Curi air untuk ubah suai rumah
Seorang penguat kuasa Sains melakukan pemotongan paip yang disambung secara tidak sah.
LUKUT – Sebuah rumah banglo satu tingkat yang sedang diubah suai di Kampung Sri Parit diserbu penguat kuasa Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) kerana disyaki terlibat dengan kegiatan curi air.

Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, ketika serbuan pemilik rumah itu didapati melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip Unplasticized Polyvinyl Chloride (UPVC).

Menurutnya, penyambungan itu dibuat bagi mendapat bekalan air untuk proses pengubahsuaian banglo tersebut.

“Sains juga menjalankan ujian klorin ke atas sampel air di lokasi dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Azlan berkata, Sains menyita paip UPVC tersebut sebagai bahan bukti seterusnya mengeluarkan notis memaklumkan kesalahan yang dilakukan kepada pemilik.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 89 (9) yang memperuntukkan denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan tanpa mengira kes melibatkan pengguna komersial mahupun domestik.

“Tindakan tegas ini adalah salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil,” katanya.

Dalam pada itu, Azlan turut mengucapkan terima kasih di atas bantuan dan kesedaran masyarakat yang bersama-sama Sains dalam usaha mengurangkan kes curi air di negeri ini.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982 dan pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.

Operasi yang bermula pada jam 2 petang dan berakhir satu jam kemudian itu diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Mohadir Hid.