MUSTAPHA bersama isteri dan
anak-anaknya hadir pada Sambutan Minggu Kesedaran Penderma Organ dan
Program Bicara Hati di IJN baru-baru ini. Pada majlis itu, Mustapha
turut menerima sijil penghargaan ekoran keputusannya menderma organ
anaknya Allahyarham Muhammad Shafiq.
Mustapha mendermakan organ Muhammad Shafiq yang meninggal dunia pada usia 16 tahun selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal Disember tahun lalu.
Walaupun masih ada yang menganggap langkah menderma organ satu amalan sia-sia, pandangan itu tidak diterima Mustapha.
"Sebelum ini saya tidak terfikir pun untuk terlibat dalam aktiviti menderma organ tetapi hati kecil saya terpanggil untuk mendermakan organ anak saya itu.
"Saya banyak membaca penderitaan mereka yang menanti organ baru. Jadi, terdetik di hati saya untuk mendermakan organ anak saya kepada Pusat Transplan Negara," katanya yang ditemui ketika majlis Sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.
Tambahnya, dia sentiasa mengikuti kisah penderitaan pesakit di akhbar sampai timbul semangat untuk membantu orang lain.
Mustapha yang menetap di Kuala Lumpur bersyukur kerana isteri, Halimah Hassan dan anak-anak turut menyokong keputusannya itu.
"Pada mulanya mereka tidak bersetuju namun setelah saya memberi penerangan mengenai pentingnya menderma organ, mereka bersetuju. Mungkin ada yang beranggapan rancangan saya mendermakan organ arwah Shafiq sesuatu yang tidak masuk akal. Namun, saya jelaskan bahawa inilah cara saya melakukan amal jariah bagi pihak anak saya. Apa-apa pun yang berlaku di akhirat kelak kita tidak pasti lagi dan biarlah Tuhan sahaja yang menilai. Mereka akhirnya akur dan reda," jelasnya yang bekerja sebagai kerani.
Seiring dengan keputusannya itu, Mustapha turut bertekad mengajak rakan-rakan serta ahli keluarganya sendiri menderma organ .
"Kesedaran masyarakat masih kurang, jika bukan kita sendiri menjadi penggerak kepada amalan menderma organ, siapa lagi, " katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: