Sunday, October 21, 2012

Sepak bola api


PEMAIN perlu berpuasa selama 21 hari sebelum boleh bermain permainan pelik ini.


BIAR betapa hebat sekali pun bintang bola sepak dunia seperti Lionel Messi dan Ronaldo, mereka belum tentu mampu menyentuh bola berapi yang menjadi permainan tradisi pelajar sekolah pondok di Indonesia.
Ia kedengaran seperti satu lagi versi filem Shoalin Soccer tetapi permainan yang popular di sekitar Yogjakarta, Bogor, Tasikmalaya dan Papua itu menjadikan buah kelapa yang telah diubahsuai sebagai bola.
Mereka menendang dan menimang bola yang sedang terbakar dengan berkaki ayam.
Permainan lima sebelah atau lebih itu dikaitkan dengan ilmu persilatan dan dimainkan di atas tanah lapang berukuran 25x25 meter. Ia dipanggil sepak bola api oleh penduduk tempatan.
Sepak bola api menggunakan bola khas yang diperbuat daripada buah kelapa. Buah kelapa yang paling baik ialah yang sudah tua dan kering. Sebahagian kulit kelapa itu akan dihiris dengan pisau sehingga menjadi bentuk bulat seperti bola.

BUAH kelapa direndam dalam minyak tanah selama dua hari.


Airnya dibuang selepas tempurung kelapa itu ditebuk dengan hujung pisau. Ia kemudian ditutup dengan kain, diisi dengan minyak tanah dan dibiarkan selama dua hari.
Menurut seorang penganjur pertandingan, Ali Khyar, perlawanan itu diadakan bagi menguji ketahanan pelajar.
"Memang ada perasaan bimbang tentang keselamatan mereka tetapi berkat doa tertentu yang dibaca ditambah selepas badan mereka dilumur dengan garam dan sirih untuk mengurangkan rasa panas di kaki, belum ada pemain yang cedera teruk setakat ini," kata Ali sambil memberitahu, permainan itu bertambah popular setiap kali menjelang Ramadan.
Minyak tanah
Akhbar-akhbar di Britain minggu ini menyifatkan bermain buah kelapa yang sedang terbakar dengan api bernyala-nyala jauh lebih sukar berbanding menendang bola biasa. Apatah lagi bola yang digunakan adalah buah kelapa yang sudah direndam selama dua hari dalam minyak tanah.
Media di negara itu kagum bagaimana pelajar sekolah pondok terbabit mampu bermain selama 60 minit tanpa sedikit pun mengalami luka terbakar.
"Pemain utama Liga Perdana England bakal hilang punca jika terpaksa bermain bola sepak api di Indonesia," tulis Daily Mail. Sementara The Sun mengatakan pemain profesional di England tidak setanding pemain bola sepak api Indonesia.
"Liga Perdana England melahirkan ramai bintang sensasi dunia tetapi mereka bukan siapa-siapa apabila bermain bola sepak api," ulas The Sun.
Menurut beberapa orang pelajar yang ditemu bual wartawan tempatan, bermain bola sepak api lebih menarik berbanding bola biasa.

PELAJAR wanita juga bermain bola sepak api bagi menguji ketahanan mental dan fizikal mereka.


Bagaimanapun, ada syarat yang perlu dipatuhi sebelum mereka turun padang iaitu mereka harus berpuasa selama 21 hari sebagai proses penyucian diri.
"Mereka juga dikehendaki memakai pakaian yang menutup aurat, menghindari makanan yang dimasak menggunakan api dan berpuasa seharian tanpa tidur.
"Selepas melalui proses ini, mereka tidak akan takut lagi bermain bola sepak api malah boleh menggunakan kepala dan dada untuk mengawal bola," ujarnya.
Mengulas perkara ini seorang pakar motivasi, Ahmadi Baharudin berkata, beliau tidak pernah mendengar permainan bola sepak api itu.
Katanya, ia mungkin ada kaitan dengan sejenis ilmu persilatan dan tidak mustahil melibatkan bantuan makhluk halus.
"Jika tidak bagaimana kaki dan badan pemain tidak berasa sakit atau cedera. Lagipun penggunaan garam dan sirih mirip amalan perbomohan," tegasnya.
Bagi seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie, beliau tidak menolak bantuan makhluk halus dalam sukan itu.
"Mustahil mereka tidak mengalami sebarang kesakitan. Sifat api itu sendiri membakar dan boleh mencederakan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: