
DAPAT sambutan. Ramai peserta hadir untuk mencuba nasib dalam Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua baru-baru ini.
LEBIH 2,000 orang peserta hadir mencuba nasib untuk merealisasikan impian mereka bergelar seorang penghibur pada sesi uji bakat Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua terbitan TV3.
Pencarian yang berlangsung hampir sebulan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, Kuching, Sarawak serta Kota Kinabalu, Sabah itu telah melabuhkan tirainya minggu lalu apabila sesi uji bakat terakhir dijalankan di Sri Pentas TV3, Petaling Jaya.
Menariknya, semua gelagat para peserta yang mencuba nasib untuk menjadi sebahagian daripada anak seni generasi baharu akan mula disiarkan pada malam ini pada pukul 9.30 malam di TV3.
Seperti biasa, terdapat banyak ‘drama’ barisan peserta selain ketegasan dan sikap dua orang juri program realiti tersebut iaitu komposer, Azmeer dan penyanyi, Mas Idayu dapat disaksikan dalam saringan untuk mencari peserta yang benar-benar berkualiti.
Secara umumnya, Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua masih mengekalkan konsep lama iaitu pemilihan vokal diutamakan selain daripada rupa paras peserta.
Bagaimanapun, menurut Penerbit Eksekutif rancangan tersebut, Ahmad Shaifullizam Arshad, kali ini ia memberi sedikit kelainan apabila terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira paras rupa serta fizikal peserta berbanding musim yang lalu.
“Kalau musim lalu kita hanya tumpu kepada mereka yang tidak mempunyai rupa, tetapi kali ini, cantik atau tidak, mereka tetap diberi peluang untuk beradu nasib sebab kami nak cari vokal yang mantap sahaja” ujarnya.
Justeru, adakah ini bermakna bakal berlaku keputusan berat sebelah dalam pemilihan peserta kali ini seperti faktor fizikal dan paras rupa lebih menjadi daya tarikan, sedangkan matlamat asal program itu adalah untuk mencungkil peserta yang berpotensi namun kurang menonjol dari segi penampilan?
Ahmad Shaifullizam bagaimanapun menepis persepsi itu.
“Kali ini kita akan gunakan tabir atau tirai pada sesi uji bakat. Maka, juri tidak akan dapat melihat rupa fizikal peserta yang sedang diuji. Hanya suara peserta yang akan kedengaran di sebalik tabir tersebut.
“Jika peserta berjaya memukau juri dengan vokal mereka yang mantap, barulah kita akan buka tabir itu untuk mempamerkan wajah mereka” ujarnya mengenai konsep uji bakat peserta.
Program tersebut akan menampilkan Azmeer sebagai juri tetap manakala deejay, Faizal Ismail masih dikekalkan sebagai pengacara majlis.
Pemenang tempat pertama untuk Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000.00 berbanding RM50,000.00 tahun lepas, manakala tempat kedua akan membawa pulang sejumlah wang bernilai RM30,000.00 sama seperti musim pertama.
Sambutan yang diterima untuk sesi pencarian bakat kali ini sememangnya mengejutkan apabila orang ramai berasak-asak untuk menghadirkan diri ke sesi uji bakat.
Namun menurut juri profesional yang terlibat sepanjang sesi uji bakat tersebut, Mas Idayu, kehadiran peserta pada kali ini amat tidak memuaskan, lebih-lebih lagi apabila ramai yang dilihat seperti tidak bersedia, malah tidak menunjukkan ciri-ciri seorang peserta yang ingin bertanding.
“Sukar untuk juri kali ini membuat pemilihan sebab semua yang datang sama sahaja. Setakat ini kami masih tidak ketemui peserta yang mampu buat kami terpukau dan terpegun apabila mereka melontarkan suara,” katanya yang perlu memilih lapan peserta wanita dan lapan lelaki untuk berentap dalam program realiti tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: