
REKA bentuk luaran yang menarik menjadi faktor utama populariti Volvo XC60.
JIKA ditanya kepada kebanyakan penggemar kereta mengenai Volvo, saya yakin bahawa jawapan yang diterima adalah Volvo jenama kereta yang selamat. Penjenamaan tersebut memang melekat dalam minda dan bukan setakat pelaris jualan sahaja.
Inovasi keselamatan Volvo bermula sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Antaranya ialah cermin hadapan berlamina, tali pinggang keledar tiga poin, zon remuk bahagian depan dan belakang kereta. Terbaharu, beg udara untuk pejalan kaki dipasang pada bahagian luar cermin hadapan.
Menerusi inovasi tersebut, boleh dikatakan bahawa Volvo bukan sahaja mementingkan keselamatan nyawa pemandu dan penumpang, bahkan nyawa mereka yang berada di luar kereta. Ini merupakan inovasi besar dalam sejarah keselamatan kenderaan. Malah langkah itu diyakini bakal menjadi ikutan pesaing seperti inovasi lain yang telah dicetuskan oleh Volvo.
Harus tahu, Volvo tidak mempatenkan ciptaan tali pinggang keledar tiga poin supaya kemudahan tersebut dapat dinikmati semua.
Baru-baru ini, saya berpeluang memandu uji Volvo XC60 T5 yang merupakan anggota famili siri XC selepas model XC90. XC60 T5 dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi Powershift enam kelajuan automatik.
Ekstrak kuasa daripada enjin tersebut ialah 240hp dengan tork 320Nm. Sewaktu mengambil model itu daripada wakil Volvo, saya dimaklumkan bahawa XC60 ialah model tempatan terlaris jenama dari Sweden itu.
Di peringkat global pula, XC60 turut menjadi model paling laku sejak tahun 2009. Jualan pada tahun 2011 mencecah 97,183 unit. Tidak hairan kenapa XC60 begitu laris. Sebab utamanya, reka bentuk yang beremosi dan menangkap mata.
Walaupun reka bentuknya kelihatan lari daripada kebiasaan Volvo, hakikatnya apa yang dibuat oleh perekanya adalah mengevolusikan bahasa rekaan sedia ada. Identiti Volvo masih dikekalkan. Misalnya, rekaan bahu sisi dan lampu belakang yang diteruskan hingga ke model V40 baharu.
Cuma perbezaan ketara antara bahasa rekaan lama dan baharu adalah lenggokan yang keras kini dilembutkan, sekali gus nampak lebih lancar (fluid) dan seksi.
Nyalakan lampu belakang
Selain ciri-ciri tersebut, XC60 mempunyai nyalaan lampu belakang yang cantik. Tidak seperti lampu belakang kenderaan lain yang hanya menyala pada satu atau dua kelompok, nyalaan lampu belakang XC60 lebih menarik dengan jaluran dari atas ke bawah yang membentuk satu garisan.
Menjelajah ruang kabin, saiznya sederhana. Kerusi pemandu dan penumpang tegap menyokong belakang badan. Jangkaan saya mengenai kerusi belakang agak mengena apabila tahap keselesaannya biasa-biasa sahaja. Ia boleh dikatakan sebagai tidak empuk atau sedikit keras.
Saya tidak pasti kenapa, tetapi kebanyakan kerusi belakang kereta buatan Eropah yang pernah diipandu uji sifatnya begitu. Boleh jadi tahap keselesaan sedemikian adalah sifat lazim pengeluar di sana.
Walaupun begitu, saiz kerusi belakang yang lebar tidak mendatangkan masalah untuk membawa tiga penumpang sekali gus. Memandangkan XC60 biasanya dibeli oleh mereka yang berkeluarga, saiz ruang bagasi memang penting.
Di atas kertas, kapasiti kargonya seluas 523 liter. Berdasarkan kepada pandu uji ke Cameron Highlands, saiz ruang bagasi itu sudah memadai untuk membawa beg-beg penumpang. Tambahan pula pintu belakang boleh dibuka dan ditutup dengan kawalan automatik seterusnya memudahkan pengguna.
Dari segi pengalaman pemanduan pula, adalah lebih senang untuk meletakkan sasaran apabila memandu uji sebuah SUV. Biarpun XC60 ialah SUV yang tipikal tinggi, namun dinamik pemanduannya bergerak dengan harmoni.
Mengejutkan juga apabila XC60 tidak menggunakan pacuan empat roda. Sebaliknya hanya dipacu oleh roda hadapan. Sistem itu nyata tidak menjadi masalah besar kerana pendakian naik dan turun ke Cameron Highlands terbukti lancar.

TIPIKAL sebuah Volvo moden, butang kawalannya mudah dicapai dan dioperasi.
Hentakan suspensi apabila melalui lopak dan bonggol terasa keras. Nmun secara keseluruhannya SUV itu masih selesa dan cemerlang ketika membawa penumpang. Kuasa enjin yang bersumberkan enjin 2.0 liter turbo pula tidak mengecewakan.
Fizikal XC60 nampak berat, tetapi apabila pedal minyak ditekan terasa seperti memandu kereta sedan biasa. Ditambah pula dengan padanan transmisi Powershift, terasa seperti setiap lengkok kuasa dapat diekstrak tanpa sebarang masalah dan cukup menyeronokkan.
Tidak lengkap jika menulis mengenai Volvo tanpa bercerita mengenai sistem keselamatannya. Dengan pelbagai jargon yang digunakan seperti City Safety, BLIS dan sebagainya, tujuannya tetap satu iaitu mengelakkan kenderaan daripada terlibat dalam kemalangan.
Sebagai contoh, sistem City Safety berfungsi ketika memandu dalam kesesakan jalan raya. Ia berfungsi menghentikan kereta secara automatik apabila jarak kenderaan berada terlalu hampir dengan kenderaan di hadapan, sebelum bergerak semula secara automatik sekiranya kenderaan hadapan mula bergerak.
Sistem keselamatan lain termasuklah amaran pelanggaran dengan bunyi yang agak kuat jika objek di hadapan semakin hampir.
XC60 juga mempunyai sistem kawalan jelajah (auto cruise) yang canggih. Sekiranya terdapat kenderaan di hadapan, sistem tersebut akan memperlahankan kenderaan yang dipandu mengikut kelajuan kenderaan di hadapan, kemudian kelajuan akan ditingkatkan semula apabila laluan hadapan tiada kenderaan.
Apa yang saya nyatakan di atas hanyalah secebis sahaja daripada keistimewaan XC60. Secara peribadinya, SUV Volvo tersebut mempunyai pakej lengkap. Rupa menarik, enjin berkuasa dan paling penting ciri-ciri keselamatan canggih yang kini baru hendak ditiru oleh pesaing lain.
Harga XC60 bermula dari RM300,000 yang sememangnya berada dalam kategori premium. Jika dibandingkan dengan model pesaing lain dalam kategori premium, ternyata XC60 mempunyai kelebihan tersendiri, pastinya dari segi ciri-ciri keselamatannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: