JODOH adalah ketentuan daripada Allah, namun kita juga perlu berusaha
untuk mencari yang serasi agar hidup kekal bahagia sepanjang hayat.
Tidak mudah untuk memiliki yang berkenan di hati kerana cita rasa manusia boleh berubah mengikut mood dan masa.
Jika ada yang bertahan, itu sesuatu yang membahagiakan dan yang patah
di tengah jalan, anggaplah itu sebagai takdir dan tiada jodoh lagi
untuk terus bersama. Itu juga ketentuan Allah.
Dalam mencari calon suami atau isteri, banyak dugaan yang dilalui termasuk daripada keluarga, kawan-kawan dan suasana keliling.
Kepada saya, lelaki ini yang menamakan dirinya Majid (bukan nama
sebenar) berkongsi cerita tentang pengalamannya mencari calon isteri.
Apa yang terjadi kepada Majid, kita ikuti kisahnya.
"Ketika itu, saya berusia awal 20-an dan merupakan seorang eksekutif
di sebuah syarikat telekomunikasi terkenal di ibu kota. Sebagai lelaki,
saya merasakan tidak mudah untuk mencari calon isteri. Jika tersalah
pilih, yang dirancang tidak menjadi.
"Begitulah permulaan kisah yang ingin saya kongsi dengan anda minggu ini. Kisah tentang jodoh saya.
"Keluarga memberi sepenuh kepercayaan kepada saya memilih calon
isteri. Jika saya tiada pilihan, mereka akan menolong untuk mencari
calon yang sesuai. Doa adalah senjata yang paling mustajab untuk kita
mendapatkan yang terbaik. Ini kerana setiap insan dijadikan berpasangan,
itu janji Allah dan setiap kali bersolat, saya bermohon semoga
diperkenankan hajat ini.
"Maka takdir telah mempertemukan saya dengan seorang gadis yang lebih
berusia daripada saya. Saya senang berkawan dengannya walaupun mendapat
tentangan yang cukup hebat daripada kawan-kawan yang kebanyakannya
adalah wanita.
"Pelbagai cerita negatif yang saya dengar mengenai gadis pilihan saya
itu yang saya kenalkan sebagai Zati (bukan nama sebenar), tetapi saya
diamkan sahaja kerana tiada bukti kukuh yang boleh saya percaya
kata-kata mereka.
"Saya membuat andaian mereka cemburu dengan saya atau iri hati.
Mungkin juga mereka merancang sesuatu. Tetapi mereka harus ingat, ini
soal hati dan perasaan.
"Berdiri biar sama tinggi dan duduk biarlah sama rendah, itu yang
sepatutnya terjadi supaya serasi dan sedap mata memandang. Itu antara
nasihat yang dilontarkan kepada saya ketika sedang minum petang dengan
kakak-kakak di pejabat.
"Kakak ingin melihat Majid bahagia dan carilah calon isteri yang sepadan dan muda kerana perempuan akan kelihatan cepat tua.''
"Saya hanya tersenyum dan faham maksudnya, tidak salah untuk kita mendengar nasihat daripada seorang yang lebih berpengalaman.
"Hampir bertahun juga saya cuba untuk menghampiri Zati dengan harapan
yang satu, untuk dijadikan calon isteri. Tidak semudah yang disangka
kerana pelbagai 'ujian' yang saya hadapi termasuk tekanan daripada
kawan-kawan sekeliling yang kesemuanya tidak setuju dengan pilihan saya.
"Mereka kebanyakannya menentang. Kata mereka kami tidak sekufu dan
masih ramai lagi yang sesuai untuk disunting. Bagi saya, amat tidak adil
jika Zati dihukum kerana saya. Mengapa harus bersandarkan kepada
pendapat orang lain jika itu yang terbaik dan diciptakan untuk saya.
"Usia bukan penentu kebahagiaan seseorang dan kekayaan juga bukan
tiket untuk mudah mendapat segala yang dihajati, kerana ketentuan itu
milik Allah.
"Saya nasihatkan Zati supaya jangan terlalu memikirkan apa yang
diperkatakan oleh orang sekeliling. Pedulikan mereka kerana jika dilayan
akan bertambah kecoh dan tiada kesudahan.
"Dengan izin Allah segalanya berjalan lancar dan kami akhirnya
bertunang dalam suatu majlis yang sederhana. Pelbagai cerita timbul, di
samping heboh cerita saya bertunang dengan andartu.
"Itulah hakikatnya. Amat sukar untuk membahagiakan hati orang kerana
kebahagiaan itu milik kita dan pemberian daripada Allah yang harus
disyukuri.
"Yang paling saya gembira adalah kerana pertunangan kami dipersetujui
keluarga dan mendapat restu daripada kedua ibu bapa dan keluarga pada
hari pernikahan kami.
"Itu kisah 30 tahun yang lalu. Waktu itu kami dihimpit pelbagai
kontroversi untuk hidup bersama. Kini kami bahagia dengan cara kami.
Saya dan Zati tidak pernah menyesal dengan keputusan kami untuk hidup
bersama walaupun usia kami berbeza 15 tahun.
"Sebagai lelaki, saya juga menerima hakikat yang Zaty tidak boleh
melahirkan anak, tapi kami membuat keputusan cepat dengan mengambil anak
angkat. Kesemuanya lima orang. Mereka kami ambil dari rumah kebajikan
mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan.
"Alhamdulillah anak-anak ini juga gembira hidup dengan kami. Zati dan
saya memberi sepenuh kasih sayang kepada anak-anak ini. Mereka dilayan
seperti anak sendiri, diberi apa sahaja yang mereka mahu terutama
pendidikan agama dan akademik.
"Untuk seketika, saya merasa inilah hikmahnya yang Allah berikan
kepada saya kerana menerima Zati dahulu. Walaupun kawan-kawan ramai yang
mencemuh kerana melihat saya berganding dengan Zati dulu, sekarang
mereka melihat kami dengan muka ditundukkan ke bawah, ertinya mereka
dulu tidak menjamin kami akan bahagia.
"Kini semua anak-anak angkat saya telah mencecah usia remaja dan kami
bahagia walaupun tidak dikurniakan zuriat sendiri. Kasih sayang kami
kepada mereka tidak berbelah bahagi. Mereka juga anak-anak yang perlukan
perhatian dan kasih sejati dari ibu bapa.
"Takdir telah menentukan anak-anak ini di bawah jagaan kami dan kami
terima dengan reda. Jauh di sudut hati anak-anak ini mungkin ingin
bertemu dengan ibu dan ayah kandung yang telah lebih awal dijemput
Ilahi.
"Saya dan Zati mengambil peranan itu untuk mengembalikan keseronokan
mereka sama seperti anak-anak yang punya ibu bapa. Saya merasakan Allah
telah memberikan saya isteri yang baik dan taat. Dia sanggup bersusah
senang dengan saya dan menerima kata-kata kesat orang dahulu kerana
sayangkan saya.
"Sebagai suami, saya berterima kasih kepada Zati kerana sanggup
berkorban untuk saya. Dia tidak pernah menyakitkan hati saya dan selalu
ada bila saya memerlukannya. Dalam usia yang semakin meningkat, tentu
Zati juga semakin faham akan erti hidup yang sebenarnya.
"Kepada anak-anak angkat kami, usah bersedih dengan suratan takdir
ini, tetapi bangunlah dengan semangat yang cekal dan tabah demi masa
hadapan yang sukar untuk diduga.
"Saya telah memberi mereka pelajaran dunia dan akhirat dan selalu
mendoakan agar mereka berjaya dalam hidup. Saya mahu mereka menjadi
anak-anak yang soleh dan solehah serta berjaya di dunia dan akhirat.
"Saya percaya apa yang Allah berikan kepada kita adalah untuk kita
hargai dan sayangi. Pemberian Allah adalah tanggungjawab dan amanah.
Tidak boleh dibuat main-main. Saya akui kata-kata itu. Zati juga sama.
Malah kami berjanji akan melakukan apa sahaja demi masa depan anak-anak
kami ini.
"Biarpun masih ada orang yang sengaja mencari kontroversi dalam rumah
tangga saya dan Zati, tapi saya yakin, ia tidak akan menjejaskan masa
depan kami. Malah akan terus menguatkan cinta dan kasih sayang kami.
"Biarlah orang akan kata apa sahaja. Katalah saya dan Zati macam anak
dengan ibu, tidak mengapa saya terima sebab kami tahu siapa kami.
Semoga Allah terus memberi perlindungan untuk saya, Zati dan
anak-anak,'' Majid menutup cerita .
Saya amat gembira membaca kisah Majid dan Zati. Kisah mereka adalah
satu di antara seribu yang sering mengundang ujian dalam hidup berumah
tangga.
Saya nampak kematangan mereka di awal cerita dan akhirnya tentulah
membawa bahagia. Inilah kisah yang boleh dijadikan teladan oleh pasangan
suami isteri dalam mencari persefahaman dan tolak ansur dalam rumah
tangga.
Menutup catatan, pesanan saya, seorang isteri harus selalu berdoa
untuk kesejahteraan hidup suaminya kerana di dalam hati seorang suami
sebenarnya hanya ada seorang wanita yang dipanggil isteri.
Salam
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: