Monday, October 15, 2012

Sekolah Muzik Mariachi

Mariachi terkenal dengan peralatan muzik, pakaian dan topi besarnya yang unik.
ALFONSO Reyes kelihatan sedikit gugup ketika mula meniup trompet sewaktu menjalani uji bakat itu. "Jangan bimbang, bertenang dan lakukannya dengan selesa," kata guru pakar alat muzik itu, Federico Torres, ketika Reyes bermula dengan bunyi yang agak canggung.
Dengan tunjuk ajar daripada Torres, lelaki berusia 28 tahun tersebut akhirnya berjaya melakukannya dengan baik. Reyes mempunyai sebab mengapa dia sedikit gugup ketika menjalani uji bakat tersebut.
Sekiranya dia berjaya melakukan dengan baik dan tepat, Reyes akan menjadi antara kumpulan pelajar ulung yang dipilih menyertai sekolah Mariachi pertama di Mexico City.
Mariachi merupakan muzik rakyat dari Mexico yang wujud sejak abad ke-19 di negeri Jalisco, barat Mexico. Perkataan Mariachi itu sendiri merujuk kepada muzik, pemuzik dan kumpulan yang membawakan genre berkenaan.
Tahun lalu, Mariachi diisytiharkan sebagai Warisan Kebudayaan Kemanusiaan oleh Pertubuhan Kebudayaan, Sains dan Pendidikan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Selama beberapa generasi, pemuzik Mariachi menurunkan minat dan bakat kepada anak-anak dan pewaris mereka secara tidak formal dengan mengajar lagu-lagu klasik seperti "El Rey" atau "Cielito Lindo".
Namun, Sekolah Muzik Mariachi Ollin Yoliztli mahu mengubah keadaan dengan menganugerahkan ijazah profesional kepada pelajarnya, dengan harapan membawa nafas baharu dalam muzik yang terkenal dengan alat muzik sombrero gergasi dan pakaian khas 'charro' yang dipakai dengan butang berwarna perak itu.
"Sekolah ini mahu mengubah stigma yang mengatakan Mariachi hanya untuk sambutan perayaan tertentu atau terkenal dengan pakaiannya yang unik. Ia akan menjadikan pemuzik Mariachi lebih profesional dan melengkapkan muzik tersebut secara tidak langsung," kata Reyes.
Dia antara 113 pelajar berusia antara 12 hingga 70 tahun, yang akan mempelajari cara yang betul bermain gitar, gitar akustik, biola, trompet dan viheula (sejenis alat muzik seakan gitar).
"Di sini kita akan cuba memperhalusi muzik tersebut, namun sesekali kita tidak akan membuang semangat dan keasliannya, jika tidak, kita akan kehilangan bahagian paling penting muzik Mexico itu," kata jurulatih biola sekolah itu, Aaron Jimenez.
Sekolah yang terletak di Garibaldi, Mexico City itu akan dibuka esok dengan menawarkan program ijazah teknikal profesional selama tiga tahun.
Institusi itu juga merancang untuk menawarkan program diploma pertama, peringkat universiti dalam bidang Mariachi di negara itu.
"Ramai pemuzik mahu memperbaiki teknik mereka. Kami juga mahu melakukan ini melalui muzik Mexico," kata Pengarah sekolah, Leticia Soto Flores.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: