Monday, October 22, 2012

Hani miliki

Hani Elia Rousli
IDAK dinafikan ramai yang cemburu dengan apa yang dimiliki wanita ini, pakejnya lengkap - cantik, muda dan berjaya.
Tapi apa yang dicapai oleh Hani Elia Rousli, 27, bukanlah satu kebetulan atau bersandarkan untung nasib saja. Sebaliknya, itu semua adalah hasil daripada usaha, kesabaran serta semangat yang tidak pernah luntur dalam diri untuk menjadi pengusaha butik berjaya.
Selesa disapa Hani, wanita yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah, ini tidak pernah menyangka butik tudung yang diberi nama Al-Humaira Contemporary (AHC) berjaya hingga ke tahap sekarang.
Label AHC meniti di mulut para muslimah pencinta hijab yang cantik, ringkas namun bergaya.
Hani tidak pernah berbangga malah jauh sekali berasa selesa dengan apa yang dimilikinya.
Jujur dia mengakui dirinya yang dulu (sebelum bergelar usahawan tudung) dan yang kini adalah sama saja.
"Kawan-
kawan saya saja yang tahu saya tidak pernah berubah. Inilah Hani yang dulu dan sekarang sama saja," katanya dengan nada ceria ketika hadir bersama pembantu peribadinya, Natrah di studio Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sebelum menceburi bidang perniagaan tudung, pemegang Diploma dalam Reka Grafik dan Media Digital dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini pernah berkhidmat sebagai wakil khidmat pelanggan di sebuah syarikat telekomunikasi terkenal.
Minat yang mendalam bidang fesyen mendorong Hani untuk tampil menghasilkan tudung pelbagai gaya kerana pada tahun 2008 kepelbagaian gaya bertudung di pasaran agak terhad.
"Saya bermula dengan modal sebanyak RM700 sahaja. Tudung pertama yang dihasilkan pada masa itu ialah selendang yang mempunyai perincian manik dan renda.
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana pelanggan yang terawal ketika jenama saya mula diperkenalkan masih menjadi pelanggan setia hingga ke hari ini. Sudah tentu penyokong saya terdiri daripada suami, keluarga dan kawan-kawan," katanya yang gemar membaca majalah fesyen dan melancong.
Bercerita tentang dirinya, Hani mengakui amat mengagumi rekaan-rekaan tudung butik Sri Munawwarah.
"Semasa berkhidmat di sebuah syarikat telekomunikasi di Taman Tun Dr. Ismail dulu, pada waktu makan tengah hari saya banyak habiskan masa di butik tersebut.
"Selepas menimba ilmu dengan melihat sendiri operasi serta bertanya tentang selok belok perniagaan bersama pemiliknya, saya akhirnya nekad bermula secara dalam talian di rumah.
"Saya jadikan rumah sebagai tempat urusniaga sebelum membuka pejabat operasi dan juga butik pada tahun 2011 di Kota Damansara," kata Hani yang turut menjadikan Amancio Ortega pengasas fesyen Zara sebagai idolanya.
Hani Elia Rousli bakal tampil dengan koleksi pakaian di bawah label HER.
AHC terus unggul dalam dunia hijab
Berbicara soal bisnes, isteri kepada Humaidi Fadzil ini terus berubah nada menjadi serius.
Baginya dalam perniagaan mesti bersungguh-sungguh dan tidak boleh mengambil kesempatan biarpun milik sendiri.
Atas sebab itulah juga penghasilan tudung AHC menggunakan material berkualiti dan mempertaruhkan rekaan yang menepati cita rasa pelbagai peringkat pelanggan.
Selain itu, Hani percaya perkhidmatan pelanggan yang cekap dan mesra menjadi faktor jenama AHC bertapak di hati pelanggan.
Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang fesyen, sebagai penggemar dan sentiasa mengambil tahu tentang perkembangan dunia fesyen, Hani seakan tahu apa yang dimahukan pelanggan AHC.
"Inspirasi tudung diilhamkan oleh minat sendiri dan juga kombinasi rekaan yang saya minati.
"Tudung-tudung AHC berinspirasikan konsep yang ringkas tetapi bergaya, eksklusif dan tidak sarat. Kain diambil dari dalam dan luar negara. Alhamdulillah kami mempunyai kumpulan pengeluaran (production team) yang pakar dan berpengalaman dalam penghasilan tudung dan juga busana muslimah," ujarnya.
Mungkin ramai yang pernah terbaca kontroversi tentang AHC dengan seorang artis yang kini berubah haluan menjadi penceramah politik.
Enggan mengulas lanjut Hani dan kumpulannya memilih untuk tidak menyentuh lagi hal itu untuk menjaga nama baik semua pihak.
"Yang pasti apa yang telah terjadi ada hikmah untuk kedua-dua belah pihak," ujarnya tegas.
Bakal perkenal HER
Baginya, pencapaian peribadi yang paling besar ialah memiliki jenama sendiri yang makin diterima ramai dan berjaya membuka butik yang menjual jenama sendiri.
" Saya sentiasa berusaha dengan lebih keras untuk membawa jenama saya ini ke peringkat yang lebih tinggi dengan memperkenalkan pakaian jenama HER (Hani Elia Rousli) selepas beberapa tahun menghasilkan tudung dengan jenama Al-Humaira Contemporary .
"Harapan saya ialah untuk mengukuhkan lagi jenama Al-Humaira Contemporary ke peringkat antarabangsa bermula dengan menembusi pasaran Singapura dan Brunei dalam masa terdekat dengan melantik pengedar-pengedar di sana," jelas peminat buku tulisan Sophie Kinsella ini lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: