Monday, October 22, 2012

Aset hebat PGU

JURU terbang pesawat Beechcraft King Air 350, Deputi Supritendan Mohd. Hafizul Mohd. Salleh (kiri) dan pembantu juruterbang, Inspektor Jimmy Roy.
TANPA undangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat liputan ke Timor Leste Ogos lalu, tidak mungkin diketahui kepakaran juruterbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM serta kehebatan aset dimiliki pasukan keselamatan tersebut.
Dengan kelajuan 560 kilometer sejam dan memakan masa lebih lapan jam, kapal terbang milik PDRM, Beechcraft King Air 350 akhirnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Presidente Nicolau Lobato, Dili, Timor Leste.
Pesawat yang membawa muatan kuih-muih untuk diagih-agihkan kepada pegawai dan anggota PDRM yang bertugas di Timor Leste akhirnya sampai ke destinasi yang dituju selepas mengharungi perjalanan sejauh 3,091 kilometer.
"Hebat!" Itu perkataan pertama keluar dari mulut saya dan rakan jurufoto, Mohd. Naim Aziz apabila ditanya Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Wira Salleh Mat Rasid mengenai penerbangan tersebut.
Ini kerana, saya dan rakan sekerja diberi peluang menaiki pesawat milik PDRM itu dan kami juga tidak pernah menyangka kepakaran juruterbang PDRM sama hebat dengan juruterbang pesawat komersial.
Biarpun pada mulanya kami telah dimaklumkan mengenai kekurangan pesawat itu berbanding pesawat komersial biasa, namun selepas mengikuti penerbangan tersebut segala persepsi buruk hilang apabila ia berlepas dan mendarat dengan lancar.
Sepanjang penerbangan, pesawat Beechcraft itu dipandu secara bergilir oleh Timbalan Komander PGU PDRM, Asisten Komisioner S. Sathiya; Juruterbang, Deputi Supritendan Mohd. Hafizul Mohd. Salleh dan pembantu juruterbang, Inspektor Jimmy Roy.
Mereka merupakan pegawai PGU yang bertugas di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.
Selain itu, Pegawai Turus Cawangan Istiadat, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Supritendan Che Zakaria Othman dan jurutera, Arthur Wong turut menyertai misi yang memakan masa pergi balik 15 jam 20 minit dengan perjalanan sejauh 6,182 kilometer.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa PDRM juga mempunyai kepakaran dan aset hebat seumpama itu yang dapat membantu melaksanakan urusan berkaitan pasukan dengan lancar begitu juga misi penghantaran kuih raya ke Timor Leste.
"Kami bangga kerana menjadi sebahagian keluarga PGU PDRM, ia satu penghormatan," kata Mohd. Hafizul dan Jimmy serentak.
Kedua-duanya menjalani latihan sama seperti juruterbang pesawat komersial yang lain selain dipersiapkan sebagai ahli keluarga PDRM sekali gus menganggap pekerjaan itu adalah khidmat mereka kepada pasukan dan negara.
Menceritakan serba ringkas latar belakang kewujudan PGU, Salleh berkata, ia ditubuhkan pada 1 Februari 1979 dan dikenali sebagai Unit Udara Polis (UUP) sebelum proses penjenamaan semula dengan dikenali sebagai PGU pada 1 Mac 2012.
Menurutnya, PGU diwujudkan sejajar usaha mempertingkatkan keupayaan PDRM dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mengikut peruntukan Akta Polis 1967 dengan ketetapan pesawat udara PDRM didaftarkan sebagai pesawat awam (Civil Registered Aircraft).
Beliau berkata, pada awal penubuhannya, sebanyak empat buah kapal terbang ringan telah dibekalkan sebelum penambahan aset PGU dibuat secara berperingkat-peringkat untuk menjalankan tugas dan operasi PDRM yang semakin bertambah.
"PGU kini mempunyai kekuatan 612 pegawai dan anggota dan mempunyai lebih 20 buah aset terdiri daripada antaranya Beechcraft King Air 350, Cessna, helikopter AS 355 F2 dan AS 355 N selain helikopter simulator FTD.
"Visi PGU adalah untuk menjadi organisasi penerbangan polis bertaraf dunia menjelang 2021 dan komited membantu mengurangkan jenayah, mengekalkan ketenteraman awam, memelihara keselamatan serta melindungi nyawa dan harta benda," katanya.
Salleh berkata, PGU juga berfungsi mengawasi dan mengesan dari udara serta melaporkan kesalahan atau kejadian kepada agensi penguat kuasa selain menyediakan perkhidmatan udara kepada PDRM, jabatan kerajaan termasuk kepada Orang Asli yang tinggal di pedalaman.
Beliau memberitahu, pada masa ini PGU mempunyai empat pangkalan iaitu Lapangan Terbang Sungai Besi, Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Ipoh, Perak, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: