Fatimah ketika menceritakan masalah pengagihan wang zakat yang didakwa tidak telus.
BANDAR BERA – Segelintir penduduk di dua kampung di daerah ini mempersoalkan pemberian zakat oleh sebuah syarikat yang diagihkan minggu lalu.
Mereka mendakwa pemberian tersebut tidak adil kerana tidak menepati sasaran penerima yang dikategorikan dalam golongan asnaf.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Fatimah, 51, berkata, terdapat beberapa penerima yang bukan dalam golongan asnaf turut menerima zakat terbabit.
Menurutnya, keadaan itu membuatkan ada penduduk tidak berpuas hati dan menyuarakan pandangan masing-masing sesama sendiri.
“Mereka tidak berani menyuarakan rasa tidak puas hati secara terbuka kerana bimbang akan dibenci pihak tertentu memandangkan kita hidup dalam sebuah kampung yang kecil.
“Tetapi, masing-masing mahu kebenaran mengenai perkara ini dibongkar supaya ada pihak yang bertindak memperbetulkan keadaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Fatimah mendakwa, ada juga warga emas yang mempunyai harta dan tanah getah berpuluh hektar, malah mampu menggaji pekerja sehingga RM2,000 sebulan, tetapi disenaraikan sebagai penerima.
Katanya, beberapa penduduk turut mendakwa, zakat itu diberikan kepada kroni atau saudara terdekat memandangkan nama-nama terbabit dipilih oleh pemimpin tertinggi masyarakat setempat.
“Sepatutnya, apabila tugas menyenaraikan nama itu selesai, seharusnya dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya yang benar-benar fakir dan miskin sahaja menerimanya.
“Bukannya menghantar sebarang nama tanpa perbincangan hanya kerana mahu memberi kesenangan kepada waris sendiri sedangkan ada yang miskin dan layak tidak menerimanya,” katanya.
Fatimah berkata, pendedahan itu bukan mahu mengaibkan mana-mana pihak, tetapi mahu zakat itu diagihkan secara telus.
Sementara itu, Sinar Harian menghubungi Pegawai Agam Islam Daerah, Muhammad Yusri Aman bagi mendapatkan penjelasan.
Menurutnya, terdapat lapan golongan asnaf yang berhak menerima zakat antaranya fakir iaitu orang tidak berharta dan tidak mempunyai pekerjaan atau berharta dan bekerja tetapi tidak mampu menampung keperluan harian; miskin iaitu orang yang mempunyai harta tetapi tidak mencukupi memenuhi keperluan harian dan mualaf iaitu saudara baru yang memeluk Islam.
“Kalau ada warga emas yang menerimanya, sekiranya dia fakir atau miskin sememangnya dia berhak tetapi jika sebaliknya, tidak boleh.
“Pemilihan penerima perlu telus dan teliti kerana jika wang zakat diberikan kepada mereka yang tidak layak, itu adalah tidak betul dan hukumnya dosa,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: