Thursday, September 13, 2012

Resident Evil bantu Bingbing



"SELAMAT datang, apa khabar, saya Li Bingbing," sapaan itu terpacul dari bibir milik aktres kelahiran China, Li Bingbing ketika sesi tayangan perdana filem Resident Evil: Retribution di Sunway Pyramid, Selangor baru-baru ini.

Kemunculannya pada acara karpet merah majlis tersebut disambut jeritan gembira lebih 200 peminatnya yang berkumpul di pintu masuk utama pusat beli-belah itu, malah aktres berusia 39 tahun tersebut begitu terkejut dengan sambutan yang diterima.

"Saya sangat terharu dengan sokongan anda semua yang sanggup datang pada hari ini. Saya bimbang juga sebenarnya sebab tak yakin ada orang mengenali saya di sini. Ini benar-benar mengejutkan dan sesungguhnya saya berbesar hati dengan sambutan ini," luahnya dalam bahasa Kantonis yang diterjemahkan oleh juru bahasa di sebelahnya.

Bingbing sebelum ini pernah berkunjung ke Malaysia untuk mempromosikan filem lakonannya bersama Datuk Michelle Yeoh berjudul Silver Hawk pada tahun 2003.

Katanya: "Kembali ke Malaysia ibarat kembali ke rumah saya sendiri."

Bagi seorang selebriti yang sudah berjaya menembusi pasaran Hollywood, berkomunikasi dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa perantaraan universal adalah satu kemestian yang harus dikuasai.

Hal itu diakui sendiri oleh Bingbing. Namun dia juga mengakui penguasaannya dalam bahasa Inggeris masih dalam peringkat amatur dan sedang merangkak untuk memahirkan diri.

"Penting untuk seorang pelakon mahir bercakap bahasa Inggeris, selain untuk mudah menghayati watak bahasa itu, ia juga penting untuk berkomunikasi.

"Sejujurnya, filem terkini lakonan saya Resident Evil: Retribution banyak membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris saya.

"Filem ini 'memaksa' saya sedar akan kepentingan bahasa tersebut," ujarnya yang pertama kali berlakon filem berbahasa Inggeris menerusi The Forbidden Kingdom bersama Jet Li dan Jackie Chan pada tahun 2008 selain Snow Flower dan Secret Fan (2011).

Dia tanpa berselindung mengakui, pada mulanya berasa sangat malu untuk membuka mulut bercakap dalam bahasa Inggeris kerana dalam fikirannya, jika tidak bercakap, dia tidak akan melakukan kesilapan di hadapan orang ramai.

"Jadi saya berdiam diri dan menggunakan mata saja untuk memberikan isyarat.

"Tapi apabila sudah semakin rapat dan kru produksi juga sering berjenaka, saya berani bersuara dan tiada siapa pun yang gelakkan saya. Malah kata mereka, bahasa Inggeris saya sangat baik!" tambah Bingbing yang diberi layanan baik sepanjang penggambaran.


BERGANDING dengan aktres Milla Jovovich (kanan) dalam filem Resident Evil: Retribution, Li Bingbing mengaku dia mempelajari banyak perkara baharu sepanjang penggambaran berlangsung.


Permainan video

Bingbing menggalas peranan Ada Wong dalam filem francais kelima arahan Paul W.S. Anderson bersama aktres jelita, Milla Jovovich.

Watak Ada Wong merupakan sekutu Alice (Milla) yang berjuang menghapuskan zombi akibat penularan virus-T oleh sebuah syarikat Umbrella Corporation.

Menariknya, Bingbing tidak begitu mengenali karakter yang ditawarkan kepadanya, melainkan karakter itu katanya amat popular di China menerusi permainan video.

"Saya tahu Resident Evil merupakan siri permainan video terkenal dan karakter Ada Wong disifatkan gadis paling seksi oleh penggemar permainan video. Apabila saya dimahukan oleh Paul untuk melakonkan watak itu, ramai pula yang memberikan respons positif untuk saya menerima tawaran tersebut

"Ulang kaji saya adalah menonton kesemua filem Resident Evil sebelum penggambaran di Kanada. Saya berlatih untuk memahami siapa Ada Wong dan bagaimana percakapan serta bahasa tubuhnya," kata Bingbing tentang karakter yang dibawanya.

Tambahnya, pengalaman melakonkan babak aksi menerusi produksi Amerika Syarikat dan China berbeza daripada banyak sudut.

"Banyak aspek teknikal dititik beratkan dalam produksi ini (Resident Evil: Retribution). Contohnya, bagaimana mereka memotong dan membahagikan babak, sudut pandangan kamera dan banyak lagi. Tapi di China mereka lebih mementingkan kebolehan untuk berlawan berbanding memotong satu persatu dan menjadikan pelakon handal berlawan," terangnya.

Pertama kali menyarungkan gaun merah terbelah di paha, kata Bingbing dia menyangka pakaian itu hanya untuk dipakai di karpet merah. Namun apabila dipakaikan sekali sarung pistol di pahanya, ia nampak sangat berbeza; seksi dan misteri! Itu juga merupakan busana rasmi buatnya dalam filem tersebut.

Aksi

Menjawab pertanyaan tentang kecenderungannya terhadap filem aksi, kata Bingbing dia sangat menggemari genre tersebut.

"Dalam filem ini ada babak yang menemukan saya dengan Milla pertama kali di sebuah bilik dan apabila saya terbang di udara bersama gegelung wayar, saya rasa sangat luar biasa! Saya rasa sangat teruja.

"Kemudian, saya diberikan babak menembak menggunakan pistol buat pertama kali. Sememangnya harus saya akui perasaan itu benar-benar berbeza," ceritanya yang sangat teruja menggunakan senjata api.

Beraksi bersama Milla yang disifatkannya sangat peramah dan profesional, akui Bingbing, aktres tersebut banyak membantunya untuk menjadi lebih yakin.

"Milla melayan saya dengan baik dan apabila penggambaran dilakukan di kawasan sejuk, dia akan pastikan saya disediakan jaket sejuk sebelum diberikan kepadanya," katanya tentang kebaikan aktres tersebut.

Filem ini banyak menjalani penggambaran di Kanada dan perjalanan ke sana dari Beijing mengambil masa lebih 13 jam. Kata Bingbing, berpisah jauh daripada keluarga merupakan bahagian paling sukar sepanjang penggambaran filem itu.

"Saya sangat merindukan keluarga dan bersendirian di tempat asing benar-benar menyukarkan," getusnya.

Resident Evil: Retribution merupakan kesinambungan impak merebaknya virus-T yang dihasilkan oleh Umbrella Corporation dan telah mengubah populasi manusia menjadi zombi pemakan daging yang mengerikan.

Penonton pasti teruja melihat debaran aksi mengejar dalam usaha Alice (Milla Jovovich) dan sekutu-sekutunya menyelamatkan diri berlatar belakangkan New York, Washington, Moscow dan Tokyo.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: