Saturday, October 20, 2012

Makin matang makin laris



ALIRAN muzik yang serasi, mengalir bersama pembuluh darah yang mengikat Paul Kevin Jonas II (Kevin), Joseph Adam Jonas (Joe) dan Nicholas Jerry Jonas (Nick) atas nama tiga bersaudara atau lebih tepat Jonas Brothers.
Jenama yang utuh dibawa menjelajah ke serata dunia menerusi saluran Disney dan sehingga ke hari ini biarpun imej remaja yang semakin terhakis daripada diri mereka, Jonas Brothers secara harafiahnya masih relevan.
Dua tahun lalu menyaksikan mereka bersama-sama di atas satu pentas untuk siri konsert jelajah mempromosikan album keempat Lines, Vines and Trying Times, kemudiannya ketiga-tiganya membawa hala tuju solo.
Bukan berpecah bak kata jejaka paling muda dalam grup itu, Nick, 20, mereka sentiasa bersama-sama walau tidak berpadu suara dalam tempoh tersebut.
Baru-baru ini, pada sesi temu bual video di pejabat urusan The WonderLand+ yang merencanakan perjalanan konsert mereka di Kuala Lumpur pada 24 Oktober nanti, Nick menjelaskan mereka masih bersatu.
“Saya tidak melihat penggabungan ini (konsert) sebagai satu kemunculan semula Jonas Brothers kerana kami sentiasa bersama. Cuma masing-masing melakukan kerja berbeza buat sementara waktu,
“Sekarang, mungkin waktu terbaik untuk kembali berkolaborasi dan kami sangat teruja,” ujar Nick yang sudah menubuhkan sebuah band Nick Jonas & Administration sepanjang tempoh masa tidak bersama Jonas Brothers.

JONAS BROTHERS belum berpecah biarpun mereka bertiga sudah membawa haluan masing-masing.


Dalam perkembangan lain, Nick juga terbabit dengan drama bersiri hit, Smash, selain pementasan Les Miserables dan How to Succeed in Business Without Really Trying on Broadway menggantikan Daniel Radcliffe yang sebelum itu merealisasikan karakter tersebut.
Meet You In Paris
Sepanjang dua tahun itu juga, Joe, 23, pula mencuba nasib menerusi album solo, Fastlife. Jejaka kelahiran Casa Grande, Arizona itu menyifatkan perjalanan seni dan muzik mereka berevolusi sejajar dengan perkembangan usia.
“Pengalaman bergerak seketika secara solo memberikan banyak pelajaran kepada kami, mematangkan dan membuat kami lebih cekal.
“Banyak perbezaan telah kami lalui. Dari segi muzik, kami kini lebih banyak mendengar pelbagai gaya muzik yang kami gemari. Ia disuntik sedikit sebanyak ke dalam aliran muzik kami,” ungkapnya.
Berkongsi cerita perkembangan terbaharu Jonas Brothers, kata Joe, mereka kini sedang sibuk memilih lagu-lagu terbaik untuk dimuatkan ke dalam album mereka yang kelima.
Pada sesi temu bual tersebut, turut diperdengarkan sebuah lagu iaitu Meet You in Paris yang dipetik daripada album itu.
“Kami mengawal hala tuju dan apa yang akan berlaku seterusnya dalam industri muzik ini datang daripada keringat kami sejak dulu,” jelasnya.
Miley Cyrus
Dalam pada itu, khabarnya, single terbaharu daripada kumpulan itu, Wedding Bells ditujukan khas kepada pelakon Miley Cyrus selepas bintang filem Hanna Montana itu putus cinta dengan Nick.
Buktinya, beberapa baris lirik dalam lagu itu dikatakan sebenarnya merujuk kepada Cyrus yang kini sudah bertunang dengan aktor filem Hunger Games, Liam Hemsworth awal tahun ini.

TIGA adik-beradik Jonas ini bakal muncul untuk konsert julung-julung kali di Malaysia pada 24 Oktober ini.


Nick bagaimanapun bijak memberikan jawapan yang berkias terhadap makna yang tersirat di sebalik lagu tersebut.
Katanya: “Album kelima Jonas Brothers sedang menjalani sesi rakaman dan sepanjang proses itu ada perkara baik dan buruk terjadi serentak.
“Saya tidak pernah menghasilkan lirik lagu yang boleh membuatkan timbul perasaan yang tidak selesa. Apa yang berlaku pada tahun lepas (putus cinta), sebenarnya memberikan kesan sehingga ke hari ini.”
Sementara itu, Kevin pula sempat berkongsi pengalamannya dalam rancangan realiti televisyen terbaharu, Marriage To Jonas yang diterbitkan oleh pengacara terkenal Ryan Seacrest dan disiarkan di saluran E!
“Pengalaman yang sangat menarik untuk seluruh ahli keluarga kami dan rancangan itu sedang mendapat perhatian ramai di Amerika Syarikat.
“Perkahwinan merupakan perkara terindah yang berlaku dan meluangkan waktu bersama teman paling akrab (isteri) adalah momen yang tidak akan dilupakan,” kata Kevin.
Rancangan itu memaparkan kehidupan Kevin bersama pasangannya, Danielle Deleasa, 25, yang telah berkahwin pada Disember 2009.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: