Nissan yakin terajui pasaran segmen B
Ketibaan Almera di Malaysia dijangka mendapat permintaan tinggi bersandarkan keupayaan sebagai sedan global paling laris.

EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), pengedar rasmi jenama Nissan di Malaysia yakin menerajui pasaran dalam segmen B menerusi pengenalan model sedan, Almera sekali gus meningkatkan penguasaan pasaran keseluruhannya secara signifikan menjelang tahun depan.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dr Ang Boon Beng, ketika ini Nissan mencatatkan 5.3 peratus penguasaan pasaran.

“Selepas dua dekad tidak memperkenalkan kereta segmen B, ketibaan Almera di Malaysia dijangka mendapat permintaan tinggi di Malaysia bersandarkan keupayaannya sebagai sedan global paling laris dengan jualan sehingga 460,000 unit pada 2010.

“Dijangka dijual pada harga antara RM70,000 hingga RM85,000 seunit, ia dilancarkan secara rasmi kepada orang ramai pada suku keempat tahun ini,” katanya pada Majlis pra-tonton Nissan Almera kepada media di pusat membeli-belah Pavilion, di Kuala Lumpur, semalam.

Almera adalah kereta pemasangan tempatan (CKD) di Kilang Tan Chong Motor di Serendah, Selangor dengan nilai pelaburan antara RM10 juta hingga RM15 juta.

Katanya, volume produksi akan bermula Ogos sehingga hujung tahun ini.

“Almera menawarkan transmisi manual empat kelajuan dan automatik lima kelajuan yang mana keduanya didatangkan dengan enjin 1.5 liter dan disasarkan kepada semua golongan termasuk eksekutif muda.

“Ia memiliki gaya kemewahan dan ruang yang luas berbanding pesaing lain dalam segmen sama selain menampilkan teknologi baru yang biasanya ditemui dalam segmen lebih mahal,” katanya.

Katanya, ruang kabin yang luas memberikan tahap keselesaan kepada penumpang dan yakin model pengganti Sunny itu akan menjadi model terlaris di Malaysia.

Menurutnya, orang ramai boleh melihat secara dekat kereta sedan tersebut di pusat membeli belah Pavilion, Kuala Lumpur pada 10 hingga 12 Ogos ini. Antara lokasi lain siri jelajah Nissan Almera ialah Dataran Pahlawan, Melaka pada 10 hingga 12 Ogos dan Queensbay Mall, Pulau Pinang 16 hingga 21 Ogos dan Paradigm Mall Kelana Jaya, Selangor 23 hingga 26 Ogos.