Sunday, October 21, 2012

Gimnasium dalam air


PESERTA tidak perlu risau tentang kemungkinan akan lemas kerana keselamatan di dalam kolam menjadi keutamaan Water Aerobic Gym.


JURULATIH gimnasium, David Gan, pasti bersungguh-sungguh apabila menggunakan alat senaman seperti basikal air, treadmill, moonwalker dan pendayung kayak.
Segalanya kelihatan normal sehinggalah David memberitahu, kesemua senaman itu dilakukannya di dalam air!
Water Aerobic Gym - tempat kerja David yang terletak di Petaling Jaya, Selangor mungkin satu-satunya di Benua Asia yang memperkenalkan gimnasium konsep berkenaan.
Banyak kelebihan bersenam dalam air, kata David. Senaman itu bagus untuk kardiovaskular malah risiko mengalami kecederaan lebih rendah, beritahu beliau.
Bersenam di dalam kolam tidak akan membuatkan anda lemas kerana kedalaman kolam sekitar 1.8 hingga 2.7 meter sahaja.
“Walaupun baru beroperasi pada April tahun ini, sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Konsep sebegini telah popular di Eropah dan Amerika tetapi masih baharu dalam kalangan masyarakat Asia.
“Malah, ramai yang menelefon untuk bertanyakan kemungkinan mereka lemas atau cedera jika menyertai aktiviti di gimnasium ini,” cerita David.
Sebenarnya, seseorang tidak perlu risau tentang kesakitan otot kerana itu perkara biasa bagi mereka yang baru memulakan latihan.
“Berjoging pun akan menyebabkan badan lenguh-lenguh. Biasanya tempoh rehat selama 48 jam sudah cukup sebelum beraksi semula pada sesi seterusnya.
“Sebagai alternatif kepada sesi yang kerap dalam seminggu, jadual boleh diatur untuk memastikan objektif yang diingini tercapai,” terang beliau yang sering memberitahu pelanggan supaya tidak menjamah makanan dalam tempoh 15 minit sebelum memulakan latihan.
Sukan ini popular sejak awal tahun 80-an lagi apabila seorang perenang Australia yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik, Murray Rose menggalakkan orang ramai bersenam di kolam peribadi milik mereka.
Kesejukan

KONSEP gimnasium air sudah lama terkenal di Eropah tetapi agak baharu di Asia.


Senaman di gimnasium air tidak menyebabkan seseorang menggigil kesejukan.
“Suhu di sini hanya sekitar 29 hingga 30 darjah Celcius. Kolam pula akan dicuci setiap minggu bagi memastikan kualiti dan kebersihannya,” katanya.
Senaman itu tidak mengambil masa yang lama iaitu kira-kira 30 minit sahaja.
David turut menceritakan pengalamannya melatih seorang gadis berusia 20 tahun yang menghadapi masalah obesiti melampau.
Wanita itu, Lai, telah melakukan pelbagai cara untuk menguruskan badan seperti berjoging, bersenam di gimnasium serta mengambil pil menguruskan badan tetapi semuanya gagal.
“Dia datang kepada saya dengan wajah kepenatan selain sukar berjalan.
“Tetapi dalam tempoh tiga bulan, Lai berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 13 kilogram (kg) iaitu daripada 93kg kepada 80kg.
“Dia yang suatu ketika pernah berlatih selama tiga jam bagi satu sesi, kini boleh berjalan dengan baik selain pandai berenang,” ujarnya.
Bercerita mengenai kelebihan lain gimnasium dalam air, David berkata, ia tidak terdedah kepada pencemaran udara manakala ruangnya agak privasi.
“Pelanggan juga boleh berkenalan antara satu sama lain,” katanya.
Tambah beliau, kebanyakan peserta terdiri daripada individu berumur 40-an.
“Mungkin mereka memilih sukan ini bagi mengurangkan risiko kecederaan terutamanya mereka yang menghidap penyakit diabetes. Lagipun, mereka lebih mementingkan ketenangan.
“Remaja dan belia bawah 40 tahun boleh jadi gemarkan aktiviti luar yang lebih lasak dan mencabar,” ujarnya.
Diberi peluang mencuba beberapa jenis senaman di Water Aerobic Gym, ketenangan cukup dirasakan kerana senaman ini sifar kecederaan. Anggota badan juga berasa segar dan kurang lenguh berbanding senaman biasa.
Kata David, orang ramai juga sebenarnya boleh bersenam di sungai atau laut.
“Oleh kerana itu, mereka yang tinggal berdekatan kawasan tersebut lebih sihat.Malangnya banyak sungai yang sudah tercemar menyebabkan aktiviti mandi sungai kian berkurangan.
“Mandi sungai adalah percuma berbanding perkhidmatan kami yang dikenakan caj tertentu,” tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: