Sunday, October 21, 2012

Enggan terlalu terbuka

Diana Danielle Danny Beeson
Diana Danielle Danny Beeson
JARAK usia, darjat mahupun gaya hidup bukan lagi halangan andai ia ditetapkan yang Maha Esa. Tiba masanya, dua jiwa pasti bersatu kerana fitrah hidup jodoh setiap insan itu sudah terpetri di Lohmahfuz.
Hakikat itu turut dilalui aktres jelita, Diana Danielle Danny Beeson yang bakal bernikah dengan jejaka pilihan yang juga aktor dan pengarah popular, Farid Kamil pada 3 November ini.
  
  • Foto
  • Foto
  • Foto
Majlis akad nikah yang dirancang berlangsung di Hotel Flamingo, Ampang itu bakal dimeriahkan dengan kehadiran 300 jemputan daripada keluarga, sanak saudara, teman rapat dan wakil media.

Ketika menjayakan sesi fotografi bersama SELEBRITI beberapa minggu lalu, Diana yang lebih mesra disapa Dee bijak menyembunyikan tarikh perkahwinan yang ditetapkan sebelum memeterai ikatan pertunangan.

Barangkali merasakan lebih manis andai perkara itu terbit daripada mulut pihak lelaki, dia mengambil pendekatan merahsiakannya.

Bagaimanapun, segala teka-teki terjawab apabila Farid mengeluarkan kenyataan dengan memilih 3 November sebagai tarikh majlis akad nikah mereka ketika sidang akhbar prebiu filem terbaru arahan serta lakonannya, Pe3, baru-baru ini.

Akui Dee, tiada debaran dirasai, sebaliknya bahagia apabila impian mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

“Jujur, perasaan di kala ini sangat tenang apabila bakal menempuh fasa baru dalam hidup. Mungkin kerana saya uruskan sendiri dan dapat lihat satu persatu proses persiapan.

“Lagipun, ini satu daripada impian saya iaitu ada keluarga besar dan suami yang baik. Saya berdoa moga kebahagiaan jadi milik saya dan Farid,” kata gadis kacukan yang bakal genap berusia 21 tahun pada 22 November ini.

Akui aktres ini yang mula dikenali menerusi filem Idola, empat tahun menyulam bunga-bunga cinta bukan tempoh mudah. Pelbagai onak dan duri terpaksa diharungi, namun berkat kesabaran dan doa yang tidak pernah putus, ikatan terjalin akhirnya akan dilestarikan dengan ikatan suci.

Ditanya adakah dia benar-benar bersedia memikul tanggungjawab sebagai suri hidup Farid dalam usia muda, sambil tersenyum manis Dee mengiyakan. Tiada apa yang perlu diragukan kerana dia yakin jejaka itu mampu membahagiakannya.

Saat diajukan soalan mengapa mengambil pendekatan tidak terlalu terbuka dalam membicarakan soal hubungannya dengan Farid, Dee menegaskan, itu prinsipnya.
Dari dulu dia memilih untuk tidak akur dengan pandangan klise bahawa selebriti adalah milik masyarakat.

“Bagi saya, itu adalah budaya ciptaan Hollywood, di mana kalau bergelar selebriti, tidak kira sama ada pelakon atau penyanyi, kita hak milik semua orang dan mereka perlu tahu semua cerita kita. Bagi saya, ia budaya yang tidak sihat.

“Itu bukan cara saya. Kebanyakan artis bercakap soal peribadi kerana mereka rasa perlu bercakap dan ada juga yang berpegang dengan pendirian bila orang tanya jadi kena jawab. Apa sudah jadi dengan sempadan dan hak ‘privacy’.

“Di Hollywood, paparazzi ikut artis setiap masa dan tidak mustahil budaya itu akan sampai ke sini. Kita kena didik masyarakat bahawa ‘selebriti’ itu kerja dan tak perlu kita berkongsi semua perkara. Kenapa kita kena tiru budaya luar?

“Saya paling tidak suka apabila orang guna alasan tidak munasabah untuk ambil tahu kehidupan orang lain, malah lebih teruk lagi bila ia digunakan untuk menjatuhkan orang lain. Contoh, bila artis berkahwin, ada suara sumbang bercakap, tiga tahun lagi bercerailah.

“Makin banyak artis buka ruang, makin banyak soalan akan ditanya dan makin banyak cerita tidak masuk akal akan diperkatakan. Jadi saya memilih untuk kekal dengan cara saya,” katanya memohon pengertian.

Diana yang bakal muncul dalam empat filem iaitu Sembunyi, Hanyut, Spilt Grave Your Eyes dan Kami Histeria berkata, meskipun bergelar isteri, kerjaya sebagai pelakon akan diteruskan seperti biasa.

Bagaimanapun, dia ada perancangan untuk menceburi bidang baru yang membolehkannya bekerja dari rumah dan lebih fokus terhadap keluarga, manakala lakonan hanya karier sambilan.

“Ketika berusia 14 tahun, saya mahu jadi pelakon filem dan impian itu dapat saya capai. Kini saya dambakan sesuatu yang lebih stabil atau bekerja dari rumah.

“Dengan cara itu saya dapat fokus pada anak. Sebagai wanita, saya kena fikir perkara ini. Saya akan berkahwin dan ia ada dalam perancangan hidup saya.

“Lagipun, saya sudah puas hidup dalam dunia glamor. Saya pernah popular dan pernah lalui zaman kejatuhan. Ia berputar bagaikan sebuah roda dan saya mula rasa bosan.

“Kalau perhatikan betul-betul, bukan semua filem lakonan saya untuk arus perdana, ada juga filem bebas. Saya tak kisah popular atau tidak kerana selesa hidup ‘low profile’. Jika terkenal sangat pun susah.

“Saya mahu jadi orang biasa dan tidak pernah meletakkan diri sebagai selebriti.
Lakonan itu kerjaya. Saya tak mampu berlakon setiap bulan dan kerana itu mahu mencuba sesuatu yang baru.

“Masa akan datang, siapa tahu mungkin saya menceburi bidang perniagaan yang tidak pernah saya jangka. Buat masa ini saya masih mencari-cari dan apa yang pasti, ia mestilah menggembirakan hati saya,” kata yang menceburi dunia lakonan atas dasar cinta dan bukan kerana memburu populariti.

Jelas Dee lagi, sejajar dengan kematangannya, dia kini lebih selektif dalam meneliti tawaran yang datang, malah kecenderungannya kini lebih kepada karya sealiran Hanyut atau Azazil.

Dalam masa sama, hasrat melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi tidak pernah padam, malah akan melaksanakannya apabila tiada lagi kekangan kewangan dan masa.

SELEBRITI berkesempatan berbual dengan Farid mengenai majlis akad nikah yang bakal berlangsung. Kata anak jati negeri jelapang padi itu, dia dan bakal isteri sepakat memilih konsep perkahwinan dalam taman.

"Insya-Allah, kad undangan akan diedarkan dalam waktu terdekat.

“Harapnya kehadiran 300 tetamu daripada ahli keluarga, sanak saudara, rakan taulan dan teman media akan menyerikan lagi hari bahagia kami.

“Pada hari itu, Dee akan pakai baju rekaan Wan Pa. Setakat ini, itu saja yang dapat saya kongsi.

Selebihnya, baik soal jumlah hantaran dan sebagainya, biarlah terjawab pada hari pernikahan nanti” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: