Thursday, October 18, 2012

Bunker imbau era perang Vietnam


BUNKER konkrit bersaiz 20 meter persegi ini digunakan ketika era peperangan Vietnam.


BUNKER konkrit era komunis Vietnam yang terletak di bawah hotel di bandar Hanoi kini menjadi tumpuan pelbagai tetamu daripada bintang Hollywood hinggalah delegasi persatuan perdagangan yang berpakaian selekeh.
Selepas peperangan tamat pada tahun 1975, bunker atau bilik bawah tanah yang terdapat di hotel tersebut dikunci dan kewujudannya dilupai. Namun apabila pihak hotel melakukan kerja-kerja menaiktaraf baru-baru ini, ia ditemui tersembunyi di bawah tanah.
"Saya rasa seperti Indiana Jones yang menjumpai Temple of Doom," kata Kai Speth, Pengarah Urusan Hotel Metropole ketika menggambarkan perasaannya yang pertama kali memasuki bunker tujuh bilik itu.
Bunker sebesar 20 meter persegi itu dibina pihak hotel pada tahun 1968. Hotel itu kemudiannya dikenali sebagai Thong Nhat.
Pelakon seperti Jane Fonda dan penyanyi, Joan Baez juga pernah menggunakan bunker tersebut. Baez pernah merakamkan lagu di dalam bunker itu pada Disember 1972 ketika sambutan Krismas yang dihujani kira-kira 20,000 ton bom dalam tempoh 11 hari oleh Amerika Syarikat (AS).
Lebih daripada 1,600 orang awam mati dalam serangan itu. Lagu yang dirakam Baez Where Are You Now My Son di dalam konkrit itu turut memuatkan bunyi letupan bom.
"Kamu boleh mendengar bunyi letupan bom dan bunyi tembakan mesingan antikapal perang yang terletak di Opera House berhampiran hotel ini," kata Speth.
Selepas pengeboman itu, Fonda tiba dan melakukan satu jelajah di negara tersebut yang menimbulkan kontroversi lalu beliau ditahan pihak berkuasa. Beliau kemudiannya digelar Hanoi Jane.
"Bunyi letupan bom boleh didengari dari jarak jauh dan mereka (Fonda dan tetamu hotel lain) turun ke bunker. Bom tentera udara AS tidak mengenai hotel. Ketika itu, Fonda dilihat sangat tenang dan dia tidak menunjukkan perasaan takut," kata Speth lagi.

TOPI keselamatan disediakan pihak hotel sebagai jaminan keselamatan para pengunjung bunker.


Bunker di hotel berkenaan dipelihara dalam bentuk asalnya dan dibuka kepada pelancong. Bunker seumpama itu merupakan salah satu daripada beribu bunker yang dibina oleh penduduk pada era peperangan Vietnam.
Kebanyakan bunker telah tertimbus, namun bunker yang pernah dihuni oleh Jeneral Vo Nguyen Giap dan Presiden Ho Chi Minh masih utuh di sebalik dinding batu di Thang Long Citadel.
Ketika kebanyakan industri pelancongan berkaitan peninggalan peperangan Vietnam bertumpu di selatan, pelancong di bandar Ho Chi Minh pula boleh mengunjungi muzium perang dan laluan bawah tanah di Cu Chi.
Wajah baharu
Di Tasik Truc Bach, Hanoi turut terpahat sejarah kapal tentera udara Senator AS, John McCain ditembak jatuh sekali gus beliau dijadikan tahanan perang. Kapal terbang tersebut antara 10 buah kapal AS yang ditembak jatuh oleh pasukan penembak antikapal terbang dalam tempoh sehari pada tahun 1967.
Pelancong juga boleh melawat penjara yang dikenali sebagai Hanoi Hilton. Meskipun sebahagian besar Penjara Hoa Lo musnah, beberapa bahagian masih lagi masih kekal seperti pintu masuk.

BUNKER seumpama ini antara beribu bunker yang dibina penduduk pada era peperangan Vietnam.


Bagaimanapun, tidak semua tinggalan perang masih kekal seperti dahulu. Sebagai contoh, sebuah pangkalan yang terletak di Tasik Barat yang sebelum ini menjadi stor penyimpanan senjata Perancis telah diubah menjadi kafe.
"Kafe ini istimewa kerana mempunyai kesan sejarah lampau. Apabila pelanggan datang, mereka amat berminat tentang sejarahnya," kata pemilik kafe, Vu Thi Huong.
Di beberapa tempat di bandar Hanoi, kesan peninggalan perang juga telah dijadikan sebagai landskap sesuatu kawasan.
Di pasar Yen Hinh-Hang Bun, pada 1946 berlaku kejadian seorang askar Perancis melakukan tembakan terbuka yang membunuh sedozen manusia.
Hari ini, kawasan yang dianggap keramat itu terkenal dengan hidangan mi yang lazat.
"Penduduk di sini menggelarnya gerai mi keramat," kata pemiliknya, Do Thi Yen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: