang individu yang lebih matang dan tidak mahu mengingati lagi semua kontroversi yang pernah melanda diri saya dahulu.
"Sekarang ini saya enggan menoleh ke belakang lagi dan ingin dikenali sebagai seorang pelakon yang berbakat, bukannya pelakon yang sarat dengan kontroversi," jelasnya.
Menurut Sakinah, memandangkan minat yang begitu mendalam dalam bidang seni, dia pernah berhadapan dengan dilema sama ada memilih untuk bergelar pelakon atau memberikan fokus kepada pelajarannya.
Sebelum ini dia pernah menuntut di Kolej Universiti HELP di Damansara, Selangor dalam bidang pengajian undang-undang, tetapi hanya belajar separuh jalan dan kemudian mengambil keputusan untuk berhenti.
"Pada mulanya saya memang pernah bercita-cita mahu menjadi seorang peguam, namun akhirnya saya sedar bidang tersebut tidak sesuai dengan diri saya. Ternyata, jiwa saya lebih kepada bidang lakonan," ujarnya.
Berkenaan dengan gelaran artis sombong yang pernah dilabelkan pihak media sebelum ini terhadap dirinya, Sakinah memberitahu dia tidak berniat untuk menimbulkan sebarang masalah atau enggan memberikan kerjasama.

FIGURA ini berusaha sendiri untuk meraih peluang dalam bidang lakonan.


Ujarnya, dia bukan sengaja menolak tawaran untuk mengadakan sesi fotografi yang diaturkan media, tetapi dia sebenarnya seorang individu yang kurang gemar bersolek.
"Dulu saya tidak serius untuk bergelar pelakon. Saya terbabit dalam dunia lakonan pun sekadar suka-suka sahaja dan tidak terlampau mengejar populariti sangat serta tidak kisah kalau cerita mengenai diri saya kurang didedahkan dalam media.
"Bagaimanapun, lakonan sudah menjadi keutamaan saya sekarang dan sedar populariti itu memang penting jika hendak pergi lebih jauh. Kini, saya bersedia memberikan kerjasama terutamanya untuk mengadakan sesi fotografi dengan mana-mana media," ujarnya.
Rakan baik
Sejak namanya menjadi sebutan ramai selepas membintangi Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, ternyata Sakinah dilihat banyak terbabit dengan drama dan telefilem arahan Michael Ang dan syarikat penerbitan Cube Film sehinggakan dia dilabel sebagai anak emas pengarah popular tersebut.
Mengakui pengarah itu merupakan antara individu yang memainkan peranan menaikkan namanya dalam bidang lakonan, namun dia menafikan dirinya merupakan pelakon kegemaran Michael.
"Saya tidak pernah melihat diri saya ini merupakan anak emas atau pelakon kegemaran Michael. Lagipun, banyak lagi pelakon-pelakon lain yang selalu berlakon di bawah arahannya seperti Elfira Loy, Didie Alias dan Marsha Milan Londoh.
"Mengenai hubungan dengan Michael saya bukan sekadar menganggapnya sebagai pengarah, malah dia merupakan rakan baik yang banyak membantu sehingga nama saya dikenali ramai seperti sekarang," jelasnya.
Sakinah turut memberitahu, dia langsung tidak pernah terikat untuk berlakon di bawah syarikat Cube Film sahaja dan turut diberi kebebasan berlakon dengan produksi atau pengarah lain.
"Mungkin ramai tidak sedar yang saya juga sudah banyak terbabit dengan produksi lain, misalnya seperti Zeel Production yang memang banyak memberikan tawaran lakonan kepada saya.
"Terbaharu, saya juga berpeluang berlakon di bawah arahan pengarah tersohor iaitu Erma Fatima menerusi drama bersiri 13 episod berjudul Aku Bukan Untukmu," ujarnya sambil mengakui tidak terlalu selektif dalam memilih setiap tawaran berlakon yang diterimanya.
Berdikari
Pastinya ramai yang sudah tahu tentang status Sakinah yang merupakan adik kepada Sharifah Norhaslinda dan Sharifah Shahirah, dua orang pelakon yang terlebih dahulu mencipta nama dalam dunia lakonan.
Walaupun kedua-dua orang kakaknya itu sudah lama bergelar pelakon, Sakinah menyatakan dia tidak mengambil kesempatan menggunakan nama mereka untuk mendapatkan tawaran berlakon.

SAKINAH menolak tanggapan bahawa dia merupakan anak emas pengarah, Michael Ang.


"Memang tidak dinafikan, mereka merupakan sumber inspirasi yang membuatkan saya menjadi minat dan jatuh cinta kepada lakonan, malah mereka juga banyak memberikan galakan kepada saya untuk serius dalam bidang ini.
"Bagaimanapun, itu tidak bermakna saya akan mengambil kesempatan dengan menjaja status saya sebagai adik kepada Norhaslinda dan Shahirah, sebaliknya saya lebih gemar berdikari dan mencari sendiri peluang lakonan tanpa mengharapkan bantuan mereka," tegasnya.
Ditanya sama ada dia sudah bersedia berlakon bersama-sama kakaknya, terutama Shahirah yang masih lagi aktif berlakon, Sakinah menyatakan dia menerima seadanya tentang hal tersebut.
Ini memandangkan memang ramai peminat yang ingin melihat gandingan mereka berdua sama ada dalam drama atau telefilem.

Lisa turun berat badan


LANGSING. Berat badan Lisa pernah mencecah 58 kilogram sebelum mengamalkan diet pemakanan.


PELAKON wanita yang bakal menggalas watak isteri mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali ketika muda dalam teater Tun Siti Hasmah tidak lama lagi ini telah susut berat badannya.
Bukan disebabkan tertekan dengan latihan teater berkenaan atau kerana sudah berbadan dua, Lisa sebaliknya ingin menurunkan berat badannya yang dikatakan agak berisi selepas mendirikan rumah tangga dengan pelakon, pengarah dan penyanyi Yusry Abdul Halim.
Lisa yang kini kelihatan sangat langsing baru sahaja dilantik menjadi duta tempatan pertama untuk kanta lekap FreshLook, keluaran syarikat Alcon yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Sebelum ini antara selebriti luar negara yang pernah menjadi duta kanta lekap jenama tersebut ialah penyanyi Taiwan, Rainie Yang dan anggota kumpulan Girls Generation dari Korea Selatan, Im Yoona.
Lisa dan Yusri khabarnya bersepakat mahu menurunkan berat badan masing-masing dan untuk itu, mereka saling menyokong antara satu sama lain untuk mengurangkan makan nasi dan hanya makan makanan berkhasiat.
Ternyata, usaha tersebut memberikan impak terhadap Lisa. Ketika ditemui pada majlis pengumuman dirinya sebagai duta FreshLook di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor, kelmarin, Lisa mendedahkan rahsia dan petua yang diamalkan untuk menurunkan berat badannya.
Kosmo!: Lisa kelihatan langsing dan kurus berbanding sebelum ini, apakah rahsianya?
LISA SURIHANI: Rahsia berat badan saya sudah turun empat kilogram sebab banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Kenapa Lisa ambil keputusan untuk menurunkan berat badan?
Selepas penggambaran filem Istanbul Aku Datang memang saya tidak boleh kawal makan. Saya nampak lebih berisi selepas kahwin, jadi sebelum kena penyakit baik saya diet.
Berapa berat badan Lisa sebelum ini?
Berat badan saya 54 kilogram (kg), dan ia naik empat kg selepas itu. Ia (turunkan berat badan) atas kesedaran sendiri bukan sebab kritikan pihak media kata saya sudah berisi.
Apa lagi yang Lisa lakukan dalam tempoh berdiet itu?
Saya jarang bersenam tetapi kurangkan makan nasi. Bukan tidak makan langsung, cuma makan sedikit. Kalau langsung tidak makan nasi, nanti perut akan terkejut sebab sudah makan nasi sejak kecil lagi. Selain itu saya banyak makan salad, minum yogurt dan air jus buah-buahan segar.
Lisa mahu turunkan berat badan sampai berapa kilogram?
Saya tidak mahu kurus sangat, janji saya nampak sihat itu sudah cukup.
Selepas pementasan teater Tun Siti Hasmah, apakah projek terbaharu Lisa?
Saya akan muncul dalam sebuah rancangan televisyen tetapi tidak boleh didedahkan di sini (buat masa ini). Saya juga terbabit dengan sebuah lagi program untuk siaran di internet iaitu Maskara.

Chef Riz mengaku perkahwinan dengan Ana Dahlia bergolak


CHEF RIZ bersama isteri, Diyana Mastura atau Ana.


KUALA LUMPUR - Chef selebriti, Chef Riz mengakui perkahwinannya dengan aktres jelita, Ana Dahlia yang belum sampai setahun kini bergolak.
Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 30, anak kepada Chef Wan itu bagaimanapun enggan memberi pengesahan lanjut tentang dakwaan mereka berdua telah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor baru-baru ini.
"Biasalah dalam perkahwinan, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula hubungan suami isteri. Memang kami ada perselisihan faham dan saya ingin menyelamatkan perkahwinan kami.
"Saya sayangkan dia (Ana) dan saya harap jodoh kami panjang. Buat masa ini apa yang boleh saya beritahu, tunggu sahajalah perkembangannya," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Chef Riz, beliau sebaik-baiknya tidak mahu mengulas panjang lebar mengenai kisah rumah tangga mereka kerana bimbang ia akan memburukkan keadaan.

Bebas dakwaan tuntutan palsu


Ahmad Shukry selepas dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Ipoh semalam.


IPOH - Mahkamah Sesyen di sini membebaskan seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas didapati tidak bersalah atas dua tuduhan mengemukakan tuntutan palsu melibatkan transaksi bernilai RM235,607.63 bagi pembelian rangsum segar enam tahun lalu.
Rangsum segar merupakan pek makanan tentera.
Leftenan Komander Ahmad Shukry Othman, 40, dibebas dan dilepaskan Hakim Julie Lack Abdullah selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Pada 18 Mei lalu, Ahmad Shukry dihadapkan ke mahkamah sama dan dituduh melakukan perbuatan tersebut semasa bertugas sebagai Pegawai Perbekalan Kapal Diraja (KD) Mahawangsa, Pangkalan TLDM Lumut sekitar bulan Jun dan Ogos 2006.
Berdasarkan fakta kes, dia dituduh mengemukakan dokumen palsu berupa invois Landmark Trading Pte. Ltd. bertarikh 3 Jun 2006 bernilai AS$46,813 (RM173,208.10) untuk tuntutan pembelian rangsum segar.
Bagi pertuduhan kedua pula, Ahmad Shukry dituduh mengemukakan satu lagi invois Landmark Trading Pte. Ltd. palsu pada 26 Ogos pada tahun sama.

Tangan hancur tersepit mesin


SEORANG pekerja kilang papan tidak sedarkan diri selepas cedera parah apabila tangan kirinya hancur tersepit pada mesin pemotong papan di Sejingkat, Kuching semalam.


KUCHING - Malang menimpa seorang pekerja kilang papan apabila tangan kirinya hancur selepas tersepit mesin pemotong kayu di Sejingkat di sini semalam.
Kejadian pukul 10 pagi itu berlaku apabila pergelangan tangan pemuda yang belum dikenal pasti identitinya itu tersangkut pada mesin berkenaan ketika sedang mengendalikan alat tersebut bersendirian.
Sumber memberitahu, kejadian itu hanya disedari pekerja lain selepas mendengar jeritan mangsa.
"Salah seorang pekerja kilang kemudian bertindak menutup suis mesin pemotong itu.
"Mangsa kemudian di hantar ke Hospital Umum Sarawak selepas tangannya dapat dikeluarkan beberapa minit kemudian," katanya ketika dihubungi semalam.
Difahamkan, mangsa tinggal di asrama kilang tersebut kini berada dalam keadaan stabil walaupun kecederaan yang dialaminya agak serius.

Sembilan penjenayah didakwa


SEBAHAGIAN daripada sembilan tertuduh berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Sepang di Sepang semalam.


SEPANG - Sembilan individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 12 tuduhan mencuri, melupus dan menyimpan 1,407 unit telefon pintar jenis Samsung Galaxy Note 11 bernilai lebih RM2 juta dua minggu lalu.
M. Vasanthakumar, 22, didakwa mencuri kesemua gajet itu daripada pemilik syarikat KGL Sdn. Bhd. di pintu 37, Bahagian Import MAS Kargo di sini pada pukul 12 tengah hari, 20 Oktober lalu. Dua rakannya, P. Sagunthan, 29, dan S. Sanjay, 32, pula didakwa bersubahat.
Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Vasanthakumar juga menghadapi satu lagi tuduhan membantu melupuskan 80 unit telefon pintar tersebut dengan menjualnya kepada seorang wanita, Tan Yee Seng, 23, pada 21 Oktober lalu pukul 9 malam di CTel Communication, di pusat beli-belah Terminal One, Seremban.
Turut didakwa atas tuduhan serupa ialah K. Ugendran, 27, dan pemilik kedai telefon, Au Chee Wan, 23.

Polis temui semula rim sport curi


MOHD. ADNAN (kanan) bersama pegawainya menunjukkan rim sport kereta yang ditemui semula pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Polis menemui semula 1,777 daripada 1,844 unit rim sport kereta buatan China yang dicuri sekumpulan penjenayah selepas menahan tiga suspek di sebuah restoran di Jalan Meranti Jaya, Puchong Isnin lalu.
Kesemua rim sport itu ditemui setelah soal siasat dijalankan ke atas suspek berumur antara 27 hingga 48 tahun sebaik sahaja mereka ditahan pada pukul 12.15 malam.
Antara jenis rim sport buatan China adalah Speed dan KR II.
Sebanyak 1,581 unit rim sport dijumpai di dalam sebuah lori kontena berwarna biru di kawasan Putra Perdana pada pukul 3 pagi hari yang sama dan hampir dua jam kemudian, 196 unit lagi ditemui di sebuah kedai aksesori kereta di Batu Caves.
Turut ditemui semula sebuah kontena yang dilarikan penjenayah terbabit di Taman Kinrara pada pukul 2.30 petang hari yang sama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, siasatan dijalankan selepas sebuah kontena mengandungi 1,844 unit rim sport bernilai RM174,285 yang diletakkan di Bukit Puchong hilang pada 18 Oktober lalu.
Menurutnya, keesokan harinya, seorang pekerja syarikat menjual barang tersebut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Laman web punca jadi pengganas



DI bandar raya Beirut inilah lokasi Razif dan Razin ditangkap ketika cuba menyeludup masuk ke Syria dan berjihad.



KUALA LUMPUR – Razif Mohd. Ariff dan Muhamad Razin Sharhan Mustafa Kamal dipercayai terpengaruh untuk menyertai kumpulan pengganas selepas kerap melayari laman web yang dikendalikan puak militan.
Siasatan mendapati, dua laman web yang kerap dilayari kedua-dua sahabat itu ialah www.amsar1.info dan www.al-qimmah.net.
Topik utama kedua-dua laman web yang masih boleh dilayari itu ialah menggalakkan para pengunjung berkongsi fahaman mengenai Islam, jihad dan pengaruh Mujahidin.
Bagaimanapun, topik forum yang paling mendapat sambutan dalam kedua-dua laman web tersebut ialah mengenai tentangan umat Islam terhadap isu pemberontakan di Syria.
Satu sumber memberitahu, selepas beberapa bulan berkongsi pengetahuan di laman web tersebut, kedua-dua sahabat itu kemudian memutuskan untuk menyertai kumpulan pemberontak di Syria kononnya bagi membantu menegakkan demokrasi.
Sebelum itu, Razif, 32, dari Sungai Buloh manakala Razin, 22, dari Beranang, Selangor dikesan mengenali antara satu sama lain melalui laman sosial Facebook secara individu pada awal tahun 2012.

Bayar STB1M mulai Januari 2013


AHMAD ZAHID (tengah) menerima cek sumbangan daripada ahli perniagaan, Wong Doh Seng (kanan) pada majlis makan malam sempena Kempen Rayuan Hari Pahlawan ke-52 di Sibu semalam.


SIBU - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM1,000 secara sekali gus (one-off) kepada 234,500 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdiri daripada pegawai dan lain-lain pangkat di seluruh negara.
Menurut beliau, Sumbangan Veteran Tidak Berpencen (STB1M) itu akan dibayar mulai Januari 2013 dan melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM234.5 juta.
"Sumbangan ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)" katanya semasa melancarkan STB1M pada majlis makan malam Kempen Rayuan Hari Pahlawan ke-52 di sini malam kelmarin.
Penerima atau veteran itu terdiri daripada mereka yang berkhidmat kurang daripada 21 tahun, bersara awal dan tidak berpencen, telah dibersarakan atau menamatkan perkhidmatan secara terhormat tanpa mengira tarikh mula berkhidmat, manakala tarikh tamat tempoh perkhidmatan adalah pada atau sebelum 31 Disember 2012.

Taufan Sandy badai New York, musnahkan kota ikon AS


PASUKAN penyelamat membantu membawa keluar mangsa banjir selepas New York dilanda taufan Sandy semalam.


NEW YORK - Pertembungan dua lagi aliran cuaca yang bertukar menjadi taufan hampir menenggelamkan kota raya New York dan menjadikan Sandy sebagai taufan paling digeruni dalam sejarah Amerika Syarikat.
Sandy yang mulai membadai telah menyebabkan sebahagian besar kawasan rendah di Manhattan dilanda banjir sehingga bandar raya yang menjadi ikon Amerika Syarikat itu terputus bekalan elektrik.
Kira-kira 400,000 rumah terputus bekalan elektrik di kesemua lima kawasan pilihan raya bandaran iaitu dari selatan Pulau Manhattan sehingga ke kawasan 39th Street.
Seorang rakyat Malaysia yang menetap di sebuah kompleks apartmen di 38th Street, yang terletak di tengah pulau itu dan bersebelahan dengan East River memaklumkan air hujan memasuki kediamannya sekitar pukul 2 petang kelmarin akibat hujan lebat dan tiupan angin yang sangat kuat.
"Air hujan masuk melalui celah-celah tingkap rumah walaupun tingkap sudah ditutup, angin yang sangat kuat menyebabkan tingkap rumah saya bergegar dengan itu kunci terbuka dengan sendirinya," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Dilla ketika dihubungi Bernama lewat malam kelmarin.
Dia yang menetap di tingkat 25 kompleks apartmen setinggi 54 tingkat dengan 840 unit itu berkata, air hujan juga membolosi kediamannya menerusi penyaman udara sehingga membasahi bilik dan ruang tamu rumah.
Dia yang tinggal seorang diri dan baru berpindah ke kota raya itu setelah dihantar bertugas dengan sebuah jabatan kerajaan di sini turut terputus bekalan elektrik.
"Selepas tidak ada elektrik, saya kunci rumah dan turun ke tingkat 11, menumpang rumah rakan sekerja yang turut tinggal di kompleks yang sama," katanya.

Stok makanan bertahan lima hari

NUR AMIRAH (kiri) bersama Suraida dan Farah Nadia (kanan) menikmati sarapan di pangsapuri mereka di New York semalam.


KUALA LUMPUR - Taufan Sandy bukan sahaja memberi impak kepada warga Amerika Syarikat di New York tetapi juga menguji ketabahan kira-kira 2,700 rakyat Malaysia yang terpaksa berkurung di dalam kegelapan di rumah berikutan bekalan elektrik terputus sejak kelmarin manakala jalan raya pula digenangi air.
Daripada 2,700 rakyat Malaysia yang menetap di New York, seramai 1,200 orang adalah pelajar.
Antaranya ialah Nabilah Fahana Yahya, 21, pelajar Sistem Informasi di Institut Teknologi Stevens yang menetap di sebuah pangsapuri bersama tiga lagi rakannya, Nur Amirah Rahim, Suraida Alias dan Farah Nadia Muhammad Sabri.
Mereka kini bimbang mengenai bekalan air bersih serta stok makanan yang cuma bertahan lima hari.
"Kami tidak sempat untuk menyimpan stok air bersih yang secukupnya kerana terputus bekalan elektrik dan tidak menyangka taufan menjadi seteruk ini," kata Nabilah yang juga anak kelahiran Selangor menerusi e-mel kepada Kosmo! semalam.
Untuk hidangan semalam, dia hanya sempat memasak nasi dengan berlaukkan telur goreng.
Seorang lagi pelajar tahun ketiga jurusan Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Teknologi Stevens, Muhammad Hazim Ab. Fatah pula menceritakan, dia serta rakannya yang lain menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan kenalan di New York serta keluarga di Malaysia.
Katanya, ia disebabkan bekalan elektrik di kediaman mereka di New Jersey telah terputus sejak pukul 10 malam kelmarin.

Angkasawan lihat Sandy dari angkasa lepas


IMEJ satelit yang dirakamkan kelmarin menunjukkan taufan Sandy di luar pantai timur Amerika Syarikat.


CAPE CANAVERAL, Florida - Taufan Sandy yang membawa kemusnahan besar di pantai timur Amerika Syarikat (AS) dapat dilihat dari angkasa lepas.
Komander Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), Sunita Williams semalam menyatakan dia dan seorang kru lain dapat melihat lingkaran besar Sandy semasa ia mendekati pantai timur itu.
Keluarga Sunita tinggal di New England dan dia membuat pemerhatian dengan teliti di wilayah tersebut.
Taufan Sandy itu melanda New York kelmarin sehingga mengakibatkan hampir keseluruhan bandar raya tersebut tenggelam.
Seramai 18 orang mati di tujuh buah negeri termasuk Kanada.
Kematian itu akibat dihempap pokok, rumah runtuh, terkena serpihan yang berterbangan dan renjatan elektrik.
Taufan itu tiba di New Jersey malam kelmarin dengan kelajuan angin 130 kilometer sejam.
Lebih enam juta penduduk terputus bekalan elektrik dari Carolina ke Ohio.
Sementara itu, kempen pilihan raya presiden terpaksa ditangguhkan selama seminggu.
Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan antara calon parti Republikan, Mitt Romney yang juga bekas gabenor Massachusetts dengan Presiden AS, Barack Obama.
Taufan itu juga menyebabkan sistem tren bawah tanah di bandar raya New York mengalami kerosakan teruk dalam tempoh 108 tahun.
"Ia akan menjadi salah satu rekod," kata Naib Presiden Kanan Consolidated Edison, John Miksad.
Beliau menyatakan, lebih 670,000 pelanggan syarikat itu yang tidak mendapat bekalan elektrik akibat taufan tersebut di bandar raya New York.

Pesawat lama dijadikan tadika


SEBAHAGIAN kanak-kanak yang belajar di dalam pesawat Yakovlev Yak-42.


RUSTAVI, Georgia - Pihak pengurusan sebuah tadika membeli sebuah pesawat lama, Yakovlev Yak-42 di bandar ini.
Pesawat itu diubah suai untuk dijadikan sebuah tadika yang mempunyai 15 kanak-kanak.
Menurut Reaktor Institut Hubungan Sosial Ukraine-Georgia, Gari Chapidze, pesawat kecil tersebut akan menjadikan kanak-kanak itu berasa seronok untuk belajar di tadika.
Chapidze berkata, kanak-kanak itu dibenarkan bermain dengan menekan 1,500 butang di kokpit pesawat berkenaan.
Institut itu menguruskan pentadbiran tadika tersebut.
Pihak institut berkenaan mengenakan bayaran sebanyak 70 euro (RM276.72) sebulan kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut.
Pesawat itu dibina syarikat Saratov Aviation Plant, Rusia.

Keranda dilengkapi sistem karaoke


SEORANG pekerja menguji sebuah keranda yang dilengkapi sistem karaoke di kilang milik Nogoy di wilayah Pampanga semalam.


MANILA - Sebuah keranda yang dilengkapi sistem karaoke dihasilkan oleh beberapa pekerja di sebuah kilang di wilayah Pampanga, utara bandar raya ini semalam.
Pemilik kilang itu, Robert Nogoy mengeluarkan keranda tersebut sempena sambutan Hari Halloween.
Nogoy menggantikan bahagian dalam keranda itu dengan sistem karaoke bagi memberi kejutan kepada para tetamu parti Halloween.
Para tetamu parti Halloween kerap memakai pakaian seperti ahli sihir dan hantu.

Obama isytihar bencana besar

BEBERAPA buah kereta tenggelam di New York.


NEW YORK - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengisytiharkan bencana besar di New York ekoran taufan Sandy yang menyebabkan banyak kemusnahan.
Obama mengisytiharkan bencana besar itu di negeri New York dan New Jersey.
Taufan itu melanda kelmarin sebelum ia meninggalkan New York semalam.
Pengisytiharan itu akan menyebabkan pinjaman dan geran akan dikeluarkan bagi membantu mangsa-mangsa untuk membaiki dan memperoleh rumah buat sementara.
Taufan itu membawa ombak gergasi yang melanda kawasan Pantai Timur AS.
Bursa Saham New York dan Nasdaq turut ditutup semalam.
Sementara itu, sebanyak 50 buah rumah terbakar di kawasan kediaman di bandar raya ini akibat taufan tersebut.
Hanya dua orang dilaporkan cedera dalam kebakaran tersebut.
Menurut laporan media, seramai 25 orang dilaporkan terperangkap di tingkat atas sebuah apartmen dalam kejadian tersebut.
Anggota-anggota bomba menggunakan bot untuk tiba di lokasi tersebut kerana jalan dipenuhi air.
Dua buah loji nuklear AS juga ditutup iaitu di New Jersey dan di tepi Sungai Delaware.
Menurut firma Eqecat, kerugian akibat taufan itu dianggarkan AS$20 bilion (RM61.04 bilion).

Kubur Arafat akan digali bulan depan




RAMALLAH, Tebing Barat - Seorang pegawai Perancis menyatakan, para penyiasat jenayah akan menggali kubur bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat (gambar) pada bulan depan.
Menurutnya, kubur itu akan digali dengan tujuan untuk mengkaji punca yang menyebabkan kematian Arafat.
Pihak berkuasa Palestin mengesahkan tentang penggalian itu.
Menurut pihak berkuasa itu, satu pasukan penyiasatan dari Switzerland akan tiba di sini berhubung penggalian kubur Arafat.
Arafat meninggal dunia pada 2004 di sebuah hospital tentera di Paris, Perancis.
Punca kematian bekas pemimpin itu mencetuskan kontroversi selepas sebuah makmal Switzerland menemui bahan radioaktif polonium-210 pada beberapa helai pakaiannya.
Penemuan itu turut menyebabkan timbul dakwaan bahawa dia diracun.
Sebelum ini punca kematian Arafat ialah dia diserang strok.

Kecacatan bakar semangat Daus



KAWASAN sekitar pusat beli-belah Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada pagi itu agak sesak. Kebetulan, ia merupakan cuti hujung minggu, pastinya kesempatan itu digunakan warga kota untuk bersiar-siar dan membeli-belah.
Di satu sudut kedengaran suara seorang lelaki berkerusi roda sedang leka memberi arahan.
“Rapat sikit lagi. Hai, dah kahwin pun takkan masih malu-malu lagi,” usik Mohamad Firdaus Abdul Latif, 27, kepada pasangan di hadapannya.
Selepas beberapa ketika, lelaki yang mesra dengan panggilan Daus itu pantas melihat skrin Lensa Refleks Tunggal Digital (DSLR) jenis Nikon D300 miliknya.
Satu persatu gambar yang tersimpan rapi dalam memori kameranya dibelek. Kepuasan jelas terpancar daripada riak wajahnya, ternyata sesi penggambaran itu berjalan lancar seperti diharapkan.
“Seorang jurugambar memerlukan kreativiti dan imaginasi tinggi untuk memastikan gambar yang diambil cantik dan mempunyai makna di sebaliknya.
“Saya mempunyai konsep tersendiri ketika mengambil gambar. Ia mestilah mempunyai nilai dan menarik perhatian pelanggan,” katanya.
Tragedi menyayat hati
Sambil membetulkan kedudukan di atas kerusi roda, Daus, anak tunggal kepada pasangan Abdul Latif Nordin, 60, dan Azizan Buyong, 57, memulakan kisahnya.
“Jika tidak bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU) mungkin saya hanya tahu membaiki penyaman udara seperti yang dipelajari ketika menuntut di Institut Kemahiran Mara (IKM) Kuala Lumpur dahulu,” ujarnya.
Memorinya pantas berputar mengingati kisah yang berlaku pada pagi 12 Disember 2004.
Dia yang berusia 19 tahun ketika itu sedang menuntut di IKM. Seperti kelaziman, dua minggu sekali dia akan pulang bercuti hujung minggu ke rumahnya di Bandar Behrang 2020, Tanjung Malim, Perak.

KECACATAN bukan penghalang untuk Daus menzahirkan rakaman foto yang cantik dan kreatif.


“Saya sengaja memilih laluan jalan lama, Kuala Lumpur-Rawang ke Tanjung Malim kerana lebih dekat dan kurang sesak berbanding lebuh raya.
“Namun, takdir Tuhan sebaik tiba di sekitar kawasan Hutan Simpan Templer, motosikal saya telah dirempuh oleh sebuah kenderaan dari arah belakang.
“Akibatnya, saya tercampak bersama motosikal ke dalam gaung bersebelahan dan tidak sedarkan diri,” ceritanya.
Malang bagi Daus kerana pemandu kenderaan itu bertindak melarikan diri. Tambah malang, lokasi tempat dia terjatuh yang dikelilingi gaung sedalam 30 meter menyebabkan kejadian itu tidak disedari oleh pengguna jalan raya yang lain.
Selepas 30 jam tidak sedarkan diri, kelibatnya hanya disedari oleh pekerja pemotong rumput yang kebetulan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan itu.
Katanya, dia hanya tersedar selepas beberapa hari menerima rawatan di hospital.
“Ketika mahu bangun saya rasakan seluruh badan sakit, kebas dan sukar bergerak.
“Dalam keadaan mamai, saya diberitahu saya cedera parah. Kaki kiri saya terpaksa dipotong sehingga ke paras atas lutut, lebih malang saya juga disahkan lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat kecederaan saraf tulang belakang,” katanya.
Pada peringkat awal, Daus sukar menerima kenyataan. Dia menjadi murung, suka menyendiri dan sering menangis.
Bagaimanapun, keadaan Daus berubah ketika menjalani rawatan susulan selama tiga bulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bangkit semula
Sepanjang di HKL, Daus menyaksikan keadaan pesakit-pesakit lain yang menjalani rawatan. Ada kes sepertinya dan ada juga kes kritikal kerana pesakit hanya mampu terbaring kaku di atas katil.
“Tidak semena-mena timbul rasa insaf dan syukur di dalam diri, sekurang-kurangnya nasib saya lebih baik berbanding orang lain.
“Lagi pun saya masih dikurniakan akal dan kudrat untuk bergerak, malah kedua-dua belah tangan saya juga langsung tidak terjejas,” kata lelaki yang masih bujang itu.
Enggan menoleh ke belakang, Daus menggunakan kemahiran yang dipelajari sebelum itu dengan mengambil upah membaiki telefon.
Seterusnya, dia mula bekerja di pusat siber dan kedai komputer. Di situ dia mahir membaiki komputer sehingga mampu membuka perniagaan sendiri, Filara Enterprise pada tahun 2009.

DAUS kini boleh berbangga kerana mampu memiliki perniagaan membaiki komputer sendiri di bawah syarikat Filara Enterprise.


“Pelanggan saya terdiri daripada jiran tetangga, kenalan dan pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Itulah punca pendapatan saya sekarang, setakat ini ia berjalan lancar, malah jumlah pelanggan juga semakin meningkat,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Daus turut berjinak-jinak dalam bidang fotografi selepas seorang rakan meminjamkan kamera DSLR kepadanya.
Sejak itu, dia semakin meminati hobi baharunya itu. Jika ada kelapangan, dia sanggup menghabiskan masa berjam-jam di sekitar kampungnya untuk mengambil gambar.
Mengakui tidak mempunyai asas dalam bidang itu, Daus tekad berguru dengan kenalannya yang dikenali sebagai Cikgu Zul, mengenai aspek teknikal kamera termasuk mempelajarinya menerusi internet.
Daus mengubah fasa daripada hanya sekadar hobi kepada satu tugas apabila dia diminta mengambil gambar perkahwinan salah seorang sepupunya.
Sejak itu, dia bertekad meneruskannya sebagai kerjaya sampingan selain menguruskan perniagaan sedia ada.
Katanya, kecacatan bukanlah penghalang untuknya berjaya dalam bidang fotografi.
Biarpun pergerakannya agak terbatas berbanding jurugambar yang lain, namun dia mampu menghasilkan gambar-gambar kreatif dan mempunyai nilai seni yang tinggi.
“Saya tidak merasakan kelemahan dan kekurangan dalam diri saya sewaktu berada di lokasi penggambaran.
“Bagi saya kekurangan ini membuatkan saya ingin membuktikan kreativiti dan kemampuan diri,” katanya.
Di bawah kelab fotografi, Fotoshutter, Daus mengembangkan bakatnya, malah dia kini semakin menjadi rebutan untuk majlis perkahwinan, fotografi potret individu dan berkumpulan serta majlis-majlis korporat di seluruh negara.
“Sebagai jurugambar, saya perlu melahirkan idea serta-merta ketika merakam gambar. Ia terhasil daripada pengalaman dan persiapan awal yang dilakukan sebelum sesuatu tugasan.
“Saya suka merujuk kepada gambar-gambar terbaik dalam media cetak dan mengkaji teknik atau gaya fotografi terkini. Kemudian saya menyesuaikannya dengan idea dan gaya sendiri,” katanya.

SELEPAS mempunyai lesen memandu, Daus berhasrat membeli kereta khas untuk golongan OKU sepertinya.


Adakah dia akan terus meneruskan minatnya di dalam bidang itu? Daus berkata, fotografi adalah kerjaya yang benar-benar sesuai dan sebati dengan jiwanya selain memberikan beliau kepuasan hidup,” ujarnya penuh makna.

Mudahnya buku MPHOnline

APLIKASI MPHOnline memudahkan pelanggan memuat turun buku elektronik kegemaran masing-masing.


JOSEPTH NG baru berusia 21 tahun, tetapi dia telah mengarang beberapa cerpen yang dikumpulkan dalam sebuah buku berjudul Death and Other Thing.
Walaupun mempunyai minat yang berbeza dengan kawan-kawan sama generasi, penuntut di Kolej SEGi, Kota Damansara, Selangor itu mempunyai cara tersendiri dalam memasarkan hasil karyanya dengan kenalan lain.
Dia memasarkan bukunya secara dalam talian melalui aplikasi MPHOnline yang dirasmikan di Subang Parade, Subang Jaya, Selangor bulan lalu.
“Buku dalam talian bukan sahaja boleh didapati dengan mudah dan cepat, malah saya mendapat maklum balas seperti bilangan buku yang dibeli dengan cepat,” kata Josepth.
Selain Josepth, buku hasil tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Doctor in the House turut dipasarkan dalam aplikasi tersebut selain karya selebriti Amber Chia dan Sarimah Ibrahim.
Aplikasi MPHOnline merupakan hasil kerjasama antara pengeluar telefon pintar, Samsung dengan kedai buku, MPH.
Aplikasi percuma itu boleh dimuat turun oleh semua pengguna telefon Samsung atau peranti yang menggunakan sistem operasi Android. Ia boleh didapati dalam Samsung Apps store.
Sebaik dimuat turun, pembaca boleh memuat turun buku elektronik (e-buku) kesukaan dan ia dipindahkan terus ke tempat simpanan peribadi pengguna.
Tajuk-tajuk baharu dikemas kini dalam senarai tajuk buku setiap hari. Genre buku pula meliputi pelbagai jenis seperti romantik, fiksyen, fantasi, perniagaan, kesihatan, pengurusan dan undang-undang.
Kepelbagaian format bahan bacaan itu kelak diharap dapat memberikan ruang yang lebih luas dalam pemilihan bahan bacaan selain membolehkan perkembangan ruang pasaran.
Kini, para pembaca dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia boleh membeli buku Doctor in the House pada harga yang lebih murah kerana tiada caj penghantaran dan dalam masa yang sama boleh didapati serta-merta. Semua harga buku dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$).
“E-buku merupakan langkah seterusnya dalam evolusi buku dan penerbitan. Kita semakin mendekati dunia tanpa sempadan kerana internet.
“Ia tidak bermakna MPH akan menjadi digital sepenuhnya, tetapi saling melengkapi kedai buku sedia ada seiring dengan perkembangannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MPH, Ng Tieh Chuan.
Selain murah dan cepat, e-buku menjimatkan ruang pada rak buku, malah semua buku elektronik boleh dimuatkan dalam sebuah peranti yang kecil.

Bengkel memasak bersama Saji




PADA hujung minggu lalu, kira-kira 100 orang yang kebanyakannya berumur 30 hingga 50 tahun memenuhi ruang dewan Saloma Bistro, Kuala Lumpur bagi menghadiri Bengkel Memasak Saji bersama Chef Kamarul dan Rempah Mak Dara.
Kuala Lumpur merupakan destinasi terakhir bengkel yang memberi peluang kepada kaum wanita untuk belajar secara terus dengan chef profesional, Chef Kamarul Hasni Che Ros. Bengkel itu telah menjelajah ke tujuh destinasi bermula di Kelab Golf Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah pada 21 April lalu.
Acara bermula apabila pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shiub muncul untuk berkongsi tip bersama para hadirin untuk kekal langsing walaupun usianya sudahpun mencecah lebih 60 tahun.
Apabila peluang untuk bertanyakan soalan dibuka, orang ramai begitu ghairah mahu mengetahui rahsianya. Selain mengamalkan jamu sejak muda, Halimah berpesan kepada kaum wanita supaya sentiasa menjaga aspek pemakanan.
“Makanan yang berlemak, manis dan masin perlu dikurangkan, malah jangan minum air sejuk kerana tidak elok untuk wanita,” nasihatnya pada petang itu.
Amalan senaman juga wajib dilakukan setiap hari. Jika terlalu sibuk, berlari setempat sebanyak gandaan 50 kali setiap pagi perlu dilakukan, saranannya.
Bengkel yang diacarakan oleh penyanyi lagu Matahari, Maya, itu bermula dengan Chef Kamarul menunjukkan cara memasak bruschetta makanan laut, beriani ketam dan diakhiri dengan ayam masak kelapa muda.
Sepanjang sesi demonstrasi memasak, Chef Kamarul sempat berkongsi beberapa tip yang boleh diamalkan oleh orang ramai di rumah.
Sambil dibantu oleh peserta yang terpilih, Chef Kamarul berkata, makanan laut seperti sotong dan udang adalah lebih baik tidak dipotong awal.
“Potong apabila sudah tiba masa untuk dimasak bagi mengekalkan kesegaran,” katanya sambil menuang sotong ke dalam kuali ketika memasak bruschetta.
Petua menarik
Bagi masakan yang memerlukan penambahan krim, susu UHT boleh menjadi pengganti, cuma letakkan sedikit tepung untuk memekatkannya.
Nasihat Chef Kamarul, disebabkan bruschetta menggunakan pelbagai jenis keju seperti parmesan dan mozarela, penggunaan garam perlu dikurangkan.
Satu lagi petua menarik yang dikongsi Chef Kamarul adalah ketika dia melakukan demonstrasi memasak beriani ketam.
Dia menggantikan gula batu yang memberi rasa manis dalam masakan dengan buah kurma yang dikisar.
“Saya mendapat cara ini apabila melihat orang kampung memasak dalam kuantiti banyak untuk majlis perkahwinan,” terangnya.
Selepas bengkel memasak, para peserta program disajikan dengan persembahan nyanyian oleh Maya selain demonstrasi memakai tudung oleh pengendali blog tudungpeople.com.
Pada bahagian akhir bengkel masakan Saji, acara memotong kek para peserta yang jatuh pada hari tersebut diadakan sebagai memeriahkan lagi suasana.
Walaupun kebanyakan peserta terdiri daripada suri rumah pertengahan usia, terdapat seorang wanita muda turut menyertai bengkel tersebut.
Jana Juliana Jamakuddin, 20, yang berasal dari Kuala Lumpur itu tidak pernah menyertai sebarang bengkel masakan. Dia berasa tertarik untuk mengetahui ilmu yang boleh didapati pada program sedemikian.
“Saya mahu melihat sendiri manfaat yang boleh didapati dengan menyertai bengkel seperti ini. Tambahan pula, saya memang suka memasak,” katanya yang bekerja dalam bidang perakaunan.
Selepas tamat bengkel, para peserta yang hadir diberi peluang untuk merasa ketiga-tiga resipi yang diajar oleh Chef Kamarul sepanjang sesi demonstrasi berlangsung.
Bengkel turut dihadiri oleh Pengurus Besar Operasi Utusan Karya Sdn. Bhd., Zurzaliza Bajuri dan Pengarang majalah Saji, Noor Joha Ahmad.

Tuesday, October 30, 2012

Fida Ibrahim Mengaku Berkawan Rapat Dengan Zalif Sidek

Fida Ibrahim
PETALING JAYA: Pelakon Rafidah Ibrahim (Fida) mengakui sedang berkawan rapat dengan pelakon komedi Zalif Sidek selepas hubungannya dengan pelawak Mamat (Sepah) dan seorang usahawan bergelar 'S' menemui kegagalan.
Fida, 26, berkata, dia mulai rapat dengan Zalif atau nama sebenarnya Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek, 27, sejak dua bulan lalu kerana kesungguhan lelaki itu yang mahu mengenalinya dengan lebih dekat.
"Kami baru berkawan rapat dan belum ke tahap bercinta. Rasanya tak salah kalau saya bagi peluang kepada dia (Zalif). Lagi pun, masing-masing masih solo.
"Dia seorang lelaki yang budiman. Saya suka dengan keberanian dan keikhlasannya mahu mengenali saya dengan lebih mendalam," katanya ketika ditemui mStar Online.
Mengenai keintimannya dengan Zalif yang juga seorang pelakon komedi, Fida berkata, dia mudah tertarik dengan lelaki yang gemar berjenaka dan periang.
"Mungkin secara kebetulan sahaja Zalif dan Mamat adalah pelakon komedi. Hakikatnya, saya memang mudah tertarik dengan lelaki yang suka berjenaka dan periang.
Zalif Sidek
"Kalau saya tertekan dengan kerja, Zalif pandai membuat saya ketawa. Dia membuatkan saya berasa selesa apabila kami berjumpa," kongsinya.
Diusik mengenai desas-desus hubungannya dengan seorang VIP sebelum ini, Fida berkata, mereka semakin renggang kerana perbezaan status dan kesibukan kerja masing-masing.
"Susah untuk kami rapat kerana status dan kedudukannya. Apabila gosip-gosip itu timbul sebelum ini, ia menyulitkan keadaan.
"Kalau saya, mungkin tak ada masalah hendak tangani gosip kerana saya bekerja dalam bidang ini tetapi untuk dia, keadaan itu tidak sesuai untuknya," luahnya.
Dalam perkembangan lain, Fida berkata, dia baru sahaja menyiapkan klip video lagu versi baru Apo Kono Eh Jang yang menampilkan Datuk AC Mizal dan Stellar.
"Klip video lagu itu akan dimuat naik di laman YouTube dalam masa terdekat. Saya harap ia akan diterima baik kerana ada beberapa kejutan dalam video itu nanti," tuturnya.

Heliza Helmi Ajak Rakan Artis Sertai Kelas Agama

Heliza Helmi memegang buku pertama tulisannya, Diari Heliza Helmi yang menghimpunkan jurnal peribadi dan aktiviti hariannya.
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Heliza Helmi mengalu-alukan pembabitan lebih ramai rakan artis untuk menghadiri kelas bimbingan agama Islam iaitu Usrah Fitrah yang dikhususkan untuk seluruh penggiat seni tanah air.
Heliza, 26, berkata, sambutan daripada lebih 30 penggiat seni termasuk golongan artis setakat ini menunjukkan perkembangan yang baik terhadap projek cetusan Rusydi Ramli Al Jauhari itu.
“Alhamdulillah, projek Usrah Fitrah ini mendapat sambutan yang baik daripada warga seni sejak beberapa bulan lalu namun saya mengalu-alukan lebih ramai penggiat khususnya rakan artis turut serta dalam kelas tersebut.
“Kelas agama itu meliputi pembelajaran segenap aspek iaitu al-Quran dan tajwid, fiqah, aqidah, hadis dan motivasi diri. Ia memang bagus dan istimewa kerana bukan sahaja memberikan ilmu tetapi dicetuskan khusus untuk membimbing warga seni tanah air,” katanya ketika ditemui mStar Online.
Finalis Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu berkata demikian selepas pelancaran bukunya yang berjudul Diari Heliza Helmi dan pengumuman sebagai duta minuman ice blended Coolblog, di sebuah hotel di sini, pada Isnin.
Usrah Fitrah yang dianjurkan oleh Fine Academy Sdn Bhd dan Must Read Sdn Bhd itu terbuka kepada warga industri hiburan termasuk pelakon, penyanyi, wartawan, penggiat seni fesyen, penulis dan pemuzik.
Heliza bersama wakil syarikat Coolblog Dessert Sdn Bhd menunjukkan minuman Coolblog selepas pengumuman rasmi pelantikannya sebagai duta minuman itu.
Seramai tujuh ustaz bertauliah iaitu Rusydi Ramli Al Jauhari, Shahrizan Daud At Turabi, Ghazali Ibrahim, Syed Norhisham Tuan Padang Al Idurs, Amin Idris, Tuan Fazrul, Zul Ramli dan Halim Hafiz akan bertanggungjawab membimbing para peserta pada setiap minggu.
Antara rakan artis yang aktif adalah Irma Hasmie, Yatt Hamzah, Diana Amir, Noryn Aziz, Farah Asyikin, Siti Nordiana, Iqram Dinzly, Zoey Rahman, Salima AF, Enot dan personaliti TV3, Teh Syuhada.
Heliza yang semakin aktif bergelar penceramah motivasi berkata, pembabitan dalam kelas tersebut sejak setahun lalu membuatkan dia semakin seronok untuk menimba lebih banyak ilmu pengetahuan yang baru.
“Saya anggap pembabitan dalam Usrah Fitrah ini bukan hanya menambahkan ilmu agama, malah memberikan saya input berguna yang boleh digunakan ketika saya memberikan ceramah dan taklimat motivasi.
“Kebetulan pula, pada waktu ini saya semakin aktif memenuhi undangan untuk memberikan ceramah motivasi di merata tempat, ia menjadikan saya semakin teruja untuk terus belajar pelbagai ilmu dan perkara,” katanya.
Buku Heliza yang dirasmikan pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah (kiri) dan wakil syarikat penerbitan.
Mengenai buku Diari Heliza Helmi, Heliza berkata, dia dilamar oleh syarikat penerbitan buku Yamani Angle Sdn Bhd pada awal tahun ini tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran jadual kerja yang padat.
“Buku ini adalah himpunan jurnal harian saya selama ini. Sebenarnya, pihak penerbit sudah menyuarakan hasrat untuk menerbitkan jurnal saya itu ke dalam bentuk buku sejak awal tahun lagi tetapi ia sering tertangguh kerana kesibukan saya.
“Selain buku, saya juga ambil kesempatan pada majlis ini untuk mengumumkan pelantikan saya sebagai duta minuman Coolblog yang berkuat kuasa pada Ogos lalu bagi tempoh setahun.
“Mereka memilih saya kerana kebetulan saya memang menggemari minuman itu sebelum ini,” katanya.
Majlis perasmian buku tersebut disempurnakan oleh pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.

Anne Ngasri Minta Bukti Tuduhan Kahwin Ahli Politik

Anne menafikan dia sudah berkahwin dengan seorang lelaki yang berstatus VIP.
PETALING JAYA: Pelakon Anne Ngasri meminta individu yang mempunyai bukti kononnya dia telah berkahwin dengan seorang ahli politik supaya mendedahkannya kepada umum.
Anne atau nama sebenarnya Ngasriah Ngasri, 28, berkata, dia terkejut bagaimana gosip terbaru mengenai dirinya itu boleh wujud ketika dia baru sahaja mengalami kegagalan hubungannya dengan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz.
"Tidak benar saya sudah berkahwin dengan mana-mana VIP atau ahli politik kerana sehingga kini saya masih solo dan kepada mereka yang mempunyai bukti saya sudah kahwin, saya mempersilakan untuk ia didedahkan kepada umum," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Anne diminta mengulas desas-desus yang diterima oleh mStar Online kononnya dia telah bernikah dengan seorang VIP yang juga ahli politik dan menjadi isteri kedua kepada individu tersebut.
Dalam pada itu, Anne berkata, dia tidak serik untuk bercinta lagi selepas hubungannya dengan Aliff gagal dan masih mencari cinta yang sesuai untuk dirinya.
Malah kata Anne, kegagalan rumah tangannya sebelum ini tidak pernah membuatkan dia ragu-ragu untuk berkahwin lagi dan berharap Allah akan mempertemukan jodoh yang baik buatnya.
"Saya masih seorang manusia biasa yang memerlukan perhatian dan kasih sayang dalam hidup. Perkahwinan itu juga adalah dituntut dalam agama kita.
"Saya sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan jodoh yang baik suatu hari nanti," katanya.
Anne sebelum ini pernah berkahwin dengan Abdul Wafi Hassan pada 26 Mei 2006 sebelum bercerai pada tahun 2010.
Mereka telah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Abdul Warits, 4, Abdul Wafri, 3 dan Nazharah Afrozah, 2.
Dalam perkembangan lain, Anne berkata, dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran program bual bicara berkonsepkan remaja berjudul SIS untuk siaran TV9 selain beberapa projek drama dan filem.

Pusat siber RM1

SITA...anggota penguat kuasa MPK memeriksa komputer yang dirampas di pusat siber terbabit.
SITA...anggota penguat kuasa MPK memeriksa komputer yang dirampas di pusat siber terbabit.
KLANG: Tindakan seorang pemilik pusat siber haram di Taman Sementa Utama, Kapar, di sini, yang menawarkan bayaran RM1 sudah cukup menarik remaja bawah umur menghabiskan masa berjam-jam melayari Internet dan bermain permainan komputer.
Namun tawaran ‘promosi’ premis terbabit berakhir apabila diserbu Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Khamis lalu selepas mendapat aduan mengenai lambakan remaja mengunjungi premis itu.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, pemilik premis yang menjalankan operasi tanpa lesen sejak sebulan lalu menggantungkan lesen perniagaan, tetapi menggunakan alamat sebuah premis di Taman Sri Mewah, Jalan Kota, di sini.
Dalam serbuan itu, 10 pelajar ditahan ketika leka melayari Internet dan bermain permainan komputer.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguat kuasa MPK, Shahrul Hasri Abd Majid berkata, pihaknya sudah membuat intipan terhadap premis terbabit sejak seminggu lalu selepas mendapat aduan orang ramai terutama ibu bapa bahawa anak mereka sering mengunjungi premis itu.

Katanya, pusat siber terbabit turut menjadi tumpuan penduduk setempat terutama pelajar sekolah yang masih di bawah umur menghabiskan masa berjam-jam kerana tawaran harga yang murah.Menurutnya, ketika pemeriksaan terhadap premis terbabit, MPK juga mendapati lesen premis itu tidak sah kerana menggunakan alamat premis lain kerana bimbang tindakan sita dikenakan.

“Dalam serbuan kali ini, kami merampas 120 komputer termasuk monitor dan unit pemprosesan komputer (CPU) serta papan kekunci yang digunakan bagi menjalankan perniagaan.
“Serbuan yang dilakukan 20 anggota yang diketuai tiga pegawai ini hasil maklumat awam serta risikan yang dilakukan selama seminggu oleh anggota penguat kuasa MPK,” katanya.

Shahrul berkata, selain harga perkhidmatan yang murah, premis terbabit menyediakan permainan komputer terkini untuk menarik perhatian pengunjung.

Katanya, MPK terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa ke atas premis terbabit kerana tindakan yang dilakukan pemilik menyalahi undang-undang ditetapkan MPK.

Katanya, tindakan sudah diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Pusat Siber dan Kafe Siber MPK 2007.

Kurang Lagu Berkualiti Punca Artis Muda Dominasi Muzik Muzik-27

Sebahagian daripada artis yang hadir bagi mencabut nombor giliran masing-mading dalam pertandingan Muzik Muzik-27 peringkat separuh akhir.
PETALING JAYA: Kekurangan lagu berkualiti selain tidak memiliki nilai komersial daripada penyanyi-penyanyi senior menyebabkan saringan separuh akhir Muzik-Muzik ke-27 (MM27) didominasi oleh penyanyi-penyanyi baru.
Rancangan separuh akhir itu akan berlangsung bermula 11 November ini menerusi saluran TV3.
Pengurus Hiburan Primeworks Studios Sdn Bhd, Muhamad Sufian Che Isa berkata, masalah itu membuatkan para pendengar yang terdiri daripada golongan muda lebih selesa mengundi penyanyi baru.
"Sebenarnya keadaan ini sudah boleh dilihat sejak dua tahun lalu di mana saringan MM kebanyakannya didominasi oleh bakat-bakat muda.
"Begitu juga untuk kali ini, dalam 30 lagu yang dipertandingkan, hanya dua penyanyi senior sahaja yang dipilih iaitu Amy Search (berduet dengan Hazama bagi lagu Simetri) dan Ramlah Ram (duet bersama Sleeq bagi lagu Sesaat Kau Datang). Itu pun, masing-masing mempunyai pasangan duet mereka.
"Memang ramai yang menghantar lagu untuk dicalonkan tetapi kebanyakannya tidak memiliki kekuatan lagu yang tersendiri," katanya.
Sufian ditemui selepas cabutan nombor persembahan artis di Ecoba, PJ Trade Center, dekat sini, Isnin.
Tambah Sufian, ini tidak bermaksud penyanyi-penyanyi senior langsung tidak memiliki karya yang bagus kerana banyak lagu tidak dicalonkan ke MM.
"Saya tak pasti apakah punca penyanyi senior enggan menghantar lagu. Jika ada yang beranggapan alasannya kerana tidak mahu bersaing dengan bakat-bakat muda, ia sangat subjektif.
"Saya harap, trend penyanyi senior enggan menyertai MM akan berubah dan mereka akan kembali memeriahkan industri muzik kita menerusi pertandingan ini," ujarnya.
Black mempertaruhkan 'Teman Pengganti'.
Saringan separuh akhir MM27 menampilkan sebanyak 30 buah lagu sebelum layak berentap ke Anugerah Juara Lagu 27 (AJL27).
Ia akan dipertandingkan dalam tiga bahagian di mana bahagian pertama akan berlangsung pada 11 November (9 malam), kedua, 18 November (9 malam) dan ketiga pada 25 November (10 malam).
Pada bahagian pertama, seramai 11 penyanyi disenaraikan iaitu Aizat, kumpulan Drama, Azlan & The Typewriter, Hafiz, Tomok, Ainan Tasneem, Stacy, Hazama, Sofaz dan Asmidar.
Bahagian kedua terdiri daripada One Nation Emcees & Jimmy Palikat, Yuna, Diandra Arjunaidi, Amir Jahari, Ramlah Ram, Hafiz & Adira, Suki, Shaheizy Sam & Yana Samsuddin, Spider, Jaclyn Victor dan Bedroom Sanctuary.
Manakala untuk bahagian ketiga, lapan penyanyi yang bertanding pula ialah Black & Malique, Hyper Act, Bunkface, Hazama & Amy (Search), Akim & Fiq, Mojo, Shila Amzah dan Hafiz.
Peminat yang ingin menyaksikan persembahan hebat penyanyi kegemaran masing-masing boleh mendapatkan tiket percuma di Balai Pengawal, Sri Pentas Bandar Utama di sini dan Balai Pengawal Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Tiket menyaksikan persembahan bahagian pertama mula diedarkan pada 8 November diikuti bahagian kedua (11 November) dan bahagian ketiga (22 November)
Ia boleh dituntut bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang.
'Patah Seribu' karya Shila Amzah bakal memberi saingan sengit.
Berikut ini senarai 30 lagu yang akan ke peringkat separuh akhir Muzik Muzik ke-27
BAHAGIAN 1 (11 November 2012)
1. Cerita Dia
Artis : Drama Band
Komposer : Ammar Habir
Penulis lirik : Aepul
2. Idola
Artis : Azlan & The Typewriter
Komposer : Audi Mok
Penulis lirik : Azlan
3. Ku Akui
Artis : Hafiz
Komposer dan Penulis Lirik : Ajai
4. Aku Datang
Artis dan Komposer : Tomok
Penulis Lirik : Rafidah Abdullah
5. Aku Suka Dia
Artis, Komposer, Penulis Lirik : Ainan Tasneem
6. Pelangi Senja
Artis : Stacy
Komposer : Taja
Penulis Lirik : Tun Teja
7. Jerrypah
Artis dan Penulis lirik : Aizat
Komposer : Anas dan Aizat
8. Majnun
Artis : Hazama
Komposer : Audi Mok
Penulis Lirik : Audi Mok / Omar K
9. Pencinta Terbaik
Artis : Sofazr
Komposer dan Penulis Lirik : Edry Abdul Halim
10. Kasanova
Artis : Stacy
Komposer : Edry Abdul Halim
Penulis Lirik : Edry Abdul Halim
11. Biar Sampai Ke Bintang
Artis : Asmidar
Komposer : Ajai
Penulis Lirik : Ahmad Farid Abdul Jalal
Tomok (kiri) dan Aizat
BAHAGIAN 2 (18 November 2012)
1. Anak Kampung
Artis dan Penulis Lirik : One Nation Emcees dan Jimmy Palikat
Komposer : Jimmy Palikat
2. Terukir Di Bintang
Artis, Komposer, Penulis lirik : Yuna
3. Angkasa
Artis, Komposer, Penulis Lirik : Diandra Arjunaidi
4. Tanpamu
Artis, Komposer, Penulis Lirik : Amir Jahari
5. Sesaat Kau Datang
Artis : Ramlah Ram & Sleeq
Komposer : ID Mifzal
Penulis Lirik : Zie Syafruddin
6. Ombak Rindu
Artis : Hafiz dan Adira
Komposer, Penulis Lirik : Zaidi
7. Terlalu Mencintaimu
Artis : Suki
Komposer : Ajai
Penulis Lirik : Jeremy Chong
8. Beginilah Caranya
Artis : Shaheizy Sam
Komposer dan Penulis Lirik : Ajai
9. Tapi Bagaimana
Artis : Spider
Komposer : Tam Spider
Penulis Lirik : M.Nasir
10. Sebelah Jiwaku
Artis : Jaclyn Victor
Komposer dan Penulis Lirik : Edry Abdul Halim
11. Lagu
Artis : Bedroom Sanctuary
Komposer dan Penulis Lirik : Bo Amir Iqram
BAHAGIAN 3 (25 November 2012)
1. Teman Pengganti
Artis : Black & Malique
Komposer dan Penulis Lirik : Malique
2. Harapan
Artis dan Komposer : Hyper Act
Penulis Lirik : Frozen
3. PanikArtis : Bunkface
Komposer dan Penulis Lirik : Sam Bunkface
4. Simetri
Artis : Hazama dan Amy Search
Komposer : Audi Mok
Penulis Lirik : Zel Firdhaus Haduan
5. Mesti Ada Cinta
Artis : Akim dan Fiq
Komposer dan Penulis Lirik : Kuncidemak
6. Andaiku Bercinta Lagi
Artis : Mojo
Komposer dan Penulis Lirik : Edry Abdul Halim
7. Patah Seribu
Artis, Komposer, Penulis Lirik : Shila Amzah
8. Watak
Artis :Hafiz
Komposer : Aidit Alfian
Penulis Lirik : AD Samad