Jualan album Zikir Terapi Diri Hafiz cecah 50,000 unit
Muka depan album Zikir Terapi Diri Hafiz.
Album Zikir Terapi Diri Hafiz catat jualan 50,000 unit
Album Zikir Terapi Diri Hafiz catat jualan 50,000 unit

NAMANYA bukanlah satu yang asing dalam bidang seni hiburan tempatan.

Bekas anggota kumpulan nasyid, UNIC yang pernah popular satu ketika dulu, Hafiz Hamidun kini semakin selesa mengorak langkah secara solo dalam memperluaskan bakatnya dalam bidang seni.

Setakat ini, Hafiz berjaya menghasilkan dua album yang diterbitkannya sendiri dan telah menguruskan syarikatnya, Arteffects Sdn. Bhd yang ditubuhkan sejak 2006, yang bergerak aktif dalam perniagaan penerbitan album dan video bercorak kerohanian dan islamik.

Sejak dipasarkan tujuh bulan lalu, album Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun kini telah berjaya mencecah jualan 50,000 unit, sekali gus memperolehi anugerah platinum hasil daripada jualan album itu.

Bertitik tolak dari kejayaan itu, Hafiz, 28, bercadang untuk membawa semua album yang dipasarkan di bawah syarikatnya ke pasaran luar negara seperti Indonesia, Brunei, Singapura dan Dubai.

Dalam keadaan pasaran album yang masih suram, katanya, tahap jualan itu menunjukkan satu perkembangan positif untuk industri seni tempatan, sekali gus memberi keyakinan kepadanya untuk mengorak langkah lebih jauh dengan menerokai pasaran luar negara.

“Saya menghasilkan album zikir bukan untuk dijadikan ukuran sebagai teori muzik yang hebat, tetapi lebih kepada sebuah karya yang lahir dari jiwa dan hati saya sendiri.

“Iringan muziknya lebih kepada terapi minda dan kebanyakan rakan-rakan yang telah saya perdengarkan album ini menyatakan mereka dapat merasakan ketenangan dan seolah dibuai sekaligus membantu mereka dapat menghayati alunan zikir tersebut,” kata Hafiz ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbitan syarikatnya di sini.

Antara zikir yang terkandung dalam album ini ialah Astaghfirullah, Alhamdulilah, Subhanallah, Hasbi Rabbi dan Taubatan Nasuha.

Kesemua melodi zikir dalam album ini 100 peratus digubah dan diadun sendiri oleh Hafiz.

Selain Zikir Terapi Diri, Arteffects turut menerbitkan album Asma Ul-Husna dendangan penyanyi popular, Mawi, Zikir Terapi Munajat oleh Fitri Hanis serta Zikir Terapi Selawat oleh Imam Muda Najdi.

Sementara itu, ketika bercakap mengenai persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang, Hafiz berkata, dia akan pulang beraya di Changkat Jong, Teluk Intan dan akan bercuti selama tiga hari di sana.

“Saya dan keluarga juga akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya pertama dan pada kesempatan inilah dapat mendekatkan saya dengan seluruh ahli keluarga, saudara-mara dan juga peminat yang selama ini telah menyokong perjuangan seni saya,” katanya.

Mengenai juadah kegemaran pada hari lebaran, Hafiz berkata, “juadah yang saya gemari ketika di pagi raya adalah tosai yang dibuat ibu saya."

Katanya, hidangan tosai menjadi kegemaran sekeluarganya, sekali gus ia memberi kelainan selain terdapat juga hidangan raya yang lain seperti ketupat, lemang dan rendang yang akan dimasak bergotong-royong bersama-sama ahli keluarga yang lain.