Pada mereka yang tidak pernah mendengar atau belum pernah menikmati guacamole anda akan ketahui makanan ini dalam tulisan saya kali ini kerana saya akan berkongsi dengan anda apa sebenarnya guacamole.
Makanan ini merupakan sejenis pencicah yang diperbuat daripada buah avokado dan berasal dari Mexico tetapi telah popular di negara luar.
Selain sebagai pencicah, guacamole dimakan sebagai sapuan atau asas sos dalam makanan-makanan yang bersesuaian. Guacamole juga ada digunakan sebagai makanan sampingan dan dijadikan bahan dalam campuran salad.
Tip paling penting untuk membuat guacamole adalah kita perlu menggunakan buah avokado yang elok dan telah masak.
Cara untuk mengetahui buah avocado itu telah masak ataupun tidak sungguh mudah. Anda hanya perlu menekan dengan lembut buah avokado, jika berasa lembik maka buah tersebut sesuai untuk dibuat guacamole.
Buah avokado yang telah masak akan memberikan rasa lemak dan rasa ini akan memberikan keenakan guacamole yang dihasilkan nanti. Buah avokado yang masih belum masak akan berasa keras apabila ditekan. Tidak mengapa peram sahaja buah yang tidak masak selama 2-3 hari saya pasti buah akan masak juga nanti.
Bahan yang paling utama dalam membuat guacamole adalah avokado dan garam. Buah yang masak perlu dikupas dan dibuang bijinya. Kemudian ia akan dihancurkan atau dilenyek menggunakan lesung atau garpu. Avokado tidak perlu dilenyek terlalu halus.
Biarkan ia sedikit kasar. Kemudian setelah dilenyekkan dicampurkan bersama bahan lain seperti tomato, daun ketumbar, lada benggala, krim atau yogurt.
Bahan-bahan seperti tomato, daun ketumbar dan lada benggala perlu dicincang kecil dan barulah digaulkan bersama avokado dan bahan lain.
Inilah resipi asli guacamole. Bagaimanapun terdapat pelbagai resipi menyediakan makanan ini.
Tapi jika anda mahu menyediakan guacamole yang lebih mudah dan lebih cepat anda hanya perlu campurkan sahaja avokado bersama sedikit garam.
Orang kata jangan jadikan kekurangan bahan-bahan di dapur sebagai alasan untuk anda tidak membuat guacamole.
Dengan hanya mencampurkan avokado yang dilenyek bersama garam sahaja sudah memadai. Ia tetap menyelerakan. Terdapat beberapa jenis guacamole yang terdapat di luar Mexico seperti guasacaca yang berasal dari Venezuala.
Rasa guasacaca agak nipis dan lebih masam. Resipinya menggunakan cuka dan bukannya limau nipis atau lemon. Ia disajikan bersama makanan yang digril. Kebiasaannya
Guasacaca diperbuat dengan mencampurkan lada benggala merah dan tidak mencampurkan tomato jalapeno dan dimakan sebagai sos merah.
Mantequilla de pobre pula adalah guacamole yang diperbuat daripada campuran avokado, tomato dan minyak dan jus sitrus.
Untuk menambahkan kelazatan guacamole anda juga boleh menambahkan bahan-bahan lain seperti bacon cincang dan keju di dalamnya. Saya jamin rasanya sungguh sedap.
Sebelum saya mengakhiri artikel adalah perlu untuk kita mengetahui maklumat kesihatan buah avokado.
Buah ini banyak khasiat antaranya membekalkan 18 jenis amino asid yang diperlukan oleh badan untuk membentuk protein lengkap. Mengandungi lemak yang dikenali sebagai HDL iaitu kolesterol baik yang boleh menghalang serangan radikal bebas, mengandungi fitonutrient seperti neoxanthin, carotinoid dan neochrome yang baik untuk sistem imunisasi badan dan juga kaya dengan omega 3, vitamin C dan E.
Disebabkan khasiatnya maka pada minggu ini saya telah berkongsi resipi udang goreng salut serbuk roti cicah avokado.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: