Monday, October 22, 2012

Jangan sampai jadi hamba

SUDAH lama saya ingin meluahkan isi hati, tetapi belum ada kekuatan sehinggalah saya hilang kerja akibat tindakan syarikat memberhentikan pekerja secara beramai-ramai tahun lalu,'' ujar Farahida membuka bicara dalam e-melnya.
''Saya sudah berkahwin lebih 30 tahun. Lama berkahwin bukan bermakna saya bahagia, rukun damai, sebaliknya saya banyak makan hati dengan kerenah suami, Zaid yang lebih pentingkan adik-beradik dan kawan daripada anak isteri sendiri.
''Suami saya pesara kerajaan, tetapi sejak mula kahwin, dia terlalu berkira dengan anak isteri. Demi menjaga keharmonian rumah tangga dan maruah suami, saya bersabar dan tutup mulut merahsiakan kelakuan Zaid yang sebenar daripada pengetahuan keluarga. Dipendekkan cerita, saya terpaksa mengeluarkan duit gaji sendiri untuk tanggung keluarga. Cukup atau tidak, pandai-pandai sayalah menguruskannya.
''Dengan wang pampasan yang diberi syarikat, saya terus mendaftar dengan Tabung Haji.
''Saya minta izin suami menunaikan haji, dia benarkan tapi jangan minta duit, satu sen pun dia tak beri, sebab dia tahu saya ada duit. Saya ajak suami pergi bersama tapi banyak sangat alasannya. Dengan baki simpanan, saya besarkan rumah untuk keselesaan anak cucu.
''Setelah selesai kerja baik pulih rumah, sedihnya bukan suami suka tetapi dia beritahu adik-beradiknya saya kedekut tak belanja dia pun. Sakitnya hati. Saya baiki rumah untuk keselesaan dia juga bukan untuk saya seorang. Rupanya dia mahu saya serahkan duit saya pada dia.
''Apabila PM umum imbuhan untuk pesara kerajaan dalam Bajet 2013 baru-baru ini, saya yang sakit hati. Sebabnya, suami tak akan bagi sedikit pun kerana kata dia itu haknya. Itu hasil susah payah dia bekerja dalam kerajaan dulu.
''Dia memang ego, angkuh dan bodoh sombong! Sepatutnya rezeki yang dia dapat itu untuk anak isteri juga. Selama 30 tahun jadi isterinya, dia tak pernah beri nafkah zahir dari segi wang kepada saya.
''Mujur dia beli rumah dengan pinjaman kerajaan semasa masih berkhidmat dulu, itupun selepas puas saya pujuk. Kalau ikut dia, dia nak balik kampung saja.
''Dia tak pernah fikir untuk bayar bil, beli pakaian untuk anak isteri, belanja sekolah anak-anak dan keperluan dapur. Dari mula kahwin sampai sudah bercucu, saya tak tahu berapa gaji dan pencennya. Dia sangat berahsia dan sentiasa mengelak bila saya tanya.
''Tapi kalau dia tahu saya dapat bonus atau kenaikan gaji, awal-awal lagi suruh saya belanja makan. Dia tak dengar nasihat ustaz bahawa duit isteri 100% milik isteri dan suami tak berhak minta dan guna tanpa izin dan keredaan isteri. Tapi macam mana nak dapat ilmu kalau dia tak pernah tengok program agama. Dia cuma tonton program hiburan macam anak-anak muda.
''Puas saya pujuk supaya dia solat dan ganti puasa yang ditinggalkan dengan sengaja dulu, tapi tidak diendahkan. Saya kejutkan dia untuk solat subuh setiap pagi macam anak kecil, tapi dia terus tidur. Padahal Allah bagi dia sihat tubuh badan untuk bangun.
''Saya hanya berdoa setiap hari supaya Allah SWT bukakan pintu hatinya diambil nyawanya.
''Saya sering ingatkan dia bahawa Allah akan tanya dia tentang rezeki yang dapat dan untuk apa dia belanjakan. Tapi jawabnya; ''Saya jaga kubur saya dan awak jaga kubur awak! Awak dah banyak sangat menonton program agama di TV dan pergi ke majlis ilmu, sekarang awak bawa balik ilmu sesat nak mengajar saya?'' Itulah jawapan dia setiap kali saya cuba nasihatkannya.
''Perangai buruknya kalau kawan nak pinjam cepat dia keluar pergi jumpa kawan bagi pinjam. Tapi bila nak minta balik dia malu. Tetapi kalau saya minta RM10 untuk beli keperluan saya, segera dia minta bayar balik.
''Dia pernah berkali-kali ditipu orang pasal pinjam duit. Barang peribadinya pun pernah dicuri. Motor dan keretanya juga selalu saja rosak, dah beribu duitnya habis untuk baiki. Saya pernah tanya dengan beberapa ustaz tentang masalah ini, adakah kerana wang suami tak berkat maka Allah tarik balik sedikit demi sedikit.
''Semua ustaz mengatakan itulah tanda dan kesan daripada sikap suami yang tidak menunaikan tanggungjawab terhadap Allah dan tidak memberi nafkah kepada isteri. Itu baru balasan di dunia belum lagi di akhirat.
''Tapi egonya mengatasi segala-segalanya, dia tak percaya cakap ustaz. Sepatutnya dia bersyukur Allah panjangkan umurnya sampai sekarang tapi dia tak gunakan untuk bertaubat. Surau yang dekat dengan rumah pun dia tak pernah pergi. Katanya bukan haram dia solat di rumah, asalkan solat sudahlah.
''Saya yakin apa saja yang terjadi ini adalah balasan terhadap sikap suami yang tidak menitikberatkan hukum Allah, pernah curang, menipu saya, suka ambil hak syarikat bawa balik ke rumah dan banyak lagi dosa yang dia lakukan.
''Sudah puas saya nasihatkan dia supaya berubah tapi dia tak suka. Umurnya dah 60 tahun tapi masih tak berubah. Kini saya hanya berserah pada Allah. Hanya Dialah yang berhak menentukan siapa akan diberikan taufiq dan hidayah, saya hanya mampu berdoa dan takawal.
''Masalahnya sekarang saya benar-benar buntu, wang simpanan semakin berkurangan sedangkan saya perlu bayar segala bil dan keperluan lain. Lebih penting makan minum kami anak-beranak. Malangnya Zaid awal-awal lagi kata dia tidak tak ada duit walaupun terima pencen.
''Saya dah berhenti kerja mana ada sumber pendapatan. Simpanan sebanyak mana pun, kalau dikorek setiap hari akan habis juga. Saya betul-betul rungsing.
''Inilah masalahnya jika dari mula kahwin lagi suami sering dibantu, sampai bila-bila pun dia tak akan tahu berdikari. Akhirnya yang bermasalah isteri juga.
"Nasihat saya kepada isteri-isteri di luar sana, kalau nak bantu suami pun biarlah berpada-pada, jangan sampai jadi hamba.'' ujar Farahida menutup ceritanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: