Monday, October 22, 2012

Hayati ciptaan Allah

Peserta berdoa sebelum dilepaskan pada Explorace: Kembara Menghayati Ciptaan Allah bertempat di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dengan kerjasama Perkim Cawangan Bukit Damansara, Kelab-kelab Perkim dan Sahabat Perkim baru-baru ini menganjurkan Explorace: Kembara Menghayati Ciptaan Allah bertempat di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Penyelaras Program, Muhammad Farhan Tee Abdullah berkata, program itu diadakan untuk melahirkan rasa kesyukuran dalam setiap diri peserta terhadap ciptaan Allah SWT, di samping mengeratkan ukhuwah sesama mereka.
"Selain itu, program itu mencorakkan konsep 'Islam Itu Persaudaraan' dengan melibatkan peserta daripada pelbagai kaum dan negara. Pertandingan itu berkonsepkan penjelajahan atau lebih dikenali sebagai explorace, di mana setiap peserta kumpulan perlu menjawab soalan berkaitan agama dan melengkapkannya di keseluruhan hentian.
"Seramai 90 peserta menyertai program itu terdiri daripada Saudara Muslim tempatan dan luar negara serta masyarakat setempat," ulas Farhan.
Hentian
Beliau yang juga Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim berkata, setiap kumpulan diwakili seramai lima orang ahli yang perlu melalui sepuluh hentian, di mana setiap hentian dibekalkan soalan fardu ain, fiqh, tauhid, sirah, akhlak dan sebagainya.
Peserta juga dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori Saudara Muslim dan kategori umum.
Katanya lagi, peserta memerlukan kekuatan tenaga fizikal dan kecerdasan mental untuk menjelajah ke semua hentian yang jaraknya empat kilometer.
Pengarah Dakwah Perkim Kebangsaan, Abdul Hanif Harun sempat memberikan ucapan selepas sesi bergambar sebagai tanda penghargaan kepada peserta yang terlibat.
Selain itu, beliau turut melahirkan rasa bersyukur melalui kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak bagi menjayakan program itu dan ia diadakan untuk manfaat semua pihak semata-mata mencari keredaan Allah SWT.
Peserta menjawab soalan sambil menikmati keindahan alam semula jadi di sekitar Bukit Damansara yang menghijau dan permai. Ada di antara mereka berkesempatan mengambil gambar di kawasan yang cantik dan menarik serta keunikan kediaman yang tersergam indah.
Peserta Explorace: Kembara Menghayati Ciptaan Allah merakamkan gambar kenangan pada akhir program.
Santapan rohani
Peserta kemudiannya diberi santapan rohani disampaikan oleh peserta akhir Imam Muda, Ustaz Khairul Azhar Ghazali setelah mereka menyelesaikan tugasan di semua hentian.
Khairul Azhar dalam ceramahnya berasa gembira kerana diberi peluang menyertai bersama Saudara Muslim, mahasiswa dan masyarakat setempat dalam penjelajahan kembara tersebut.
Ujarnya, peserta haruslah tingkatkan ilmu tauhid dan jihad serta memperkasakan dengan melaksanakan sebagaimana disyariatkan, agar Islam tidak dihina dan ditindas oleh musuh-musuh Islam menerusi karikatur, gambar, blog serta filem.
"Kebenaran al-Quran membuktikan bahawa terdapat 11 planet di sistem solar angkasa lepas tetapi musuh-musuh Islam masih menyangkal dan tidak mempercayainya sehingga penemuan planet ke-10 pada 2001.
"Abu Hurairah r.a mengkhabarkan kepada Miqdad bahawa Rasulullah SAW memberitahu, sesiapa yang berfikir satu saat maka itu lebih baik daripada beribadat setahun. Ibnu Abbas pula mengkhabarkan kepada Miqdad bahawa Rasulullah SAW memberitahu sesiapa yang berfikir satu saat maka ia terlebih baik daripada beribadat 70 tahun.
"Perkhabaran dua sahabat tersebut mengelirukan Miqdad lantas beliau menemui Rasulullah SAW dan meminta Abu Hurairah dan Ibnu Abbas memberi penjelasan. Abu Hurairah memikirkan tentang kejadian tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, manakala Ibnu Abbas memikirkan tentang kematian," sambung Khairul Azhar.
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian hadiah berbentuk hamper dan pingat kepada para pemenang oleh Pengerusi Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara, Tan Sri Dr. Zainol Arif.
Konsep muka
Juara kategori Saudara Muslim dimenangi oleh Nor Azlin Abdullah daripada kumpulan Mutiara manakala juara kategori umum diraih oleh Jamil Omar daripada kumpulan al-Hijrah.
Dr. Zainol dalam ucapan perasmiannya menyeru peserta menuntut ilmu pengetahuan serta meningkatkan iman dan amal.
Beliau mengajak peserta memotivasikan diri dengan menggunakan tiga konsep muka iaitu muka penutur, muka jam dan muka pintu manakala konsep PIE iaitu merancang, melaksana dan muhasabah serta bersyukur dengan deria anugerah ciptaan-Nya iaitu deria dengar, lihat, hidu, sentuh dan rasa.
Peserta dijamu makan tengahari dan menunaikan solat Zuhur berjemaah selepas tamatnya program.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: