
KAKITANGAN Ricoh bersama pelanggan dan sukarelawan gembira kerana dapat melihat progres pokok bakau yang ditanam setahun lalu.
SELEPAS setahun melakukan aktiviti menanam pokok bakau bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia melalui program Segala-galanya Mengenai Pokok Bakau, Ricoh sekali lagi bersama pelanggan dan pembekalnya bertandang ke Taman Alam Kuala Selangor untuk melihat hasilnya.
Lawatan kali kedua itu bertujuan untuk melihat perkembangan anak pokok bakau yang ditanam tahun lalu di samping mengenal pasti kawasan yang masih boleh ditanam dengan anak pokok bakau.
"Kehidupan di kota metropolitan membuatkan kita terlupa mengenai kepentingan menjaga alam semula jadi. Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menguar-uarkan kepentingannya.
"Peserta tahun lalu begitu teruja untuk menyertai aktiviti ini. Justeru, kali ini kami mengalu-alukan sesiapa yang ingin menyertai aktiviti penanaman pokok secara sukarela," kata Timbalan Pengurus Besar Pemasaran Ricoh Malaysia, Lim Choon Weng.
Hasil aktiviti penanaman lalu, anak pokok bakau itu kini telah mencecah ketinggian 20 sentimeter. Kesemuanya subur di bawah seliaan pakar bakau walaupun pada awalnya mereka menjangkakan ia sukar membesar.
Bantu habitat
Menyasarkan sebanyak 500 pokok bakau dalam tempoh dua tahun, Ricoh akan meneruskan aktiviti berkumpulan ini untuk memastikan habitat haiwan liar seperti burung air berkekalan.
Pada program tersebut, sebanyak 375 batang anak pokok bakau telah berjaya ditanam di tapak semaian berlumpur.
Di Semenanjung Malaysia, hutan pokok bakau sering ditemui di kawasan Pantai Barat. Kajian mendapati, nilai pasaran bagi pokok bakau mencecah nilai RM5.5 juta.
Dikenali sebagai tempat yang sesuai untuk pembiakan haiwan liar, pokok bakau menyumbang kepada ekonomi negara dalam bentuk sumber dan produk seperti arang, balak, kertas pulpa dan makanan laut.
Secara tidak langsung, ia menggalakkan industri pelancongan tempatan selain menjadi benteng kepada tebing pantai daripada impak tsunami.
Selain itu, ia juga menjadi penapis semula jadi kepada pencemaran air. Tambahan pula, pokok bakau Malaysia menyediakan sarang yang selamat kepada burung-burung yang berhijrah.
"Pokok bakau mengalami kemusnahan teruk ekoran pencemaran dan pembangunan yang tidak terancang di sepanjang perairan Malaysia. Selama 24 tahun lalu, lebih 14 peratus hutan pokok bakau telah musnah.
"Ia menjadi petanda tidak baik kepada hutan pokok bakau yang kaya dengan biodiversiti warisan semula jadi kita akan turut musnah dan mengganggu ekonomi jika hutan pokok bakau tidak dipelihara dengan sewajarnya," kata Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam, Shah Redza Hussein.
Inisiatif berterusan
Program Ricoh Malaysia selama dua tahun yang menelan belanja RM200,000 itu melibatkan rakan niaga dan usaha mendidik pelanggan selain pemuliharaan pokok bakau bersama Persatuan Pencinta Alam. Penanaman semula anak pokok bakau merupakan salah satu inisiatif yang dilakukan untuk menjaga alam sekitar.
"Di Ricoh, kami mengenal pasti kepentingan kestabilan dan kesannya kepada perniagaan. Ketika kami menandatangani perjanjian selama dua tahun bersama Persatuan Pencinta Alam, kami memahami bahawa usaha memelihara ekosistem bukanlah kerja semalaman tetapi ia menuntut komitmen yang panjang.
"Kami konsisten untuk mengharmonikan perniagaan tumbuh-tumbuhan kami dengan alam sekeliling di samping meminimumkan kesan jangka panjang kepada pelanggan.
"Tambahan pula, kami mengawal alam sekitar menerusi produk dan perkhidmatan. Kami berbangga jika ada pelanggan yang menggunakan barangan dan perkhidmatan Ricoh dan ini bermakna mereka menyokong usaha kami mengekalkan kestabilan alam sekitar," kata Lim.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: