Sunday, August 12, 2012

Usahawan Muda AVON


PENGALAMAN menggunakan sendiri produk Avon membolehkan Nur Diyana meyakinkan pelanggan dengan lebih mudah.


TIDAK seperti kebanyakan remaja sebayanya yang memilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tumpuan Nur Diyana Azmi, 20, sebaliknya lebih terarah untuk memajukan bidang perniagaan yang diceburi sejurus tamat sekolah menengah.

Menurutnya, minat dalam bidang perniagaan diwarisi daripada keluarga yang sememangnya aktif menjalankan perniagaan. Malah, dia tidak menyesal apabila memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, dia juga mahu mengubah stigma masyarakat yang beranggapan tanpa pendidikan tinggi, seseorang itu tidak akan berjaya. Buktinya ialah kejayaannya sendiri sekarang.

“Saya mempunyai matlamat yang jelas. Tidak semestinya jika kita tidak menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, kita tidak boleh mengecapi kejayaan.

“Stigma sebegitu yang ingin saya buang daripada benak fikiran setiap masyarakat yang menganggap masa depan tidak terjamin sekiranya memiliki sijil SPM sahaja.

Produk remaja

“Bergelar usahawan pada usia muda memberikan saya lebih peluang untuk menerokai bidang yang diminati ini apatah lagi ibu, Aminah Taharim, 48, memberikan sokongan penuh kepada saya,” ujarnya yang menggemari rangkaian minyak wangi jenama Haiku dan Far Away keluaran Avon.

Tambahnya, penglibatan dalam Avon banyak dipengaruhi ibunya yang merupakan wakil Avon sejak lima tahun lalu.

Bermula dari situ, potensi dan bakatnya menjual produk keluaran Avon terserlah lebih-lebih lagi selepas mendapat tunjuk ajar mengenai strategi pemasaran daripada ibunya.

Setiap bulan ibunya akan memberikan sasaran jualan produk Avon yang perlu dicapai Nur Diyana.

Setakat ini, dia berjaya mencapai sasaran yang diberikan malah pelanggannya juga bertambah dari sehari ke sehari.

Bagi membuktikan setiap yang dikatakan kepada pelanggan itu benar, gadis ini mengambil inisiatif untuk mencuba sendiri setiap produk baharu Avon kerana padanya pengalaman orang yang menjual adalah testimoni terbaik yang harus diberikan kepada pelanggan.

Selain itu, dia akan memastikan di dalam beg tangannya ada barangan Avon.

“Melalui strategi begitu, saya dapat meyakinkan pelanggan dan dapat menjawab segala pertanyaan mereka kerana saya sendiri sudah mencubanya.

“Saya sering berkongsi produk Avon yang saya pakai bersama pelanggan kerana mereka selalu bertanya produk apa yang saya gunakan.

“Dari situ, saya membina jaringan perhubungan. Saya beruntung kerana jenama Avon tidak perlu diperkenalkan lagi.

“Hampir semua orang mengenali Avon kerana kualiti produknya. Harganya juga berpatutan,” tutur anak kelahiran Pulau Pinang ini.

Dedahnya, dia mendapat banyak permintaan produk keluaran Avon seperti celak, gincu, minyak wangi dan pakaian dalam daripada golongan remaja.

Katanya, kebanyakan pelanggan memberi maklum balas yang positif sekali gus membuatkan dia lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan.

Jelasnya, sepanjang dua tahun bersama Avon, dia berjaya melatih sebanyak 300 downline di sekitar utara tanah air yang kebanyakannya terdiri daripada suri rumah, pelajar dan peniaga dengan menjalankan pelbagai aktiviti seperti kelas solekan dan sesi pengenalan produk baharu.

“Setiap usaha yang dilakukan sepanjang menjadi wakil Avon seakan-akan berbaloi apabila saya diberi peluang untuk melancong ke luar negara dan dihadiahkan sebuah kereta kerana mencapai sasaran syarikat.

Penghargaan

“Saya juga mendapat bonus berupa wang tunai atas penat lelah saya selama ini,” beritahunya yang turut menggunakan laman Facebook untuk berinteraksi dengan pelanggan.

Ujarnya, melayani kerenah pelanggan yang pelbagai ragam merupakan satu cabaran. Begitupun, ia tidak dijadikan alasan untuk dia berundur daripada bidang yang diminatinya ini.

Malah, dia akan berusaha sedaya upaya untuk memuaskan hati pelanggan dengan memberikan panduan terperinci berkenaan sesuatu produk.

Bersama Avon, dia pernah meraih Anugerah Sales Executive Sales Leader (SESL) bagi tahun 2011 dan 2012, Anugerah Senior Unit Manager bagi tahun 2011 dan 2012 selain mendapat tempat keempat bagi kategori pendapatan tertinggi Anugerah Sales Leader Terbaik Daerah pada 2011 dan Anugerah Cabaran Konvensyen Antarabangsa Phuket 2012.

“Perancangan saya untuk lima tahun akan datang sudah tentu ingin mengembangkan lagi jaringan perniagaan yang ada sekarang dan mendapatkan lebih ramai pelanggan.

“Saya juga mahu membuka sebuah butik Avon,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: