jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Monday, April 30, 2012

Indonesia Akan Lakukan Sweeping Rakyat Malaysia 2 Mei 2012!

 image

Aliansi Gerakan Rakyat Batam Bersatu Gelar Aksi Sweeping Warga Malaysia

Laporan Tribunnews Batam, Kartika Kwartya

TRIBUNNEWSBATAM, BATAM- Elemen masyarakat yang tergabung dalam Aliansi Gerakan Rakyat Batam Bersatu akan melakukan aksi sweeping warga Malaysia pada 2 Mei besok. Aksi ini diawali dengan demonstrasi ke Kantor DPRD dan Kantor Imigrasi di Batam Centre.

Tujuan aksi ini, meminta pemerintah untuk segera bergerak selesaikan masalah-masalah tenaga kerja Indonesia yang dirasa belum ada penuntasannya hingga sekarang. Tidak cuma tentang tiga TKI yang dikirim pulang dalam keadaan tak bernyawa beberapa waktu lalu. Tapi ini sebagai akumulasi atas banyak kejadian sebelumnya.

"Nelayan kita dibunuh di laut. Rakyat kita dianiaya di Malaysia. Kita tidak pernah menganiaya rakyat Malaysia di sini. Selama ini kita diam, kita pikir pemerintah siap tuntaskan ini. Tapi nyatanya cukup dengan Malaysia minta maaf lalu pemerintah kita diam," kata Koordinator Lapangan aksi, Hazhary di Batam Centre, Senin (30/4/2012).

Menurutnya, setiap tahun 700 jiwa TKI hilang di Malaysia akibat kekerasan. Mereka menilai Malaysia sudah sangat keterlaluan. Karena mengucapkan permintaan maaf tapi lantas kejadian serupa, penganiayaan dan kekerasan, terus berulang.

Menurut Hazhary ada 10 elemen organisasi masyarakat yang tergabung dalam aliansi ini. Pada saat berunjuk rasa nanti, mereka tidak akan membawa bendera masing-masing elemen.

Kecewa cinta 'cover line'

  • Foto

  • Foto

Fouziah Gous nafi bakal bertunang atau berkahwin pada Jun ini, tetapi akui sedang mengenali hati budi seseorang

PUAS memujuk Fouziah Gous untuk bersemuka dengan B*POP gara-gara namanya yang tiba-tiba menjadi perhatian, baru-baru ini, berikutan bertebaran pelbagai versi cerita mengaitkannya dengan spekulasi kembali rapat dengan seorang ahli korporat dan kononnya bakal berkahwin pada Jun ini.
Lebih memanaskan suhu industri hiburan tanah air apabila nama pelakon jelita yang bakal genap usia 30 tahun pada 11 Disember ini, apabila namanya turut dikatakan bakal mengikuti jejak deretan artis wanita seperti Lisa Surihani, Fasha Sandha, Scha Alyahya, Irma Hasmie dan Liyana Jasmay dalam merencana masa depan kehidupan berumah tangga.
Kalau betul sekalipun saya nak kahwin buat apalah saya nak sorok benda yang baik. Andai kata sudah sampai jodoh saya, saya menerimanya dengan hati terbuka. - Fouziah Gous
Fouziah dikatakan bakal mengikat tali pertunangan Jun ini dengan lelaki yang masih samar identitinya. Tak kurang juga ada yang menebak lelaki bertuah itu ialah ahli korporat. Bekas pramugari itu bagaimanapun menafikan perihal berkenaan kerana secara logiknya dia sibuk dan terikat dengan komitmen seni, jadi belum ada perancangan ke arah itu dalam masa terdekat.

Sejak sekarang hingga hujung Jun ini, Fouziah menjelaskan, dia sibuk melunaskan baki penggambaran drama yang mencatat rating membanggakan di TV1 terbitan Suhan Movies bagi musim kedua. Akur dengan pujukan B*POP, satu pertemuan berlangsung di sebuah restoran Jepun di KLCC, Selasa lalu.

Jika mengikut kata hati Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) di ASK2007 itu, dia tidak mahu lagi bersuara sekali pun pilihannya untuk bersuara atau tidak seakan menjerat dirinya dan hal ini akan berterusan menjadi tanda tanya. Terpancar kekecewaan pada wajahnya kerana berasakan dirinya seperti bola yang ditendang sesuka hati.

“Saya percaya diri ini di tempat betul tetapi ada kalanya saya tewas di atas paksi menghormati kerjaya wartawan, contohnya. Cuma sebagai manusia biasa, saya sesekali terasa hati apabila yang disampaikan itu berbeza dengan apa yang dituturkan. Malah, lebih sebak apabila orang di luar sana yang lebih arif menilik dan menentukan masa depan. Sedangkan saya sendiri masih tercari-cari dan belum pasti dengan kesudahan sisi peribadi termasuk masa depan. Berilah saya peluang berkawan dengan sesiapapun cuma jangan membuat andaian sesuka hati.
“Mungkin kisah nak bertunang atau kahwin itu lebih afdal diajukan kepada tukang tilik dan penulis gosip berkenaan kerana mereka yang nampaknya lebih tahu. Saya sedar sebagai figura awam, ramai yang nak tahu kisah peribadi tetapi sebaiknya biarlah berasas,” katanya sambil mengakui dirinya sendiri tidak mempunyai tarikh tertentu untuk bertunang mahupun berkahwin.

Dek desas-desus bakal bertunang dan melangsungkan perkahwinan dapa Jun ini, Fouziah akui dia dihujani banyak pertanyaan di kalangan keluarga, sanak saudara dan teman. Tak kurang juga yang mengucapkan tahniah, selain ada yang terasa hati kerana menjadi orang terakhir dikhabarkan cerita pertunangan yang nyata tidak benar itu.

Fouziah juga mengakui amat kecewa kerana kisah ‘usikan’ cinta ‘cover line’ membabitkannya dengan Iqram Dinzly masih terus dikaitkan sebagai alasan mengaburi cintanya dengan orang lain. Fitnah sebegini menyakiti hatinya dan Iqram.

“Kalau betul sekalipun saya nak kahwin buat apalah saya nak sorok benda yang baik. Andai kata sudah sampai jodoh saya, saya menerimanya dengan hati terbuka, tapi jika sebaliknya janganlah memandai-mandai mengarut serta menebak itu dan ini. Lebih baik doakan saya ke arah yang baik itu lebih afdal.

“Begitu juga hal cinta ‘cover line’ dengan Iqram, semakin hari menjadi keterlaluan dan ramai yang tak menyedarinya kesannya kepada keluarga kami. Bayangkan, hingga saat saya berkawan dengan teman baru pun, kisah cinta ‘cover line’ ini tetap menjadi modal orang di luar sana untuk berkata-kata.

“Sejujurnya, saya tidak mahu ia menjadi badi yang boleh merosakkan persahabatan dan ukhuwah saya dengan Iqram. Kami sudah seperti adik beradik. Susah senang saya banyak dikongsi dengannya. Malah, keluarga kami pun tahu keakraban kami kerana kami pernah ke rumah keluarga masing-masing,” katanya yang selepas muncul meneusi filem Rasuk, Fouziah juga sedang menunggu tayangan filem Hantu Bukit Cina arahan TS Jeffry. Dalam filem itu dia bergandingan dengan Gambit Saifullah.

Selama lima tahun berkecimpung dalam dunia seni, selain kerjaya lakonan, kisah peribadinya sering menjadi bualan. Selain tidak habis-habis dikaitkan dengan ahli korporat berstatus duda itu, Fouziah sebenarnya pernah melalui fasa percintaan dengan orang biasa namun kecundang di tengah jalan.

Ketika ini difahamkan, Fouziah sedang dalam peringkat untuk kembali bercinta dan mengenali hati budi seseorang. Bagaimanapun, identiti lelaki berkenaan kekal rahsia dan sekali lagi ahli korporat berkenaan dikaitkan menjadi rapat dengannya pada saat ini.

“Tanyalah wanita mana pun, mereka mesti nak kahwin, mempunyai keluarga dan anak. Saya juga begitu. Hal sama sebelum ke fasa kahwin, kita harus melalui fasa bercinta. Cuma saat ini, saya tak selesa mendedahkan siapa dia kerana pada akhirnya belum tentu dia menjadi milik saya.

“Yang pasti, setiap lelaki yang pernah saya kenali akan diperkenalkan kepada keluarga. Memang saya agak tipikal tapi begitulah cara saya dibesarkan keluarga dengan penuh kasih sayang dan adab. Bererti dalam soal pilihan hati, keluarga akan tahu siapa gerangannya. Tiada rahsia.

“Saya bukan wanita yang keluar dengan ramai lelaki pada satu masa. Saya mahu hubungan yang boleh berakhir dengan cara yang sebaiknya. Begitu juga dalam hal saya terus dikaitkan dengan ahli korporat itu, saya hanya mampu berdiam diri tetapi tidak pernah menyembunyikan fakta jika pernah keluar dengannya di khalayak,” katanya yang pernah menemani ahli korporat berkenaan menonton pementasan teater, Lawak Ke, Der? dan konsert Avril Lavigne.

Kesal dilabel anak emas stesen TV

PADA pertemuan malam itu juga tidak semena-mena membuatkan air mata Fouziah Gous bergenang. Tangisan itu mempunyai hubung kait dengan kisah yang selama ini mengaitkan dirinya dengan ahli korporat, sekali gus dikatakan menjadi anak emas sebuah stesen TV. Selepas hampir tiga tahun ahli korporat itu meninggalkan stesen TV berkenaan, persepsi dan mentaliti kononnya dia masih dilayan seperti anak emas nyata berbekas di hati Fouziah. Difahamkan juga gara-gara cerita itu, Fouziah sebenarnya tidak disukai beberapa pihak lain di stesen terbabit.

“Hingga saat ini, saya tertanya dan terfikir sendiri, kenapa saya harus diperlakukan hingga ke tahap ini. Tetapi, saya bersyukur sepanjang bergelar anak seni, rezeki berlakon tidak putus sekalipun keluar cerita kononnya ada stesen TV seperti menyenaraihitamkan nama saya.

“Tak kurang juga ada teman artis menganggap saya seperti mempunyai lesen besar hingga menjadikan saya sebagai ruang untuk melobi diri supaya dapat berlakon dengan stesen TV itu. Hakikatnya saya tidak seperti dilabel itu. Cuba senaraikan kembali berapa banyak sangat drama yang saya berlakon dengan stesen TV itu.

“Hakikatnya, memang tak banyak pun. Jumlah drama yang saya jadi watak utama pun boleh dikira dengan jari. Tapi lucu juga jadinya jika watak tempelan dan kecil-kecilan yang saya lakonkan menjadi kayu pengukur mengatakan saya anak emas. Tapi, inilah yang saya telan selama ini dan jarang luahkan di mana-mana,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fouziah turut aktif menganjurkan GlamBazaar yang berpaksikan amal membantu mereka yang kurang bernasib baik. Menariknya, Fouziah berjaya menghimpunkan pelbagai koleksi barangan peribadi milik artis untuk dijual kepada orang awam dan peminat. Setakat ini dua siri GlamBazaar dianjurkan, bermula di Adik Villa, Jalan Off Puncak Setiawangsa, Taman Setiawangsa dan medan selera popular, Rasta, Taman Tun Dr Ismail. Antara artis yang turut menyumbangkan barangan ialah Datuk Siti Nurhaliza dan Shaheizy Sam.

“Idea GlamBazaar ini tercetus sejak Februari 2012. Semuanya bermula apabila saya sendiri memikirkan apa boleh dilakukan dengan baju milik sendiri yang masih baru, hanya pernah dipakai sekali saja dan penuh dalam almari. Pada mulanya saya dibantu kawan, Leeya dan Norhazwani (biras). Seterusnya kami dibantu beberapa orang lagi di bawah pasukan ini. Alhamdulillah, untuk siri pertama, kami ambil masa 10 hari saja untuk melaksanakannya dan ia mendapat sambutan baik.

“Sebahagian 30 peratus keuntungan jualan kami ambil daripada artis terbabit kerana ia mengambil kira kos menguruskan gerai seperti membeli rak penyangkut. Keuntungan selebihnya diserahkan kepada artis dan terpulang kepada mereka untuk membenarkan ia disalurkan kepada pertubuhan tertentu atau diuruskan sendiri artis,” kata Fouziah yang berkemungkinan besar merancang GlamBazaar Raya untuk siri ketiga nanti.

Busana: Anizam Yusof (anizamyusof@gmail.com atau anizamyusoftherhucouture.blogspot.com)
Solekan: Fouziah Gous, (Tiar Zainal, http://facebook.com/tiarzainal)

Profil Faouziah Gous
NAMA: Nor Fouziah Mohd Gous
TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982 ASAL: Kuala Lumpur
FILEM: Bujang Senang, Malaikat Maut, Otai, Sifu dan Tongga, Rasukan Ablasa Skrip 7707, Maut, Dua Hati Satu Jiwa, Rasuk, Hantu Bukit Cina DRAMA: Enigma, Demi, Sangga Saadah, Qa'naah, Cinta Medik, Impak Maksima The Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Kain Ketat dan SpaQ 2
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) ASK2007

Zed Zaidi Seru Kebanjiran Artis Luar Dikawal

Zed Zaidi

KUALA LUMPUR: Kebanjiran artis luar yang mencari nafkah dalam industri hiburan tempatan kini berada pada tahap yang serius dan memerlukan kawalan menyeluruh, kata Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi.

Zed berkata, langkah tersebut penting memandangkan kegagalan pihak berwajib untuk berbuat demikian boleh menyebabkan industri hiburan negara ini satu hari nanti menjadi milik artis-artis luar.

Menurut Zed, pendirian tersebut tidak bermakna beliau menentang keras kemasukan artis luar ke dalam industri hiburan tanah air tetapi kemasukan mereka (artis-artis luar) perlu dikawal.

"Tidak dinafikan kemasukan artis-artis luar ke negara kita bukan sahaja banyak membantu merancakkan industri hiburan tanah air bahkan juga menggalakkan persaingan antara artis luar dan tempatan. Persaingan sememangnya bagus.

"Cumanya, jika trend kemasukan mereka tidak dikawal melalui persatuan, apakah akan terjadi kepada industri hiburan tanah air kita dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang? Bagaimana pula dengan nasib artis-artis tempatan negara yang ingin mencari sesuap nasi di buminya sendiri?" kata beliau dalam program Dalam Radar, terbitan Bernama Radio24, baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zed turut melahirkan rasa kecewanya dengan aspek pengawalan kemasukan artis-artis luar ke dalam industri hiburan tanah air ketika ini, yang dilihatnya cukup longgar.

Katanya, keadaan sedemikian pula jarang berlaku di negara-negara lain kerana mereka telah melakukan pengawalan yang ketat terhadap kemasukan artis-artis luar.

Malaysia, tegasnya, turut mempunyai peraturan berkenaan namun ia tidak ditekankan secara menyeluruh.

Zed turut menyelar segelintir pihak yang cenderung mengagung-agungkan artis-artis luar dalam produksi mereka dan menyifatkan tindakan itu sebagai satu cara untuk meraih keuntungan dan kepentingan diri mereka sendiri.

"Malaysia memiliki penggiat seni yang hebat. Kenapa artis-artis tempatan tidak diangkat hinggakan perlu menggunakan artis-artis luar? Hakikatnya, kita mempunyai bakat yang cukup profesional dan bertaraf antarabangsa," katanya.

Rita Rudaini Minta Aidil Zafuan Beri Alasan Cerai

Rita Rudaini mahu alasan kukuh sebab Aidil Zafuan minta cerai daripadanya.

SHAH ALAM: Pelakon Rita Rudaini, mahu suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohammad Aidil Zafuan Abd. Radzak memberi alasan kukuh sebab-sebab ingin berpisah sebelum diceraikan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, di sini, Isnin.

Rita, 36, atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain berkata, dia tidak bersetuju dengan permohonan cerai Aidil, 25, memandangkan mereka tidak pernah berbincang secara bersemuka sejak suaminya itu keluar dari rumah empat bulan lalu.

"Selagi saya tidak dapat alasan kukuh mengapa dia ingin bercerai dengan saya, maka saya tidak akan bersetuju dengan permohonan cerainya itu.

"Malah, ketika prosiding berlangsung, dia seperti teragak-agak apabila menjelaskan sebab-sebabnya dan hanya berkata kami sudah tidak serasi. Adakah itu satu alasan kerana sebelum dia keluar rumah, kami tidak bergaduh langsung," katanya yang ditemui selepas perbicaraan tamat.

Rita yang memakai jubah hitam dan tudung warna biru itu hadir bersama peguamnya serta ibu, ayah dan saudaranya manakala Aidil yang bersut hitam turut hadir bersama peguamnya, Ahmad Nazib Johari dan ibu bapanya.

Bagaimanapun tambah Rita, dia masih lagi ingin menyelamatkan rumah tangganya memandangkan dia dan Aidil telah melalui pelbagai dugaan bersama sejak berkahwin pada 25 Februari 2008 dan masih lagi menyayangi perkahwinannya itu.

"Saya masih lagi sayangkan perkahwinan ini kerana kami telah melalui pelbagai dugaan bersama. Tetapi seandainya kami tiada jodoh, saya tidak boleh nak berbuat apa-apa," ujarnya.

Dalam pada itu, Rita turut berkata, Aidil seorang yang tidak berpendirian tetap kerana hal rumah tangganya sering dicampuri pihak keluarga Aidil.

"Saya pelik dengan kelakuannya kerana sebelum ini ketika kami berpisah sekejap dan kembali berdamai, dia telah berjanji akan menjaga rumah tangga kami tanpa sebarang campur tangan daripada pihak lain.

"Dan tak sangka selepas dia keluar rumah pada awal Januari lalu tanpa pertelingkahan, dia tidak lagi pulang ke rumah.

"Bagi saya, dia sebagai suami perlu pikul tanggungjawab dan buat keputusan sendiri tanpa pengaruh orang lain," katanya.

Sementara itu, Aidil yang terus beredar selepas perbicaraan membuat kenyataan ringkas dengan berkata: "Kita tunggu saja nanti, jika ada jodoh, adalah."

Mahkamah menetapkan sebutan kes permohonan cerai itu pada 16 Mei ini dengan melantik Jawatankuasa Pendamai yang dianggotai seorang wakil keluarga terdekat kedua-dua pihak.

Pasangan yang bernikah secara rahsia itu, telah dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Qaqa Arjuna berusia lapan bulan.

Dalam pada itu, hubungan mereka mendapat tentangan daripada keluarga pihak lelaki sejak awal lagi.

A7X Pukau 15,000 Penonton Di Sunway Lagoon

Aksi Avenged Sevenfold pada konsert Avenged Sevenfold Live in Kuala Lumpur 2012 di Surf Beach, Sunway Lagoon, malam Ahad.

PETALING JAYA: Aksi sulung kumpulan heavy metal Avenged Sevenfold (atau lebih dikenali sebagai A7X) pada konsert Avenged Sevenfold Live in Kuala Lumpur 2012 di Surf Beach, Sunway Lagoon, di sini, malam Ahad, memang gah.

Kumpulan dari California, Amerika Syarikat itu bagai menepati jangkaan dengan persembahan gred pertama. Malah momentum konsert itu dilonjakkan dengan sambutan luar biasa kira-kira 15,000 peminat yang membanjiri persekitaran pantai buatan itu.

Tampil ringkas dan memukau dengan 11 rangkaian lagu, A7X membuktikan kehebatan mereka seawal tirai pembukaan menerusi lagu terbaru berjudul Nightmare.

Tenaga dan kuasa muzik kumpulan yang berusia 13 tahun itu berlanjutan selama satu jam setengah konsert berlangsung.

Jelas di sini, persembahan A7X menepati standard tinggi dan berhak dipuji ketika mereka menyampaikan satu demi satu lagu popular dari album pertama hingga terkini termasuk Critical Acclaim, Second Heartbeat, Afterlife, Beast and the Hartlot, A Little Piece of Heaven dan banyak lagi.

Antara lagu dari album terbaru A7X yang sempat didendangkan adalah Nightmare, Welcome to The Family dan So Far Away.

Vokal memukau M. Shadows menggegarkan konsert.

Tiga aspek terbaik tentang persembahan A7X adalah mutu vokal, petikan gitar dan hentakan dram yang selaras dan bertenaga, sekaligus memberikan impak ekstra pada konsert tersebut.

Kerancakan konsert bertukar suasana apabila kumpulan ini menyampaikan lagu So Far Away yang ditujukan kepada bekas ahli kumpulan yang meninggal dunia beberapa tahun lalu iaitu The Rev (pemain dram).

Persembahan itu diiringi nyanyian beramai-ramai para peminat serta dihiasi nyalaan pemetik api yang melengkapkan suasana sedih dan murung. Difahamkan, lagu tersebut merupakan luahan kerinduan A7X kepada sahabat mereka itu.

Mereka melabuhkan persembahan dengan lagu Unholy Confessions yang dipetik daripada album kedua Wakin the Fallen (2003).

Walaupun kepuasan jelas terpancar pada wajah para peminat, ramai juga yang terkilan kerana tidak berpeluang untuk melihat A7X mendendangkan lagu Dear God yang turut dinanti-nantikan.

A7X dianggotai M. Shadows (vokalis), Synyster Gates (gitar utama), Zacky Vengeance (gitar rhythm) dan Johnny Christ (gitar bass).

Surf Beach dibanjiri kira-kira 15,000 penonton yang mencatatkan antara jumlah penonton teramai bagi sesebuah konsert di lokasi berkenaan.

Kunjungan buat julung kali mereka ke Malaysia adalah bersempena siri jelajah promosi album kelima iaitu Nightmare.

Mereka pernah mengeluarkan empat album sebelum ini iaitu Sounding the Seventh Trumpet (2001), Waking the Fallen (2003), City of Evil (2005) dan Avenged Sevenfold (2007).

Konsert itu dianjurkan Fat Boys dengan kerjasama Tune Talk dan JS Concert Productions.

Zizan (Raja Lawak) Dimasukkan Ke Hospital Akibat Keradangan Otot

Zizan Razak

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Zizan Abdul Razak atau Zizan (Raja Lawak) telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Pantai pada 29 April akibat keradangan otot.

Menurut pengurusnya, Marina Juki, ketika kejadian, Zizan sedang bersiap untuk bertolak ke Ipoh, Perak bagi menjayakan siaran langsung program Melodi bersempena Karnival Jom Heboh di negeri tersebut.

"Setibanya di unit kecemasan hospital tepat pukul 1.30 pagi, doktor telah membuat ujian darah sebanyak dua kali.

"Hasil ujian darah tersebut, doktor mengesahkan Zizan mengalami 'Acute Myositis' atau lebih dikenali dengan keradangan otot.

"Zizan turut diberikan protein, vitamin dan antibiotik untuk memberikannya tenaga dan setakat ini keadaan Zizan adalah stabil," ujarnya.

Dalam pada itu, Marina berkata, doktor telah menasihatkan supaya Zizan berehat selama dua minggu sebelum kembali bekerja.

"Sepanjang tempoh itu juga, semua aktiviti seninya akan dihentikan buat sementara waktu sehingga kesihatannya pulih," katanya.

Sementara itu, Marina berkata, Zizan menyampaikan salam terima kasih kepada penyokong dan sahabat yang mendoakan Zizan di Twitter dan Facebook yang mendoakan kesejahteraannya.

"Dia berjanji akan kembali pulih dan amat terharu dengan sokongan para peminatnya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zizan kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Tokan akan berehat sebelum menghabiskan baki penggambaran yang tinggal tujuh atau 10 hari lagi.

Manakala, keputusan untuk terlibat dalam program Super Spontan hanya akan diketahui selepas menerima laporan sepenuhnya dari pihak hospital.

Bella Dally Tolak Watak Jahat Demi Ibu Bapa

Bella Dally

PETALING JAYA: Pelakon baru Nabilah Ali Dally (Bella) mengakui tidak rela dirinya menjadi bahan eksploitasi pihak penerbit menerusi watak-watak negatif sehingga boleh menjejaskan imejnya.

Aktres berusia 21 tahun itu berkata, selepas tiga tahun menceburi bidang lakonan dia kini mahu bersikap lebih selektif dengan mengelakkan watak-watak negatif yang kurang disenangi ibu bapanya.

“Saya berasa inilah waktunya untuk saya bersikap lebih selektif pada watak-watak lakonan saya. Bukan mahu bersikap sombong atau besar kepala, cuma saya mahu elakkan watak negatif seperti menjadi wanita GRO atau penagih dadah.

“Sebelum ini, saya pernah membawakan watak sebegitu dan ia kurang disenangi oleh ibu bapa kerana kurang manis apabila ditonton di televisyen,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Sehubungan itu, pelakon berdarah kacukan Melayu dan Pakistan (bapa) dan Cina, Filipina dan Jerman (ibu) ini, berkata dia berharap dapat menerima lebih banyak watak positif demi menyenangkan hati kedua orang tuanya.

“Apabila orang tua saya kurang suka dan tidak begitu merestui apa yang saya lakukan, tentulah saya sebagai anak berasa tidak sedap hati.

“Malah, saya sendiri pun tidak selesa kalau membawa watak yang terlalu liar, jahat atau mendedahkan tubuh badan. Kalau boleh saya mahu lebih banyak watak yang baik dan positif selepas ini,” katanya.

Diusik mengenai lenggok pertuturannya yang semakin jelas dan kurang kedengaran dialek Sabah, Bella berkata ia dicapai berkat usahanya berkomunikasi dalam bahasa Malaysia standard sejak dia bergelar pelakon.

“Saya sedar masalah dialek adalah perkara besar yang membataskan perkembangan bakat-bakat lakonan dari Sabah.

"Sejak tiga tahun lalu, saya bekerja-keras dengan berkomunikasi dalam bahasa Malaysia yang standard dengan orang-orang Semenanjung.

“Saya akui berdepan kesulitan untuk berdialog dengan bahasa Malaysia yang standard pada tahun pertama. Kini saya semakin nampak peningkatan itu,” katanya.

Bella kini terlibat dalam penggambaran drama bersiri Natrah untuk siaran pada Ogos depan di TV2.

Aksinya juga boleh ditonton dalam drama Friday I’m In Love yang kini disiarkan pada setiap Khamis pukul 8.30 malam di TV9.

Syahrini Minta Justin Bieber Minta Maaf Kerana Hina Indonesia

Syahrini

JAKARTA: Penyanyi Indonesia Syahrini mengecam bintang remaja antarabangsa Justin Bieber kerana didakwa memperlekehkan negara itu.

Menerusi akaun Twitter peribadinya, penyanyi lagu Kau Yang Memilih Aku melahirkan kekecewaannya dan meminta Bieber untuk meminta maaf kepada rakyat Indonesia.

“Justin Bieber harus minta maaf kepada masyarakat Indonesia,” tegasnya menerusi kemas kini akaun Twitter, @PrincesSyahrini, pada Sabtu.

Terdahulu, kenyataan Bieber yang memperlekehkan kualiti studio rakaman di Indonesia mencetuskan kontroversi di kalangan rakyat republik itu.

Ketika ditemubual pada pelancaran album terbarunya Believe 2012 di London, England, baru-baru ini, penyanyi itu mengakui dia merakamkan salah sebuah lagu dalam album itu di Indonesia.

Dalam kenyataannya kepada akhbar Mirror, Bieber menyifatkan republik itu sebagai sebuah negara yang bercelaru dan tidak berpola. Dia turut mempertikaikan kualiti studio rakaman di Indonesia yang dianggap sangat teruk.

Justin Bieber

“Saya berada di sebuah negara yang bercelaru. Saya merakamkan sebuah lagu itu di sebuah studio yang kecil. Mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan,” kata Bieber dalam temu ramah itu.

Pengurusnya Scott “Scooter” Braun mengesahkan negara yang dimaksudkan Bieber adalah Indonesia.

Pengurus Syahrini iaitu Reindhy berkata, penyanyi itu terganggu dengan kenyataan dikeluarkan Bieber menerusi pelbagai media dalam talian mengenai Indonesia yang disifatkan sebagai tidak bersesuaian dan tiada etika.

“Syahrini terganggu dengan kenyataan Justin Bieber yang disiarkan beberapa media dalam talian.

“Menurut Syahrini kenyataan itu tidak beretika. Bukankah Justin mempunyai peminat yang ramai di sini. Apakah dia tidak menghargai perasaan masyarakat Indonesia?” ujar Reindhy kepada laman web detikHOT, pada Ahad.

Osman Ali Masih Mencari Penaja 'Luna Latisya The Musical'

Osman Ali.

PETALING JAYA: Pengarah box-office, Osman Ali menjelaskan masih mencari penaja untuk membiayai teater muzikal yang diadaptasi daripada filem Cun arahannya pada 2011.

Osman berkata, perincian mengenai teater muzikal itu telah pun dibuat namun masih memerlukan penaja bagi menggerakkan proses produksi yang dijadual akan dipentaskan pada penghujung tahun ini.

"Perancangan telah pun dibuat oleh pihak produksi tetapi kos menjadi penghalang untuk ia direalisasikan buat masa ini. Kami sedang berusaha mendapatkan penaja.

"InsyaAllah semuanya akan berjalan lancar nanti," katanya kepada mStar Online.

Tambah Osman, teater muzikal itu nanti masih akan mengekalkan pelakon asal seperti Maya Karin, Remy Ishak, Faezah Ilai, Nadiya Nisa dan Mislina.

"Selain mengekalkan pelakon asal, Luna Latisya Muzikal juga akan membariskan nama-nama lain bagi memeriahkan pementasan itu nanti," katanya.

Dalam pada itu, Osman berkata, dia menukar tajuk asal filem itu kepada 'Luna Latisya' adalah kerana ingin memberi fokus kepada watak Maya Karin di dalam pementasan itu nanti.

Osman berkata, pihaknya juga akan memasukkan pelbagai elemen berbeza bagi memberikan kelainan selain seleksi lagu yang dibuat secara berhati-hati.

"InsyaAllah kepada yang sudah menonton filem Cun akan menyukai pementasan ini yang dijamin akan memberikan kelainan kepada penonton," katanya.

Sementara itu, Osman berkata, dia mungkin akan bekerjasama dengan pengarah teater lain untuk merialisasikan pementasan itu.

Kata Osman, dia memerlukan bantuan daripada pengarah lain kerana tidak pernah mengarahkan teater dan Luna Latisya The Musical adalah yang pertama buatnya.

"Saya tidak mahu terlalu yakin yang akhirnya akan memakan diri sendiri. Sebab itu saya ingin mendapatkan kerjasama pengarah teater yang telah berpengalaman bagi menjayakan teater itu," ujarnya.

Tambah Osman, dia berhasrat untuk mendapatkan khidmat Normah Nordin atau Zizie Zulkifli bagi menjayakan pementasan itu nanti.

Mariah & Nick Berkahwin Ulang Ikrar Perkahwinan

Mariah dan Nick semakin bahagia selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

WALAUPUN sudah berulang kali memperbahrui ikrar perkahwinan mereka, pasangan Mariah Carey dan Nick Cannon memutuskan untuk melakukannya sekali lagi pada ulang tahun perkahwinan mereka yang keempat.

Pasangan ini 'berkahwin' sekali lagi pada ulangtahun mereka pada 27 april lalu dengan berlatar belakangkan Menara Eiffel yang berlokasi di Paris dalam suasana yang cukup romantik.

Malah pasangan ini pernah memberitahu akan berbuat demikian pada setiap tahun bagi mengeratkan lagi kasih sayang di antara mereka berdua.

Mariah dan Nick telah pun dikurniakan sepasang kembar iaitu Monroe Cannon dan Moroccan Scott Cannon yang berusia setahun.

Nick melamar sekali lagi isterinya di kota cinta, Paris.

Dalam pada itu, Mariah, 42, kelihatan anggun dengan busana berwarna putih yang dipadankan dengan tali pinggan dari warna hitam sementara Nick dengan suit serba hitam.

Sebelum ke Menara Eiffel, pasangan itu meraikan ulangtahun perkahwinan mereka di Hotel La Maison Blanche dengan dihadiri oleh para wartawan daripada seluruh dunia.

Nick sempat melamar Mariah seolah-olah mereka belum berkahwin dan membuatkan isterinya itu tersipu-sipu dihadapan wakil media.

Penyakit hilang guna air perigi 'sirap'


SEORANG penduduk membasuh muka menggunakan air perigi 'sirap' di Pasir Puteh semalam.


PASIR PUTEH - "Alhamdulillah, penyakit gatal-gatal saya kini beransur hilang selepas mandi dengan air perigi ini."

Itu dakwaan seorang warga emas, Man Mat, 70,selepas mandi air dari sebuah telaga berusia lebih 10 tahun di Kampung Pintu Gerbang, Dalam Ru dekat sini yang kini menjadi tarikan utama selepas airnya bertukar menjadi warna merah baru-baru ini.

Beliau yang berasal dari Kuala Besut, Terengganu berkata, sebelum ini, badannya sering gatal, namun penyakit tersebut hilang selepas mandi dengan air daripada perigi berkenaan.

Menurutnya, berita mengenai air tersebut diketahuinya ketika sedang membaiki kereta di sebuah bengkel berhampiran kawasan kampung berkenaan.

"Ketika itu saya sedang membaiki kereta, tiba-tiba saya terdengar ada penduduk kampung bersembang mengenai telaga tersebut.

"Sejurus mendapat tahu mengenai kejadian pelik itu, saya terus ke tempat kejadian dan ambil airnya dengan harapan mengubati penyakit saya.

"Selepas pulang ke rumah, saya mandi dengan air telaga berkenaan dan penyakit gatal yang dihidapi sebelum ini beransur pulih," dakwanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Nanti saat lamar Marian

POPULAR...Dingdong hadir ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan telenovela Endless Love.
POPULAR...Dingdong hadir ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan telenovela Endless Love.

IMPAK lakonan ditunjukkan aktor Filipina, Dingdong Dantes nyata memberikan pencapaian membanggakan buat dirinya apabila mempunyai ramai peminat di rantau ini.

Menariknya, populariti yang dicipta menerusi telenovela MariMar (2007), Stairway to Heaven dan Endless Love (2009) begitu melonjak namanya dikenali termasuk di Malaysia.

  • Foto

    SEKSI...pelakon jelita Marian Rivera yang menjalinkan hubungan rapat dengan Dingdong.

  • Foto

    PAKEJ BAIK...lakonan Dingdong diminati ramai peminat di rantau Asean termasuk Malaysia.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Jika dirujuk kembali fenomena artis Filipina diminati penonton negara ini bukan perkara asing yang pernah berlaku dalam industri hiburan tempatan.

Seperti mana kehadiran Jericho Rosales yang membuatkan peminat wanita jatuh cinta menerusi Pangako Sa’Yo dan Sana’y Wala Nang Wakas , begitu juga giliran Dingdong yang semakin digilai di kalangan jutaan peminat di sini.


Bayangkan ketika aktor tegap tinggi ini hadir pada sesi ramah mesra diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini, ia bagaikan mengundang histeria dan ‘angau’ di kalangan kakitangan wanita Media Prima Berhad yang mengambil kesempatan bersalam dan bergambar.


Malah ada antara mereka tanpa segan silu melemparkan perkataan ‘saya cinta awak!’ ketika acara ini berlangsung.

Apapun, kehadiran Dingdong sebenarnya membantu mempromosi drama berkonsep telenovela, Endless Love yang kini masih hangat ke udara di TV3.

Dalam pertemuan lebih dekat peminat di sini, aktor ini turut turun padang menjayakan acara Jomheboh di Ipoh, Perak yang selesai dilangsungkan sejak Sabtu lalu.

Aktor berusia 32 tahun berasal dari Quezon City ini menyatakan pengalaman kali kedua berkunjung ke Malaysia selepas dua tahun lalu cukup berbeza. Paling membuatkan dia tersenyum lebar apabila bertemu peminat angau yang dianggap suatu kejutan.

Dia akui populariti membintangi drama genre romantik di kaca TV memberi kelebihan pada dirinya sehingga dikenali ramai.

“Karier seni saya bermula 10 tahun dulu. Saya percaya drama rantaian romantik boleh mengikat penonton dengan pelbagai cerita dan plot.

“Seperti Endless Love, pengalaman yang saya timba juga berbeza. Penggambaran mengambil masa panjang sehingga lima bulan dengan tiga bulan saja di Filipina.

“Saya percaya soal populariti drama sebegini sangat bergantung kepada sokongan penonton. Kalau penonton suka, kami juga gembira,” katanya.

Di sebalik aksi romantik ditunjukkan dalam drama ini, Dingdong juga menjadi tumpuan peminat yang ingin tahu kesudahan hubungan cintanya bersama aktres Marian Rivera yang sama membintangi drama itu.

“Saya menantikan masa yang sesuai dan isyarat untuk melamarnya. Pertama kali saya berjumpa dengan Marian adalah ketika kami hadir pada uji bakat MariMar.
Bagi saya, Marian seorang yang sempurna dan sesuai berlakon dalam telenovela ini. Apabila penggambaran bermula hubungan kami menjadi lebih rapat.

“Dia seorang gadis yang kelakar dan kami mempunyai kegemaran sama menonton wayang serta melancong. Tiga minggu lalu, kami baru pulang bercuti di Kemboja.
Di sana, kami terkejut melihat peminat begitu ramai mengenali kami dan ia membuatkan kami rasa gembira,” katanya.

Meneruskan karier lakon, Dingdong menyimpan impian bergelar pengarah dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Katanya, sesiapa saja boleh menjadi pengarah ketika ini tetapi jika mempunyai banyak pengalaman ditimba sebagai pelakon, seseorang itu mampu menjadi pengarah terbaik.

“Saya kini masih mengikuti pengajian Ijazah Pengurusan Perniagaan di West Negros University dan akan tamat pengajian tahun depan.

“Apa yang dapat saya katakan, ketika berkunjung ke Malaysia, saya berasakan seperti berada di negara sendiri.

“Dari segi kerjaya, saya bersyukur atas pencapaian setakat ini. Kalau diberi peluang, saya teringin membawa watak aksi lasak pada masa akan datang,” katanya meminati adiwira terkenal, Batman.

Bekerja secara profesional, Dingdong lebih selesa untuk memberi fokus satu-satu kerja dalam satu masa. Katanya, komitmen terbabit dengan telenovela sendiri memakan masa penggambaran yang panjang. Jadi dia seharusnya memberikan sepenuh fokus agar lakonan tidak bercampur aduk dengan tawaran lain.

Dalam pada itu, Dingdong juga aktif dalam aktiviti kebajikan bersama Yayasan Yes! Pinoy. Dia terbabit sejak 2009 lagi bagi membantu organisasi itu memberi pertolongan kepada kanak-kanak miskin bersekolah.

“Saya tidak terkilan kerana tidak menggapai cita-cita menjadi juruterbang.
Sebaliknya saya gembira saya masih boleh ‘jadi’ juruterbang dan doktor dalam lakonan,” katanya tertawa.

Menyerang jantung, otak

MURUNG...SLE boleh menyebabkan wanita murung jika tidak tahu tangani penyakit.
MURUNG...SLE boleh menyebabkan wanita murung jika tidak tahu tangani penyakit.

KESEDARAN terhadap penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau nama ringkasnya Lupus masih terlalu rendah dalam kalangan rakyat negara ini.

Hakikatnya, penyakit berkenaan adalah tiga kali lebih biasa berlaku dalam kalangan penduduk Asia serta di Malaysia, dan pesakit termuda yang pernah direkodkan menghidap SLE hanya berusia lapan tahun.

Kira-kira 90 peratus daripada mereka yang mendapat SLE adalah kaum wanita manakala selebihnya adalah lelaki dan kanak-kanak.

SLE dalam kalangan wanita biasanya bermula pada usia muda dan dalam tempoh masih subur berikutan hormon estrogen yang tinggi dalam tubuh turut memainkan peranan penting yang menyumbang kepada masalah itu.


Presiden Persatuan SLE Malaysia, Prof Madya Dr Esha Das Gupta, berkata SLE adalah satu gangguan pada sistem imun tubuh pesakit yang mana sistem imun itu sendiri menjadi bercelaru dan melawan bahagian tubuh sihat yang sepatutnya dilindungi.


Katanya, ia boleh menyerang beberapa bahagian tubuh seperti sendi, kulit, buah pinggang, jantung, paru-paru, saluran darah dan otak.

“SLE adalah gangguan yang kompleks dan sebabnya tidak diketahui. Punca terjadinya penyakit ini boleh disebabkan oleh kombinasi genetik, faktor hormon estrogen dan alam sekitar seperti terdedah kepada cahaya matahari.

“Jika SLE hanya menyerang kulit, ia tidak terlalu bahaya tetapi sekiranya menyerang organ dalaman ia menjadi penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Dr Esha berkata, setiap pesakit SLE menunjukkan simptom agak berbeza, dengan sebahagian menunjukkan tanda lazim seperti bengkak sendi, demam yang tidak diketahui puncanya dan keletihan ekstrim.

Katanya, ada pesakit yang menunjukkan simptom seperti ruam kulit serius pada wajah berbentuk rama-rama, merentasi hidung dan pipi.

“Sebahagian lagi pesakit mengalami sakit dada, keguguran rambut luar biasa, anemia, ulser mulut, sakit kepala, pening, kemurungan, kekeliruan dan sawan,” katanya.

Menurut Dr Esha, satu ujian saja tidak boleh menentukan sama ada seseorang menghidap SLE sebaliknya ujian makmal perlu dijalankan bagi mengenal pasti auto antibodi tertentu yang sering kali terdapat dalam tubuh pesakit SLE.

Misalnya, ujian antinuklear antibodi (ANA) selalunya dijalankan untuk mencari auto antibodi yang bertindak terhadap nukleus sel badan, sebelum doktor melihat gambaran keseluruhan pesakit termasuk sejarah perubatan, simptom dan keputusan ujian, bagi memastikan sama ada seseorang itu menghidap SLE.

Dr Esha berkata, tiada cara untuk mengenal pasti atau melindungi diri daripada terkena SLE sebaliknya seseorang itu hanya tahu ia mempunyai penyakit SLE apabila sudah terkena.

Tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit itu, tetapi seiring dengan kemajuan bidang perubatan, terdapat ubat yang boleh mengawal tahap keseriusan SLE, membolehkan pesakit hidup normal tanpa sebarang masalah.

“Wanita yang mendapat SLE juga tetap boleh mengandung dan mendapat anak, tetapi sekiranya SLE membabitkan organ penting seperti buah pinggang, dinasihatkan supaya tidak mengandung kerana bimbangkan kesihatannya,” katanya.

Menurutnya, meskipun seseorang itu disahkan menghidap SLE, masih ada harapan baginya untuk menjalani kehidupan normal, tetapi perlu patuh pada nasihat doktor, mengambil ubat secara berdisiplin dan elak terdedah kepada cahaya matahari terik.

Katanya, penting untuk pesakit SLE mendapatkan bantuan perubatan kerana sekiranya ia dibiarkan tanpa sebarang rawatan dalam jangka panjang, ia boleh menjadi penyakit kronik dan menyebabkan kematian.

“Dulu ketika ubat moden masih belum ada, pesakit SLE mempunyai jangka hayat yang sangat pendek iaitu sekitar lima tahun. Ini kerana pesakit SLE juga mudah terdedah kepada jangkitan kuman memandangkan sistem pertahanan badan yang lemah.

“Selain rawatan doktor pakar, sokongan padu daripada keluarga dan pasangan juga amat penting untuk menguatkan semangat pesakit kerana penyakit ini menyebabkan perasaan menjadi lebih sensitif dan murung,” katanya.

Pesakit SLE, Milawati Arpan Molana, 32, berkata pada 2006 selepas setahun berkahwin, dia secara tiba-tiba jatuh sakit dan mengalami demam, kulit ruam serius pada muka, rambut gugur dengan banyak, berpeluh kuat dan bengkak di seluruh tubuh termasuk tangan dan kaki selain mata putih bertukar kekuningan.

Berikutan itu, katanya, dia membuat pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dimaklumkan menghidap SLE yang menyebabkan hatinya bengkak.

“Pada masa itu saya tidak pernah dengar dan tahu apapun mengenai penyakit SLE.
Ketika itu saya cuma ingat akan mati kerana doktor kata ia tidak boleh sembuh, saya ingatkan ia seperti kanser.

“Akibatnya saya menjadi murung dan cepat marah sehingga tidak mahu melakukan apa-apa dan hanya bersedih.

“Saya juga pernah mendapatkan rawatan daripada bomoh kerana menyangka terkena buatan orang dan apabila fikirkan balik, betapa sedikitnya pengetahuan saya mengenai penyakit ini ketika itu.

“Mujur saya mempunyai suami yang memberi sokongan moral kuat dengan mencari pelbagai maklumat mengenai SLE untuk dibaca dan berusaha menguatkan semangat saya dengan menggalakkan saya menyertai persatuan SLE supaya dapat bertemu orang senasib,” katanya.

Katanya, penyakitnya mengambil tempoh dua tahun untuk dikawal dan dalam tempoh itu, dia mengalami kesukaran untuk bergerak sehingga perlu dipapah kerana sakit teramat sangat di bahagian sendi.

Milawati berkata, dia sangat beruntung kerana atas sokongan suami, Mohamad Faisal Ibrahim, 35, dia kemudiannya menjadi lebih bersemangat untuk berhadapan dengan penyakit SLE dan ketika ini keadaan yang dialaminya sudah terkawal.

“Kalau dulu ketika mula-mula mendapat SLE, saya terpaksa makan 18 biji steroid sehari untuk mengawalnya sehingga badan menjadi gemuk tetapi kerana ia sudah terkawal, saya hanya perlu makan sebiji steroid saja sehari sekarang,” katanya.

Pada awal rawatan, doktor tidak membenarkannya mengandung buat sementara waktu namun dia disahkan mengandung ketika itu, tetapi kandungannya gugur sebelum mengandung semula selepas penyakitnya sudah terkawal.

Milawati yang kini mengandung enam bulan juga adalah ibu kepada anak lelaki yang sihat dan cergas, Muhammad Ammar Rayyan, 3.

“Paling penting nasihat saya kepada pesakit SLE lain adalah dengar cakap doktor dan makan ubat seperti yang diarahkan. Walaupun ada kesan sampingan pada mulanya, tetapi yang penting penyakit terkawal dan dapat jalani kehidupan normal.

“Kita juga kena berfikiran positif setiap masa dan ceria untuk membantu diri berhadapan dengan penyakit ini ,” katanya.

Sementara itu, Jean Chan, 55, berkata dia tidak menyangka akan terkena sebarang penyakit berbahaya kerana kesihatannya yang sentiasa berada di tahap optimum.

Pada 1994, dia disahkan mendapat penyakit SLE selepas menjalani pemeriksaan kesihatan apabila seluruhnya badannya tiba-tiba terasa sakit, lemah, keguguran rambut yang ekstrim, ruam di kulit kepala, hilang selera makan dan demam selama lima minggu.

Katanya, selepas dua bulan pemeriksaan, dia disahkan mendapat SLE namun bernasib baik kerana ia tidak menyerang organ dalaman ketika itu.

“Namun pada 2007 dan 2009 pula, saya disahkan mengalami radang buah pinggang akibat SLE dan hingga kini walaupun ia sudah terkawal, saya perlu mengambil pelbagai jenis ubat untuk terus mengawalnya.

“Akibatnya sistem imun tubuh rendah dan saya mudah terdedah kepada pelbagai jangkitan kuman serta masalah kesihatan lain seperti anemia kronik, darah tinggi, pneumonia, insomnia, kemurungan dan osteoporosis,” katanya.

Katanya, sokongan padu berterusan daripada keluarga dan anak menguatkan semangatnya untuk terus berjuang berhadapan dengan pelbagai kesihatan akibat SLE.

Jean berkata, pesakit SLE perlu menerima hakikat selain mempunyai sikap positif dan memperbanyakkan pengetahuan mengenai penyakit itu bagi meningkatkan kualiti hidup mereka.

Sementara itu, bagi meningkatkan kesedaran terhadap SLE dan mengumpul dana membantu pesakit lain, PSLEM akan menganjurkan acara berjalan kaki, Walk-a-Payung 2012 pada 20 Mei ini dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari. Maklumat mengenainya boleh dirujuk di laman web www.lupusmalaysia.org.


Simptom SLE

  • Demam berpanjangan tanpa diketahui punca
  • Ruam serius pada bahagian muka berbentuk rama-rama
  • Kuat berpeluh
  • Keguguran rambut luar biasa
  • Bengkak sendi
  • Keletihan melampau
  • Ruam pada kulit
  • Ulser mulut
  • Anemia
  • Sakit kepala
  • Pening
  • Kemurungan
  • Kekeliruan
  • Sawan


    Rawatan

  • Patuh pada nasihat doktor
  • Disiplin mengambil ubat
  • Sokongan padu daripada keluarga penting untuk mempercepatkan proses rawatan.
  • Katakan bersama Rossa

    pix_gal0
    Joe Flizzow nafi ada hubungan intim dengan bekas protegenya

    SELEPAS menampilkan penyanyi dangdut terkenal dari Indonesia, Inul Daratista dalam single Too Phat berjudul How Me Seksi, Joe Flizzow memilih Rossa pula untuk berduet dalam single terbarunya berjudul Katakan.
    Single yang turut dimuatkan dalam album terbarunya berjudul Patriot itu menjadi antara lagu duet yang menampilkan artis terkenal lain akan dipasarkan dua bulan lagi.
    Saya sudah lama menyimpan impian untuk berduet bersama Rossa. - Joe Flizzow
    Selain Rossa, pemilik nama sebenar Johan Ishak ini turut berduet bersama Amy Search dan Yassin untuk lagu Takbir Cinta. Dia juga turut merakamkan lagu Untukmu secara duet bersama protegenya dalam program Mentor yang lalu, Ila Damiaa. Semua lagu itu dimuatkan dalam album sulung berbahasa Melayu itu yang mengandungi 14 lagu.

    “Katakan adalah lagu berentak balada ciptaan Ajai. Saya memilih Ajai dan Yassin sebagai komposer kerana mereka ini adalah kawan lama jadi senang untuk bekerja sama dengan mereka sebab keserasian itu sudah ada.

    “Saya sudah lama menyimpan impian untuk berduet bersama Rossa,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kartel Records.

    Dua tahun menyepi selepas album pertamanya berjudul President, Joe mempertaruhkan lagu bahasa Melayu dalam album keduanya itu yang masih menekankan rentak hip hop.
    Mengenai Ila pula Joe berkata, apa yang dilakukan itu kerana tidak mahu mensia-siakan bakat finalis Mentor 4 itu.

    “Saya nak buktikan yang Ila sebenarnya boleh menyanyi dengan baik sejak dia di dalam Mentor lagi. Saya nampak bakatnya, dan saya masih mengasah bakatnya untuk menjadi penyanyi yang bagus.

    “Saya percaya kebolehan dia dalam Mentor. Saya tidak mahu mengabaikannya kerana dia masih memerlukan tunjuk ajar untuk terus bertapak kukuh dalam industri muzik ini,” katanya yang juga juri tetap program realiti Showdown.

    Meskipun ada yang mengaitkan keintiman dengan anak didiknya itu sehingga dikatakan bercinta, Joe sambil tersenyum, menjelaskan hubungan dengan Ila sebenarnya tidak lebih daripada seorang adik.

    “Saya sudah macam pengasuh dia dalam mendidik untuk menjadi seorang penyanyi berjaya. Bagi saya, artis yang sibuk dengan gosip ini tidak mempunyai sebarang produk, jadi duduk di rumah tunggu sampai ada benda terjadi untuk mereka gosip.

    “Artis sebegini boleh dianggap seperti telur di hujung tanduk menunggu masa untuk jatuh. Jadi untuk bagi orang nampak yang dirinya masih ada adalah dengan mereka gosip sendiri,” katanya sambil berseloroh.

    Pada usia 33 tahun, Joe Flizzow belum terfikir untuk menamatkan zaman bujangnya meskipun ibunya sudah menetapkan tempoh dua tahun untuk dia membina kehidupan berkeluarga sendiri.

    Melihat rakannya, Malique memiliki keluarga bahagia memang terdetik di hati Joe untuk mengikuti jejak langkahnya.

    “Mak saya cakap bagi tempoh dua tahun untuk cari calon isteri, kalau tak kahwin juga dia kata ada masalah besar. Bukan tak mahu kahwin tetapi masih belum bersedia fizikal dan mental.

    “Saya nak jadi suami dan bapa yang baik kerana tidak mahu menjadi seperti orang lain, kahwin lepas itu bercerai nanti kasihankan anak-anak. Saya juga mahukan anak seperti orang lain untuk meneruskan legasi tetapi buat masa sekarang saya masih belum terfikir untuk berkahwin tetapi sudah membuat perkiraan Insya-Allah ketika berusia 36 tahun mungkin,” katanya.

    Mahal tapi popular

    SEBENARNYA saya tak tahu rupa sebenar nasi kandar itu. Setahu saya, ia nasi putih, tambah kuah dan lauk," kata seorang rakan penulis ketika ditanya apa yang dia tahu tentang nasi kandar.

    Mungkin ada di antara kita hanya melihatnya sekadar nasi putih biasa atau seakan-akan nasi campur. Hakikatnya, nasi kandar bukan sekadar nasi campur biasa.

    Resipi nasi kandar diilhamkan oleh golongan India Muslim atau mamak. Berdasarkan sejarah, pedagang India Muslim dari wilayah-wilayah selatan India seperti Malabar datang ke Tanah Melayu pada kurun ke-16.

    Mereka mencipta resipi nasi kandar dengan berpuluh-puluh jenis rempah dan menyesuaikannya dengan persekitaran di Tanah Melayu.

    Nasi kandar pada zaman awal cuma dihidangkan pada waktu pagi dan gelaran kandar kekal hingga kini sempena gaya penjual dekad 1930-an mengandar bakul atau raga yang mengandungi nasi dan lauk dengan sebatang kayu tebal.

    Dengan kaedah itu, mereka merentasi pekan dan kampung menjaja makanan tersebut. Pada peringkat awal, nasi dihidangkan bersama lauk daging masak kicap, telur rebus dan bendi rebus sebagai sarapan pagi.

    "Nasi kandar mendapat namanya apabila nasi diangkut oleh penjual menggunakan kandar iaitu kayu dengan penampung berat kantung makanan yang digalas di bahu.

    Campuran "Sambil menggalas kandar, peniaga-peniaga berjalan menuju ke pelabuhan, tepi-tepi pantai atau ke pekan untuk menjual nasi kandar kepada orang ramai," ujar Sirajudin Y. Mohamed Mydin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Di Kayu Nasi Kandar Sdn. Bhd.

    Tambah Sirajudin, para peniaga itu sendiri akan mencampurkan kuah dan lauk kepada pelanggannya kerana hanya mereka yang mengetahui apa padanan yang sesuai untuk setiap menu pilihan pelanggan.

    Itulah erti kata sebenar nasi kandar kerana peniaga nasi kandar itu sendiri perlu melayani anda.

    "Bukan pelanggan ambil sendiri atau layan diri. Kalau pelanggan ambil sendiri lauk dan kuah maka itu tidak menepati definisi dan konsep nasi kandar.

    "Anda tidak akan jumpa nasi kandar di India. Resipi nasi kandar dicipta oleh golongan India Muslim di Pulau Pinang," katanya.

    Menurutnya lagi, nasi kandar adalah nasi putih yang dimasak dengan cara tersendiri dan disajikan dengan campuran kuah.

    "Semasa dahulu, lauk asas yang perlu ada dalam sajian nasi kandar adalah kari ikan, kari daging, telur rebus, bendi goreng dan cili hijau mentah.

    " Penjual nasi kandar tidak mampu untuk mengangkat sajian yang banyak kerana mereka hanya menggunakan kandar untuk berniaga," ujarnya.

    Namun selaras dengan perubahan masa, menu tradisi itu turut menjalani transformasi apabila ramai pengusaha nasi kandar mempelbagaikan lauk-pauk.

    ImejKini hampir keseluruhan restoran nasi kandar mula menampilkan imej dan wajah baru yang menampilkan suasana kafe.

    Bahkan, sudah menjadi tradisi restoran nasi kandar moden di Pulau Pinang dan negeri-negeri lain, ia dibuka 24 jam sehari.

    "Tidak kira di mana, nasi kandar kini menjadi imej makanan rakyat Malaysia seperti restoran makanan segera Barat.

    "Sekarang nasi kandar sudah menjadi hidangan utama pada majlis perkahwinan, majlis keraian dan hari jadi," katanya.

    Sirajuddin berkata, para peminat nasi kandar yang tidak punya waktu untuk keluar pejabat atau rumah, boleh membuat pesanan melalui online atau talian dengan Kayu Nasi Kandar yang paling dekat di kawasan mereka.

    Sirajudin turut berkongsi petua untuk menikmati nasi kandar agar lebih sedap. Katanya, jangan makan nasi kandar menggunakan sudu dan garpu. Sebaliknya, makan guna tangan.

    "Apabila kita makan dengan tangan bermakna kita akan memegang nasi. Sentuhan ini juga akan memberi rasa.

    "Tetapi peminat nasi kandar perlu tahu, nasi kandar di Pulau Pinang lebih sedap kerana campuran air dalam masakan berbeza dengan di Kuala Lumpur," ujarnya.

    HargaNasi kandar sememangnya sangat istimewa di hati rakyat negara ini. Peminatnya bukan sahaja terdiri daripada orang dewasa malah kanak-kanak turut sama meminatinya.

    Hidangannya yang terdiri daripada pelbagai campuran kuah serta lauk digemari oleh semua kaum di negara ini sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

    Ia dikatakan amat popular dalam kalangan pedagang luar termasuk kakitangan di pelabuhan Pulau Pinang.

    Pengurus Restoran Line Clear yang sangat popular di Pulau Pinang, Zainul Halam Abd. Hamid berkata, hidangan tersebut dahulunya dijual seawal pukul enam pagi sebelum kakitangan awam termasuk para pekerja asing di pelabuhan mula bekerja.

    Beliau berkata, harga bagi sebungkus nasi kandar ketika itu hanya serendah RM1.

    Berbanding dahulu kini harga sepinggan nasih kandar boleh mencecah sehingga puluhan ringgit.

    "Dahulu penjual nasi kandar mempunyai gayanya yang tersendiri. Mereka akan memakai baju-T lengan pendek berwarna putih bersama kain pelikat yang diikat dan ditarik sehingga ke paras lutut.

    "Malah ada di antara mereka memakai tali pinggang berwarna hijau serta bersongkok tinggi ketika mengandar hidangan tersebut," ujar Zainul Halam.

    Perubahan"Kini lauk-pauk nasi kandar dipelbagaikan. Hidangan nasi kandar telah berubah wajah. Ia dihidangkan bersama pelbagai lauk-pauk seperti ayam, udang, telur ikan, kepala ikan, sotong, daging dan ketam.

    "Walaupun menerima banyak perubahan, keenakan rasanya masih terpelihara," katanya.

    Dalam pada itu, Zainul Halam turut berkongsi kaedah penyediaan dan penyajian hidangan nasi kandar di premisnya yang terletak di Jalan Penang di sini.

    "Bukan sahaja penyediaan lauk, nasi putih juga akan disejat lapisan kanji sebelum ditanak. Ini resipi sejak dulu lagi bertujuan mengurangkan kandungan kanji dalam setiap hidangan sekali gus boleh menjaga kesihatan.

    "Orang dahulu memang mementingkan kesihatan kerana setiap hidangan yang dimasak mempunyai kandungan rempah-ratus yang tidak memudaratkan malah mereka tidak menggunakan santan bagi mengekalkan kepedasan rempah asli itu," ujarnya.

    Memburu sate Kajang di Kepong

    EFFENDY sendiri turut turun padang membakar sate buat para pelanggan.

    KEKUATAN hidangan sate sering dikatakan berada pada kuahnya kerana rasa daging sate yang diperap ramuan khas hanya lengkap apabila digabungkan dengan kuah kacang.

    Namun, sungguh berbeza ketika penulis menikmati hidangan sate Kajang di sebuah restoran yang terletak di Kepong. Rasa rempah pada daging sate tersebut cukup kuat untuk berdiri sendiri tanpa perlu dicicah dengan kuahnya.

    Seperti sate di tempat lain, rasa sate di Restoran Klasik Satay Station ada rasa ramuan wajib seperti serai, lengkuas, bawang, asam jawa dan pelbagai rempah-ratus lain cuma seakan ada satu ramuan rahsia yang membangkitkan lagi rasa daging yang diperap itu.

    Minyak yang dilumur pada daging sate ketika proses membakarnya juga dilihat tidak menggunakan minyak masak biasa seperti kebanyakan peniaga sate lain kerana seperti ada campuran bahan lain yang membuatkan ia kurang berminyak.

    Keistimewaannya juga terletak pada dagingnya yang kurang lemak terutama daging lembu yang lembut dan sebati dengan rempah yang diperap.

    Akui pemilik restoran, Mohammed Effendy Muhamad @ Abd. Rahim, ada ramuan rahsia di dalam satenya yang membuatkan rempahnya lebih terasa tetapi tidak dapat dikongsikan kepada umum.

    "Resipi sate Kajang yang saya gunakan merupakan warisan turun-temurun keluarga saya. Memang ada ramuan rahsia tetapi secara asasnya ramuannya sama saja dengan sate Kajang lain.

    "Kami turut menggunakan daging premium yang berkualiti tinggi dan segar untuk memastikan pelanggan menikmati keenakan sate daging terbaik dari segi kualiti, tekstur dan rasanya," ujarnya yang turut mendakwa resipinya berasal dari pengasas sate Kajang, iaitu Haji Tasnim Sakiban yang terkenal semenjak 1911.

    Beralih pada kuah kacangnya, bagi yang tidak biasa menikmati sate Kajang, ia dihidang bersama kuah kacang serta cili secara berasingan dan dicampurkan mengikut rasa pedas yang diingini.

    Bagusnya restoran yang hanya menyediakan sate lembu, kambing dan ayam itu, rasa kuah kacangnya tidak tenggelam dek rasa pedas walaupun telah ditambah dengan cili.

    Selain hidangan sate, Restoran Klasik Satay Station turut menyediakan beberapa menu lain iaitu laksa, soto dan mi jawa selain yong tau fu, sotong kangkung dan tahu bakar.

    "Konsep kami memberi penekanan kepada menu khas iaitu sate dan hidangan lain cuma sebagai sampingan kepada pelanggan," ujarnya yang sebelum ini pernah berniaga sate di Restoran O'din yang terletak di Taman Ehsan, Kepong.

    Pabila anak jadi beban

    MASALAH Puan Salina minggu lalu yang menderita kerana anaknya menagih dadah, menarik perhatian ramai. Antaranya Puan Nori yang juga berhadapan masalah menjaga adiknya seorang penagih selepas kematian ibu mereka.

    Nori dalam e-melnya berkongsi kelegaannya sejak menyertai Persatuan Teduhan Kasih dan Pengasih.

    "Banyak pertolongan dan informasi boleh kita dapat dengan menyertai Teduhan Kasih. Persatuan ini paling aktif di Melaka, Selangor, Perak, Johor dan Kelantan.

    "Saya sudah merasai apa yang Salina lalui, memang tidak ada orang yang mahu dekat dengan keluarga yang terlibat dengan dadah. Hidup kita seolah-olah terpinggir. Hinggakan ada adik-beradik yang berbalah dan memutuskan hubungan kerana masalah ini.

    "Tetapi setelah menyertai Teduhan Kasih, saya bertemu keluarga yang sama bermasalah, jadi kami bebas mencurahkan perasaan, tidak ada rasa benci, takut dan sebagainya. Jadi saya cadangkan sesiapa yang menghadapi masalah seperti Salina sertailah Pengasih dan Teduhan Kasih, insya-Allah kita ada jalan mencari ketenangan." Itu cadangan Nori yang kini aktif dengan Teduhan Kasih Sungai Buluh, Selangor.

    Sementara itu, Zaid dalam e-melnya bersetuju bukan mudah mencari suami berkualiti pada zaman ini.

    "Anak saya berpeluang melanjutkan pengajian ke IPTA, malangnya perangai buruknya tidak pernah berubah. Duit PTPTN yang dia dapat tak pernah cukup dan habis dalam tempoh dua minggu. Saya kena beri dia duit poket paling kurang RM25 sehari untuk tampung belanjanya yang tak pernah cukup atas alasan tinggal di bandar.

    "Kami suami isteri kena ikat perut demi anak, tapi masuk semester dua dia nak tangguh pengajian dengan alasan kawannya tertinggal satu semester jadi dia tidak ada kawan untuk berbincang. Anak saya ini cemerlang pada peringkat praijazah dan dapat terus masuk ke peringkat ijazah selepas dua semester sahaja berbanding kawan-kawannya yang lain.

    "Puas kami memujuknya tetapi dia tetap berkeras nak tangguh pengajian. Lepas itu dia tangguh lagi pengajian dua kali lagi atas alasan kesihatan. Walaupun saya sentiasa pantau pengajiannya dengan menghubungi pensyarah, penyelaras pusat pengajian dan kaunselor tapi keadaannya tambah teruk. Akhirnya masuk tahun akhir, dia terus tak mahu belajar alasannya tak berminat dengan bidang yang dipilih.

    "Katanya dia akan cari pekerjaan dan yakin boleh berjaya dalam bidang perniagaan. Kami terpaksa yakin dengan keputusannya dan saya berjanji akan sara dia dalam tempoh tiga bulan sehingga dia boleh berdikari. Peringkat awal majikannya puas hati dan beri dia kereta untuk memudahkan pergerakannya. Saya rasa lega sedikit. Tapi lepas dua bulan dia buat perangai balik. Dia berhenti kerja kerana masalah disiplin tidak masuk kerja mengikut jadual.

    "Lepas berhenti kerja, dia balik kampung, tapi masalahnya tidur siang dan jaga waktu malam. Lepas dinasihat dia kata nak buat bisnes sendiri. Kami bantu lagi. Tapi kalau perangai suka tidur siang, nak buat bisnes apa? Bila kami tegur, dia mengamuk sampai nak berparang-parang.

    "Kalau pinjam kereta kami kadang-kadang hilang sampai dua tiga hari. Sebagai ibu bapa sudah tentu kami bimbang. Dah banyak kali terjadi kalau dia pinjam kereta apabila balik ada saja perkara buruk berlaku. Cermin pecah, dua tayar kena toreh, kereta kemek kiri kanan, kalau tak bagi pinjam dia mengamuk.

    "Kami sebenarnya dah tak tahu mana nak letak muka baik dengan saudara mara atau orang kampung. Sebagai pegawai kanan kerajaan, berpendidikan tinggi dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat tentunya keadaan ini cukup membebankan saya dan isteri.

    "Memang dari dulu lagi kami tahu penglibatannya dengan dadah termasuk menjadi pengedar kecil-kecilan. Tetapi berdasarkan pengamatan dan pertanyaan saya kepada orang yang arif tentang penagihan dadah, boleh dikatakan anak ini saya tidaklah dikategorikan sebagai penagih tegar. Namun begitu hanya baru-baru ini saja saya dapat tahu dia juga adalah seorang penagih minuman keras.

    "Antara sumber maklumat yang kami peroleh adalah melalui gambar-gambar yang terdapat dalam album di komputer dan dalam kamera yang dia terlupa padam. Apabila dia balik tinggal bersama kami barulah tembelangnya pecah. Pernah kami jumpa minuman keras disembunyikan di bawah katil, apabila ditanya pelbagai alasan dia beri. Kalau tanya lebih-lebih dia mula nak mengamuk. Kini barulah kami tahu ke mana hilangnya duit PTPTN dan duit poket yang kami beri.

    "Satu lagi tabiat buruknya dia tidak bercakap benar. Sudah terlampau banyak keadaan kami dapat tangkap dia bercakap bohong, tapi dia tidak pernah berubah. Kini pada usia 25 tahun saya sudah tidak ada apa-apa harapan terhadap anak lelaki kami ini.

    "Saya juga tidak tahu sampai bila kami mesti hadapi masalah ini. Kami sebagai ibu bapa dan anak-anak kami yang lain semakin hari semakin tidak tenteram walaupun duduk di rumah kami sendiri.

    "Sama seperti Puan Salina, saya juga harap Allah segera ambil nyawa anak saya ini sebab saya sudah putus asa menjadikannya manusia berguna.

    "Terkadang terdetik kenapa saya yang berusaha menjadi manusia baik dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya, diberikan seorang anak yang kontra sifatnya, berbanding orang bukan Islam atau kawan saya yang saya tahu tidak pernah melakukan suruhan Allah malah membuat perkara mungkar.

    "Saya bersetuju dengan cadangan Puan Salina agar ditubuhkan persatuan bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak bermasalah sebegini. Saya percaya hanya orang yang mengalami masalah seperti kami sahaja yang faham situasi kami maksudkan dan mahu berfikir secara serius bagi mengatasi masalah ini.

    "Saya juga harap ada ibu bapa yang berkedudukan tinggi senasib kami, mungkin boleh gunakan rangkaian hubungannya dengan pihak atasan bagi melancarkan perjalanan sebuah persatuan dengan lebih berkesan. Janganlah pinggirkan kami." Itu harapan Zaid.

    Model kit berskala Blackheart

    ABDULLAH bersama sebahagian daripada model kit ketenteraan miliknya.

    MELIHAT kepada binaan model kit berskala kapal terbang pejuang Shidenkai, pasti menimbulkan rasa kagum dengan setiap perincian di atas badan jentera dari Jepun itu.

    Pesawat era Perang Dunia Kedua itu dibuat dengan penuh teliti seakan-akan dikecilkan daripada pesawat sebenar lengkap dengan keadaan cat yang terhakis serta dinding sayapnya yang terkopak seperti benar-benar telah melalui zaman perang.

    Pada yang tidak tahu, mungkin menyangka model pesawat tersebut dikeluarkan sebegitu rupa daripada kilang, melihat kepada keadaannya yang begitu terperinci dengan kesan kerosakan serta sebagainya.

    Hakikatnya, bermula proses mencantumkan bahagian pesawat yang diperbuat daripada plastik, mengecat, hingga perincian seperti hakisan, dibuat sendiri dengan rapi oleh peminat model kit berskala kira-kira sebulan lamanya iaitu Abdullah Hamzah yang dikenali dengan nama gelaran Blackheart.

    "Membina model kit berskala ini boleh dikatakan umpama satu kerja seni. Kita akan leka memberi sentuhan yang diingini mengikut kreativiti masing-masing dan kepuasannya tiba apabila ia siap dan ramai yang menghargai kerja kita.

    "Proses membinanya memerlukan seseorang itu banyak bereksperimen serta membuat rujukan dan ia sungguh mencabar kerana tak selalunya binaan kita menjadi seperti yang dikehendaki," ujarnya yang setia dengan minatnya lebih 30 tahun lalu dan telah berhabisan sehingga beribu-ribu ringgit.

    Koleksi model kit berskala milik Abdullah lebih kepada kenderaan tentera seperti kereta kebal, pesawat pejuang, kapal tentera laut, helikopter dan trak serta figura tentera.

    Contoh model kit miliknya adalah Trumpeter, Hasegawa, Tamiya, Dragon, Italeri, Airfix serta jenama lain dan skala yang biasa dijual daripada 1/350, 1/144, 1/72, 1/48, 1/35, 1/32 dan sebagainya.

    Dia yang kini dalam proses menyiapkan model kit kapal perang Jepun, Musashi berskala 1/250, memberitahu kadang-kala dia membeli sehingga lima kotak model kit kerana minat yang mendalam tetapi akhirnya hanya menyiapkan satu saja atas kekangan masa. Akibatnya banyak model kit yang masih berbungkus disimpan di dalam stor.

    Hobinya ini bermula sejak alam persekolahan apabila dia membeli model kit yang kecil sebagai permulaan dan sejak itu dia seakan-akan ketagih dengan aktiviti tersebut yang menemukannya dengan ramai pemilik hobi yang sama.

    Boleh dikatakan hampir setiap Sabtu, dia dan rakan-rakan akan berkumpul di Hobby HQ di Fraser BIZ Park dan menghabiskan masa dengan membina model kit bersama-sama serta berkongsi pengetahuan teknik-tekniknya.

    "Setiap tiga bulan, kami akan mengadakan pertandingan model kit antara kami membuatkan kami lebih teruja menghasilkan sesuatu yang menarik," ujarnya yang paling menggemari koleksi helikopter Perancis, Super Frelon yang berskala 1:35.

    Sage eratkan tiga negara

    Azam (kiri) dan Carlo (kanan) bergambar bersama karya bertajuk Fuse yang memaparkan perbezaan antara budaya, sosial dan pengamatan yang digabungkan menjadi satu.

    Sage merupakan sebuah program dimana artis terpilih bakal meluangkan masa selama tiga bulan di tiga bandar berbeza iaitu Kuala Lumpur, Yogyjakarta dan Manila dengan dipenuhi pelbagai aktiviti kesenian termasuk melawat studio artis tempatan, komuniti seni, galeri dan institusi kesenian.

    Selain diberi peluang untuk mempamerkan karya dalam pameran 'ARTriangle' bermula 21 April hingga 5 Mei 2012 menampilkan pelbagai karya berbeza dalam satu ruangan seni, program residensi unik ini turut membolehkan artis-artis dari Asia Tenggara bertemu dan bekerjasama bagi meningkatkan mutu penghasilan karya seni dari wilayah itu.

    Program Sage memilih para artis yang memiliki sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman dalam bidang seni visual untuk mengukuhkan hubungan serantau, serta mewujudkan satu pemahaman lebih baik terhadap persekitaran negara jiran.

    Pada tahun ini, Sage menampilkan enam artis kontemporari iaitu Azam Aris dan Wong Chee Meng (Malaysia), Andi Ramdani dan Iqro Ahmad Laili Subkhi (Indonesia) serta Amer Abdullatif O. Mira dan Carlo A. Gernale (Filipina).

    Kerjasama dalam satu ruangan

    Pengarah HOM, Bayu Utomo Radjikin berkata, program ini bertujuan untuk memupuk dan mengukuhkan hubungan serantau selain mewujudkan satu rangkaian pemahaman lebih baik terhadap dunia seni.

    "Sage bukan sahaja menggalakkan dialog-dialog fizikal, tetapi juga menggalakkan pertukaran visual, ketika artis-artis dari tiga negara bermeditasi untuk bertukar budaya dalam bahasa visual pada karya mereka.

    "Artis-artis ini pada dasarnya berkongsi satu ruang studio dan ia satu cara yang hebat untuk menyuntik keghairahan dan ketegangan ketika berada dalam studio yang biasanya mereka bersendirian.

    "Mereka bukan sahaja berpeluang untuk meluaskan pengetahuan seni kontemporari dari Asia Tenggara tetapi juga secara tidak langsung membolehkan mereka mencari inspirasi baru dalam kerja-kerja mereka," jelas Bayu.

    Menurutnya, Sage merupakan sebuah program yang sempurna kepada pelukis muda yang berkebolehan untuk mengembangkan lagi bakat yang ada pada mereka.

    "Artis terpilih berpeluang untuk belajar unsur-unsur budaya baru ke dalam amalan kehidupan masing-masing dimana mereka bakal didedahkan dengan kehidupan berada dalam satu residensi yang bakal membawa perubahan kerjaya seorang artis.

    "Mereka juga berpeluang bekerja tanpa sebarang gangguan untuk satu tempoh masa yang khusus selain melihat perubahan yang terdapat di sekitar mereka manakala bagi peminat seni pula berpeluang melihat perubahan menarik dalam karya-karya mereka," katanya.

    Selepas Kuala Lumpur, Sage akan menjelajah ke Yogyjakarta dan Manila pada Julai dan November akan datang.

    Sebagai wakil dari Malaysia, Azam Aris yang pernah menerima anugerah Bakat Muda Sezaman dari Balai Seni Visual Negara (BSVN) berbangga diberi peluang menyertai program residensi Sage.

    "Program ini memberikan satu pengalaman baru kepada saya untuk bertukar-tukar pendapat dengan rakan artis dari negara yang berbeza dalam satu ruangan yang sama.

    "Sage bukan sekadar memberi peluang untuk bekerjasama tetapi juga lebih kepada friendly match," jelasnya.

    Azam Aris berkata, sepanjang berada di HOM beliau sempat menghasilkan beberapa karya berdasarkan pengamatan terhadap situasi metorologi budaya dan sosial yang terdapat di Malaysia.

    "Saya berharap agar program ini dijadikan ikutan kepada para artis lain. Biarpun mereka masih bereksperimentasi tetapi dengan menyertai program seperti ini mampu meningkatkan kebolehan mereka," ujarnya.

    Wakil dari Indonesia yang pernah menerima pelbagai sanjungan untuk kerjanya termasuk pencalonan Indonesian Art Award 2010, Iqro Ahmad berkata, program ini membolehkan beliau berkarya tanpa sempadan.

    "Saya bebas menghasilkan apa jua karya yang dibayangi dalam imaginasi saya. Setiap karya yang dihasilkan tidak terbatas.

    "Sebelum saya menyertai program seperti ini saya aktif menghasilkan karya-karya seni visual sekitar Indonesia seperti di Yogyjakarta, Bali dan Bandung.

    "Oleh itu, peluang yang diberikan ini membolehkan saya memperkenalkan hasil tangan ke tiga negara berbeza untuk dihayati peminat seni," jelasnya.

    Andi Ramdani yang dilahirkan di Tasik Malaya, Jawa Barat pula berkata, beliau bertuah dipilih untuk bersama-sama terlibat dalam program tersebut.

    Ramdani terkenal dengan karya berdasarkan figura buluh dan pernah menyertai pameran Seven Continens di Toronto, Kanada sebelum ini.

    "Buluh menggambarkan Asia kerana tumbuhan ini banyak tumbuh di Asia Tenggara. Sebab itu dalam pameran residensi ini saya mengetengahkan karya menggunakan gambaran buluh yang diimaginasikan dari arang buluh.

    "Arang buluh mempunyai kekuatan disebalik kekurangan. Biarpun ia telah padam tetapi kekuatan masih tersimpan padanya dan berharap agar karya ini mampu memberikan kepuasan tak terhingga dalam bentuk artistik," katanya.

    Tambah wakil dari Filipina, Carlo A. Gernale yang merupakan finalis peserta akhir Metro Bank Foundation National Painting Competition 2011 dan juga merupakan seniman yang tinggal di kediaman rasmi Project Space Pilipinas di Bandar Mandaluyong, Filipina.

    Carlo juga merupakan seorang artis kolektif teoretis yang sering menyentuh peranan budaya dalam seni tampak gembira dipilih menyertai program Sage.

    "Saya menghasilkan kerja seni menggunakan konsep semburan cat angin (airbrush) dalam karya berbentuk imaginasi yang menyentuh mengenai isu-isu yang terdapat disekitar kita diatas kanvas.

    "Saya rasa lebih bebas hasilkan karya yang boleh dijadikan dokumentasi dengan cara olahan lebih kreatif," ujarnya.

    Amer Abdullatif O. Mira pula berkata, hasil tangannya dihasilkan dari cerita yang dimanipulasikan kepada sebuah karya seperti gambaran rekaan grafik.

    "Saya bermula dari pereka grafik tetapi kerja tersebut tidak memberikan kepuasan dan kini saya beralih kepada penghasilan karya visual yang lebih memberikan kepuasan kepada diri saya sendiri.

    "Kebanyakan karya saya berkisahkan mengenai paparan cerita-cerita yang berlaku dalam kehidupan masyarakat.

    "Isu-isu seperti ini menarik untuk dihayati bersama peminat seni dari negara yang berbeza," jelasnya.

    Bagi mereka yang berminat untuk melihat hasil pameran 'ARTriangle' Sage bolehlah mengunjungi Galeri HOM yang dibuka Isnin hingga Jumaat (11 pagi hingga 6 petang) dan Sabtu (1 hingga 6 petang).

    'Kerana kasihan, mentua paksa suamiku kahwini sepupu'

    "MAK harap kamu reda dengan apa yang akan berlaku. Mak nak nikahkan suami kamu dengan sepupunya yang kini telah menjadi ibu tunggal."

    Jika anda yang mendengar kata-kata itu, apa tindakan anda? Marah, merajuk atau melawan keputusan mentua anda.

    Tentu ia suatu isu perit yang sukar anda selesaikan dalam sekelip mata. Apa kata kita ikuti kisah ini seterusnya, luahan perasaan Shila (bukan nama sebenar) yang ingin dimadukan oleh mentuanya sendiri gara-gara kasihan kepada anak saudaranya yang sudah kehilangan suami.

    Wanita ini saya temui pada satu majlis seorang kenalan baru-baru ini. Saya memang tahu dia bermasalah, jadi urusan saya untuk berkongsi cerita dengannya tidak menjadi masalah kerana Shila dengan senang hati bercerita kepada saya tentang kemelut rumah tangga yang dihadapinya.

    Begini cerita Shila.

    "Saya berusia 45 tahun dan suami, Amirul (bukan nama sebenar) 50 tahun. Kami sudah 25 tahun hidup bersama. Rumah tangga kami bahagia, tidak ada masalah langsung.

    "Tiga orang anak kami sudah berjaya dalam hidup mereka dan sudah bekerja. Mentua seorang yang baik hati, penyayang dan amat mengambil berat akan hal kami sekeluarga.

    "Saya adalah menantu sulung dalam keluarga suami seramai empat adik-beradik. Jadi saya selalu mengalah dalam apa juga perkara dalam keluarga mentua.

    "Suami seorang yang baik, penyayang dan mengambil berat akan hal saya dan anak-anak. Biarpun anak-anak semua sudah dewasa, hubungan tetap akrab.

    "Suatu hari mentua saya menelefon suami meminta kami pulang ke kampung, katanya ada urusan penting berkaitan keluarga. Seperti biasa saya dan suami tidak banyak tanya. Dalam perjalanan kami meneka apa agaknya yang hendak diceritakan ibu kali ini.

    "Dalam kereta kami berbincang apakah masalah ibu kali ini. Tapi suami rileks sahaja kerana katanya jika tidak kerana nak minta wang mungkin dia mahu buat kenduri.

    "Tekaan kami meleset sama sekali setibanya di sana. Jantung saya bagaikan meletup kala ibu mentua meminta saya berkorban untuk dia dan suami.

    "Seingat saya selama ini saya selalu berkorban sehingga ada masanya saya ketepikan keluarga sendiri kerana mentua.

    "Saya tanya pengorbanan yang macam mana dia inginkan. Katanya dia mahu saya mengizinkan suami bernikah dengan anak saudaranya yang kini sudah menjadi ibu tunggal setelah kematian suami.

    "Macam hendak meletup jantung saya mendengar permintaannya itu. Tapi saya tidak tunjuk marah dan geram saya. Kata mentua lagi, suami mesti ikut katanya kali ini sebab dulu suami memang dicadangkan untuk bernikah dengan sepupunya itu tetapi kerana saya jadi pilihan, dia ikut saja.

    "Kini katanya sudah sampai masanya saya pula berkorban untuk bermadu dengan sepupu suami. Kononnya sebab dia kasihan dengan anak saudaranya itu yang tidak ada suami dan terpaksa membesarkan anak-anak seorang diri.

    "Suami saya juga terkejut dan membantah keputusan ibunya itu. Itulah kali pertama saya melihat suami bertengkar dengan mentua sejak kami berkahwin.

    "Saya menangis apabila kami tiga beranak bergaduh tentang perkara ini. Suami mempertahankan saya dan menyifatkan tindakan mentua sebagai mengarut.

    "Saya pelik juga, kenapa dia mesti sibuk nak kahwinkan anak saudaranya itu dengan suami saya sedangkan anak saudaranya itu bukanya orang susah. Suaminya ada meninggalkan banyak harta dan wang untuk dia dan anak-anaknya. Tanpa suami pun dia boleh hidup senang.

    "Saya terpaksa mempertahankan suami kerana saya tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Biarpun kami sudah 25 tahun bernikah saya sayangkan suami dan rumah tangga kami.

    "Kenapa sekarang baru mentua mahu menjodohkan mereka? Adakah dia sengaja hendak sakitkan hati saya dengan isu ini.

    "Apabila suami berkeras tidak mahu menerima cadangan ibunya, mentua mengeluarkan kata-kata kalau kami berdua tidak mahu mengikut katanya kami diharamkan balik ke rumahnya lagi.

    "Terkejut juga kami dengan ugutan itu tetapi kami pasrah. Jika itu yang mentua mahu, kami akan akur. Keputusannya kami sekeluarga disingkir mentua.

    "Kini sudah hampir setahun saya dan suami tidak pulang ke kampung bersama anak-anak. Ipar-duai saya juga demikian, mereka juga jarang balik sebab saya dan suami tidak ada.

    "Menurut saudara mara yang selalu menghubungi saya dan tahu kisah ini, mentua sekarang amat rapat dengan anak saudaranya itu. Ke hulu ke hilir berdua, malah mentua juga sekarang sudah pandai melaram.

    "Saya tidak pelik dengan khabar itu kerana anak saudaranya itu memang seorang yang pandai bergaya. Dia juga pernah beberapa kali menelefon suami untuk berjumpa dan berbual... alhamdulillah, setakat ini suami tidak melayan.

    "Keadaan itu menjadikan kami trauma untuk balik kampung... Kini saya dalam dilema, saya kasihankan suami yang terputus hubungan dengan ibunya gara-gara hendak mempertahankan kesetiaannya terhadap saya.

    "Pada masa yang sama saya gembira dan terharu kerana suami membela saya. Saya harap ada keajaiban yang berlaku dalam keluarga kami.

    "Saya faham setiap yang berlaku ada hikmahnya. Setiap hari saya berdoa agar mentua akan insaf dan sedar akan perbuatannya itu. Saya juga berharap satu hari nanti mentua akan menerima kami semula seperti masa lalu. Pesan ibu saya, jangan putus berdoa, mohon kepada Allah agar segala kekalutan akan berakhir dan hubungan dengan mentua kembali seperti sedia kala.

    "Saya harap semuanya akan berakhir dalam masa terdekat. Walaupun saya sedih dengan keadaan ini saya terima dengan reda. Sehingga kini saya tidak tahu kenapa mentua mahu jodohkan anak saudaranya itu dengan suami saya.

    "Pelik juga apabila difikirkan tetapi saya tidak mahu membebankan fikiran saya dengan masalah itu sebab yang penting suami dan anak-anak ada di sisi saya. Susah senang kami akan harungi bersama. Semoga Allah memakbulkan doa saya dan membuka pintu hati mentua untuk kembali seperti masa lalu. Insya-Allah," Shila menutup cerita dengan penuh mengharap.

    Pelik juga kisah Shila kongsi dengan pembaca minggu ini. Tetapi itulah realiti hidup. Jangan fikir di penghujung perkahwinan tidak ada dugaan yang datang. Malah semakin usia meningkat, semakin hebat cabaran yang datang.

    Saya harap Shila akan terus tabah melalui ujian ini. Mungkin mentua ada sebab untuk berbuat demikian tetapi Shila harus bersyukur kerana suami tetap setia mempertahankan kasih sayangnya terhadap Shila dan rumah tangga. Susah mencari suami yang setia seperti ini masa sekarang.

    Saya juga berdoa agar kemelut keluarga ini akan berakhir dalam masa terdekat. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan hidup Shila dan keluarga untuk terus menggapai kebahagiaan. Tindakan suami tidak melayan sepupunya itu juga satu tindakan bijak dan harus diteruskan. Jangan beri muka kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih keruh.

    Menutup kata, pesanan daripada saya: Bersabar dan berdoa adalah sebaik-baik cara untuk memulihkan keadaan kerana dengan mengingati Allah akan mendekatkan kita dengan kebahagiaan yang dicari.

    Salam.

    Diserang jin ketika seminar

    SUASANA tenang dan hening walau sejuk dek pendingin hawa di Dewan Dewan Experimental, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, lokasi berlangsung Seminar Motivasi Spiritual dan Perawatan Islam pada Ahad lalu membolehkan peserta memberi tumpuan penuh kepada topik yang dibicarakan.

    Para peserta hampir 50 orang begitu menumpukan perhatian terhadap perkongsian pengalaman dan ilmu yang disampaikan oleh seorang pakar yang tidak asing lagi dalam menangani 'jenayah' ilmu hitam, iaitu Datuk Engku Ansaruddin Agus yang lebih dikenali sebagai Pak Engku.

    Sebelum Pak Engku menyampaikan ceramah, pakar motivasi terkenal Dr. Robiah Kulop berjaya menghidupkan suasana tanpa sebarang 'gangguan' dengan pelbagai celoteh membinanya ketika mengupas tajuk Kehancuran Rumah Tangga Kerana Ancaman Sihir.

    Tetapi apabila tiba giliran Pak Engku yang ceria menyampaikan ceramah, tiba-tiba raut wajahnya berubah.

    Wajah Pak Engku bertukar serius dan dengan pandangan mata yang tajam menuju kepada salah seorang peserta kursus yang duduk betul-betul bertentangan dengannya yang ketika itu berdiri menyampaikan ceramah di hadapan pentas dewan tersebut.

    Suasana menjadi gempar apabila peserta tersebut, seorang wanita yang memakai tudung merah jambu mula 'mengamuk'.

    Dia menjerit-jerit mengeluarkan perkataan-perkataan kasar sambil mengacu-acukan tangan dan melepaskan kemarahan yang meluap-luap terhadap Pak Engku.

    Daripada seorang yang kelihatan begitu lemah-lembut, wanita itu bertukar ganas yang menyebabkan Pak Engku terpaksa membuat perhitungan.

    Ceramah tergendala dek ada yang mula kerasukan jin.

    Pak Engku menggunakan segala kepakaran yang ada bagi berhadapan dengan jin yang dipercayai telah lama berada dalam tubuh wanita yang berstatus ustazah itu.

    Pak Engku langsung tidak memberi peluang kepada jin tersebut. Lalu memberi amaran supaya tidak menganggu 'anak Adam' sambil berjaya 'menangkap' jin tersebut apabila ditekan di bahagian leher dan kepala wanita itu.

    Sambil menekan pada bahagian-bahagian tersebut makhluk halus tersebut mula melolong-lolong kesakitan.

    Namun, bukan sahaja ustazah itu yang diganggu jin semasa seminar tersebut berlangsung, tidak lama kemudian sekali lagi Pak Engku terpaksa bertarung dengan jin yang menganggu seorang lagi peserta perempuan yang masih muda remaja.

    Remaja tersebut tidak berhenti-henti mengalami batuk yang teruk dan kemudiannya tidak sedarkan diri.

    Ini diikuti seorang lagi peserta wanita, Engku Wan Zakira juga dirasuk jin yang dipercayai buatan orang yang busuk hati terhadapnya.

    Ini apabila terdengar antara lain yang keluar daripada wanita ini ketika dalam keadaan kerasukan: "Aku benci perempuan nih! Aku benci!!! Dia perempuan baik! Aku tak suka dia baca kitab hijau (al-Quran)! Aku tak suka anak aku jadi baik bila kahwin dengan perempuan ini!"

    Mungkin 'adegan-adegan' seperti itu biasa dilihat atau pernah dialami oleh kita setiap kali berlakunya pertembungan makhluk halus dan manusia.

    Begitupun bagi mereka yang tidak pernah melihat dan alami, tentu menganggap bahawa semua itu adalah lakonan dan sukar untuk diterima akal walaupun kita percaya mengenai kewujudan jin dan syaitan.

    Tetapi dengan berkongsi kisah mereka yang pernah dan sedang mengalami gangguan jin dan syaitan mungkin banyak pengajaran yang boleh diambil iktibar.

    Nasi daun pisang dari India

    Chef Irizun Ahmad bersama hidangan set nasi daun pisang.

    LAZIMNYA, nasi yang dibungkus menggunakan daun pisang pastinya akan membangkitkan selera sesiapa sahaja untuk menikmatinya.

    Kebiasaannya juga, nasi yang dinikmati beralaskan daun pisang merupakan makanan tradisi masyarakat India dan lebih dikenali sebagai nasi kandar.

    Untuk itu, bagi mengembalikan kegemilangan hidangan yang dikatakan berasal dari selatan India itu, Hotel Vistana sedang mengadakan promosi Nasi Daun Pisang.

    Promosi tersebut yang akan diadakan sehingga awal bulan hadapan memberi pelbagai pilihan lauk kepada pelanggannya.

    Menurut Chef Irizun Ahmad, promosi tersebut memberi pilihan lauk seperti ayam, kambing ataupun ikan kepada pengunjung.

    Bukan itu sahaja, setiap hidangan pasti akan didatangkan bersama pilihan tiga jenis sayuran untuk melengkapkan lagi set daun pisang tersebut.

    “Untuk promosi nasi daun pisang kali ini, Hotel Vistana memberi pilihan empat jenis lauk kepada pelanggan seperti ayam masala, kambing paratel, ayam goreng madu serta ikan tenggiri goreng berempah.

    “Set ini turut dihidangkan bersama sayur-sayuran seperti kari dalcha, kari ayam bersama kentang, peria goreng tepung dan bendi goreng bersama biji sawi.

    “Untuk pilihan tersebut, para pelanggan bolehlah memilih dua jenis lauk bersama tiga jenis sajian sayuran dan set nasi daun pisang ini akan dilengkapkan lagi bersama sup rasam," katanya ketika ditemui di Hotel Vistana, baru-baru ini.

    Katanya, bagi pelanggan yang menikmati set tersebut, mereka juga akan dihidangkan bersama papadom, jeruk mangga, yogurt timun, cili padi goreng dan juga sambar India.

    Yang pasti, hidangan tersebut tidak lengkap sekiranya pelanggan tidak menikmati cendol pulut mamak.

    Jelas Chef Irizun, apa yang istimewa mengenai set nasi daun pisang ini ialah ia bukan sahaja merupakan hidangan yang disajikan beralas daun pisang malah kesemua masakan dimasak serta diadun sendiri olehnya dan turut dibantu Chef Hamdan Harun.

    Mengulas lanjut mengenai rempah ratus yang digunakan untuk menghasilkan resipi-resipi tersebut, menurut Chef Irizun, kesemuanya merupakan bahan-bahan tempatan.

    Walaupun begitu, adunan yang dihasilkan daripada bahan-bahan tempatan adalah mengikut resipi asli masakan India.

    Bagaimanapun, untuk menyesuaikan kesemua resipi tersebut dengan cita rasa masyarakat tempatan, ia telah diolah sedikit.

    “Diakui masakan India memerlukan kita menggunakan rempah ratus yang banyak untuk memberikan lebih rasa dam aroma.

    “Dalam set ini, kami menggunakan segala bahan mengikut resipi asli cuma ia telah diolah sedikit untuk ‘tekak’ masyarakat setempat.

    “Bagaimanapun, rasanya tetap sama dan anda di luar sana boleh merasainya sendiri," katanya lagi.

    Chef Irizun yang mempunyai 11 tahun pengalaman dalam bidang masakan turut memberitahu, kesemua hidangan yang disajikan akan dihidangkan panas-panas.

    Set nasi daun pisang ini ditawarkan pada harga RM19 manakala bagi setiap tambahan lauk RM6 akan dikenakan manakala sayur akan dikenakan sebanyak RM3.

    Dalam pada itu, para pelanggan juga boleh memesan smoothie seperti mango ginger lassi, berry banana, strawberry watermelon dan nutty chocolate untuk dinikmati bersama nasi daun pisang.

    Kerangupan emping jagung

    TANPA disedari pada tahun ini Nestle telah 100 tahun berada di Malaysia dan bagi meraikan, ia akan mengadakan beberapa siri jelajah bagi mempromosi dan mendekatkan produk makanan dan minuman keluaran syarikat itu dengan masyarakat Malaysia.

    Sehingga kini produk Nestle sudah sebati dengan semua rakyat Malaysia dan ini bertepatan dengan tema jelajahnya iaitu nourishing Malaysia. Saya juga membesar dengan jenama ini! Kerana Nestle saya berpeluang memenangi pertandingan yang dianjurkan oleh Maggi iaitu iaitu Maggi Mencari Bintang.

    Saya juga berpeluang menjadi chef jemputan untuk mengadakan demonstrasi membuat biskut dengan Nestle Cornflakes pada tahun lepas dalam Riang Ria Raya Nestle Cornflakes dengan Utusan Malaysia.

    Pada tahun ini pula saya sekali lagi bersama-sama jenama Nestle Cornflakes terlibat meraikan '100 tahun Nestle di sisimu’ yang akan ke Pulau Pinang. Kali ini saya akan mendemonstrasi 2 jenis biskut iaitu biskut oren dan biskut pop.

    Baiklah pada minggu ini apa kata kita ketahui kebaikan Nestle Cornflakes yang digunakan dalam membuat biskut.

    Sebetulnya saya sangat sukakan kerangupan emping jagung Nestle Cornflakes ini. Ketebalan dan kerangupan emping jagungnya tidak mampu disangkal kerana ia tidak cepat lembik terutamanya ketika anda menikmatinya bersama susu ketika sarapan pagi.

    Nestle Cornflakes sangat sesuai diambil pada waktu pagi kerana produk ini sungguh berkhasiat untuk mebekalkan tenaga harian kita.

    Emping jagung Nestle ini bukan saja menyajikan sarapan yang lazat tetapi ia membekalkan banyak khasiat.

    Emping jagung Nestle mengandungi 10 vitamin dan mineral termasuk Kalsium dan zat besi untuk permulaan hari anda yang berkhasiat.

    Kita digalakkan mngambil banyak serat dalam diet untuk memudahkan proses pencernaan dan emping jagung Nestle adalah yang paling sesuai kerana serat emping jagung Nestle ini dapat membekalkan keperluan serat dalam badan kita.

    Keistimewaan emping jagung Nestle yang rangup ini sangat sesuai untuk kita gunakan dalam makanan seperti biskut kerana ia akan membuatkan biskut lebih rangup, enak dan menjadi lebih berkhasiat.

    Membuat biskut adalah amat mudah jika anda mengetahui teknik yang betul. Pada minggu ini saya akan menyentuh bagaimana anda boleh membuat biskut yang sedap dan rangup menggunakan emping jagung Cornflakes ini.

    Tip paling penting jika mahukan biskut yang menggunakan emping jagung enak dan rangup pastikan anda menggunakan Nestle Cornflakes.

    Untuk membuat biskut yang berkualiti anda perlu menggunakan bahan-bahan yang asli dan berkualti. Pastikan mentega atau lemak yang anda digunakan dibiarkan sejuk pada suhu bilik agar ia menjadi lebih gebu apabila dipukul.

    Bahan-bahan seperti tepung gandum (tepung halus) perlulah diayak bersama bahan-bahan penaik seperti serbuk soda dan serbuk penaik agar biskut Nestle Cornflakes yang anda buat naik dengan sekata dan lebih ringan dan rangup kerana dengan mengayaknya ada udara dalam tepung dan doh tidak menjadi berat.

    Jika anda ada menggunakan emping jagung Nestle campurkan sekali dalam adunan tepung. Ketika menguli tepung janganlah anda menguli keterlaluan kerana ini akan memadatkan ruang dalam biskut ketika membakarnya. Susunkan doh biskut diatas dulang yang telah anda sapukan mentega agar biskut anda tidak melekat setelah dibakar.

    Bakarlah dengan suhu 180 darjah celsius sehingga biskut anda masak keperangan. Itu sahaja serba ringkas bagaimana anda boleh membuat biskut dan jika inginkan biskut yang enak, rangup dan berkhasiat cubalah biskut oren yang saya kongsikan minggu ini dan jika anda ingin tahu bagaimana untuk menyediakan resipi ini dan biskut pop janganlah lupa untuk bersama-sama saya pada 29 April ini pukul 3 petang.

    Kepada orang Pulau Pinang terutamanya, lapangkan diri mengunjungi lokasi jelajah Nestle 100 tahun pada esok dan lusa (Sabtu dan Ahad) di Penang Straits Quay Convention Centre (SQCC) dari 10 pagi hingga 10 malam.