Thursday, August 9, 2012

Tapir kian berkurangan

Sekumpulan sukarelawan memberi makan kepada dua ekor anak tapir di Zoo Negara.

Menurut Timbalan Pengarah Zoo Negara, Dr. Muhammad Danial Felix, tujuan sambutan tersebut diadakan adalah untuk mendidik dan menyedarkan orang ramai tentang kepentingan usaha memelihara tapir agar tidak pupus.

"Melalui kempen sebegini, kami di pihak Zoo Negara berharap dapat menarik minat orang ramai dalam membantu serta memberi sokongan bagi menyelamatkan spesies tapir di seluruh negara.

"Program yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Zoo Negara (EDU) tersebut melibatkan pelbagai aktiviti seperti Trek Laluan Tapir, Program Pengayaan, mengecat wajah dan pelbagai lagi," ujarnya ketika ditemui di Zoo Negara baru-baru ini.

Ujar Dr. Muhammad Danial lagi, sehingga kini tiada jumlah tepat mengenai bilangan tapir liar yang terdapat di hutan belantara.

Katanya, biarpun tapir masih banyak berkeliaran di hutan, haiwan tersebut sedang diancam kehilangan habitat secara drastik.

"Seekor tapir dewasa memerlukan kawasan hutan yang luas untuk ia berkeliaran dan mencari makanan.

"Justeru itu, sebarang perubahan kawasan hutan secara drastik akan memberi impak negatif kepada tapir malah boleh mempengaruhi kadar pembiakannya," ujarnya.

Tambahan pula, seekor tapir betina dewasa mempunyai tempoh bunting yang agak panjang iaitu selama 13 bulan menjadikan spesies ini agak lambat berkembang biak.

Tapir Malaysia merupakan antara tapir yang terbesar di dunia, malah ia merupakan satu-satunya spesies yang berasal dari Asia.

Nama saintifik tapir berasal dari India Timur yang membawa maksud 'habitat semula jadi spesies'.

Haiwan itu boleh ditemui sekitar Asia Tenggara khususnya Malaysia, Indonesia, Myanmar dan Thailand (sepanjang sempadan barat hingga ke selatan sempadan antara Thailand dan Malaysia).

Selain itu, ia juga boleh ditemui di selatan Kemboja dan Vietnam. Bagaimanapun tiada pengesahan saintifik dicatatkan, malah ia juga mungkin terdapat di Laos.

Bagi pihak Zoo Negara, penekanan terhadap perlaksanaan program kesedaran di kalangan orang awam berkenaan betapa pentingnya tapir kepada sesebuah ekologi hutan perlu dititikberatkan.

Jelas Dr. Muhammad Danial, tapir yang ada di Malaysia merupakan spesies yang istimewa terutamanya daripada segi corak dan warna badannya yang berbeza daripada tapir terdapat di seluruh dunia.

Pada program itu juga, dua ekor anak tapir berusia dua tahun yang dilahirkan di Zoo Negara turut diperkenalkan.

Usaha membiak dan memulihara tapir oleh Zoo Negara perlu disokong oleh semua pihak dan usaha tersebut tidak seharusnya terletak di atas bahu pihak tertentu sahaja.

Justeru itu, sokongan orang ramai mahupun badan bukan kerjaan (NGO) amat diperlukan bagi membantu mengembangkan aktiviti kesedaran dan usaha konservasi tapir di negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: