Imam dan jawatankuasa masjid dari Sungai Petani, Kedah melawat sekitar kawasan Masjid Krue Se, Pattani, Thailand.
Pol. Col. Thawee Sodsong (kanan)
ketika menyambut rombongan imam dan jawatankuasa masjid dari Sungai
Petani, Kedah di perkarangan Masjid Wadi Al-Hussein di Pattani,
Thailand.
Rombongan imam dan jawatankuasa masjid
dari Sungai Petani, Kedah bergambar kenangan di hadapan Masjid Krue Se,
Pattani, Thailand.
Persoalan itu juga sedikit sebanyak bermain di fikiran 45 peserta yang mengikuti lawatan ke wilayah berkenaan anjuran Kumpulan Anak Sungai Petani Prihatin (KASPP) selama dua hari pada 4 dan 5 Oktober lalu.
Apatah lagi program itu diadakan selepas beberapa hari media melaporkan sekurang-kurangnya enam orang terbunuh manakala 27 yang lain cedera ekoran beberapa insiden letupan dan tembakan di tiga wilayah bergolak; Pattani, Yala dan Narathiwat.
Di sebalik pergolakan berpanjangan di wilayah selatan negara gajah putih itu, kerajaan Thailand cuba meyakinkan bahawa kawasan tersebut masih selamat untuk dikunjungi.
"Lawatan kali ini jangan jadi kali yang pertama dan terakhir anda datang ke sini. Mudah-mudahan apabila pulang ke Malaysia nanti dapat mengatur keluarga untuk mengunjungi kami di sini.
"Ini kerana sudah sembilan tahun iaitu sejak 2004, wilayah selatan Thailand ini dihebohkan di media yang mana kalau dilihat tidak akan ada orang akan sampai ke sini kerana takut.
"Tetapi anda dapat melihat sendiri keadaannya. Ini adalah hakikat, sebenarnya situasinya adalah seperti biasa. Negara atau tempat lain lebih kacau daripada wilayah ini.
"Oleh itu besar harapan saya supaya terus datang lagi ke sini," kata Pengerusi Pusat Pemulihan Seni Budaya Tempatan Dan Alam Sekitar Wilayah Sempadan Selatan Thailnad (Pusta), Ismail Benjasmith kepada peserta rombongan yang terdiri daripada imam dan pegawai masjid dari Parlimen Sungai Petani ketika mereka melawat Masjid Krue Se, Pattani.
Ucapan Ismail itu menggambarkan komitmen kerajaan Thailand yang mengalu-alukan semua pihak mengadakan lawatan bagi menyaksikan sendiri suasana sebenar masyarakat di negara tersebut khususnya di wilayah selatan.
Ia dibuktikan apabila kerajaan negara itu memberikan kerjasama penuh selain jaminan daripada segi keselamatan kepada peserta rombongan.
Mereka yang menaiki sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) menerima penghargaan daripada kerajaan dan penduduk tempatan yang memberikan layanan kelas pertama.
Sepanjang perjalanan selama 36 jam di bumi Thailand, kenderaan yang dinaiki peserta rombongan diiringi pasukan keselamatan negara itu dan turut diawasi oleh pihak tentera serta polis.
Pemimpin dan masyarakat setempat di kawasan yang dikunjungi juga sememangnya menantikan ketibaan rombongan dengan memberikan sambutan mesra.
Sementara itu, hasil tinjauan dan temuramah yang diadakan bersama penduduk setempat, penulis mendapati umat Islam di wilayah tersebut menjalani kehidupan seharian tanpa masalah atau sekatan.
Tiada larangan
"Setakat ini umat Islam bebas beribadat atau mahu belajar agama. Tiada larangan laungan azan menggunakan pembesar suara dan penduduk bebas ke masjid untuk menunaikan solat," kata seorang penduduk dari Muang Pattani yang dikenali sebagai Ahmad.
Kerajaan Thailand juga dilaporkan cuba membantu membangunkan wilayah berkenaan termasuk menerusi bantuan pembinaan bangunan dan lain-lain.
Ketika berada di Universiti Islam Yala, peserta rombongan dimaklumkan oleh Rektor universiti itu, Dr. Ismail Lufti bahawa kerajaan kini membantu mendirikan sebuah bangunan di dalam pusat pengajian swasta itu.
"Bagi membangunkan universiti ini, kami terpaksa bangun dan rebah, berlari dan berjalan. Dalam keadaan serba kekurangan dan sangat terhad kami perlu berdiri di atas kaki sendiri.
"Kerajaan pun sudah tolong dengan memberi sebuah bangunan yang sedang hendak letak batu asas. Sebelum ini kerajaan belum tolong kita sebab asasnya kita adalah swasta," katanya.
Begitu juga semasa di Kampung Telok Manok, Bachok di Narathiwat apabila Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC), Pol. Col. Thawee Sodsong menyatakan akan memperbaiki sekitar kawasan Masjid Wadi Al-Hussein yang merupakan masjid binaan kayu tertua di negara berkenaan.
Melihat kepada usaha kerajaan dan kehendak masyarakat selatan Thailand yang mengharapkan keamanan, tidak mustahil konflik di wilayah berkenaan dapat diredakan jika semua pihak dapat bersabar dan memberi komitmen penuh ke arah itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: