|
KETIKA ramai yang menyatakan bahawa reka bentuk kenderaan Toyota semakin tiada jiwa, angka jualan menunjukkan perkembangan berbeza. Kenderaan dengan jenama T itu tetap mendapat tempat istimewa dalam hati pengguna di Malaysia. Sedangkan pada masa yang sama mereka ditawarkan dengan banyak jenama lain bersama pelbagai ciri tambahan dan reka bentuk lebih menarik.
Toyota berdiri atas namanya yang kukuh. Kenderaannya tidak beri masalah, nilai jualan tinggi dan perkhidmatan selepas jualannya juga memuaskan. Faktor-faktor itulah yang menjadi kriteria penting kenapa orang ramai terus membeli kenderaan Toyota.
Namun begitu, Toyota tetap percaya bahawa ia perlu relevan dengan pasaran. Maklum balas daripada pengguna menjadi input penting tentang kenderaan yang bagaimana Toyota perlu jual.
Contoh mudah, pengguna kini mahukan kenderaan yang lebih berkuasa. Pada masa yang sama tidak mengorbankan aspek penjimatan bahan api. Menyahut pemintaan itu, Toyota tampil dengan varian trak pikap bersesaran 2.5 liter yang lebih berkuasa.
Terimalah Toyota Hlilux 2.5G VNT. Ini merupakan varian lebih berkuasa berbanding model Hilux 2.5 liter yang digantinya. Dipasang di kilang milik UMW Toyota Motor (UMW Toyota), Assembly Services Sdn. Bhd. di Shah Alam, Selangor trak pikap itu memiliki teknologi pengecas turbo (turbocharger) sama seperti yang terdapat pada model Hilux Double Cab 3.0G.
VNT adalah singkatan kepada Intercooler Variable Nozzle Turbo yang diaplikasikan pada enjin D-4D Common Rail Turbo Diesel. Ia menawarkan peningkatan kuasa enjin dan tork secara signifikan.
Peneraju pasaran
Sebagai perbandingan, enjin lama tanpa VNT hanya mampu menghasilkan kuasa dan tork sebanyak 10PS serta 260Nm. Dengan adanya VNT, angka itu melonjak kepada kepada 144PS dan tork 343Nm. Walaupun tidak menjadi trak pikap paling bertenaga dalam kelasnya, penambahan itu pasti membuatkan peminat tegar Hilux tersenyum.

SEMPAT membuat aksi stunt sebelum pulang ke Kuala Lumpur untuk menguji kelasakan Hilux.
Di peringkat global, Hilux bukanlah trak pikap asing di banyak negara. Ia terus menjadi pilihan selama berdekad-dekad kerana sifatnya yang boleh diharap dan tahan lasak. Sistem pacuan empa rodanya telah melalui proses penambahbaikan secara berterusan.
Di Malaysia, Hilux mula dijual pada tahun 2005 dan terus menjadi peneraju pasaran sejak itu. Sehingga kini sebanyak 120,000 unit Hilux telah terjual. Apabila UMW Toyota memperkenalkan varian Hilux 3.0 pada tahun 2010, rekod jualannya sudah mencecah 21,400 unit.
Bagi membuktikan kemampuannya, UMW Toyota telah menganjurkan satu sesi pandu uji menuju ke hutan hujan Belum di Perak. Lebih menarik lagi, setiap peserta turut berpeluang memandu Hilux 2.5G tanpa VNT. Jadi, dapatlah saya membuat perbandingan dengan lebih jelas tanpa perlu bergantung kepada ingatan memandunya beberapa tahun lalu.
Sesi pandu uji tersebut melibatkan laluan di lebuh raya, jalan kampung dan off-road. Pastinya, apa yang paling ketara adalah janaan kuasa daripada enjin tersebut. Kuasa tork dapat dirasa dengan lebih pantas. Ini sekali gus membuatkan proses memotong kenderaan lain lebih mudah dan meyakinkan.
Bukan itu sahaja, keselesaan penumpang belakang turut dipertingkatkan. Penumpang kini boleh mengharapkan perjalanan lebih selesa berbanding model terdahulu. Sebelum terlupa, enjin itu dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan.
Walaupun nampak ketinggalan berbanding pesaing lain yang menawarkan kotak gear automatik dengan lima atau enam kelajuan, kelancaran yang mampu ditawarkannya boleh membuatkan anda langsung terlupa mengenainya.
Kelasakan dan kemampuan sebenar Hilux teruji ketika mendaki laluan curam di hutan Temenggor. Pendek kata, Hilux berupaya melalui laluan mendaki dan menuruni bukit tanpa sebarang masalah. Olengan tubuhnya juga minimum.

ENJIN diesel tubo bersesaran 2.5 liter dengan VNT yang berkuasa dan menjimatkan minyak.
Menggunakan tayar jenis All-Terrain, bunyi bising boleh didengar dengan agak ketara. Namun, ia tidaklah sampai mengganggu keasyikan anda berbual dan mendengar muzik ketika berada di dalam kabinnya.
Tiada perubahan ketara yang berlaku di dalam kabin Hilux 2.5 VNT. Ia tetap mengekalkan rekaan papan pemuka sama. Cuma, sistem audionya kini terdiri daripada unit audio 2-DIN yang sama seperti model Hilux 3.0G. Unit audio itu hadir bersama ciri sambungan Bluetooth dan pemain DVD. Skrin bersaiz 6.1 inci itu pula berfungsi sebagai paparan kepada sistem navigasi dan kamera mengundur. Ini adalah opsyen untuk varian 3.0G dan 2.5G sahaja.
Sekali pandang, memang agak sukar untuk membezakan antara model Hilux VNT dan varian 2.5 liter sebelum ini. Apa yang membezakan antara keduanya cuma pelekat bertulis Intercooler VNT pada bahagian belakang dan skup udara di atas bonet yang sama seperti model 3.0G. Skup itu membolehkan udara mengalir terus ke ruang intercooler yang terletak pada bahagian atas enjin bagi memaksimumkan proses penyejukan.
Sama seperti kebanyakan model yang ditawarkan oleh UMW Toyota, Hilux 2.5 VNT hadir dengan jaminan tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000 kilometer (yang mana tiba dahulu).
Bagi pemilik Hilux yang mahu menjadikan trak pikap mereka berbeza berbanding orang lain, ada beberapa aksesori boleh dipilih. Ini termasuklah sports bar yang diperbuat daripada gabungan besi tahan karat dan plastik ABS tahan lasak, bedliner (untuk varian Single Cab sahaja), Toyota Standard Solar Film, sistem Toyota DVD-Audio Video Navigation (AVN) dan banyak lagi.

TIADA apa yang menarik pada papan pemuka dan kabin trak pikap keluaran Toyota ini.
Memang betul, kalau dikira dari segi ciri yang ditawarkan, Hilux 2.5G tidaklah cemerlang. Namun begitu, harus ingat bahawa orang yang membeli Hilux bukan melihat kepada sebanyak mana ciri yang ada. Tetapi lebih kepada kepercayaan kepada jenamanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: