BUKU I Love Ramadan telah diulang cetak sebanyak tiga kali sejak tahun 2008 lantaran mendapat sambutan hangat pada bulan Ramadan. |
MENGKLASIFIKASIKAN genre hasil nukilan beliau sebagai buku motivasi agama yang santai, buku I Love Ramadan karangan Sahrulazmi Sidek, 36, membawa pembaca untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai fadilat atau kelebihan bulan Ramadan.
Tidak terlalu serius dalam penulisannya, Sahrulazmi menggunakan bahasa yang mudah dan ringkas untuk bacaan umum dan sesuai untuk bahan bacaan seisi keluarga.
Antara 66 topik yang dibincangkan di dalam buku tersebut ialah kelebihan bulan Ramadan, etika-etika ketika berpuasa, kategori puasa dan juga malam yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam iaitu Lailatulqadar.
Penggunaan terma-terma yang sinonim dengan bulan Ramadan yang diselitkan dengan unsur-unsur humor seperti puasa atau puas-puas, bazar atau bazir dan tadarus atau tidur terus sedikit sebanyak menggambarkan realiti yang berlaku ketika pada bulan Ramadan.
Terdapat juga salah satu bab yang kedengaran agak lucu iaitu bab Jangan Korek Hidung. Ia disertai dengan huraian terperinci kenapa umat Islam tidak dibenarkan berbuat demikian ketika menjalani ibadah puasa.
Sahrulazmi memberitahu, I Love Ramadan turut menerangkan kehebatan bulan Ramadan beserta bukti-bukti yang kukuh berpandukan al-Quran dan hadis.
Petunjuk umat Islam
“Bulan Ramadan merupakan salah satu bulan yang tertulis dalam al-Quran. Ini menunjukkan bulan Ramadan itu merupakan antara bulan yang terpilih dan sebagai petunjuk kepada umat Islam mengenai kemuliaan bulan tersebut di sisi Allah SWT.
“Menerusi buku ini juga, saya mahu mengajak umat Islam untuk membentuk satu fenomena bahawa bulan Ramadan itu sebagai bulan pesta ibadat seperti yang disambut di Mesir, Jordan dan negara-negara Islam yang lain,” ujarnya yang aktif sebagai penceramah bebas di sekitar masjid-masjid di Lembah Klang.
Telah diulang cetak sebanyak tiga kali sejak tahun 2008, I Love Ramadan juga menyampaikan maklumat baharu daripada ulamak. Sebagai contoh teknik pengiraan untuk menentukan Lailatulqadar.
Dalam buku I Love Ramadan, Sahrulazmi mengambil pendapat seorang ulamak tersohor dari Jordan, Syeikh Solah al-Khalidi yang menyebut dalam kitabnya bahawa Lailatulqadar berlaku pada malam 27 Ramadan dan ada cara kiraan untuk membuktikan fakta tersebut.
“Ejaan Lailatulqadar dalam al-Quran mempunyai sembilan huruf dan malam yang mulia itu disebut sebanyak tiga kali dalam al-Quran. Secara teorinya, sembilan darab tiga bersamaan dengan 27.
“Kiraan tersebut hanya sebagai panduan untuk kita lebih menumpukan amalan ibadat pada malam 27 Ramadan. Sebaliknya, umat Islam harus berpegang kepada hadis Rasulullah S.A.W iaitu mencari Lailatulqadar sepanjang 10 malam terakhir Ramadan,” jelasnya yang kini dalam perancangan untuk menyambung Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Bahasa Arab di Universiti Putra Malaysia (UPM) tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: