
RAMADAN dianggap sebagai bulan berkat. Biar ramai dalam kalangan selebriti memilih untuk berehat daripada sebarang aktiviti seni sepanjang bulan mulia ini untuk memberi fokus kepada melakukan ibadat, ada juga yang terus aktif seperti biasa.
Malah, tidak dinafikan ada segelintir artis yang dilihat mengambil kesempatan untuk terbabit dengan pelbagai aktiviti amal yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.
Mereka termasuklah tiga orang artis popular iaitu Johan As'ari, Izara Aishah dan Danny X-Factor yang telah meluangkan masa menyertai program rakaman Singgah Sahur 2012 episod ketujuh yang diadakan di Muar, Johor pada minggu lalu.
Menurut Johan, dia menganggap undangan daripada pihak TV3 untuk sama-sama terbabit dengan program tersebut merupakan satu penghargaan buat dirinya kerana dia berkesempatan melakukan kerja-kerja amal.
“Ini kali pertama saya menyertai program Singgah Sahur dan sudah tentu saya teruja kerana dapat menyertainya. Sebelum ini saya sekadar berkesempatan menonton program ini menerusi kaca TV sahaja.
“Sebenarnya sekarang ini saya memang sedang sibuk menjalani penggambaran drama, namun saya minta dilepaskan buat sementara semata-mata mahu terlibat dalam program ini,” ujarnya.
Menariknya, selain pembabitan tiga orang artis popular, program berkenaan juga disertai barisan selebriti popular TV3 seperti Ally Iskandar, Zainal Ariffin, Hasfizza Sabjahan, Hazreena Kassim dan Maria Tunku Sabri.
Selain mendekati golongan yang kurang bernasib baik seperti anak yatim dan ibu tunggal, beberapa aktiviti lain turut diadakan seperti acara gotong-royong, perhimpunan 100 pesara guru dan majlis berbuka puasa di rumah Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar.
Program berkenaan juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran dua orang tetamu istimewa iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim dan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad.
Sementara itu, Izara yang ditemui semasa program berkenaan menyatakan dia sememangnya menunggu peluang untuk terbabit dengan aktiviti amal terutamanya pada bulan Ramadan.
Menurutnya, sebagai seorang pelakon, bukan mudah buat dirinya mencari masa yang terluang untuk menyertai aktiviti amal. Namun, dengan menyertai program Singgah Sahur dia dapat meluaskan lagi pengalamannya untuk berbakti kepada masyarakat.
“Apabila saya dapat merasai sendiri pengalaman menjayakan program ini, sudah tentu ia memberi peluang buat diri saya mendekati masyarakat terutamanya peminat yang banyak menyokong saya selama ini,” ujarnya.
Dapat sambutan
Sudah memasuki musim yang kelapan, ternyata Singgah Sahur masih lagi menjadi salah satu program yang sentiasa mendapat sambutan penonton setiap kali tibanya bulan Ramadan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar berkata, program berkenaan dilihat sebagai satu usaha dalam mendekati kumpulan atau individu yang kurang bernasib baik pada Ramadan ini.
“Menerusi program ini kami percaya ia dapat menambahkan sedikit keceriaan terhadap individu atau golongan yang diraikan, di samping penonton dapat menyaksikan kemeriahan suasana berpuasa di kampung.
“Dengan adanya pembabitan artis popular dan selebriti TV3, sudah tentu ia dapat memberikan kemeriahan dan memberi peluang kepada mereka beramah mesra dengan orang ramai dan turut serta dalam semua aktiviti yang dianjurkan,” ujarnya.
Episod ketujuh Singgah Sahur 2012 yang berlangsung di Muar, Johor akan ditayangkan pada 12 Ogos ini pukul 12.35 tengah malam, manakala siaran ulangannya pula akan ditayangkan pada tarikh yang sama pukul 5.30 petang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: