Monday, October 22, 2012

Platform untuk saintis negara

DR. Raja Noor Zaliha dan kumpulan penyelidiknya menunjukkan sebahagian sampel protein yang disimpan di makmal di UPM Serdang.
Salah satu objektif utama Program Angkasawan Negara (PAN) ialah menyediakan platform untuk saintis negara menjalankan kajian saintifik dalam suasana mikrograviti di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Menurut Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mhd. Fairos Asillam, penyelidikan tersebut dipilih selepas melalui beberapa siri mesyuarat dan saringan.
Menerusi PAN kata Mhd. Fairos, saintis Malaysia berpeluang menyertai program penyelidikan sains mikrograviti.
Kata beliau, hasil daripada dua Bengkel Sains Mikrograviti pada September 2008 dan November 2009, penyelidikan yang dijalankan oleh saintis tempatan boleh dibanggakan kerana telah berjaya memenuhi objektif kajian.
"Ini merupakan pengalaman pertama dan eksperimen Malaysia hanya berada di ISS hanya dalam tempoh misi yang pendek iaitu lapan hari sahaja,'' katanya.
Selain itu, program tersebut juga memberikan petanda jelas bahawa penyelidikan mikrograviti mempunyai prospek penyelidikan yang baik untuk diteroka oleh saintis tempatan.
Dalam RMK-9 dan RMK-10 Angkasa berusaha mengukuh dan memperkembangkan bidang penyelidikan sains angkasa yang merangkumi sains mikrograviti, cuaca angkasa dan astronomi atau astrofizik untuk dijadikan sebagai salah satu daripada teras penyelidikan di Malaysia.
Melalui PAN, para penyelidik dari pelbagai institusi penyelidikan tempatan seperti universiti termasuk Angkasa dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga telah memperoleh pengalaman dan keupayaan untuk mengurus, merangka, menilai dan melaksana program penyelidikan sains mikrograviti.
Mengimbau kembali pelaksanaan program berkenaan beliau menjelaskan, kajian-kajian yang dipilih untuk diterbangkan di ISS dibahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu Cells in Space (CIS, ) Microbes in Space (MIS), Protein Crystallization in Space (PCS) dan Food in Space (FIS).
Program sains mikrograviti boleh dibahagikan kepada dua segmen utama iaitu Fasa 1 ( PAN) iaitu Pelancaran program Angkasawan Negara (2006 - 2007) dan Fasa 2 atau pasca PAN
Pasca PAN menyokong pembangunan berterusan penyelidikan saintifik dan membangunkan sektor penyelidikan dan pendidikan sains angkasa yang meliputi bidang sains mikrograviti, cuaca angkasa dan astronomi atau astrofizik.
Dalam pelaksanaan Projek Pembangunan Sains Angkasa, beberapa sasaran dan pencapaian output yang jelas telah dikelaskan seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Sepanjang pelaksanaan pembangunan Sains Angkasa melalui RMK-9i, sebanyak tujuh belas aktiviti R&D telah dijalankan.
Sebanyak dua puluh empat kertas kerja hasil penyelidikan termasuk lima belas jurnal telah dibentang dan diterbitkan.
Pelaksanaan RMK-9 ini juga telah menyaksikan penubuhan makmal pengkulturan sel dan makmal penyelidikan sains mikrograviti (C-elegans) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan perolehan peralatan penganalisaan hablur di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Kejayaan eksperimen yang dipelopori saintis tempatan yang telah dilancarkan ke ISS juga memberikan petanda bahawa reka bentuk penyelidikan Malaysia telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Pelaksanaan aktiviti Projek Pembangunan Sains Angkasa RMK-9 juga telah melahirkan beberapa modal insan dalam pelbagai bidang.
Antara program penyelidikan dan pembangunan selepas PAN ialah:
nPenyelidikan Perubatan Angkasa menerusi Program MARS500 yang dijalankan dengan kerjasama Institute of Biomedical Problem (IBMP)
nPenyelidikan Penghabluran Protein Berkualiti Tinggi di Modul Eksperimen milik Jepun Kibo di ISS;
nMalaysian Space Seeds Programme dengan kerjasama Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA);
nProgram Inovasi Penyelidikan Sains Mikrograviti Peringkat Kebangsaan (Penerbangan Parabola) dengan kerjasama JAXA;
nProgram Pertanian Angkasa yang di mulai dengan Malaysia Space Seed Programme dengan kerjasama MARDI, Kementerian Pelajaran Jabatan Pertanian Malaysia dan Kibo.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: