Monday, October 22, 2012

Indahnya bercinta selepas berkahwin

Mohd. A. Aruwan Ab. Aziz (berdiri, tiga dari kiri) dan Suriana Mohd. Zainal Abidin (dua dari kiri) bergambar bersama keluarga Suraini pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
PERTAMA kali bersua pandang ketika si jejaka bersama rakan-rakan berkunjung berhari raya di rumah si gadis. Tatkala itu hati bagaikan sudah terpikat dan enggan melupakan hasrat murni untuk mengenali dengan lebih rapat.
Pemilik nama Mohd. A. Aruwan Ab. Aziz, 36, ketika itu cukup terpaku apabila kali pertama terpandang wajah Suriana Mohd. Zainal Abidin, 35, yang kini menjadi suri hidupnya.
Beliau yang kini merupakan Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang ketika diminta mengimbau kembali detik-detik perkenalan mereka menyifatkan segalanya berlaku secara semula jadi.
"Kami tidak bercinta tetapi hanya bercinta selepas berkahwin.
"Kali pertama bersua pada penghujung 2001, saya bersama rakan berkunjung ke rumah isteri di Kampung Alor Pasir, Pasir Putih, Kelantan untuk berhari raya Aidilfitri.
"Sememangnya saya tidak mengenalinya kerana dia rakan kepada rakan saya, tetapi pandangan pertama membuatkan saya terpikat dan ingin terus mengenalinya," katanya kepada S2 di Kuantan baru-baru ini.
Bagi Mohd. Aruwan, beliau menyuarakan hasrat hati kepada rakan-rakan dan mereka juga menjadi penggerak kepada usahanya sehingga anak kelahiran Wakaf Che Yeh, Kelantan itu berjaya menyampaikan hasrat hati.
"Saya cukup bertuah kerana bakal bapa mertua merestui hajat saya.
"Kami tidak mengambil masa yang lama untuk mengenali dan terus memutuskan untuk mendirikan rumah tangga pada 15 Mei 2003," jelasnya yang kini mempunyai seorang putera, Muhammad Elham Faiz, 8.
Bagi Mohd. Aruwan, tiada yang terindah dalam hidupnya apabila dapat hidup bersama insan yang dicintainya dan sanggup bersama di kala susah dan senang.
"Bagi saya, isteri adalah wanita Melayu terakhir dan dia cukup sempurna di mata saya.
"Sikap keibuan yang saya lihat padanya sewaktu kali pertama bersua cukup membuatkan saya teruja dan terserlah sebaik sahaja kami berkahwin," jelasnya.
Sementara itu, bagi Suriana yang merupakan seorang jururawat di Klinik Kesihatan Beserah, Kuantan menyifatkan suaminya sebagai seorang yang romantik dan gemar melakukan kejutan.
"Sikapnya yang pandai mengambil hati, baik dan pemurah cukup membuatkan saya tertarik dan menyenanginya.
"Tetapi satu perkara yang membuatkan saya terharu adalah dia suka membuat kejutan. Pernah dahulu semasa saya bertugas di Johor dan dia pula bertugas di Putrajaya, tiba-tiba dia datang ke Johor dengan membawa hadiah.
"Saya cukup terharu dan bertuah menjadi isterinya," jelas wanita cantik manis ini dengan wajah kemerah-merahan menahan malu.
Ketika ditanya apakah harapan perkahwinannya, sama seperti pasangan lain, Mohd. Aruwan berkata beliau mengharapkan mahligai yang dibina terus dirahmati dan kekal bahagia di dunia serta akhirat.
"Saya harap kami bersama selama-lamanya, bak kata orang sehidup dan semati," jelasnya.
Suriana pula mengharapkan kesejahteraan bahtera rumah tangga mereka terus berkekalan dengan dianugerahkan kesihatan yang baik dan sentiasa dimurahkan rezeki.
Dalam pada itu, Mohd. Aruwan turut berkongsi rahsia kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga iaitu setiap pasangan perlu saling faham memahami dan meletakkan agama sebagai keutamaan untuk dijadikan panduan dalam kehidupan.
"Senario pekerjaan pada masa kini memerlukan setiap pasangan memahami dengan jelas peranan masing-masing.
"Bagi saya, apa jua peranan kita, keluarga adalah keutamaan dan setiap pasangan mempunyai cara tersendiri bagi menjalankan tanggungjawab terutama terhadap anak dan isteri," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: