Sunday, October 21, 2012

Disemadi selepas 67 tahun



PAGI itu, suasana tenang yang menyelubungi Tanah Perkuburan Tentera Komanwel Cheras, Kuala Lumpur dikocak emosi pilu sebaik sahaja tujuh anggota Skuadron Ratu yang mengusung keranda mengandungi 80 cebisan tulang mangsa nahas tentera udara 67 tahun lalu memasuki kawasan perkuburan.
Dengan beralaskan dua batang kayu, keranda yang dilitupi bendera Union Jack kemudian diletakkan di atas lubang kubur.
Sebaik sahaja paderi Tentera Udara Diraja Britain (RAF), Jonathan Beach memulakan bacaan doa yang sesekali diiringi tiupan bengol dengan lagu The Last Post oleh tentera Gurkha, Prakash Rai dari Brunei, kesayuan jelas terpancar di wajah Geoffrey Dovey, 83, adik kepada salah seorang mangsa nahas iaitu pemandu arah William Kenneth Dovey.
Tepat pukul 7.50 pagi, keranda diturunkan perlahan-lahan ke satu liang kubur yang mempunyai lapan batu nisan.
Selepas itu, tetamu kehormat terdiri daripada Pesuruhjaya Tinggi British, Simon Featherstone, Penasihat Pertahanan Britain, Kapten Kenneth Taylor, waris-waris dan wakil daripada kerajaan Malaysia dijemput untuk memberi penghormatan terakhir kepada mangsa nahas.
Ketika Geoffrey bersama adiknya, John, 74, berjalan beriringan bersama jambangan bunga segar di tangan, mudah untuk menebak kesayuan yang beraja di hati mereka.
“Sangat lega apabila jasad abang saya dapat disemadikan dengan sempurna hari ini,” ujar Geoffrey.
Walaupun hampir 70 tahun terpisah, dia masih mengingati perwatakan abangnya yang disifatkan sebagai pandai menikmati kehidupan dan meminati tumbuh-tumbuhan.
Tinggal sejarah
“Dia pernah bercita-cita menjadi veterinar,” ujar Geoffrey yang berusia 16 tahun ketika pesawat yang dinaiki abangnya hilang dalam nahas udara 23 Ogos 1945.
“Saya pernah mendengar pesawat tersebut ditemui sekitar tahun 60-an tetapi tiada langkah lanjut diambil sehinggalah ada internet pada tahun 2000.

KERANDA yang mengandungi 80 cebisan tulang lapan anggota tentera yang terkorban di Langkap, Negeri Sembilan disemadikan dalam satu lubang kubur di Tanah Perkuburan Tentera Komanwel, Cheras.


“Dengan bantuan anak saya, Andrew, saya sering berutus e-mel dengan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG) bagi mengikuti perkembangan penemuan pesawat tersebut.
“Usaha kami berbaloi. Selepas 67 tahun menanti, hari ini, William dapat disemadikan dengan tenang,” ujarnya yang terbang bersama John dari East Anglia, Britain ke Kuala Lumpur untuk menghadiri upacara pengebumian abang mereka.
Bagi Nick Bromfield pula, dia hadir untuk memberi penghormatan terakhir buat bapa saudaranya, pengebom udara John Trevor Bromfield.
“Saya lahir 13 tahun selepas nahas yang menimpa pak cik. Saya hanya pernah mendengar sekali cerita mengenainya daripada mendiang bapa,” ujar lelaki berusia 54 tahun ini.
Walaupun tidak pernah bertemu dengan bapa saudaranya itu, Bromfield akui, dalam upacara itu, dia dapat merasai kesedihan datuk, nenek serta ahli keluarganya yang lain.
“Bapa mempunyai empat orang adik-beradik lelaki. Tiga orang daripadanya merupakan anggota RAF manakala seorang lagi pegawai perubatan tentera. Bapa saudara yang terkorban itu ialah anak bongsu dalam keluarga.
“Dia berusia 20 tahun pada waktu itu dan baru sahaja menamatkan latihan ketenteraan,” terangnya yang berasal dari Surrey, England.
Kini, kesemua adik-beradik John Trevor telah meninggal dunia. Bapa Bromfield juga meninggal dunia akibat sakit tua lapan tahun lalu.
Gelang tangan
“Keluarga kami sudah lama menganggap nahas yang berlaku puluhan tahun lalu sebagai sejarah sehinggalah pada tahun 2008, bangkai pesawat Liberator yang membawa pak cik saya ditemui semula.
“Sebagai waris, saya bersyukur mendiang mendapat majlis persemadian yang sempurna namun sedikit terkilan kerana bapa pergi tanpa sempat menyaksikan upacara pengebumian ini,” ujarnya.

WARIS ini mengambil peluang merakamkan kenangan terakhir di pusara mangsa nahas sebelum pulang ke Britain.


Sementara itu, Featherstone, turut melahirkan penghargaan tinggi kepada pihak terlibat menjayakan misi penyelidikan dan ekskavasi bangkai pesawat B24 Liberator KL654 R yang terhempas di Gunung Telapa Buruk, Langkap, Kuala Pilah, sehingga menemukan 80 cebisan tulang milik lapan kru pesawat RAF yang terhempas pada 23 Ogos 1945.
Mengimbas semula nahas yang berlaku 67 lalu itu, pesawat B24 Liberator KL654 R terhempas setelah berlepas dari pangkalan udara British di Kepulauan Cocos, Australia bagi misi menghantar bekalan kepada gerila Force 136.
Pesawat tersebut berlepas bersama tiga pesawat lain menyeberangi Pulau Sumatera untuk ke Tanah Melayu tetapi tidak kembali ke pangkalan.
“Selepas gagal dikesan, RAF mengandaikan KL654 R terhempas dan bangkainya dijumpai pada tahun 1996,” ujar ketua penyelidik MHG, Shaharom Ahmad, 38.
Dia bersama beberapa rakan kemudian mengatur beberapa eskpedisi penyelidikan ke Hutan Langkap.
“Bangkai pesawat ditemui berhampiran dengan laluan balak. Sepanjang ekspedisi tersebut, kami temui ekor pesawat, dua enjin dan sayap. Selain itu, ada juga cebisan baju, serpihan tulang, dua bentuk cincin, rantai dan gelang tangan.
“Hanya pada ekspedisi kedua, barulah kami berjaya menjumpai nombor siri pesawat iaitu KL654.
“Pada tahun 2007, kami menjalankan ekspedisi bersama Ketua Penyelidik Ekspedisi Garis Waktu Muzium Tentera Darat, Kapten Zuraiman Abd. Ghani.
“Ketika itu, kami menjumpai plat nombor enjin bertulis KL654. Ini mengesahkan lagi bahawa ia datang dari bangkai pesawat yang sama. Kami juga menemui simbol Snake yang merujuk kepada nama kod pesawat,” jelasnya.
Untuk menyempurnakan misi ekskavasi tersebut, kumpulan ini berulang-alik selama 10 kali ke lokasi bangkai ditemui.

PADERI Jonathan Beach yang mengetuai upacara pengebumian diterbangkan khas dari Britain.


Ada masanya mereka berkampung di dalam hutan tebal itu selama berbelas hari demi memastikan proses ekskavasi yang dijalankan berjalan lancar.
“Semasa melakukan kerja-kerja ekskavasi, kami temui seutas gelang tangan yang tertulis nama Marjorie Hall.
“Setelah diselidik, ia adalah nama isteri salah seorang mangsa nahas. Dengan bantuan seorang rakan sukarelawan di United Kingdom, kami dapat mengesan wanita tersebut.
“Dia yang kini berumur 90-an masih mengingati suaminya yang terkorban dalam nahas pesawat di Malaya,” ujar Shaharom.
Penemuan bangkai KL654 ini adalah kejayaan kedua MHG selepas badan itu membantu Muzium TD membongkar misteri pesawat Dakota DC-3 yang terhempas di tengah hutan tebal di Gua Musang, Kelantan empat tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: