Monday, October 22, 2012

Bergadai nyawa di Timor Leste

Komander UNPol wanita Malaysia, Deputi Supritendan Looi Poo Lang (empat dari kiri) memberi penerangan kepada anggota wanita PDRM yang ditugaskan untuk misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kem INAP Dili, Timor Leste.
DITUGASKAN untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan kerajaan di tempat asing lagi jauh di perantauan jelas menunjukkan pengorbanan yang terpaksa ditempuh individu terpilih selain membawa sekali nama negara untuk dijaga.
Apatah lagi, jika pekerjaannya pula adalah untuk membantu menjaga keamanan sesebuah negara yang sedang bergolak. Malah rakyatnya pula bergaduh sesama sendiri selain perlu sentiasa berwaspada sepanjang masa apabila keluar dari rumah.
Dalam erti kata lain, suasana begitu adalah tidak selamat bagi sesiapa sahaja. Itulah pengorbanan yang ditempuh pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Timor Leste semasa menyertai misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Besar sungguh pengorbanan petugas pengaman PDRM dalam mengharumkan nama negara, sekali gus menunjukkan komitmen Malaysia amnya dan pasukan keselamatan itu khususnya kepada kesejahteraan antarabangsa terutamanya di rantau Asia.
Namun, masih ada lagi suara-suara sumbang kedengaran yang memperlekehkan pasukan keselamatan itu biarpun pelbagai sumbangan dan perkhidmatan serta komitmen terbaik diberikan PDRM baik dalam negara mahu pun luar negara.
Bagaimanapun, ia tidak pernah menjadi alasan bagi PDRM untuk tidak terus menjalankan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka walau sebanyak mana cemuhan yang diterima, setinggi itu juga komitmen diberikan dalam melakukan tugasan masing-masing.
"Tugasan seperti itu bukan mudah, malah nyawa dipertaruhkan. Itulah pengorbanan diberikan setiap ahli keluarga PDRM terutamanya yang bertugas di Timor Leste selain berjauhan daripada keluarga yang sentiasa risaukan keselamatan mereka," kata Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Wira Salleh Mat Rasid kepada Utusan Malaysia.
Bagi sesetengah pihak, mungkin kerja mereka yang terlibat di negara tersebut tidak bahaya seperti yang disangka, tetapi hakikatnya, pelbagai ancaman dan jenayah boleh berlaku sekelip mata tidak kira di mana.
Sebagai contoh, pada 19 Julai lalu, Balai Uatolari Polis Nasional Timor Leste (PNTL) di Daerah Viqueque telah diserang kira-kira 100 penyokong sebuah parti politik negara itu bagi menunjukkan protes kepada PNTL.
Malah, di situ juga terdapat enam pegawai dan anggota PDRM yang menjalankan tugas kepolisan di bawah United Nations Police (UNPol) yang diketuai Komander Daerah UNpol Malaysia, Supritendan Lim Eng Haw.
Selain itu, semasa Timor Leste mengadakan pilihan raya Parlimen baru-baru ini, PDRM menerusi Malaysia Formed Police Unit (Mal-FPU) berjaya menangani demonstrasi dan ketenteraman awam sepanjang pilihan raya tersebut berlangsung, katanya.
"Alhamdulillah tiada sebarang kecederaan teruk dilaporkan. Walaupun petugas PDRM dilengkapi senjata api, mereka tidak perlu menggunakannya dan tiada lagi kejadian tembak-menembak melibatkan PDRM dilaporkan.
"Ini kerana, biarpun kekacauan masih berlaku tetapi keselamatan masih terkawal dan dapat ditangani dengan baik," katanya.
Menceritakan serba ringkas kejadian itu, Eng Haw memberitahu, penyokong sebuah parti politik terbabit telah bertindak membaling batu ke balai polis berkenaan dan kenderaan sehingga menyebabkan kerosakan.
"Kira-kira 100 orang bertindak berbuat demikian dalam kejadian yang berlaku pukul 11.30 pagi dan hanya berjaya dileraikan pukul 2 petang selepas bantuan daripada PNTL, UNpol Bangladesh dan Portugis FPU," jelasnya.
Bagi Pegawai Turus Cawangan Istiadat, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Supritendan Che Zakaria Othman, pengalaman ditugaskan ke Timor Leste pada awal penyertaan PDRM di sana membuatkan mereka sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.
"Masa mula-mula pada tahun 2006, keadaan di Timor Leste berbeza dari sekarang yang jauh lebih aman berbanding ketika itu negara ini masih bergolak dan dalam proses mencapai keamanan," katanya yang turut menyertai lawatan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: