Sunday, October 21, 2012

Jangan sekat pusaka Loloq - Errie


'HARTA' Allahyarham Loloq selain liriknya adalah anaknya Jaevn (kiri), isterinya Hariah, Krsty dan Yasha yang kini selesa tinggal kerana royalti arwah.


PADA sebuah batu nisan di sebuah tanah perkuburan Islam Sungai Buloh, terpahat lorekan: Rosli bin Khamis, lahir 21.5.1958, meninggal dunia 30.1.2008 bersamaan 1429 Hijrah.
Nisan yang pegun itu tanda kepada persemadian abadi buat seorang legenda yang membentangkan banyak inspirasi kepada pencinta sastera dalam lagu.
Dikenali sebagai Loloq, beliau meninggalkan alam maya dengan ingatan dan khazanah seninya. Lebih empat tahun pemergiannya namun dalam jiwa dan pendengaran khalayak, Loloq sebenarnya masih hidup atas pentas tersendiri. Dia bernyawa dalam setiap pahatan penulisannya yang terkadang tampak santai tetapi penuh siratan makna.
Kapal Belayar dan Wak Jono adalah antara lirik pertama yang ditulisnya. Sejak itu Loloq tidak melihat ke belakang lagi. Dalam masa-masa yang sama berkahwin serta membuat duit daripada album Ella dan Search.
Realitinya, beliau salah seorang karyawan yang berjaya menempatkan nama sebagai penulis lirik gah tanah air dengan nukilan mencecah 2,000 lirik.
Loloq tidak hanya mengubah penulisan lirik menjadi perusahaan berharga dengan nilai yang tinggi, sebaliknya beliau menjadikan tulisannya itu sebagai pusaka.
Tahun silih berganti dan hitungan peninggalan itu tetap berjalan sebagai penyambung hidup yang ditinggalkan buat keluarganya. Biarpun bukan berupa tanah atau emas permata, bukan juga wang ringgit yang mampu beranak-pinak, namun masa telah membuktikan betapa lirik Loloq terus menyara kehidupan zuriatnya dari hari pertama dia menutup mata sehinggalah hari ini.
Biar bergoncang dunia sekali pun, pusaka itulah yang perlu dipertahankan demi kelestarian hidup seorang balu serta tiga anak yang memerlukan pembelaan untuk mendepani sebuah kehidupan.
Amanah suami
Berita terbaharu perihal sebuah badan lain bakal ditubuhkan untuk menggantikan tugasan pengutipan royalti oleh Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) ternyata meresahkan hati Hariah Yaacob, 40. Lebih dikenali dengan nama Errie, isteri Allahyarham Loloq ini banyak termenung ketika bertemu mata dengannya.
"Nyawa empat orang peninggalan Loloq, hidup dan mati adalah bergantung sepenuhnya kepada royalti Loloq," jelas Errie jujur.
Desas-desus mengenai MACP sudah tidak dibenarkan mengutip hasil royalti sejak September lalu semakin kencang bertiup apabila ada pihak mendakwa MACP tidak diberikan lesen untuk mengutip royalti seperti sebelum ini.
Badan-badan yang bertanggungjawab termasuklah MACP dikatakan perlu mempunyai lesen seperti yang telah diarahkan oleh pihak kerajaan baru-baru ini.
Sehingga September lalu, pihak MACP dikhabarkan masih belum menerima lesen berkenaan dan perkara itu sedikit sebanyak telah menjejaskan kutipan untuk diagih-agihkan kepada penerima yang berhak.
Masuk ke dalam berita yang menggusarkan ini, Errie mengaku risau. Hidup dia dan anaknya bergantung 100 peratus terhadap kutipan royalti Loloq. Itu amanah yang dipegangnya.
"Kami bergantung sepenuhnya kepada royalti. Saya kira, orang lain tiada hak untuk mengambil kesempatan ke atas harta pusaka ini. Ini tentang kehidupan orang lain dan juga masa depan," luah Errie yang menganggap karya Loloq adalah hak Loloq dan keluarga.
"Bila melibatkan isu kematian, mungkin umum tidak tahu beberapa perkara perit yang terpaksa kami hadapi anak beranak. Segala wang yang ditinggalkan oleh suami terus disimpan di Amanah Raya.

ARWAH Loloq (kiri) dan Datuk M.Nasir adalah antara individu yang mendapat pendapatan tertinggi berdasarkan kutipan royalti oleh MACP.


"Proses mengeluarkan duit sendiri bukan mudah. Banyak prosedur yang terpaksa dilalui walaupun untuk menggunakan duit sendiri. Kalau bukan kerana duit royalti yang diberikan oleh MACP, saya sendiri tidak tahu macam mana kehidupan kami.
"Apa-apa yang terjadi, saya pegang amanah arwah. Kalau hak kami diambil, ini boleh dikatakan sebagai sebuah pencabulan hak. Jujur saya katakan, kalau bukan kerana MACP, kami tak makan," keluhnya yang tidak mempunyai masalah sepanjang berurusan dengan MACP.
"Loloq sejak hayatnya ada hingga tiada, dia bergantung hidup sebagai penulis lirik. Itu sumber pendapatannya. Seluruh keluarga bergantung kepada royalti liriknya. Jika ada sesuatu perkara yang akan jejaskan kehidupan kami, ini menimbulkan kerisauan saya. Selama ini kehidupan kami lancar dan sumber wang yang ditinggalkan cukup untuk menampung kami anak-beranak," tegas Errie.
"Hal ini adalah sangat serius kerana ia memberi impak kepada kehidupan ramai keluarga yang bergantung kepada royalti," tegasnya lagi yang selesa segala urusan royalti dijalankan oleh MACP tanpa sebarang rungutan.
Cabul hak
Berdasarkan terma MACP, pembayaran wang hasil kutipan royalti daripada penulis yang telah meninggal dunia kepada waris akan bertahan selama 70 tahun selepas kematian.
Jika MACP dihapuskan, jaminan ketelusan kutipan dan penyaluran hasil kutipan royalti nanti ibarat telur di hujung tanduk. Jika jatuh ke tangan pihak yang mempunyai kepentingan peribadi, masa depan karyawan muzik seperti penulis lirik dan pencipta lagu juga tiada jaminan.
"Selama ini kami tidak berdepan masalah dengan MACP, MACP sendiri tiada masalah dengan ahli-ahlinya. Setahu saya, masalah yang sebenarnya timbul apabila ada pihak yang enggan membayar lesen kepada MACP, mereka tidak mahu bayar servis yang telah mereka gunakan.
"Kalau benar hak MACP hendak ditarik, harta kami itu hendak direntap secara paksa daripada pemiliknya. Itu satu pencabulan hak yang tidak boleh diterima," jelas Errie beremosi.
Dengan pengetahuan yang telus tentang perjalanan pembayaran royalti oleh pihak MACP, Errie berpendapat bahawa penekanan seharusnya diletakkan kepada penguatkuasaan pembayaran pihak-pihak tertentu kepada MACP.
"Seharusnya kita bagi sokongan penuh kepada MACP. Kalau ada badan lain yang mahu mengendalikan royalti pengkarya, adakah mereka tahu tentang perjalanan kerja dan sejarah kutipan royalti, adakah hak yang patut saya dapat masih sama? Adakah royalti akan diagihkan secara telus seperti yang dilakukan sebelum ini" soalnya dengan serius.
Errie kini bersendirian membesarkan Krsty Nur, 16; Jaevn Nur, 13 ; dan Yasha Nur 11.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: