Tuesday, August 14, 2012

Patuhi jadual PLUS elak sesak ketika pulang raya



PETALING JAYA – PLUS Expressway Berhad (PLUS) akan melaksanakan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini bagi melancarkan pergerakan lalu lintas perjalanan pulang warga kota ke kampung halaman masing-masing pada 17 serta 18 Ogos ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi (gambar kecil) berkata, TTA berkenaan merangkumi waktu perjalanan pengguna dari Lembah Klang ke utara serta dari arah selatan bagi Johor.

Menurutnya, TTA itu turut dilaksanakan untuk perjalanan kembali ke ibu negara selepas cuti Aidilfitri berakhir mulai 21 hingga 26 Ogos ini.

“Melalui kaedah yang diamalkan sejak tahun 2007 itu, lebih 50 peratus pengguna jalan raya telah mengikuti waktu yang disarankan dan perjalanan trafik didapati lancar tanpa melibatkan kesesakan jalan raya yang ketara.


WARGA kota dinasihatkan supaya mengikut jadual pulang menyambut Aidilfitri yang disediakan


“Sehubungan itu, kami menasihatkan orang ramai agar terus memberikan kerjasama dengan mengikut TTA yang dikeluarkan untuk cuti hari raya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PLUS di sini semalam.

Dalam pada itu, Fuad memberitahu, pihaknya menjangkakan peningkatan sebanyak 1.4 juta pengguna di lebuh raya PLUS menjelang musim perayaan ini.

Selain itu, menurut Fuad, bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya semasa cuti musim perayaan ini, PLUS turut menyediakan 153 pasukan PLUS Ronda untuk mengadakan lebih banyak rondaan.

“Seramai 432 anggota pasukan kecemasan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta 683 anggota sokongan RELA turut membantu PLUS sempena Aidilfitri nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: