Saturday, October 20, 2012

Tarikan istimewa mukim kecil



BATANG KALI sejak sekian lama menjadi laluan penting orang ramai yang ingin ke Timur, Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia. Mukim di daerah Hulu Selangor itu sememangnya sering menjadi pekan transit dalam perjalanan ke destinasi lain.
Ia juga dijadikan pilihan alternatif pengguna jalan raya yang ingin ke pusat peranginan Genting Highlands. Hanya kira-kira 25 minit diperlukan untuk sampai ke puncaknya melalui Batang Kali.
Namun, di sebalik kesibukan lalu lintas di kawasan tersebut, Batang Kali masih agak ketinggalan jika dinilai daripada aspek pelancongan. Tanpa disedari, destinasi tersebut tersembunyi pelbagai tarikan untuk mereka bercuti bersama ahli keluarga.
Sehubungan itu, Smart Discovery Leisure & Tours Sdn. Bhd. (Smart Discovery) mengambil inisiatif memperkenalkan tujuh tarikan utama di Batang Kali kepada para pelancong.
Tarikan-tarikan pelancongan itu adalah Kolam Air Panas Hulu Tamu, Perkampungan Orang Asli, Teratak Nelly Resort, Taman Rekreasi Sungai Sendat, Taman Pertanian Kekal, Perigi Tujuh dan kuil Siam.
Berendam
Sambil menikmati pemandangan suasana perkampungan Melayu seperti Kampung Genting Malik, Kampung Sungai Masin, Kampung Kuantan dan Desa Hulu Tamu, perjalanan sejauh 6 kilometer (km) dari pekan Batang Kali ke Kolam Air Panas Hulu Tamu dirasakan begitu singkat.
Kolam air panas itu sememangnya terkenal dalam kalangan penduduk tempatan. Justeru tidak hairanlah, pada hujung minggu atau cuti umum, kolam yang mendapat punca air daripada mata air bawah tanah ini menjadi tumpuan orang ramai untuk berendam.
Dengan bacaan suhu antara 30 hingga 60 darjah Celsius, dari jauh dapat dilihat wap yang keluar daripada kolam air panas itu. Air di kolam itu dipercayai mampu mengubat penyakit seperti penyakit kulit.

KOLAM air panas ini digemari mereka yang ingin menghilangkan keletihan tubuh.


Bagi memberikan kemudahan kepada para pengunjung, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah menaik taraf kawasan tersebut dengan membina dua buah kolam dan pondok wakaf.
Jika pengunjung tidak berminat untuk berendam di kawasan kolam air panas, Taman Rekreasi Sungai Sendat yang terletak kira-kira 4km dari pekan Hulu Yam Baharu boleh dijadikan pilihan untuk bersantai bersama keluarga dan teman-teman.
Lokasi itu menawarkan dua buah air terjun yang cantik malah sesuai untuk aktiviti bermandi-manda dan perkelahan. Ia mampu menjadikan percutian anda satu kenangan indah.
Bukan itu sahaja, bunyi cengkerik dan unggas rimba turut mewarnai suasana di sekitar kawasan air terjun itu sekali gus menjadi terapi pendengaran saat menjalankan aktiviti barbeku ataupun perkhemahan.
Pokok-pokok hutan yang menjulang tinggi termasuk rimbunan pokok buluh memberikan dos oksigen terbaik selain berfungsi menyaring terik matahari pada waktu siang.
Jika bertuah, pengunjung juga berpeluang menyaksikan rama-rama yang menjadi ikon kebangsaan. Dikenali sebagai rama-rama Rajah Brooke, ia berlegar-legar sekitar kawasan air terjun dengan pesona corak sayap berwarna hijau dan hitam.
Orang Asli
Perkampungan Orang Asli Ulu Tamu yang terletak kira-kira 15km dari Batang Kali juga tersimpan keunikan budaya dan kehidupan suku kaum Temuan.
Perkampungan itu dikelilingi landskap alam semula jadi yang berlatarbelakangkan tanah tinggi Genting Highlands.
Seramai 360 orang atau 50 keluarga menghuni kawasan perkampungan tersebut. Aktiviti utama mereka termasuk menoreh getah, mencari hasil-hasil hutan selain ada yang bekerja di bandar.

ANTARA wakaf yang disediakan untuk keselesaan tetamu di Teratak Nelly.


Pengunjung boleh menyaksikan kehidupan Orang Asli di sini selain menyusuri anak-anak sungai yang terdapat di penempatan itu.
Menunggang kuda
Sebelum memasuki perkampungan Orang Asli Ulu Tamu, pengunjung akan melewati kawasan resort Teratak Nelly yang menawarkan pelbagai kemudahan penginapan dan aktiviti kepada para tetamu.
Antara kemudahan atau aktiviti yang disediakan pemiliknya termasuklah berkayak, menunggang motosikal scrambler, terbang keluang (flying fox), memancing. menunggang kuda, menaiki pacuan empat roda dan meredah hutan.
Mereka yang berminat untuk menunggang kuda yang diimport dari Poland, resort tersebut turut menyediakannya dengan bayaran semurah RM5 bagi satu pusingan di kawasan itu.
Ladang sayur
Jika singgah di Taman Pertanian Kekal pula, pengunjung akan mengetahui bahawa terdapat sebuah ladang sayur terbesar di daerah itu. Ladang itu menghasilkan antara 40 hingga 50 metrik tan sayur sehari.
Berdasarkan kajian Jabatan Pertanian Selangor, sawi yang ditanam di kawasan tersebut adalah yang terbaik di negara ini berikutan kualiti tumbesarannya daripada tanah yang subur.

PETAI merupakan salah satu contoh jualan penduduk setempat yang boleh ditemui di pinggir jalan sekitar Batang Kali.


Pengusaha-pengusaha ladang turut mengusahakan tanaman seperti kangkung, timun, bayam, kacang panjang dan beberapa lagi jenis sayuran lain.
Pengunjung mesti terpukau dengan perspektif batas-batas tanaman yang tersusun cantik. Kegigihan para pekerja menguruskan tanaman seperti menanam, membuang rumput, membaja dan meracun juga dapat disaksikan.
Ketika pancuran air menyiram sayur, bukan sahaja suasana dingin dapat dirasai malah turut menghasilkan pelangi yang indah untuk dirakam melalui lensa kamera.
Elak banjir
Setelah puas menyaksikan sayur-sayuran, apa kata anda berkunjung ke Perigi Tujuh, Serendah.
Tujuan Perigi Tujuh tersebut dibina adalah untuk mencegah banjir besar berlaku di kawasan rendah.
Sehubungan itu, sebuah empangan kecil telah dibina oleh pihak pengusaha lombong bijih timah yang berada di bahagian rendah di situ bagi mengelakkan banjir berlaku.
Di bahagian atas empangan berkenaan dapat dilihat tujuh perigi yang menjadi laluan keluar air menerusi empangan itu.
Pengunjung bolehlah berehat di kawasan ini sambil mendengar deruan air yang terhasil daripada empangan itu. Di kawasan itu, pengunjung dinasihatkan agar tidak bermandi-manda kerana bahagian bawah empangan itu sangat dalam.
Tarikan yang ketujuh di Batang Kali ini adalah Kuil Siam yang terletak 2.7 kilometer dari pekan Ulu Yam Baharu. Kuil Siam itu merupakan yang terbesar di Batang Kali.
Sepanjang perjalanan ke kuil itu, pengunjung dapat menyaksikan kehidupan penduduk kampung selain keindahan flora dan fauna di sekitar kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Smart Discovery, Muhd. Halilur Rahman berkata, kesemua tujuh tarikan itu boleh dinikmati pengunjung dengan bayaran pakej pelancongan antara RM115 hingga RM250 seorang.
“Dengan pengenalan tujuh tarikan utama di Batang Kali ini, kami berharap kawasan ini bukan lagi sekadar menjadi transit orang ramai ke lokasi lain.
“Batang Kali sebenarnya kaya dengan tarikan alam semula jadi yang indah selain aktiviti-aktiviti yang wujud di sekitarnya termasuk kemudahan calet atau resort,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: