|
TERCETUSNYA sesuatu fenomena dalam industri hiburan khususnya, adalah disebabkan oleh khalayak yang terlalu minat mahupun obses terhadap seseorang selebriti.
Ia adalah ekoran kejayaan mereka melalui bidang muzik mahupun lakonan dan tidak kurang juga menerusi pakej bakat dan rupa.
Walaupun masih hijau dalam lapangan seni, namun arus populariti mereka merebak bagaikan satu virus sehingga membuatkan peminat hiburan tempatan terus 'terjangkit' dengan aura mahupun pesona penyanyi atau pelakon tersebut.
Penyanyi - Datuk Siti Nurhaliza Tarudin
Datuk Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa sebagai Siti, mula menempah nama sebagai artis dalam bidang seni pada tahun 1995.
Ketika usianya baru 16 tahun, dia telah menjuarai pertandingan Bintang Hiburan Minggu Ini.
Berbekalkan rupa dan suara yang merdu, Siti terus menjadi igauan peminat di Malaysia ketika bakatnya mula mendapat perhatian ramai semasa mendendangkan lagu Kau Mawarku bersama kumpulan 2 By 2.
Bukan itu sahaja, sebagai seorang penyanyi baharu pada waktu itu, Siti juga berjaya mengalahkan penyanyi-penyanyi senior dalam beberapa anugerah muzik yang diadakan.
Saban tahun, setiap pertandingan yang menampilkan dirinya, hampir semua kemenangan menjadi milik Siti.
Sehingga pada satu tahap, Siti dengan rela hati menarik diri daripada menyertai sebarang pertandingan untuk memberi laluan kepada artis lain.
Siti menjadi tokoh terkenal dalam budaya pop Melayu. Kombinasi wajah wanita Melayu asli dan suara merdu bak buluh perindu membuatkan Siti digemari oleh peminatnya.
Tidak dinafikan, sehingga kini selepas 15 tahun, Siti masih menjadi idola peminat seni muzik tempatan.
Setakat ini, Siti telah memenangi lebih 200 anugerah muzik, dianugerahkan gelaran Datuk pada tahun 2006 kerana sumbangan terhadap industri seni, melakar nama sehingga ke pentas Royal Albert Hall London membuat konsert tersohornya di sana serta memiliki empayar perniagaan SimplySiti yang semakin berkembang.
Dalam kebanyakan temu bual, kata Siti tentang rahsia kejayaannya: "Sentiasa merendah diri, menghargai peminat, kerja keras dan tidak mudah putus asa."
Bintang Akademi Fantasia - Mawi
Juara Akademi Fantasia 3)
Siapa yang tidak mengetahui tentang program realiti TV popular, Akademi Fantasia yang ditayangkan di Astro selama sembilan musim.

MAWI mencipta fenomena mega sebaik diumumkan sebagai juara Akademi Fantasia musim ketiga pada tahun 2006.
Sejak dari musim pertama kemunculannya iaitu pada tahun 2003 hingga ke musim penamatnya pada 2010, khalayak bagaikan dijangkiti demam untuk menunggu dan melihat siapakah pelajar yang seterusnya dipilih bagi mempertaruhkan bakat pada setiap musim.
Tidak dinafikan setiap musim Akademi Fantasia ditayangkan, ia pasti meraih rating yang tinggi.
Populariti program tersebut mencapai kemuncaknya ketika musim ketiganya ditayangkan pada tahun 2006, ekoran kemunculan seorang peserta yang bersifat naif, Asmawi Ani.
Kemudian dikenali dengan nama komersialnya, Mawi, anak kelahiran Felda Taib Andak, Johor Bahru ini sememangnya mendapat perhatian peminat kerana penampilan diri yang naif tersebut.
Tidak mempunyai kelebihan vokal, namun dia pernah tersingkir tetapi diserap kembali, Mawi menang di hati peminatnya menerusi cerminan dirinya yang dikatakan berpengetahuan agama.
Dia lantas mewujudkan fenomena yang digelar Tsumawi sewaktu bertanding dalam program tersebut, sebelum dinobatkan sebagai juara.
Mawi kemudian digelar sebagai Raja SMS (khidmat pesanan ringkas), diiktiraf kerana popular selepas dia mendominasi hampir semua kemenangan yang berbentuk populariti sejak tahun 2005 hingga 2007.
Walaupun masih wujud dalam industri seni, namun fenomena Mawi tidak kekal lama dan hanya bertahan selama beberapa tahun sahaja.
Aaron Aziz - Pelakon
Bersandarkan pakej lengkap, aktor kacak kelahiran Singapura ini berjaya menambat hati peminat tempatan khususnya wanita melalui watak lakonannya iaitu Seth Tan menerusi drama bersiri, Nora Elena pada tahun lepas.
Sejak itu, dia telah berjaya melonjakkan nama sebagai seorang aktor yang harus diberi perhatian kerana bukan sahaja dengan rupa yang kacak, namun bakat yang ditampilkan.
Pemilik nama Aaron Mustapha Aziz ini lantas menempa kejayaan demi kejayaan yang yang mana dua naskhah lakonannya, KL Gangster dan Ombak Rindu masing-masing meraih kejayaan kutipan pecah panggung melebihi RM11 juta.
Jejak bertapak Aaron begitu teguh dalam industri hiburan tempatan sehinggakan dia dipilih untuk mengikat kontrak dengan banyak produk dan kalender karier Aaron dari tahun 2011 sehingga saat ini masih lagi bersinar cerah.

POPULARITI Raihan sebagai kumpulan
nasyid yang mengalunkan lagu-lagu merdu dan menenangkan hati, melangkau
hingga ke luar negara.
Sehinggakan, apa sahaja yang menampilkan Aaron Aziz, pasti produk tersebut dilihat berpotensi besar meraih sambutan daripada masyarakat.
Rezekinya semakin mencurah-curah dan namanya disebut-sebut oleh segenap lapisan masyarakat.
Namun sebagai aktor yang berjaya, Aaron bagaimanapun tidak pernah melupakan asal usulnya dan sentiasa memberikan yang terbaik buat peminat tempatannya.
Terkini, namanya kembali menjadi igauan ramai menerusi lakonannya untuk watak Adam Mukhriz, seorang juruterbang yang digilai kaum wanita dalam drama bersiri, Adam dan Hawa.
Raihan - Kumpulan Nasyid
Raihan bukan lagi sebuah nama yang asing bagi peminat muzik tenpatan. Raihan yang bermaksud wangian dari syurga, telah ditubuhkan pada tahun 2006.
Ketika itu, kumpulan nasyid ini dianggotai oleh Azhari Ahmad sebagai ketua, Nazrey Johani, Che Imran Idris, Abu Bakar Md. Yatim dan Amran Ibrahim.
Melalui album sulung mereka, Puji-Pujian yang diterbitkan pada tahun 2006, Raihan telah mencipta fenomena tersendiri dalam dunia seni suara tempatan yang didominasi oleh pasaran muzik pop.
Album-album nasyid dan lagu-lagu dakwah mereka telah diterima dengan baik sehingga mencatat rekod jualan album terlaris di Malaysia mencecah 750,000 unit - satu pencapaian luar biasa untuk sebuah album nasyid yang gagal disaingi album genre muzik lain sehingga ke hari ini.
Selepas kejayaan Raihan berdakwah melalui muzik, maka muncul banyak kumpulan nasyid yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Bagaimanapun, populariti Raihan tidak dapat digugat dan mereka terus bertahan. Raihan bukan sahaja mendapat pengiktirafan dalam negara, namun mereka terus mengharumkan nama Malaysia di persada seni antarabangsa.
Antaranya, Raihan berjaya meraih anugerah nasyid antarabangsa yang julung-julung kalinya diadakan di Binayas Ballroom, Hotel Grand Hyatt, Dubai pada 26 Oktober 2006.
Anugerah yang diberi nama Almahabba Awards Art of Love turut diraih beberapa kumpulan nasyid terpilih dari seluruh dunia termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah dan Afrika Selatan.
Apa yang menariknya, Raihan merupakan satu-satunya kumpulan nasyid dari benua Asia yang berjaya memperoleh anugerah antarabangsa tersebut.
Ia membuktikan bahawa genre nasyid juga kini telah diterima bukan sahaja oleh peminat tempatan, namun oleh peminat di seluruh dunia.
Lebih membanggakan, setelah 10 tahun berkorban untuk memperjuangkan irama nasyid, Raihan berpeluang mengadakan persembahan di hadapan Putera Charles pada tahun 1999.
Sehingga kini, nama Raihan masih teguh dan mereka tetap memperjuangkan nasyid walaupun anggota kumpulannya sudah bertukar ganti.
Pada hakikatnya, banyak lagi kejayaan dalam pelbagai genre muzik oleh pelbagai artis yang berjaya dalam arus perdana industri hiburan tempatan.
Tidak kurang artis tempatan yang berjaya mencipta nama di luar negara seperti Yuna dan baru-baru ini, Shila Amzah yang menjuarai Asian Wave 2012 di Shanghai, China.
Kesimpulannya, untuk mengecapi kejayaan dalam tempoh masa yang lama, ia harus diiringi bakat dan minat ingin berjaya.
Tidak dinafikan rupa sememangnya mampu menaikkan nama seseorang namun jika tidak disulam dengan bakat yang bagus, lama-kelamaan populariti yang dikecapi tidak kekal lama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: