Azean Aziz
Azean bingkas bangun dan mencari penyelesaian agar semua kakitangan tidak merasa tempias apa yang telah beliau lalui.
Disebabkan keprihatinan dan keutamaan itu Azean mendapat jalan keluar kepada setiap masalahnya.
Dalam usia yang muda, Azean telah melalui pelbagai pengalaman jatuh dan bangun, semuanya telah dirasa.
Wanita kelahiran Singapura berkelulusan ijazah kewangan dan perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu, berkata, sejak dari zaman belajar lagi beliau telah berjinak dalam dunia pekerjaan.
"Kuliah habis pada pukul 4 petang dan saya terus ke pejabat sehingga pukul 9 malam bekerja secara separuh masa sebagai eksekutif pemasaran. Itulah rutin saya setiap hari ketika belajar.
"Apa yang saya mahu ketika itu ialah wang untuk menampung perbelanjaan saya sebagai pelajar dan juga pengalaman," kata Azean yang ditemui di pejabatnya yang terletak di Wisma PPV, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bayangkan dalam usia muda dan bergelar pelajar Azean mampu mengumpul pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan sehinggalah mampu membeli kenderaannya sendiri.
"Selama lima tahun saya bekerja separuh masa dengan syarikat itu hinggalah saya mendapat ijazah. Sebagai anak sulung daripada enam beradik dan ibu saya seorang suri rumah, saya tahu untuk tidak bergantung kepada ayah kerana banyak lagi tanggungan beliau," katanya.
Selepas lima tahun bekerja makan gaji dan sehingga mencapai ke tahap ketua bahagian pemasaran, Azean boleh berbangga dengan pendapatan lima angka yang diperoleh setiap bulan.
Namun langit tidak selalu cerah, Azean menjadi mangsa politik dalam syarikat yang dinaungi.
"Saya secara serta merta diarah bertukar bahagian iaitu ke sumber manusia. Jiwa saya yang sememangnya suka membuat jualan dan pemasaran ini memberontak.
"Saya tidak boleh duduk bekerja di satu tempat sebab itu saya amat sukakan pemasaran kerana lebih kuat kita bekerja lebih banyak kita dapat.
"Jadi, atas sebab itu maka syarikat telah membayar pampasan sebanyak lima bulan gaji kepada saya. Sebaik menerima wang pampasan tersebut saya mula berfikir apa yang boleh saya lakukan.
"Memandang- kan saya berpengalaman dalam bidang pelancongan, maka saya telah membuka agensi pelancongan saya sendiri yang diberi nama Prestige Platinum Vacation (M) Sdn. Bhd.
"Agensi pelancongan saya ini mendapat pelbagai lesen, inbound, outbound dan ticketing. Sejak berjaya menguruskan agensi ini saya nampak hikmahnya selepas apa yang berlaku di syarikat yang saya bekerja makan gaji sebelum ini," jelas ibu kepada empat cahaya mata berusia dari tujuh hingga setahun ini lagi.
Disebabkan agensi pelancongan banyak persaingan, Azean memikirkan strategi inovatif, lalu dia memperkenalkan pelancongan yang memang berkonsepkan Islam dengan penyediaan makanan halal dan ada waktu untuk menunaikan solat.
"Terkini saya akan menganjurkan kunjungan umrah bersama 50 orang anak-anak anugerah di bawah program Jelajah Tanpa Sempadan.
"Saya mahu dapatkan orang ramai untuk pergi umrah bersama anak-anak ini pada program yang bakal berlangsung pada hujung Mac tahun depan," katanya yang turut menganjurkan pakej pelancongan Islam ke Australia, China dan Korea Selatan.
Bukan itu sahaja, wanita berjiwa kental ini juga pernah melibatkan diri dalam perniagaan logistik.
Beliau sempat memiliki dua buah bas dan perniagaan tersebut berjalan lancar hinggalah ada penyelewengan dalaman yang telah berlaku. Serik dengan peristiwa tersebut maka Azean telah menjual semua bas yang dimilikinya.
"Pengajaran yang saya dapat banyak sangat. Antaranya jangan buat macam-macam perniagaan jika tidak berpengalaman dalam bidang tersebut.
"Pentingnya untuk fokus dalam apa yang dibuat, jika tidak maka jadilah seperti pepatah, yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran," jelas wanita tinggi lampai itu lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: